4 Oktober 2021 | Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja

USUL MENJUNJUNG KASIH DAN PERBAHASAN TITAH DIRAJA PADA 4 OKTOBER 2021 DI DEWAN NEGARA

_________________________________________

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Izinkan saya memulakan Perbahasan Titah Diraja ini dengan serangkap pantun.

Kalau hendak menjerat rusa,

Siapkan tali disimpul erat;

Kalau hendak berbuat jasa,

Tetapkan hati betulkan niat.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am: 162)

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas titah yang menzahirkan kecaknaan kepada Kerajaan jua kebajikan rakyat bagi memasuki fasa endemik pada penghujung Oktober ini.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Dalam Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 September 2021, setiap barang titah Seri Paduka Baginda Tuanku menggambarkan kepimpinan yang cukup berhemah, berhikmah dan selaras dengan Maqasid Syariah terutamanya apa yang selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan berkenaan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 telah menamatkan kemelut politik yang tidak menentu secara harmoni.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Berdasarkan Titah Diraja di Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas pada 13 September 2021 yang lalu, saya ingin menyentuh 5 isu penting iaitu:
  • Pendidikan
  • Kesihatan
  • Perpaduan
  • Ekonomi
  • Alam Sekitar dan Warisan

Saya akan menyentuh kelima-lima elemen ini dalam tempoh masa yang diperuntukkan dengan izin Tuan Yang Dipertua, insya-Allah.

  1. Pandemik COVID-19 pada hakikatnya mendidik kita satu perkara yang amat penting; ia bukanlah satu-satunya pandemik yang bersifat global dan membawa banyak kematian. Kita perlu lebih bersedia dengan siri-siri pandemik lain yang mungkin akan melanda dunia termasuk Malaysia satu hari nanti (fiqh al-ma’alat).
  2. Segala sistem tadbir urus Kerajaan yang perlu dibina pada masa hadapan bukan lagi bersifat mudah jejas (fragile) tetapi sebagaimana yang disarankan oleh Nassim Nicholas Taleb, seorang sarjana penganalisa risiko yang masyhur, ia perlu bersifat tidak mudah jejas (antifragile). Sistem yang tidak mudah jejas adalah melangkaui sistem yang sifatnya membingkas (resilience) dan teguh (robustness) seperti yang ada sekarang. Sistem tidak mudah jejas adalah sistem yang tidak terkesan dengan kejutan tetapi semakin baik selepas impak kejutan tersebut. Jepun misalnya hanya memerlukan 40 tahun selepas peristiwa pengeboman Hiroshima-Nagasaki untuk menjadi sebuah kuasa besar dunia.
  1. Sistem yang kita mahukan, bukan lagi berpaksikan kepada retorik kata-kata atau slogan tetapi bersifat praktikal dan holistik. Sudah cukup rakyat kita diuji dan dihenyak separuh nyawa dengan pandemik COVID-19 sepanjang setahun lebih ini. Tiba masanya untuk kita bangkit dengan lebih gagah, bersama perancangan yang lebih teliti.

Sebagaimana di dalam noktah ke-12 Titah Diraja, Ke Bawah Duli Tuanku ada menitipkan barang titah bahawa semua pihak disaran mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, saya ingin mengambil perhatian semua ahli dewan yang mulia kepada firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam menghadapi sesuatu perkara.” (Surah Ali Imran: 159)

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Pendidikan adalah elemen paling penting dalam pembangunan tamadun. Ibn Khaldun (m. 808 Hijrah), bapa pembangunan sosiologi dalam kitabnya al-Muqaddimah menggariskan tiga tingkatan tujuan utama yang perlu dicapai dalam proses pendidikan iaitu
  • pengembangan kemahiran
  • penguasaan ketrampilan dan
  • pembinaan pemikiran yang baik.

Asas ini adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memaknakan pendidikan sebagai usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

  1. Kerajaan perlu bersiap sedia dengan pelan jangka masa panjang pendidikan dengan ciri-ciri tidak mudah jejas (antifragility) dan tidak membebankan guru dan murid. Saya amat terharu dengan usaha para guru di Malaysia yang berusaha keras untuk mewujudkan suasana PdPR yang berkualiti dengan kelengkapan dan latihan yang seadanya. Guru-guru muda mungkin selesa dengan aplikasi Tiktok dan Youtube. Guru-guru yang lebih veteran juga tidak ketinggalan berusaha memanfaatkan teknologi dalam pengajaran. Namun, saya tidak fikir semangat ini untuk bertahan lama sekiranya tidak ada satu pelan jangka masa panjang yang lebih tersusun dan komprehensif.
  2. Saya amat kagum apabila meneliti Laporan Akhir Mesyuarat Pendidikan Global 2021 anjuran UNESCO yang menghimpunkan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Pasifik, negara-negara Arab, Eropah, Amerika Utara, Afrika, Amerika Latin dan Caribbean. Mereka membentangkan solusi negara masing-masing dalam pendidikan pasca pandemik. Finland misalnya, menekankan kepada usaha memperkasa kreativiti para guru dan penambahbaikan sistem pendidikan. Had umur persekolahan ditingkatkan kepada 18 tahun, begitu juga pelaburan dalam pembelajaran digital diberi perhatian yang serius.
  3. Pembelajaran secara digital akan menjadi norma baharu buat dunia. Justeru, kita tidak lagi boleh berpada dengan satu kaedah semata-mata. Pendekatan hibrid yang menggabungkan pendidikan digital, televisyen, radio, audio siar (podcast), jua kaedah tradisional di mana guru dan pelajar bersemuka dalam kelas, perlu diperkemaskan. Syor saya kepada Kerajaan adalah seperti berikut:
  • Perlu ada satu pusat sehenti maya bagi menghimpunkan bahan pengajaran, modul dan latihan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) boleh bekerjasama dalam penghasilan platform yang mesra teknologi digital dan interaktif bagi memudahkan capaian maklumat.
  • Penubuhan Majlis Pendidikan Kebangsaan. Satu badan khas yang menyelaras, memantau dan menyusun strategi sebagaimana fungsi yang telah diputuskan dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996.
  • Sistem pelaporan kepada ibu bapa oleh para guru dalam bentuk komunikasi yang berkesan adalah jauh lebih penting daripada tuntutan kepada para guru untuk mengisi pelaporan dalam talian yang membebankan. Bagi merealisasikan hasrat ini, beberapa kaedah mungkin boleh digunakan seperti aplikasi di telefon pintar.
  • Ibu bapa perlu dibimbing untuk menjadi “guru pembantu” yang baik kepada anak-anak. Ia boleh dijalankan oleh pihak sekolah melalui beberapa siri bengkel dengan penglibatan ibu bapa dan penjaga kepada pelajar. Usaha ini telah pun dijalankan di negara-negara luar sebagaimana yang dibentangkan dalam Mesyuarat Pendidikan Global 2021 anjuran UNESCO.
  • Selain Didik TV dan Okey TV, stesen televisyen dan radio tempatan lain termasuk yang bernaung di bawah Kerajaan seperti TV Alhijrah dan Radio IKIM boleh diberikan kepercayaan dengan peruntukan yang bersesuaian bagi menyahut hasrat ini.
  • Mempopularkan pendekatan pembelajaran mikro (micro-learning) melalui infografik, video dan animasi yang interaktif, media sosial, dan lain-lain.
  • Melalui Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri, konsep wakaf harta alih (waqaf manqul) boleh diperluaskan lagi bagi membantu para guru dan murid dalam penyediaan peranti mudah alih bagi melancarkan PdPR. Pemahaman mengenai waqaf manqul tidak meluas di Malaysia kerana masih ramai yang beranggapan wakaf hanya pada masjid, tanah kubur dan al-Quran. Sedangkan aset seperti komputer riba, tablet dan telefon pintar juga boleh diwakafkan. Selain itu, waqaf perkhidmatan (waqaf al-khadamat) yang dibincangkan dalam wacana mazhab Maliki boleh diperkenalkan bagi meringankan beban para guru di sekolah. Para pensyarah, guru-guru pencen atau NGO yang bersesuaian boleh dilibatkan bagi membantu pihak sekolah dan guru dengan kepakaran masing-masing. Saya akan perincikan lagi dalam perbahasan RMK-12

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Isu kesihatan awam adalah antara kerisauan utama saya sejak bermulanya pandemik COVID-19. Satu pengiktirafan wajar diberikan kepada KKM khususnya para barisan hadapan atas usaha yang luar biasa bagi menyelamatkan negara. Usaha yang telah diambil pada tahun lepas sehingga hari ini telah menampakkan natijah dengan penurunan kes dan pengawalan yang terbaik disamping kadar vaksinasi yang tinggi. Syabas diucapkan kepada Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dalam masa yang sama, Kerajaan perlu lebih bersedia untuk membina asas kepada sistem kesihatan yang baik untuk Malaysia di masa hadapan.
  2. Ya, kita berbangga kerana mempunyai antara rangkaian sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia namun enjin utama kepada sistem ini iaitu para barisan hadapan perlu dijaga sebaiknya. Barisan hadapan yang saya maksudkan di sini bukan sahaja doktor, penolong pegawai perubatan dan jururawat, malah ia termasuk kumpulan yang terlibat secara tidak langsung seperti juruteknik X-ray, juruteknik makmal dan petugas pembersihan di hospital. Tidak dilupakan mereka yang bekerja dalam sektor bekalan makanan, ubat-ubatan, pengangkutan, sanitasi dan kemudahan awam yang memerah keringat dalam memastikan keselesaan rakyat terjaga.

Kita tidak berhadapan dengan COVID-19 semata-mata tetapi impaknya kepada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya dari sudut psikologi. Keratan akhbar Berita Harian pada 8 September 2021 mendedahkan perang melawan COVID-19 berterusan selama 20 bulan tanpa henti sejak Januari tahun lalu, menjejaskan kesihatan mental barisan petugas hadapan kesihatan apabila lebih 70,000 daripada mereka dikesan berdepan pelbagai gangguan emosi. Hospital Kuala Lumpur (HKL) misalnya, merekodkan sekitar 45 hingga 50 peratus daripada hampir 2,000 kakitangan kesihatan menjalani saringan kesihatan mental secara dalam talian mahupun bersemuka dari Mac 2020 hingga Julai lalu, mengalami gangguan emosi seperti stres ringan hingga teruk dan kelesuan melampau. Kenyataan oleh Menteri Kesihatan pada 15 September 2021 menunjukkan sejumlah 14.2 peratus petugas barisan hadapan kesihatan menderita gangguan mental yang teruk.

  1. Saya melihat perlunya keutamaan intervensi psikososial, emosi, sokongan fizikal, bantuan kewangan dan kerohanian kepada para barisan hadapan bagi membantu mereka menghadapi saat yang sukar ini. Justeru, syor saya adalah:
  • Pemerkasaan sesi kaunseling individu, kelompok dan bimbingan berkelompok. Terapi seperti lukisan, terapi seni, terapi naratif antara terapi boleh membantu petugas barisan hadapan menghadapi stres.
  • Kerjasama yang lebih serius antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperlukan bagi membina modul terapi psikospiritual yang sesuai dengan penganut agama-agama di Malaysia.
  • Disamping khidmat Kaunselor dan Pegawai Psikologi di hospital-hospital, saya melihat adanya keperluan untuk ditempatkan dengan lebih ramai lagi sukarelawan atau pegawai khusus sebagai pembantu kepada Kaunselor dan Pegawai Psikologi terutamanya dalam aspek spiritual. Hal ini telah dimulakan oleh JAKIM beberapa tahun lalu namun sudah pasti ia masih belum mencukupi dengn fokus hanya kepada klien beragama Islam sahaja. Maka, kepakaran daripada wakil agama-agama di Malaysia juga amat diperlukan.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melihat peluang kerjasama dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri seperti Baitulmal untuk memberikan insentif tambahan melalui bantuan zakat sebagai tanda sokongan dan pembakar semangat kepada para barisan hadapan. Kesemua 13 negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan, walaupun ada sedikit perbezaan dari segi takrif fi sabilillah dan sasaran agihan asnaf fi sabilillah, namun semangat dan keterbukaannya cenderung untuk meluaskan definisi fi sabilillah bukan hanya semata‐mata untuk jihad dan perang ke jalan Allah dan perkara yang berkaitan dengannya, tetapi meliputi segala perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merangkumi perkara‐perkara yang melibatkan kepentingan umum (al-masalih al-‘ammah).

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Serangkap pantun untuk renungan kita bersama:

Petang hari pergi ke pekan,

Pulang membawa sebungkus laksa;

Hidup muhibbah perlu diamalkan,

Itulah ramuan Keluarga Malaysia.

Perpaduan adalah tuntutan penting dalam Islam. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Apa yang dizahirkan dalam semangat Keluarga Malaysia, adalah manifestasi dalam Surah al-Hujurat ayat 13 ini. Walaupun kita berbeza dengan pelbagai bentuk latarbelakang kaum, budaya, agama dan pendirian politik, perbezaan itu hanyalah satu langkah untuk berkenalan dan berusaha untuk memahami antara satu sama lain. Di sinilah leburnya sifat keakuan dan kepuakan.

  1. Selepas lebih 60 tahun, saya pasti kita melalui pelbagai episod-episod ketegangan antara kaum dan parti politik yang layak dicatat dalam lembaran sejarah sebagai satu memori yang takkan lagi diulangi. Sekalung penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kerana sentiasa berusaha dengan penuh komited untuk memelihara perpaduan sesama rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Syor saya berkenaan isu perpaduan adalah:
  • Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang merupakan satu-satunya platform yang diwujudkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) boleh menggiatkan usaha untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin-pemimpin agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Konfusius, Tao, dan lain-lain sehinggalah kepada masyarakat di kawasan bandar dan pedalaman seluruh Malaysia. Ia boleh dijalankan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang meraikan semangat Keluarga Malaysia.
  • Sebagai sebuah negara umat Islam, Malaysia perlu ada sebuah rangka tindakan Model Fiqh Ta’ayyush (Fiqh Kewujudan Bersama) yang diterapkan sejak di peringkat persekolahan. Generasi akan datang bukan lagi hanya belajar melalui pergaulan, tetapi diajar dengan satu modul yang bersepadu, yang menatijahkan kefahaman dan kesedaran yang amat baik tentang mesej li ta’arafu sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. Hal ini telah didokong oleh  Universiti al-Azhar melalui Syeikh al-Azhar Syeikh Ahmed el-Tayyib.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di Malaysia pada Mei 2021 adalah sebanyak 4.5 peratus yang melibatkan seramai 728,000 orang penganggur. Kadar ini dilihat sedikit menurun berbanding sebelumnya. Alhamdulillah, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga telah mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 16.1% tahun ke tahun pada suku kedua 2021 (S2 2021). Ini menunjukkan trend pemulihan yang berterusan berikutan penguncupan yang lebih kecil pada kadar 0.5% bagi suku sebelumnya (S1 2021), dan berbanding kemerosotan 3.4% pada suku keempat 2020 (S4 2020). Dari segi enam bulan pertama tahun ini, KDNK meningkat sebanyak 7.1%, berbanding penurunan 8.4% dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.
  2. Al-Qur’an mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf AS telah dikeluarkan dari penjara dan dilantik oleh Raja Mesir untuk menjadi Bendahara yang bertanggungjawab menguruskan khazanah negara. Pelantikan itu adalah berdasarkan kemampuan Baginda mentafsirkan mimpi Raja berkenaan peringatan daripada Tuhan bahawa negara Mesir akan mengalami keadaan pertanian yang subur selama 7 tahun dan disusuli dengan 7 tahun keadaan yang susah akibat kemarau. Oleh itu rakyat bercucuk tanam selama 7 tahun dan hasilnya dijaga dengan baik. Hanya sebahagian sahaja yang digunakan sementara selebihnya disimpan untuk menghadapi suasana kemarau selama 7 tahun mendatang.
  3. Selaras dengan semangat pengurusan risiko yang strategik oleh Nabi Yusuf AS ini, saya mengesyorkan 5 teras utama dalam pembinaan semula ekonomi Malaysia pasca pandemik iaitu:
  • Meningkatkan pelaburan dengan mencari negara-negara yang baharu
  • Meningkatkan pendapatan
  • Mengurangkan kos
  • Menggalakkan inovasi
  • Menyokong persediaan tenaga kerja
  1. Saya juga menyokong penuh pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), yang memperlihatkan usaha pendigitalan dan penggunaan teknologi sebagai keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia. Insya-Allah, perincian berkenaan 5 teras utama ini akan saya kemukakan dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-12.
  2. Dalam kerancakan kita mengejar pembangunan ekonomi yang pesat, keuntungan yang tinggi, usah kita sesekali lupa dengan konsep keberkatan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A’raf: 96)

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Aspek keseimbangan dalam menjaga alam sekitar merupakan aspek yang diberi penekanan yang serius oleh Islam. Satu contoh mudah bagaimana pesanan Rasulullah SAW kepada Zaid bin Harithah yang mengetuai Perang Mu’tah. Antara sabda Baginda SAW adalah: “Jangan engkau membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua. Jangan engkau menghancurkan rumah-rumah dan menebang pokok-pokok.”
  1. Saya suka meneliti bagaimana negara-negara seperti Jepun, Turki, berinteraksi dengan alam sekitar dan warisan bangsa. Menurut laporan yang dikemukakan, keseluruhannya sebanyak 80,000 tan bahan kitar semula daripada telefon bimbit dan barangan elektronik terpakai telah digunakan untuk menghasilkan 5,000 medal yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi laman Facebooknya telah memaklumkan bahawa kempen kitar semula yang melibatkan Projek Pingat Tokyo 2020 ini telah menghasilkan sebanyak 32-kilogram emas, 3,492.7-kilogram perak dan 2,199-kilogram gangsa. Ia adalah satu langkah bijak, berhemah dari sudut pengurusan kos dan sudah pasti mesra alam sekitar.
  2. Usaha KASA menerusi Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030 wajar diberi pujian kerana ia membuktikan komitmen kerajaan terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Empat tunjang utamanya iaitu pengukuhan governan, pertumbuhan hijau, kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial; meliputi atmosfera (udara), hidrosfera (air), litosfera (darat) dan biosfera (makhluk hidup) wajar disebarluaskan untuk kefahaman dan kesedaran pelbagai peringkat dalam masyarakat. Sebagai seorang Muslim, saya rasa bertanggungjawab untuk turut memberi sumbangsaran kepada usaha yang murni ini. Saya mengesyorkan:
  • Strategi pengajaran dan pembelajaran alam sekitar dijalankan di peringkat sekolah dengan lebih agresif melalui pembelajaran mikro (micro-learning) dan tidak hanya bergantung kepada “Buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar” yang sudah pasti perlu ditambah baik bagi menyesuaikan para pelajar dengan suasana pasca pandemik.
  • Penubuhan Pusat Pendidikan Interaktif Alam Sekitar di sekolah-sekolah atau secara maya. Beberapa buah mata pelajaran boleh digabungkan seperti Sains, Geografi, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan lain-lain yang memfokuskan pendidikan tentang flora dan fauna. Kerjasama KASA, MOSTI, Pusat Sains Negara dan Petrosains sudah pasti mampu merealisasikannya.
  1. Terlanjur saya bercakap tentang alam sekitar, saya juga ingin menyentuh sedikit berkenaan warisan sejarah sebagai satu mercu ikonik negara. Al-Qur’an telah memberikan isyarat yang jelas keperluan untuk memelihara dan memulihara kesan-kesan sejarah sebagai pengajaran kepada generasi akan datang. Pentingnya mengkaji sejarah bagi kehidupan umat, sehinggakan Imam al-Tha’labi dalam tafsirnya al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Qur’an menyatakan, ayat-ayat Alquran yang membicarakan tentang sejarah adalah dua kali ganda lebih banyak dari pada ayat-ayat yang membicarakan tentang hukum halal haram.
  2. Saya mengikut rapat perkembangan di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang di Kedah. Hasil penyelidikan di sana menemui tapak peleburan besi, tapak ritual, tapak pentadbiran, dan jeti kuno seawal 788 Sebelum Masihi. Ini satu bahan sejarah yang tidak wajar untuk disisihkan. Menurut rekod, ada 5 buah kapal di dasar Tasik Kuno Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagaimana yang pernah dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini. Masih ada 43 tapak di sekitarnya belum dibuka dengan 200 ekar tanah di dalamnya yang mempunyai hampir 400 tapak. Sepanjang Tapak Arkeologi Sungai Batu hingga ke kaki Gunung Jerai pula ada 300 – 400 tapak yang ada tinggalan.
  1. Ketegasan Tuan Yang di-Pertua semasa menjawat jawatan sebagai Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia pada 2016 tentang keperluan mengangkat status Lembah Bujang di Merbok sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) amat saya kagumi dan semangat itulah patut diteruskan.
  2. Dalam Rihlah Ibn Battutah, beliau berkongsi tentang satu amalan wakaf yang begitu mengagumkannya semasa beliau berada di Damsyik. Katanya, “Suatu hari semasa saya berjalan di bandar Damsyik, saya ternampak seorang hamba secara tidak sengaja telah menjatuhkan mangkuk porselin dari China. Hamba tersebut lalu dikerumuni oleh orang ramai dan salah seorang daripada mereka telah meminta hamba tersebut mengutip serpihan mangkuk untuk dibawa kepada pengurus wakaf. beliau telah membawa serpihan tersebut dan menerima bayaran yang sama bagi harga mangkuk tersebut. Hal ini merupakan institusi yang sangat hebat dan telah menyelamatkan hamba tersebut daripada dihukum atau dimarahi oleh tuannya.”
  1. Maka, syor saya adalah:
  • Sebagai langkah awal, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara boleh merintis kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan badan-badan korporat bagi usaha pemuliharaan Tapak Arkeologi Sungai Batu, masjid-masjid lama, tapak bersejarah di seluruh Malaysia melalui wakaf irsad. Dengan sedikit penambahbaikan, tempat-tempat warisan negara ini boleh menjadi pusat pendidikan, penyelidikan, kebajikan di samping pelancongan yang pasti akan memberikan pulangan yang baik kepada penduduk sekitar. Ini secara tidak langsung menjimatkan kos, mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan dan mempercepatkan lagi proses pemeliharaan dan pemuliharaannya.
  • Apabila pelaksanaannya telah stabil, saya melihat ada keperluan untuk satu jawatankuasa bebas ditubuhkan, dan tidak melibatkan Kerajaan bagi menyelaras dan menyelenggara tempat-tempat bersejarah ini melalui dana wakaf.

Kesimpulannya, segala apa yang kita usahakan selama ini dan kita ingin usahakan pada masa hadapan, hanya akan tinggal angan-angan jika kita masih bertelagah atas isu-isu yang tidak menguntungkan rakyat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara…” (Surah Ali Imran: 103)

Perpaduan atas nama slogan dan perjanjian tidak akan kekal lama. Sejarah sudah membuktikan, perpaduan tanpa kesatuan hati membenarkan apa yang disebutkan pepatah Melayu, “lulus tidak berselam, hilang tidak bercari.” Sebaliknya apabila perpaduan itu atas keikhlasan dan kehambaan kepada Allah SWT, ia akan dipermudahkan dan disatukan hati-hati kita sebagaimana disebutkan dalam ayat sebentar tadi (فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ) “lalu Allah menyatukan di antara hati kamu..”. Dengan perpaduan, kita inginkan kebahagiaan. Semoga Malaysia terus gagah bangkit selepas mendung yang melanda, menjadi baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur. Saya pohon menyokong Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *