#32 Di Mana Salahnya YAB Perdana Menteri Melakukan Pengislaman?

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Baru-baru ini, terdapat YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengislamkan seorang individu. Tindakan beliau telah menimbulkan polemik terutamanya dalam kalangan segelintir pemimpin politik bukan Muslim daripada blok tertentu dan beberapa pertubuhan. Saya telah dihubungi oleh saudara Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan penjelasan berkenaan melalui rancangannya, Keluar Sekejap yang sangat popular ketika ini.

Sejujurnya, saya merasakan perlu memberi sebuah penjelasan dengan lebih luas, mendalam dan berfakta berkenaan dengan isu ini. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua, insya-Allah.

 

Definisi

Saya mulakan dengan definisi beberapa perkataan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

  • Kepimpinan:

Kepimpinan di dalam bahasa Arab disebutkan sebagai Imamah. Dari sudut bahasa, ia merupakan suatu kata terbitan – yakni masdar – yang berasal dari kata kerja (أمَّ). Kata kerja ini digunakan dalam makna mendahului atau memimpin. Imamah adalah tindakan memimpin. Imam dalam konteks ini merujuk kepada siapa pun yang diikuti sebagai pemimpin atau ketua. (Lihat al-Qamus al-Muhit, 4/78)

Dari sudut istilah para ulama telah mengemukakan beberapa definisi. Walaupun perbezaan dalam pernyataan, namun ia hampir dari sudut makna. Antara definisi-definisi adalah seperti  berikut:

Al-Mawardi mentakrifkan kepimpinan sebagai: Mengambil alih kepimpinan para nabi dalam menjaga agama dan mengurus urusan dunia.(Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm.5)

Manakala Imam al-Haramain al-Juwaini mendefinisikannya sebagai  Kepimpinan yang menyeluruh  yang berkaitan dengan aspek individu dan umum dalam tugas-tugas agama dan dunia.(Lihat Ghiyas al-Umam fi Iltiyas al-Zulami,hmn.15)

  • Mengislamkan

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, mengislamkan bermaksud memasukkan seseorang ke dalam agama Islam atau menjadikan seseorang beragama Islam. Ia juga diertikan sebagai menjadikan patuh kepada atau menyesuaikan dengan ajaran (ciri-ciri dan sebagainya) kepada agama Islam. Pengislaman pula bermaksud perbuatan mengislamkan seseorang.[1]

Prosedur Pengislaman

Berkenaan tatacara pengislaman seseorang, ini telah diajarkan sendiri oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A yang menceritakan tentang Rasulullah SAW ketika mengutuskan Mu‘az bin Jabal ke Yaman. Baginda SAW bersabda:

إنَّكَ سَتَأْتي قَوْمًا أهْلَ كِتَابٍ، فَإِذَا جِئْتَهُمْ، فَادْعُهُمْ إلى أنْ يَشْهَدُوا أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، فإنْ هُمْ أطَاعُوا لكَ بذلكَ، فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم خَمْسَ صَلَوَاتٍ في كُلِّ يَومٍ ولَيْلَةٍ، فإنْ هُمْ أطَاعُوا لكَ بذلكَ، فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ علَى فُقَرَائِهِمْ، فإنْ هُمْ أطَاعُوا لكَ بذلكَ، فَإِيَّاكَ وكَرَائِمَ أمْوَالِهِمْ، واتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ؛ فإنَّه ليسَ بيْنَهُ وبيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya: “Engkau akan mendatangi kaum ahli kitab, apabila kamu sampai kepada mereka maka serulah mereka untuk bersaksi bahwa tidak Tuhan yang berhak untuk disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya. Jika mereka taat untuk itu, maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat 5 waktu sehari semalam. Jika mereka taat untuk itu, maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka untuk mengeluarkan zakat harta mereka, di ambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin dari mereka. Jika mereka taat untuk itu, maka hati-hatilah engkau dari mengambil harta milik mereka yang baik, takutlah engkau dengan doa orang yang dizalimi, sebab tidak ada penghalang antara doa tersebut dengan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (1496) dan Muslim (19)

Mengislamkan seorang merupakan satu pekerjaan yang mulia kerana ia juga merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan sebab diutuskan Nabi Musa AS kepada kaumnya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu daripada gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.”

(Surah Ibrahim: 5)

Ayat di atas menunjukkan bahawa tujuan nabi atau rasul diutuskan adalah untuk membawa manusia daripada jalan kesesatan kepada jalan hidayah atau petunjuk. Maka, sesiapa yang telah mengislamkan seseorang, maka dia telah mengeluarkan seseorang itu daripada kegelapan kepada nur atau cahaya hidayah. Ini pendirian yang jelas dalam Islam.

Adapun mengenai prosedur khusus pengislaman yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia, terdapat beberapa langkah dan dokumen yang perlu disediakan bagi memastikan maklumat keislaman saudara baru tersebut dapat direkodkan, seterusnya memudahkan proses bimbingan dan pengajian tentang asas-asas Islam.

Menurut Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf) yang dikeluarkan oleh Bahagian Penyelidikan – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 20 Februari 2009, seseorang yang ingin memeluk agama Islam perlu melalui prosedur pendaftaran seperti yang berikut:

  • Pendaftar yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baru perlulah berpuas hati dengan proses seperti di bawah sebelum pendaftaran saudara baru dilakukan:
    1. Mengucap dua Kalimah Syahadah di dalam Bahasa Arab.
    2. Memahami maksud daripada kedua-dua Kalimah Syahadah yang dilafazkan.
    3. Pengucapan dua Kalimah Syahadah dibuat dengan kerelaan hati.
    4. Menyatakan maksud Kalimah Syahadahnya dengan menggunakan bahasa isyarat yang boleh difahami tentang pengislamannya jika tidak dapat melafazkan.
  • Saudara Baru yang telah disahkan pengislamannya melalui perkara-perkara di atas boleh didaftarkan sebagai Saudara Baru di mana-mana Pejabat Agama Islam.
  • Seorang Pendaftar Muallaf hendaklah dilantik oleh pihak Majlis / Jabatan Agama Islam yang bertanggungjawab menyelenggarakan suatu daftar Saudara Baru bagi tujuan pendaftaran.
  • Daftar sementara boleh diwujudkan dengan mengambil maklumat-maklumat peribadi dan maklumat berkaitan proses pengislaman seseorang saudara sekiranya saudara baru belum bersedia untuk mendaftarkan pengislamannya. (Lihat Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf), hlm. 6-7)

Hal ini mungkin sama atau sedikit berbeza di peringkat negeri kerana urusan agama berada di bawah kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri. Pun begitu, secara asasnya ia adalah sama seperti yang telah dibentangkan oleh JAKIM.

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

لَمَّا أُنْزِلَتْ هَذِهِ الآيَةُ ‏{‏ وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ‏}‏ دَعَا رَسُولُ اللَّهِ ‏ﷺ قُرَيْشًا فَاجْتَمَعُوا فَعَمَّ وَخَصَّ فَقَالَ:‏ يَا بَنِي كَعْبِ بْنِ لُؤَىٍّ أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ يَا بَنِي مُرَّةَ بْنِ كَعْبٍ أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ يَا بَنِي عَبْدِ شَمْسٍ أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ يَا بَنِي هَاشِمٍ أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ يَا فَاطِمَةُ أَنْقِذِي نَفْسَكِ مِنَ النَّارِ فَإِنِّي لاَ أَمْلِكُ لَكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا غَيْرَ أَنَّ لَكُمْ رَحِمًا سَأَبُلُّهَا بِبَلاَلِهَا.‏

Maksudnya:  “Tatkala diturunkan ayat ‘وأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ’ (Berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat)[2], maka Rasulullah SAW menyeru kaum Quraisy sehingga mereka semua berkumpul. Kemudian Baginda SAW berbicara secara umum dan secara khusus. Sabda Baginda: “Wahai Bani Ka’ab bin Lu’ay, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Wahai Bani Murrah bin Ka’ab, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Wahai Bani ‘Abd Syams, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Wahai Bani ‘Abdi Manaf, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Wahai Bani Hasyim, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Wahai Bani ‘Abd al-Muttalib, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Wahai Fatimah, selamatkanlah diri kamu daripada api Neraka. Sesungguhnya aku tidak memiliki (kekuatan sedikit pun untuk) menolak azab seksa Allah kepadamu, selain kamu semua adalah kerabatku, maka aku akan menyambung tali kerabat tersebut.”

Riwayat Muslim (204), al-Tirmizi (3185) dan al-Nasa’ie (3644)

Allah SWT telah menjelaskan dalam Kitab-Nya bahawa para Nabi tidak mempunyai kuasa dalam memberi hidayah kepada seseorang, sebagaimana firman-Nya:

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ

Maksudnya: “Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

(Surah al-Tahrim: 10)

Imam al-Tabari berkata: “Allah SWT telah memberikan perumpamaan bagi orang-orang kafir di antara manusia dan seluruh makhluk dengan isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah dua hamba Kami, iaitu Nuh dan Lut, lalu keduanya mengkhianati mereka. Telah disebutkan bahawa khianat isteri Nuh terhadap suaminya menunjukkan bahawa dia adalah seorang kafir, dan dia berkata kepada orang ramai: ‘Sungguh, dia adalah orang gila.’ Sedangkan khianat isteri Lut adalah bahawa Lut telah menjamu tetamu, dan dia menunjukkan kepada orang ramai.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 23/111)

Begitu juga, anak Nuh tidak mempunyai kuasa ke atas urusan Allah. Malah dikatakan kepadanya:

قَالَ يَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ ۖ إِنَّهُۥ عَمَلٌ غَيْرُ صَـٰلِحٍۢ ۖ

Maksudnya: ‘Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh.’

(Surah Hud: 46)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: “Kemudian Allah berfirman kepada Nuh: ‘Sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu, sesungguhnya dia adalah perbuatan yang tidak baik’ bermaksud, doa yang kamu mohonkan untuk anak kamu, iaitu keselamatan bagi orang kafir yang kamu harapkan akan selamat, sedangkan dia tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 382)

Semua ini menunjukkan bahawa setiap manusia terikat dan bergantung kepada perbuatan mereka untuk Allah dan ketaatan kepada-Nya. Tidak ada yang memberi faedah kepada dirinya melainkan imannya sendiri, bukan iman orang lain, sama ada daripada keluarganya atau individu lain, walaupun dia seorang Nabi yang diutus.

Tiada Paksaan Memeluk Agama Islam

 Sejak awal Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam. Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikit pun paksaan. Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam. Ini sebagaimana yang disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Tabari dalam tafsir ayat ini menyebut: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsiran yang benar. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/414).

Ibn Kathir memperincikan ayat di atas di dalam tafsirnya, yakni Allah SWT berfirman janganlah kamu memaksa seorang pun untuk memeluk agama Islam, kerana ia adalah agama yang jelas dan nyata, dengan bukti-bukti dan dalil-dalil yang terang benderang.  Tidak perlu dipaksa seseorang untuk memeluknya. Sebaliknya, sesiapa yang Allah telah berikan petunjuk ke jalan Islam, telah dilapangkan dadanya, diberi cahaya penglihatannya, maka dia akan masuk dalam agama itu dengan pengetahuan yang jelas. Dan sesiapa yang Allah telah menggelapkan hatinya dan mengunci pendengarannya serta penglihatannya, maka tidak ada manfaat untuk memaksa orang tersebut memeluk agama ini dalam keadaan dipaksa dan ditekan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/521)

Ibn Kathir juga menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/682)

Ibn ‘Asyur berkata: “Setelah disebutkan ayat kursi, disebutkan pula ayat ini kerana kesesuaian kandungannya dengan pengisian ayat-ayat yang lepas berkaitan bukti-bukti keesaan dan kebesaran Allah, serta penyucian-Nya dari segala kesyirikan yang dilakukan berbagai umat. sehingga selayaknya ayat ini membimbing orang-orang berakal ke arah penerimaan agama ini yang jelas aqidahnya dan lurus syariatnya, tanpa ada paksaan.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/499)

Kemudian Allah SWT menguatkan lagi ayat di atas, disamping menghiburkan Rasulullah SAW yang bersedih kerana tidak diterima dakwahnya. Ini sepertimana dalam firman-Nya:

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ ‎

Maksudnya: (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”

(Surah Yunus: 99)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Wahai Rasul, jikalau Tuhanmu menghendaki untuk menetapkan keimanan manusia semua terhadap risalahmu dalam satu waktu, tentulah semua orang di muka bumi akan beriman seluruhnya. Namun Allah SWT tidak melakukannya supaya mereka memilih. Keimanan dan perbuatan itu sesuai dengan kehendak Allah SWT, maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia  supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman kepada risalahmu yang mana Allah tidak menghendakinya? Itu bukanlah dalam ruang lingkup kekuasaanmu  dan kamu tidak lain hanya menyampaikan (Lihat al-Wajiz, hlm. 221)

Begitu juga Fakhr al-Din al-Razi menyatakan: “Tidak ada keupayaan bagimu untuk mengendalikan sesiapa pun, yang dimaksudkan  olehnya adalah untuk menyatakan bahawa kuasa yang mutlak dan kehendak yang menentukan hanya milik Allah SWT.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 17/305)

Kedua-dua ayat di atas disokong dengan beberapa nas yang lain. Antaranya adalah firman Allah SWT:

لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّـهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ

Maksudnya: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya).”

(Surah al-Baqarah: 272)

Ini memberi makna hidayah dan petunjuk adalah milik Allah semata-mata. Para rasul, ulama dan pendakwah hanyalah sebagai penyampai, penasihat dan pemberi peringatan. Ini adalah satu manifestasi daripada firman Allah SWT:

فَذَكِّرْ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَكِّرٌ ﴿٢١﴾ لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِر

Maksudnya: “Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).”

(Surah al-Ghashiyah: 21-22)

Oleh itu, Islam memberi kebebasan kepada individu bukan Muslim untuk memilih anutan dan pegangannya. Ini kerana asas bagi iman adalah mengakuinya di dalam hati. Tidak cukup hanya sekadar melafazkannya atau hanya menjalankan ibadah-ibadah khusus. Walaupun begitu, al-Quran mengajak untuk menggunakan akal  dan memerah pemikiran untuk mencari kebenaran sehinggalah ia mampu untuk mengenal Penciptanya yang sebenar.

Kelompok yang paling jauh dari Islam adalah ates yang langsung tidak mempercayai kewujudan Allah SWT. Ini berbeza dengan umum manusia yang beragama, kerana sekurang-kurangnya mereka percaya akan kewujudan dan kekuasaan tuhan. Islam menitikberatkan hal ini dengan menekankan penghormatan kepada nilai beragama. Maka Allah SWT melarang untuk memusnahkan tempat-tempat ibadat bukan Muslim tanpa alasan yang kukuh Bahkan dibolehkan untuk melindunginya, jika itu merupakan hak mereka. Ini seperti firman Allah:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

(maksudnya) “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Surah al-Hajj, ayat 40).

Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama oleh masyarakat bukan Muslim.

Hak Mengislamkan Seseorang Dari Sudut Hukum Syarak

Secara asasnya, hak mengislamkan pada asalnya adalah hak Rasulullah SAW. Seterusnya, jika bukan Rasulullah, maka ia berpindah kepada wakil Rasulullah SAW seperti Mus’ab bin Umair R.A, Mu’az bin Jabal R.A dan seumpamanya. Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, tatkala Rasulullah SAW ingin mengutus Mu‘az bin Jabal R.A kepada penduduk Yaman, Baginda bersabda kepadanya:

فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى

Maksudnya: “Maka jadikanlah seruan pertamamu untuk mereka adalah mengesakan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (7372)

Hadith ini menunjukkan bahawa perkara  yang pertama yang perlu dilakukan ketika berdakwah adalah mengajak mereka kepada ibadah kepada Allah iaitu pengakuan terhadap Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Di dalamnya tidak disebutkan puasa dan  jihad, kerana pada masa itu jihad hanya diwajibkan kepada orang-orang yang mengikuti orang kafir, seperti yang disebutkan oleh Ibn At-Tin. (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 10/140)

Maka, pengislaman dilaksanakan oleh pihak berautoriti, kepimpinan utama dan tertinggi. Samalah juga pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab R.A, para Sahabatlah yang mengislamkan saudara-saudara baharu pada ketika itu. Dalam konteks Malaysia, hak dan kuasa tersebut telah berpindah kepada Majlis Agama Islam, atau Jabatan Agama Islam sebagaimana yang tertera dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 Bahagian IX – Masuk Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, begitu juga dalam enakmen bagi negeri-negeri dan ordinan bagi Wilayah Sarawak. Menjadi kelaziman juga bagi para imam, pendakwah dan asatizah untuk mengislamkan saudara baharu.

Peranan al-Imamah al-‘Uzma dalam Menjaga Islam

Salah satu daripada peranan al-Imamah al-‘Uzma adalah menjaga Islam. Namun konsepnya adalah tiada paksaan, tetapi konsepnya adalah dakwah.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/603) berkata: Al-Imamah al-‘Uzma (pemimpin utama atau pemerintahan tertinggi) merupakan jawatan agama bagi mengambil alih tugas kenabian. Ini bermakna pemerintah merupakan pengganti (khilafah) kepada Nabi SAW dalam mentadbir urusan umat Islam. Walaupun begitu, terdapat perbezaan antara pemerintah dengan Nabi SAW. Nabi SAW menerima hukum-hakam yang wajib dipegang oleh umatnya dalam bentuk wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT. Pemerintah pula menerima hukum-hakam itu dalam bentuk nas-nas yang sah daripada al-Quran dan al-Sunnah, atau ijma’ yang disepakati oleh para ulama’, atau pemerintah berijtihad berpandukan dalil-dalil umum dan kaedah-kaedah yang sah, sekiranya tiada nas dan ijma’. Jawatan pemerintah tertinggi begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam.”

Seterusnya, turut dijelaskan berkenaan peranan al-Imamah al-‘Uzma, antaranya disebut:

  • “Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syara‘ dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau pelaksanaannya.”
  • “Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hukum siyasah syar‘iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara‘ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya dalam sebahagian besar hukum-hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum-hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.”
  • “Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat. Usaha memadam ketidakstabilan ini hanya mampu dilakukan oleh seorang pemerintah Islam yang adil. Seorang pemerintah yang dapat menggariskan jalan yang betul kepada umat Islam dan mengingatkan mereka supaya tidak terpesong ke jalan yang lain. Ketika itu, umat Islam tidak akan terjebak dalam kekeliruan dan kebingungan disebabkan kejahilan mereka. Ini kerana mengikut hukum Allah SWT, perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah adalah wajib dilaksanakan. Namun ketika pemerintah ini tidak wujud, para pendokong pelbagai fahaman sudah tentu akan berusaha menjadikan umat Islam berada dalam kebingungan tanpa sebarang penyelesaian. Akhirnya umat Islam akan berpecah kepada beberapa puak dan kelompok yang saling bercakaran. Mereka akan hancur disebabkan pertelagahan dan perpecahan itu.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/606-606)

“Mengislamkan Orang Bukan Tugas Perdana Menteri”?

Bolehkah seorang Perdana Menteri mengendalikan proses pengislaman?

Institusi Perdana Menteri yang diamalkan di Malaysia pada hari ini adalah berdasarkan model Westminister British, yang diperkenalkan secara rasmi sejak 1957. jawatan Perdana Menteri adalah jawatan yang terpenting di dalam Perlembagaan Persekutuan diatas kapasitinya sebagai ketua kerajaan. Sebagai sebuah institusi yang terulung, sudah tentu institusi ini mempunyai kuasa-kuasa dan fungsi-fungsi khusus sepertimana yang digariskan oleh Perlembagaan mahupun atas dasar konvensyen.

Konvensyen Perlembagaan adalah salah satu kunci kerukunan sesebuah Kerajaan. Dasar konvensyen tidak termaktub dalam perlembagaan tetapi ia sudah menjadi amalan atau etika politik yang dihormati semua pihak. Ia memang tidak memberi apa-apa impak perundangan tetapi mampu  Tidak perlu saya perincikan di sini kerana boleh dikatakan apa sahaja yang diamalkan dalam sistem Westminster, dipraktikkan di Malaysia. Ditambah pula dengan pelbagai Konvensyen Perlembagaan lain yang menjadi tradisi Malaysia. Sir Ivor Jennings – salah seorang pakar undang-undang yang menganggotai Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab dalam merangka dan menggubal Perlembagaan Persekutuan – pernah berkata bahawa Konvensyen Perlembagaan adalah bagaikan “daging yang melapisi tulang-tulang kering undang-undang.” (The flesh that clothes the dry bones of the law).

Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan menekankan bahawa, “…tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.” Jelaslah di sini, pengamalan dan pengukuhan ajaran serta dakwah Islam perlu diberi keutamaan oleh Kerajaan. Jika peruntukan perbelanjaan pun sudah diakui perlembagaan, apatah lagi melaksanakan pengislaman yang cuma memerlukan seorang Perdana Menteri mengajarkan kalimah syahadah kepada individu berkenaan bagi meraikan hak berkenaan dalam perlembagaan?

Dengan menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan mahupun syariat agama Islam, adalah amat janggal bagi seorang Perdana Menteri yang:

  1. Beragama Islam;
  2. Menjadi Ketua Negara di sebuah negara yang secara perlembagaannya meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan;
  3. Dilantik pula oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan;
  4. Berhak mendapat nasihat daripada Mufti Wilayah Persekutuan dari sudut Hukum Syarak dan nasihat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari sudut tadbir urus hal ehwal Islam;

Terhalang untuk mengamalkan ajaran agamanya yang membenarkan beliau mengislamkan seseorang individu. Maka, hujah untuk menyatakan “ia bukan kerja Perdana Menteri” adalah tertolak sama sekali.

Hak Memeluk Islam

Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian bangsa, kaum dan juga etnik. Hal ini menyebabkan adanya keperluan untuk mewujudkan sebuah garis panduan yang bersifat holistik, dengan berpaksikan kepada pasak utama negara ini, iaitu kedudukan Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Satu perlembagaan diperkenalkan pertama kalinya sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada Hari Kemerdekaan, bertarikh 31 Ogos 1957. Ia kemudiannya diperkenalkan semula sebagai Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada Hari Malaysia, bertarikh 16 September 1963.

Di dalam Bahagian (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang membincangkan beberapa perkaitan tentang kebebasan asasi, perlembagaan telah memperuntukkan di dalam Perkara 11 tentang Kebebasan Beragama bahawa:

  • “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
  • Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.
  • Tiap-tiap kumpulan agama berhak:
    1. menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
    2. menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat;
    3. dan memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
  • Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.[3]
  • Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”[4]

Manakala berkenaan akta peruntukan pemelukan Islam, maka setiap negeri mempunyai peruntukan dengan bilangan seksyen yang telah ditentukan oleh penggubal undang-undang negeri masing-masing. Menurut Tun Mohd Salleh Abbas, negara Persekutuan adalah negara yang padanya terdapat sebuah kerajaan pusat yang mempunyai bidang kuasa tertentu dan kerajaan negeri selaku ahli persekutuan juga mempunyai bidang kuasa tertentu. Kuasa antara kedua-dua kerajaan tersebut ditentukan pembahagiannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berkaitan tatacara pemelukan Islam iaitu tentang proses sebelum pemelukan itu berlangsung, diperuntukkan satu seksyen yang digubal mengenai ‘Keupayaan Masuk Islam’ atau ‘Keupayaan untuk Memeluk Agama Islam’. Sebagai contoh, Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 menyatakan:

“Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan-

  1. Mencapai umur lapan belas tahun; atau
  2. Jika belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.”[5]

Kemudian, apabila syarat dalam peruntukan ‘Keupayaan Masuk Islam’ tersebut dipatuhi, maka berlaku proses seterusnya iaitu semasa proses pemelukan itu berlangsung. Sebagai contoh, Seksyen 85, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, menyatakan:

  • Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi kemasukan sah seseorang itu ke dalam agama Islam:
  1. orang itu mestilah mengucapkan kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas;
  2. pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah Pesuruh Allah”; dan
  3. pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.
  • Seseorang itu yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (a) subseksyen (1), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (b) subseksyen itu.[6]

Kesan daripada mengucapkan lafaz syahadah dan pengislaman yang sah, maka seseorang itu akan menjadi ‘muallaf’. Peruntukan Seksyen 86 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, menyatakan:

“Seseorang itu masuk Islam dan menjadi seorang Islam sebaik-baik sahaja dia habis mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 adalah dipenuhi, dan orang itu hendaklah selepas itu disebut sebagai seorang muallaf.”[7]

Seterusnya, proses pendaftaran mualaf boleh dilakukan berdasarkan kepada peruntukan ‘Pendaftaran Muallaf’ atau ‘Pendaftaran Pemelukan Agama Islam’. Oleh itu, apabila seseorang bukan Muslim membuat pilihan untuk memeluk Islam tanpa paksaan dan ia dilakukan dengan penuh kerelaan, maka ia adalah hak dan pilihannya yang wajar dihormati.

Penutup

Saya dimaklumkan, pengislaman yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri adalah permintaan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Klang, Tuan Haji Hushim Salleh. Apabila ada permintaan, tidak wajar ia ditangguhkan malah berdosa hukumnya jika dilewat-lewatkan. Imam al-Nawawi menjelaskan:

“Jika seorang kafir ingin masuk ke dalam Islam, maka hendaklah disegerakan dan jangan menundanya untuk mandi terlebih dahulu. Sebaliknya, wajib menyegerakan pemelukan Islam dan diharamkan sekeras-kerasnya untuk menangguhkannya atas tujuan untuk mandi terlebih dahulu dan tujuan lain. Jika seorang Muslim diminta untuk mengislamkan seseorang, amat diharamkan baginya untuk meminta ditangguhkan memeluk Islam untuk mandi terlebih dahulu. Sebaliknya perlu mendorongnya untuk menyegerakan pengislaman. Ini adalah yang benar dan tepat sebagaimana kata majoriti para ulama.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/154)

Saya amat menyokong jika sekiranya para pemimpin negara atau negeri mengislamkan mereka yang ingin memeluk Islam dengan sukarela tanpa sebarang paksaan. Tunku Abdul Rahman pernah melakukannya pada tahun 1973.[8] Tun Dr. Mahathir pernah juga beberapa kali mengislamkan saudara baharu semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri (1978)[9], mahupun selepas beliau bersara (2022).[10]

Semoga isu sebegini tidak lagi dipolemikkan oleh mana-mana pihak demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

___________________________

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pengislaman 

[2] Surah al-Syu‘ara’: 214

[3] Catatan di dalam Perlembagaan  Persekutuan Malaysia:

  1. Perkataan “dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan, undang-undang persekutuan” dimasukkan selepas “Undang-undang Negeri” di baris satu oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1 Februari 1974.
  2. Kemudiannya pula, perkataan “Wilayah Persekutuan” digantikan dengan “Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan” oleh Akta A585, Jadual, berkuat kuasa dari 16 April 1984.
  3. Perkataan “Kuala Lumpur dan Labuan” digantikan dengan “Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya” oleh Akta A1095, seksyen 13, berkuat kuasa dari 1 Februari 2001.

[4] Lihat http://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara11-Ma.Html. Diakses pada 23 Ogos 2023.

[5] http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/2f42209040dc9623482571fe0011df3d?OpenDocument

[6] http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Original.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/c27a4356c45275b448256ebd000d0add?OpenDocument

[7] http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/undangbm.nsf/bydocunidp/5F9B351DCCF2923748256F8500038DE3?OpenDocument

[8] https://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/1099409

[9] https://www.facebook.com/12411993651/posts/pengislaman-52-saudara-baru-di-kediaman-timbalan-perdana-menteri-dr-mahathir-moh/10154959415198652/

[10] https://www.perkim.net.my/10-peluk-islam-dengan-tun-dr-mahathir-tun-siti-hasmah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *