#31 Apa Selepas PRN?

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada 12 Ogos yang lalu, Pilihanraya Negeri (PRN) telah diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pada malam tersebut keputusan telah disiarkan di mana 3 negeri dimenangi oleh Pakatan Harapan dan 3 negeri yang lain dimenangi oleh Perikatan Nasional. 

Pelbagai analisa telah diberikan oleh penganalisis politik dan tokoh-tokoh akademik. Saya mengharapkan semua pihak terutamanya para penyokong dapat terus memandang ke hadapan dalam membina negara dan negeri ke arah kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Firman Allah SWT:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya lah aku kembali.”

(Surah Hud: 88)

LANGSUNG: Keputusan terkini undi PRN 2023

Dalam keadaan senang, kita diajar oleh Rasulullah SAW untuk mengucapkan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ.

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya sempurnalah segala kebaikan dan kesolehan.

Begitu juga dalam keadaan ditimpa ujian dan kesusahan, Rasulullah SAW mengajar kita untuk mengucapkan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.

Maksudnya: “Segala puji hanya bagi Allah di atas setiap hal dan keadaan.

Saya simpulkan beberapa nasihat kepada semua pemimpin politik dan penyokong:

  • Sewajibnya sebagai seorang Muslim untuk mengucapkan syukur di atas kejayaan yang kita miliki dan kemenangan yang kita perolehi dalam pilihanraya yang lepas. 
  • Kemenangan itu disusuli dengan amanah dan taklif yang wajib ditunai dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

(Surah al-Nisa’: 58)

  • Kepada yang belum lagi memperolehi kemenangan maka janganlah putus asa, sebaliknya jadikanlah kegagalan tersebut sebagai tangga menuju kejayaan. Lakukanlah muhasabah, post-mortem dan susun strategi dengan lebih berkesan dan baik bermula hari ini.
  • Setiap keputusan sama ada menang atau kalah apabila kita menekuninya sudah pasti kita akan dapati terlalu banyak hikmah. Hal ini sudah pasti kita redha dengan takdir Ilahi dan kita lafazkan alhamdulillah. 
  • Sekali pun tidak menang, maka hendaklah kita hiasi dengan kesabaran dan berlapang dada kerana dengan sabar yang puncak merupakan prasyarat pada masa mendatang untuk menjadi pemimpin yang unggul. Inilah yang dinaskan oleh al-Quran al-Karim: 

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajadah: 24)

  • Sifat redha serta dapat menerima keputusan adalah sifat agung yang dipuji oleh Allah SWT dan rasul-Nya sehingga seorang ulama bernama Syeikh Abdul Wahid bin Zaid berkata:

الرِّضَا بَابُ اللهِ الْأَعْظَمُ

Maksudnya: “Redha merupakan pintu Allah yang paling agung.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 6/156)

  • Buang yang keruh ambil yang jernih. Selepas bertarung dengan ceramah dan masing-masing berbalas kata dalam menegakkan hujah dan mematahkan hujah, mungkin ada percakapan yang keluar dari garis kebenaran serta boleh menjatukan maruah penentang masing-masing. Justeru, hulurlah tangan perdamaian dan persahabatan kerana kita semua adalah di bawah payung negara Malaysia dengan satu warganegara dan sebahagiannya pula satu agama. 
  • Hendaklah kita beristighfar, bertaubat dan saling maaf-memaafi di antara kita kerana inilah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan adanya pilihanraya dan menegakkan hujah masing-masing. Justeru, dengan melakukan istighfar dan taubat boleh mengampunkan dosa kita atas keterlanjuran bicara dan tindakan kita. 
  • Jangan lama berbulan madu, kemenangan yang telah diraih hendaklah disyukuri tetapi jangan kita leka dan asyik sehingga mengambil tempoh yang lama untuk meraikan kemenangan yang akhirnya kita terperangkap dengan kemenangan itu sendiri tanpa melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya. Ini terjadi kepada ramai orang. Jika tidak diberi kesedaran maka seolah-olah kemenangan dan amanah yang dimiliki sebagai kemuliaan. Sebaliknya, hakikat yang sebenar jawatan ini sebagai bebanan yang akan ditanya dan disoal di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. 
  • Kisah Umar bin Abdul Aziz perlu dijadikan contoh yang terbaik di mana pada malam pertama selepas pelantikan sebagai khalifah pada tahun 99 H, beliau terus menjalankan tugas sehingga ke pagi. Bagi seorang pemimpin, masa adalah amat berharga.
  • Ingatlah, jangan sekali-kali mengabaikan hak rakyat lebih-lebih lagi mereka yang miskin, lemah, ditindas, sakit dan yang memerlukan bantuan. Pemimpin akan ditanya di hadapan Allah SWT dengan sebab pengabaian hak rakyat.
  • Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah membuang ego masing-masing sebaliknya bersatu dan berganding bahu untuk membela rakyat dengan tahap yang tertinggi dari kedua-dua belah pihak. Zaman sekarang bukan “aku” yang boleh, tetapi “kita” dengan kerjasama yang erat boleh membantu rakyat dan memacu negara ke arah yang terbilang. Kembali berpegang dengan semangat federalisme dan ketepikan ego kepartian yang membusuk.
  • Hak wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang hendaklah diberikan dengan saksama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ini bagi memudahkan mereka melaksanakan fungsi dan tugas wakil rakyat dengan lebih berkesan. Peruntukan itu juga adalah hak rakyat di mana wakil rakyat bertindak sebagai khadam dan berkhidmat untuk rakyat. Jika hak itu pun sudah dinafikan atau ada ura-ura untuk menafikan, itu adalah mentaliti lapuk yang akan memundurkan negara. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan negara kita layak ditabalkan sebgai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. 

Kami akhiri dengan doa dan munajat:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108)

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”*

* Terdapat doa yang hampir sama sepertimana doa di atas. (Lihat Mu’amalah al-Hukkam fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 109)

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *