4# Fenomena Mat Kilau: Masa Untuk Perubahan

Sekitar tahun 2015-2016 ketika saya menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, saya telah menerima kunjungan artis, penerbit drama dan filem yang ingin mendapatkan pandangan serta buah fikiran saya untuk industri perfileman negara. Saya ada mengupas dengan panjang lebar berhubung Islam dan seni perfileman semasa itu. Tahun-tahun seterusnya berlalu dengan kesibukan, sehinggalah niat saya untuk menulis dengan terperinci tentang filem dan agama terkubur.

Pencapaian jualan panggung filem Mat Kilau sehingga mencapai box office dengan kutipan melebihi RM70 juta (setakat 14 Julai 2022) dan saya jangkakan menuju RM100 juta, mengingatkan saya semula tentang niat yang sudah terkubur itu. Inilah kali pertama saya menulis secara khusus berkenaan dengan filem dengan kupasan yang mendalam.

Mengapa penulisan ini keluar sedikit lewat? Bukan mudah untuk menulis sesuatu yang bukan bidang saya, dalam keadaan saya ada keinginan yang kuat untuk berkongsi sudut pandang saya. Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak menonton filem Mat Kilau di mana-mana pawagam. Justeru, saya mengambil sedikit masa untuk mengumpul sejumlah pendapat samada pujian atau kritikan daripada pengulas filem, orang ramai, dan pakar sejarah, disamping sedikit bahan bacaan untuk ditelaah.

Sejarah Yang Ditulis Oleh Pengarah Filem

Saya pernah menonton sebuah rancangan berbahasa Arab di Youtube bertajuk Sawa’id al-Ikha’ yang menghimpunkan ramai tokoh ulama dan pendakwah seperti Syeikh Issam Bashir, Dr Ratib Nablusi, Dr Salman Fahad al-‘Audah, Syeikh Dr Salabi, Syeikh Muhammad al-‘Arifi dan lain-lain. Dalam sebuah sirinya yang bertemakan al-Tarikh Yuktabahu Sana’ al-Aflam (Sejarah yang Ditulis oleh Pengarah Filem)[1], seorang pengarah filem Bernama Muhammad Bayazid juga dijemput bersama.

Saya terpana dengan satu persatu hujahannya tentang betapa kuatnya pengaruh filem dalam membentuk pemikiran masyarakat dan menyebarkan ideologi tertentu. Beliau membawakan contoh filem American Sniper yang ditayangkan pada tahun 2014. Ia adalah sebuah filem perang yang berlatarbelakangkan Iraq sepanjang 2003 – 2009. Tidak sedikit penonton menitiskan air mata apabila lebih 150 orang tentera Amerika Syarikat terbunuh di tangan pengganas yang digambarkan beragama Islam. Ia juga menyumbang kepada fenomena Islamofobia yang semakin meruncing pada ketika itu.

Ujarnya lagi, pembikin filem daripada dunia Islam sewajarnya mengambil inisiatif yang sama bagi membentuk naratif balas; filem “lawannya” filem, drama “lawannya” drama. Benarlah kata bijak pandai, “Ucapan dusta, jika diulang 1000 kali, akan dianggap sebagai benar.”

Tidak perlu kita pergi terlalu jauh. Ada beberapa filem dan drama bersiri dalam Netflix yang membawakan tema Islamofobia dan diolah dengan begitu “sempurna”. Saya bawakan conto drama bersiri Homeland yang mengisahkan seorang tentera laut Amerika Syarikat yang pulang ke rumah selepas 8 tahun dipenjarakan oleh Al Qaeda. Beliau memeluk Islam secara sembunyi, beribadah secara diam-diam. Anaknya menjadi ketakutan apabila melihat ayahnya sedang bersolat dan merasakan si ayah hendak membunuhnya. Dalam masa yang sama, seorang ejen CIA beliau adalah seorang pengganas. Drama bersiri ini boleh didapati di negara-negara tertentu melalui Netflix. Begitu juga drama bersiri Caliphate yang mengisahkan tiga orang wanita yang ditahan oleh ISIS.

Kita boleh habiskan masa berbulan-bulan menonton semua drama dan filem ini satu persatu dan saya yakin, kita tidak akan mampu menghabiskan kesemuanya. Itulah gambaran betapa banyaknya unsur-unsur Islamofobia yang menjadi “selling point” yang ampuh. Pujangga ada menyebut, “Siapa yang mendahului dialah yang membuatnya atau mereka ciptanya.” Di sinilah jawapannya. Imej Muslim dan Islam sering disalahtafsir oleh pembikin filem Barat, dan mereka sering mendahului kita. Baca sahaja artikel jurnal oleh Meagen Tajalle yang bertajuk Recycled Tropes and the Persistence of Islamophobia in American Films dan kita pasti akan bersetuju dengan kebenaran yang pahit untuk ditelan ini.[2]

Setelah diasak dengan fakta yang bertubi-tubi, seolah-olah Muhammad Bayazid menjentik emosi dan hati para ulama’ dengan menegaskan “Anda semua adalah guru kami! Anda menelaah al-Qur’an, Hadith, jua kisah-kisah hidup para ulama’. Andalah panduan kami untuk mengeluarkan filem-filem berkualiti yang mampu membawa mesej sebenar Islam.”

Muhammad Bayazid mengambil contoh Steven Spielberg yang boleh dikatakan pengarah filem legenda dengan jujukan filem yang boleh diiktiraf antara 10 filem terbaik dalam sejarah dunia. Sentuhan beliau mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menonton filemnya ketawa dan menangis. Tidak ramai pengarah filem yang mampu membikin filem-filem yang berkualiti sepertinya, apatah lagi dalam dunia Islam.

Hakikatnya, terlalu banyak anekdot dalam sejarah dunia Islam sejak dahulu hingga hari ini yang mampu difilemkan dari sisi pandang kita sebagai seorang Muslim. Peperangan di Algeria yang menyaksikan lebih sejuta nyawa melayang? Hanya ada sebuah filem tentangnya tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga. Tak kurang daripada 15 buah filem diterbitkan berkenaan peristiwa Holocaust. Bagaimana pula dengan tragedi berdarah di Syria, Palestin dan negara-negara umat Islam lain yang masih berlaku sehingga hari ini?

Kita belum ada filem autobiografi atau biopik tokoh-tokoh Islam seperti Syeikh Abdul Rahman Humaid al-Sumait[3] dan Syeikhul Islam Mustafa Sabri[4]. Jauh sekali untuk kita melihat Tok Janggut, Tokku Pulau Manis, Tokku Paluh, Haji Abdul Rahman Limbong, Tuanku Sultan Zainal Abidin III, Tok Kenali dan ramai lagi tokoh pejuang Melayu di layar perak.

Kita pernah berbangga dengan filem al-Risalah oleh pengarah terkenal Moustapha Akkad. Mereka yang mengikuti industri perfileman Islam di era 80-an pasti terkenangkan Anthony Quinn yang tampak begitu mengagumkan dengan watak Omar Mokhtar yang dimainkannya melalui filem Lion of the Desert, juga oleh pengarah yang sama. Tetapi, sampai bila Muslim hendak hidup dalam kenangan dan romantisisme kegemilangan Moustapha Akkad?

Saya melihat ruang yang lebih luas jika pelbagai pihak berkepentingan terutamanya Kerajaan dapat berganding bahu dalam memajukan industri perfileman tanah air yang mana dengan keuntungannya, ia juga dapat kembali memberi manfaat bagi menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat. Bukan lagi hanya tersimpan pada poket-poket pihak tertentu sahaja.

Syor dan Cadangan

Mutakhir ini, Turkiye dilihat begitu menonjol dengan Diriliş Ertuğrul dan Kuruluş Osman. Dengannya, mereka berjaya “menjual” sejarah, ketamadunan, dan peradaban Turkiye ke segenap pelosok dunia. Saya juga pernah menonton drama bersiri Du’at al-Haq (Para Pendakwah Kebenaran) yang menampilkan kisah Imam Fakhr al-Din al-Razi, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Suyuti, Imam al-Du’at Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi, Syeikhul Azhar Syeikh Mustafa al-Maraghi, Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Ia cukup menarik dan menjadi tontonan ramai. Masih belum terlambat untuk kita mengetengahkan tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan juga para ulama’ kita di layar perak.

Kerajaan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) boleh meneliti dan memberi fokus kepada perkara-perkara berikut:

  1. Mengkaji semula dan menurunkan cukai hiburan
  2. Memperbanyakkan dana-dana dan memperkemas usaha untuk mengurangkan birokasi permohonan dana.
  3. Kebajikan pemain-pemain industri sehinggalah kepada kru belakang tabir. Tidak keterlaluan saya katakan, kerjasama juga boleh dilakukan bersama Agensi Mengurus Zakat dan Baitulmal negeri jika bersesuaian.
  4. Kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memupuk budaya cinta sejarah melalui Pengajaran and Pembelajaran (PdP) Sejarah yang lebih berkesan dan interaktif.
  5. Pengukuhan sejarah dapat diterapkan dengan lebih berkesan dalam kalangan penjawat awam beruniform.
  6. Penglibatan lebih ramai pakar bagi penghasilan sesebuah filem dan drama bernuansa sejarah.

Kesempurnaan hanya milik Allah SWT. Pun begitu,  saya akui filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya meniup rasa bangga dan patriotisme dalam diri rakyat Malaysia. Ia mendidik kita erti berpegang kepada agama, menghormati guru, mengasihi rakan taulan, setiakawan, mempunyai semangat juang yang amat tinggi tanpa menyerah kepada penjajah. Seperti yang saya nyatakan di awal artikel, saya tidak menontonnya di pawagam tetapi melalui penelitian terhadap ulasan-ulasan yang ada, saya dapat rasakan ia hampir senada.

Filem Mat Kilau mengingatkan saya akan sekeping gambar yang disimpan ayahanda saya. Mat Kilau ditemui semula pada tahun Disember 1969; tahun saya dilahirkan. Zulkifli bin Mohamad masih seorang bocah berumur sekitar 1 tahun pada masa itu. Sudah pasti saya tidak ada memori tentang beliau. Namun, pada tahun yang sama juga ayahanda saya, Ustaz Mad bersama beberapa orang rakannya telah pergi ke Pulau Tawar untuk bertemu dengan Mat Kilau selepas heboh kemunculannya semula setelah 70 tahun menghilang. Gambar tersebut masih kekal dalam simpanan keluarga sehingga ke hari ini.

Khabarnya sudah ada skrip untuk sekuel Mat Kilau. Moga segala kritikan dan pandangan pakar dapat diambil kira bagi penambahbaikan lanjut. Saya ucapkan syabas dan setinggi penghargaan kepada penerbit, pengarah, pelakon, kru dan semua yang terbabit dalam menjayakan filem epik sejarah yang mendapat sambutan hangat dan luar biasa ini.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan lahir tepat pada masanya, di ambang sambutan Hari Kebangsaan. Moga semangat perjuangan dan patriotisme kita terus membara. Moga ia menjadi titik perubahan kepada pembangunan bangsa, agama, dan industri perfileman tanah air. Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.”

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Akhukum fillah,

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

15 Julai 2022 bersamaan 15 Zulhijjah 1443 H
_____________________

[1] https://www.youtube.com/watch?v=Z4nEUt56Kf0

[2] Tajalle, Meagen. 2020. Recycled Tropes and the Persistence of Islamophobia in American Films. Inquiries Journal 12 (10), http://www.inquiriesjournal.com/a?id=1814

[3] Jasanya teramat banyak, antaranya:

  • Mengislamkan 11 juta orang hasil dakwahnya selama lebih 29 tahun.
  • Beliau membelanjakan seluruh harta yang diinfaqkan dengan katanya: “Harta-harta manusia yang mereka sumbangkan untuk amal kebajikan tidak mungkin bagiku membazirkannya walaupun seriyal.”
  • Beliau menubuhkan sekolah-sekolah pembelajaran dan pendidikan untuk anak-anak Afrika lebih daripada setengah juta orang.
  • Beliau menubuhkan 5 buah Universiti di Afrika
  • Beliau menggali telaga untuk para penduduk lebih daripada 12000 telaga.
  • Beliau menyediakan lebih daripada 4000 pendakwah, guru dan pemikir untuk meneruskan dakwah Islamiyyah.
  • Beliau menyediakan lebih daripada 840 tempat belajar.
  • Beliau membina hampir 5700 masjid.
  • Memberi bantuan dan memelihara lebih daripada 5000 anak yatim.
  • Membina 124 hospital dan klinik.
  • Menyediakan sejumlah yang besar untuk umat Islam sedunia berbuka puasa melebihi 40 buah negara yang membabitkan hampir 2 juta orang.
  • Memberi tajaan untuk 95 ribu pelajar Muslim dalam meneruskan pembelajaran mereka.
  • Mencetak lebih daripada 6 juta naskah mushaf untuk diedarkan kepada muallaf atau saudara Islam yang baru. (Lihat buku saya, Tokoh Pendakwah Islam: Dr Abdul Rahman Humaid al-Sumaith, hlm. 23-24)

[4] Mustafa Sabri dilahirkan pada tahun 1869 di bandar Tokat yang terletak di kawasan Anatolia Laut Hitam. Zaman kelahiran beliau adalah zaman yang menyaksikan Khilafah Uthmaniyyah sedang merudum runtuh oleh pelbagai sebab yang ada pada masa itu. Pada tahun 1908, Syeikh Mustafa Sabri telah menjadi wakil rakyat bagi bandar Tokat di Meclis-i Mebusan iaitu Parlimen Kerajaan Uthmaniyyah. Jawatan ini terhasil selepas kelantangan beliau menyuarakan pendapatnya di Majlis Tempatan Tokat, kampung halaman kelahiran beliau.

Apabila Parti Hürriyet ve İtilaf memperolehi kuasa pemerintahan pada tahun 1919, kerajaan telah dibentuk di bawah kepimpinan Damad Farid Pasha. Syeikh Mustafa Sabri telah dilantik pada tahun 1920 menjadi Sheikh al-Islam. Beliau kemudiannya dikenali sebagai Syeikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi (gelaran Efendi diberikan mengikut tradisi kerajaan Uthmaniyyah kepada ilmuan agama). Sejarah perjuangannya menegakkan kalimah Allah terlalu panjang dan penuh dengan liku-liku sehinggalah beliau meletakkan jawatan sebagai Syeikh al-Islam dan juga dibuang negeri. Suaranya sentiasa digeruni dan dihormati oleh kawan mahupun lawan sepanjang hayatnya.

Beliau telah menghasilkan banyak buku di dalam Bahasa Turki dan Arab. Akan tetapi di kalangan hasil tulisan itu, kitabnya yang paling masyhur adalah Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin (Kedudukan Akal, Ilmu dan Alam di Dalam Hubungannya Dengan Rabbul Alamin dan Para Rasul). Ia diterbitkan di Kaherah pada tahun 1950.

Latest articles

Related articles