Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para Sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari Kiamat.
Dalam seminggu dua ini, isu menjadikan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi sebagai silibus untuk umat Islam khususnya kepada para guru dan murid beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan menjadi kecoh, sama ada yang menyokong mahupun yang menentang.
Dalam ruangan al-Mawaqif pada kali ini, saya akan membincangkan isu ini secara khusus dengan tajuk Hadis 40: Polemik dan Realitinya dengan fokus untuk memberikan pengenalan tentang Hadis 40. Ini termasuk menjawab beberapa salahfaham yang telah ditimbulkan oleh segelintir pihak. Semoga pencerahan ini akan memberi kefahaman yang jelas, dan akhirnya dapat memahami betapa perlunya buku seperti ini diajar di peringkat sekolah mahupun universiti, malah di jabatan-jabatan kerajaan dengan sokongan yang penuh.
Penyusunan 40 Hadis
Secara asasnya, sebelum Imam al-Nawawi, telah banyak para tokoh ulama’ umat Islam yang telah menyusun kitab yang serupa. Hal ini sepertimana dijelaskan sendiri oleh Imam al-Nawawi dalam mukadimah kitab ini. Mereka termasuklah Abdullah Ibn al-Mubarak, Muhammad bin Aslam al-Tusi, Hasan bin Sufyan al-Nasa’ie, Abu Bakar al-Ajuri, Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim al-Asfahani, al-Daraqutni, al-Hakim, Abu Nu’aim, Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami, Abu Sa’id al-Malini, Abu Uthman al-Sabuni, Abdullah bin Muhammad al-Ansari, al-Baihaqi dan ulama’ lain yang tidak terhitung jumlahnya.
Betapa besarnya perhatian dan kecaknaan para tokoh ulama’ umat Islam terhadap usaha pengumpulan empat puluh hadith ini adalah kerana didasarkan oleh pelbagai riwayat yang menunjukkan keutamaan dan kelebihannya. Hanya sahaja, sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, bahawa semua riwayat tersebut adalah dha’if (lemah) menurut kesepakatan ulama’ ahli hadith.
Kata Imam al-Nawawi: “Kami telah meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas’ud, Mu’az bin Jabal, Abu al-Darda’, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Anas bin Malik, Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri R.Anhum, daripada banyak jalan dan periwayatn yang berbeza, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa di antara umatku yang menghafaz empat puluh hadith berupa perkara agamanya, maka Allah akan membangkitkannya pada hari Kiamat bersama rombongan fuqaha’ dan ulama’.” Dalam riwayat lain: “Allah akan membangkitkannya sebagai seorang yang faqih (ahli fiqh) dan ‘alim.” Dalam riwayat Abu al-Darda’: “Maka aku (nabi) pada hari Kiamat nanti sebagai syafaat dan saksi baginya.” Dalam riwayat Ibn Mas’ud: “Dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga melalui pintu mana sahaja yang kamu kehendaki.” Dalam riwayat Ibn ‘Umar: “Dia dicatat termasuk golongan ulama’ dan dikumpulkan pada golongan syuhada’.”
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas membuktikan bahawa penyusunan 40 Hadis telah menjadi kebiasaan ulama’ sejak zaman salafus soleh lagi untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita. Hal ini kerana hadis Rasulullah SAW amat banyak yang menjangkau ratusan ribu dan mungkin jutaan hadith kerana sanad-sanad yang berlainan, di samping matan-matan juga ada yang berlainan. Justeru, usaha mengambil dan menapis daripada pelbagai jenis hadis dilakukan agar manusia boleh mengamalkan dengan sebaiknya dalam kehidupan mereka berdasarkan neraca Syari’ah dan Hadyun Nabawi.
Sebab Penyusunan Hadis 40
Imam al-Nawawi berkata: Saya memohon petunjuk kepada Allah SWT dalam menyusun 40 hadis ini dengan mengikut langkah yang telah ditempuhi oleh para imam yang alim dan para ahli hadis (seperti yang telah dijelaskan di atas). Para ulama’ telah bersepakat atas kebolehan menggunakan hadis dha’if dalam fadha’il al-a’mal (hadis-hadis tentang keutamaan dan kelebihan amal). Sungguhpun demikian, dalil yang saya pegang bukan hadis tersebut, akan tetapi saya berpegang dengan hadis Nabi SAW berikut:
لِيُبَلِّغُ الشَّاهِدُ مِنْكُمُ الْغَائِبَ
Maksudnya: “Yang hadir di antara kamu hendaklah menyampaikan kepada yang tidak hadir.”
Riwayat al-Bukhari (1739) dan Muslim (1679)
Dan sabda Nabi SAW:
نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مَقَالَتِي فَوَعَاهَا فَأَدَّاهَا كَمَا سَمِعَهَا
Maksudnya: “Semoga Allah mencerahkan wajah orang yang mendengar kata-kataku, lalu dia menghafaznya, kemudian menyampaikannya kepada orang lain sebagaimana dia mendengarnya.”
Riwayat Abu Daud (3660), al-Tirmizi (2658), Ibn Majah (236) dan Ahmad (13350) dengan sedikit perbezaan lafaz. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Keistimewaan Hadis 40
Terdapat banyak keistimewaan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini. Antara keistimewaan susunan Imam al-Nawawi ini adalah:
- Ia mencakupi semua hadis berkaitan kehidupan manusia.
- Hadis-hadisnya menjadi asas kepada kaedah agama yang penting.
- Ramai para ulama yang mensyarahkan hadis ini.
- Kitab ini menjadi kitab yang amat masyhur dalam kalangan ulama’ dan orang awam di segenap pelusuk dunia.
- Kitab ini dipelajari oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam menekuni kitab ini, saya mendapati bahawa ia amat baik serta boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua mahupun yang muda. Ia juga telah bertapak di Malaysia sejak ratusan tahun yang lampau. Kitab Hadis 40 ini telah diajar di pondok-pondok, masjid-masjid, surau, pejabat kerajaan, bahkan sampai ke peringkat universiti. Selain itu, ia bukan hanya semata-mata di Malaysia ini, bahkan di dunia Arab termasuklah di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Jami’ al-Azhar, malah di universiti-universiti terkemuka di dunia.
Inilah unik dan istimewanya Hadis 40 karya Imam al-Nawawi dan saya yakin pengarangnya telah mengikhlaskan diri dalam menghasilkan karya tersebut. Pemilihan 40 hadis mengikut hematnya berdasarkan ilmu dan makrifah yang dimilikinya telah memberi kesan terhadap minda para ulama’, fuqaha’, muhaddisin, mufassirin, cendekiawan Islam, bahkan para asatizah, guru-guru dan para pelajarnya. Inilah kelebihan Hadis 40 susunan Imam al-Nawawi. Meskipun pengarangnya telah meninggalkan kita lebih 800 tahun, namun karyanya masih lagi berbisa, bahkan pengajaran kitabnya terus berkembang dengan meluas.
Syarah bagi Hadis 40
Dalam pengamatan saya, Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini telah menarik minat dan perhatian yang mendalam oleh para ulama’ sejak zamannya sehingga masa kini. Hal ini termasuklah para ulama’ sama ada yang berbangsa Arab dan berbahasa Arab mahupun yang bukan berbahasa Arab dalam mensyarahkannya, sama ada panjang atau pendek. Sebahagiannya mengemukakan penjelasan secara panjang lebar, dan ada yang hanya mengeluarkan faedah dan iktibar, serta tidak kurang juga yang hanya menyusun matan tersebut untuk tujuan dihafal. Justeru, dari semasa ke semasa, syarahan terhadap Hadis 40 ini semakin bertambah.
Saya senaraikan di sini sebahagian daripada syarahan yang dibuat ke atas Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini. Antaranya:
- Syarh al-Arba’in Hadisan al-Nawawiyyah oleh Yahya bin Syaraf al-Murri (al-Nawawi).
- Al-Ta’yin fi Syarh al-Arba’in oleh Sulaiman bin ‘Abd al-Qawi bin Abd al-Karim (al-Tufi)
- Al-Manhaj al-Mubin fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh ‘Umar bin Ali bin Salim al-Lakhami al-Iskandari (al-Fakihani)
- Syarh al-Arba’in Hadisan al-Nawawiyyah oleh Mas’ud bin ‘Umar bin Abdullah al-Taftazani
- Al-Mu’in ‘ala Tafahhum al-Arba’in oleh Umar bin Ali bin Ahmad al-Ansar (Ibn al-Mulaqqin)
- Al-Tabyin fi Syarh al-Arba’in oleh Muhammad bin ‘Abd al-’Aziz bin Muhammad (Ibn Jama’ah)
- Al-Majalis al-Sunniyyah fi al-Kalam ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Ahmad bin Hijazi Ibn Badir.
- Al-Mubin al-Mu’in li Fahm al-Arba’in oleh Ali bin Sultan Muhammad al-Harawi (Mulla ‘Ali al-Qari)
- Al-Jawahir al-Bahiyyah Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Salim bin al-Hasan al-Misri (al-Syabsyiri)
- Syarh al-Arba’in Hadisan al-Nawawiyyah oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Syeikh ‘Ali Ahmad Abd al-’Aal al-Tahtawi
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi al-Ahadis al-Sahihah al-Nabawiyyah oleh Ibn Daqiq al-’Eid
- Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam oleh Ibn Rajab al-Hanbali
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Najm al-Din al-Tufi
- Al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Dr. Mustafa al-Bugha dan Ustaz Muhyiddin Misto
- Al-Jawahir al-Lu’lu’iyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Syeikh Muhammad Abdullan al-Jardani al-Dimyati
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi Thaubin Jadid oleh Syeikh Abd al-Wahab Rasyid Soleh Abu Sofiyyah
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Syeikh Soleh al-Uthaimin
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Syeikh Soleh al-Fauzan
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Syeikh Abd al-’Aziz bin Baz
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh Syeikh ‘Abd al-Majid al-Syurnubi
- Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah oleh ‘Abd al-Muhsin al-’Abbad al-Badr
Alhamdulillah, saya sendiri telah menyusun sebuah syarah terhadap Hadis 40 karya Imam al-Nawawi yang ditajukkan dengan al-Kafi. Kitab Hadis 40 Imam al-Nawawi ini sangat menakjubkan kerana ia bukan sahaja diterima pakai oleh masyarakat Islam di rantau Asia Tenggara sahaja, bahkan penerimaannya adalah bersifat menyeluruh di seluruh dunia.
Justeru, sewajarnya bagi semua yang mencintai akhirat untuk mengenali hadis-hadis ini, kerana ia telah meliputi setiap perkara yang penting, dan merangkumi peringatan berkenaan suruhan-suruhan ketaatan dan larangannya. Hal ini juga jelas menunjukkan betapa ramainya ulama yang prihatin terhadap penulisan Imam al-Nawawi khususnya kitab ini.
Menjawab Salah Faham
Penentangan yang dilakukan oleh segelintir pihak adalah bersifat ikut-ikutan atau salah faham yang berlaku. Saya melihatnya daripada dua sudut iaitu teknikal dan kandungan hadith. Dari sudut teknikal, terdapat kerisauan yang ditimbulkan oleh Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST). Manakala dari sudut kandungan hadith, sejujurnya saya melihat kesemua 42 hadis yang dihimpunkan adalah mudah untuk difahami. Pun begitu, mungkin ada satu hadith yang sering diangkat oleh segelintir pihak untuk menimbulkan salahfaham terhadap Islam iaitu hadis ke-8.
Salah Faham 1
Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) telah mengeluarkan kenyataan dengan menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama. Menurut mereka, kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan. MCCBCHST turut menyatakan kebimbangan mendalam mereka terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. Menurut mereka “Hadis itu jelas sebahagian daripada agama Islam. Nampaknya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kita yang membenarkan ajaran Islam sebegitu di sekolah jenis kebangsaan. Ini mungkin dilaksanakan di sekolah agama Islam.”
Jawapan: Secara asasnya, golongan bukan Islam tidak perlu bimbang dan khuatir. Hal ini kerana, telah jelas di dalam Perlembagaan berkenaan kebebasan beragama di negara Malaysia ini di mana semua agama boleh dianuti dan diamalkan secara harmoni dan aman damai. Selain itu, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang Islam sebagai agama persekutuan itu tidak hanya sekadar bersifat ritual, akan tetapi tafsirannya adalah lebih luas dan meliputi Islam sebagai agama dan cara hidup umat Islam di Malaysia. Di samping itu, terdapat juga Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996 yang menjelaskan bahawa sekiranya di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima orang murid atau lebih yang menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberi pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Kandungan Hadith 40 secara jelasnya menyemai kehidupan yang harmoni dan akhlak yang baik, serta merungkai permasalahan kehidupan dengan sebaiknya. Malah, hal ini turut ditegaskan oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emiritus Datuk Dr Teo Kok Seong. Beliau menyebut: “Ia begitu jelas bahawa hasrat kerajaan menggunakan modul itu untuk pelajar Islam dan mereka yang membantah ini seharusnya merujuk dulu isi kandungan hadis itu kerana apa yang terkandung hanyalah ajaran al-Quran yang disabdakan kepada Rasulullah dan bukan ajaran tambahan yang dicipta sesuka hati.
Kalau dirujuk, ajaran ini sudah wujud lama dan hanya menganjurkan perkara-perkara baik iaitu cinta sesama manusia, menganjurkan kecemerlangan Islam, membezakan yang baik serta buruk dan hal-hal sedemikian adalah untuk memupuk perwatakan insaniah yang lebih baik dalam kalangan murid dan pelajar Islam. Jadi, adakah perkara begini kita nak tentang dan bantah.”
Salah Faham 2: Ada pihak yang menimbulkan kegusaran kerana terdapat perintah memerangi bukan Muslim dalam hadis ke-8 daripada Hadis 40 ini.
Jawapan Daripada lbnu ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ؛ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Ta’ala.”
Hadis itu sahih, tidak ada keraguan tentang kesahihannya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim pada awalnya, dan terdapat dalam Musannaf Abd al-Razzaq, Musannaf Ibn Abi Syaibah, Sunnah al-Nasa’i, Sunnah al-Tirmizi, Sunnah. daripada Abi Dawud, Sunnah Ibn Majah, Sunnah al-Darimi, Sunnah al-Daraqutni, al-Tabarani, Al-Bayhaqi, Musnad Ahmad, Musnad al-Bazzar, dan Sahih Ibn Hibban.
Lafaz hadis adalah uqatil (أُقاتِل) dan bukan uqtul (أقْتُل). Uqatil adalah daripada kalimah qatala (قاتل) dan ia merujuk kepada muqatalah yang berasal daripada wazan mufa’alah yang memberi kefahaman wujudnya kesalingan samada melibatkan dua pihak atau lebih. Itu adalah asas dalam kaedah Bahasa Arab.
Hal ini turut disokong dengan penjelasan oleh Ibn Daqiq al-’Id sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani: “Keharusan muqatalah [saling berperang] tidak membawa maksud keharusan qatl [membunuh]. Ini kerana muqatalah adalah mufa’alah, bermakna berlaku peperangan antara dua pihak. Ini tidak berlaku kepada qatl [satu pihak sahaja]. Dihikayatkan oleh al-Baihaqi daripada al-Syafie berkata: ‘Matlamat berperang bukanlah semata-mata membunuh. Oleh itu, boleh sahaja seseorang itu dibenarkan berperang, tetapi tidak dibenarkan membunuh.” (Lihat Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 1/76)
Adapun al-nas yang dimaksudkan adalah orang Musyrik yang memerangi orang Muslim, bukan Ahli Kitab. Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa ia merujuk kepada mereka yang diizinkan oleh Allah SWT untuk diperangi dalam kalangan orang kafir. Ia tidak bermaksud golongan kafir mu’ahad [ada perjanjian dengan Muslim] yang diperintahkan Allah SWT untuk memenuhi perjanjian mereka. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 19/20).
Siapakah orang kafir yang diizinkan Allah SWT untuk diperangi? Firman Allah SWT
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya; Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Surah al-Baqarah; 190)
Jika dihimpunkan nas Quran dan Hadis berkaitan, kita akan dapati bahawa terdapat banyak perintah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW untuk berbuat kebaikan kepada bukan Muslim yang baik. Rasulullah SAW mempunyai jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan baik oleh Baginda dengan memberikan hadiah kepada mereka, begitu juga sebaliknya mereka turut menghargainya dengan memberi Nabi SAW hadiah. Bahkan Rasulullah SAW mengutuk keras dan mengancam mereka yang menzalimi kafir mu’ahid.
Apatah lagi dalam hari ini, hubungan antara golongan Muslim dan bukan Muslim dalam sesebuah Negara dikira dalam konteks kewarganegaraan (muwatanah) yang mana masing-masing dilindungi di bawah satu perlembagaan yang sama. Ia berbeza dengan prinsip yang ada pada zaman silam iaitu golongan bukan Islam lebih dikenali sebagai zimmi (mendapat perlindungan daripada Muslim dengan bayaran cukai). Maka, sudah pasti hak bukan Muslim jelas terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Meletakkan Islam sebagai agama peperangan, tersebar dengan pedang, menyalah tafsirkan istilah jihad dan pelbagai konotasi negatif adalah momokan klasik yang sudah tidak terpakai. Ya, memang terbukti dalam sejarah Islam, terdapat banyak peperangan yang disertai namun sejarah juga membuktikan yang sebahagian besarnya adalah bersifat defensif. Contoh Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Pembukaan Makkah dan lain-lain. Hanya sebahagian kecil perang yang dimulakan oleh tentera Islam terutamanya sekitar 9-10 Hijrah, dengan etika peperangan yang amat ketat atas tujuan peluasan kuasa politik. Fakta ini dihuraikan dengan lebih terperinci oleh ramai tokoh termasuk orientalis Barat seperti Thomas Walker Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam.
Justeru, tindakan memetik mana-mana ayat al-Quran atau hadis tanpa memahami kaedah Bahasa Arab dan tanpa meneliti keseluruhan tema berkaitan adalah tidak bertanggungjawab, dan amat gopoh dalam membuat penilaian.
Penutup
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, daripada Rasulullah SAW, sabda Baginda SAW:
أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Adapun selepas itu, maka sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk, petunjuk Muhammad (SAW).”
Riwayat Muslim (867)
Alhamdulillah, saya tegaskan sekali lagi bahawa saya menyokong sepenuhnya dasar kerajaan Malaysia seperti yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan dalam memartabatkan Hadis 40 serta pengajarannya di peringkat sekolah. Saya juga syorkan supaya ia dimuatkan dalam kurikulum universiti, dijadikan sebagai tazkirah di jabatan-jabatan kerajaan selain yang telah sedia dijalankan di masjid dan surau di seluruh negara. Pesan dan nasihat Rasulullah SAW terkait pengurusan, nilai murni dan produktiviti dalam Hadis 40 perlu sentiasa disematkan dalam jiwa umat Islam. Matlamatnya sudah pasti untuk merealisasikan apa yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah Rasul yang menjadi ikutan dan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat manusia. Benarlah firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”
(Surah al-Ahzab: 21)
Saya tutup dengan kata-kata Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi yang pernah berkata: Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW. Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh bagi anda. Jika anda fakir miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda. Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda. Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang. Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya…’
Saya gembira melihat penyatuan dan kesepakatan ahli politik Muslim dalam kalangan Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan UMNO dalam hal ini. Saya juga bersyukur kerana DAP, Gerakan, dan MCA bersikap terbuka untuk cuba memahami kandungan Hadis 40. Semoga artikel ringkas ini menjawab persoalan yang menjadi polemik dan kekeliruan kepada segelintir masyarakat. Semoga kitab ini tetap subur diajarkan dan diamalkan kandungannya di segenap peringkat; dari pondok-pondok sehingga ke Seri Perdana dan istana-istana.