#510 Memberi Ikan Ternakan Makanan Berunsurkan Najis

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada memelihara ikan keli dalam sebuah tangki. Justeru, apakah hukum saya memberinya makanan yang berunsurkan najis seperti perut ayam atau seumpamanya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]     

Sebelum kami menjawab persoalan yang diajukan, kami melihat ia sangat berkait rapat dengan isu haiwan jallalah. Secara umumnya, haiwan jallalah ini haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Justeru, termasuklah juga dalam kategori ini, ikan-ikan yang membesar di dalam kolam najis, ikan-ikan ternakan yang diberi makan najis berupa perut ayam dan sebagainya, ayam kampung yang dibiarkan bebas sehingga memakan kotoran serta najis dan lain-lain yang seumpama dengannya. Manakala dari sudut sains, haiwan jallalah ini dikenali sebagai coprophagous (coprophagy). Coprophagous ialah hidupan yang makan tahi atau najis haiwan yang lain. Kebanyakan serangga merupakan spesies coprophagous dan biasanya merupakan pengguna tegar tahi atau najis haiwan herbivor yang lebih besar daripadanya. Antara serangga daripada spesies ini ialah kumbang tahi (dung beetles).[3]

Manakala mengenai hukum memakan haiwan jallalah pula, para ulama telah berbeza pendapat mengenainya kepada dua pendapat iaitu sama ada haram atau makruh. Perbezaan pendapat ini timbul disebabkan oleh perbezaan mereka dalam memahami maksud sebenar larangan Rasulullah SAW yang terdapat dalam hadith berkenaan isu ini — yakni adakah ia merujuk kepada haram atau makruh — sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.[4]

Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah hukumnya adalah makruh, dan ini juga merupakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. Hal ini kerana larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang — yakni bukan kekal pada zat — yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain.[5] Berkenaan isu haiwan jallalah ini juga, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis.[6]

Memberi haiwan makanan yang berunsurkan najis

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat mengenai keharusan memberi haiwan makanan yang berunsurkan najis kepada tiga pendapat:

  1. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Maliki mengharuskan memberi makan makanan yang berunsurkan najis atau bercampur dengan najis kepada haiwan tunggangan sepertimana mereka juga telah mengharuskan untuk memberi minum air yang telah menjadi najis kepada haiwan ternakan dan menyiram tanam-tanaman.
  2. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi pula tidak membenarkan untuk memberi minum arak kepada haiwan tunggangan kerana menggunakan — yakni mengambil faedah — daripada suatu najis adalah haram. Justeru, sekiranya diharamkan untuk memberi minum haiwan tunggangan daripada air najis, maka diharamkan juga memberinya makan daripada makanan yang berunsurkan najis.
  3. Ulama dalam kalangan mazhab Hanbali hanya mengharuskan untuk memberikan makanan yang berunsurkan najis kepada haiwan tunggangan yang tidak dimakan dagingnya. Manakala haiwan yang dimakan dagingnya pula tidak dibenarkan melainkan ia tidak disembelih kecuali selepas tiga hari, jika tetap diberi kepadanya makanan tersebut kerana ia telah mengambil hukum haiwan jallalah.[7]

Keharusan memberi makanan berunsurkan najis kepada haiwan ini juga jelas dapat dilihat dalam kenyataan Imam Nawawi yang menyebutkan bahawa tepung yang diuli dengan air najis dan menjadi roti adalah dikira sebagai najis dan haram dimakan oleh manusia. Akan tetapi ia harus untuk diberikan sebagai makanan kepada kambing, unta, lembu atau lain-lain daripada jenis haiwan.[8] Malah, dapat difahami juga daripada kenyataan tersebut, beliau dan sebahagian ulama yang lain tidak membezakan jenis najis yang dimakan oleh haiwan berkenaan bagi menjadikannya sebagai haiwan jallalah sama ada daripada kategori mutawassitah atau mughallazah. Hal ini adalah sebagaimana contoh haiwan jallalah yang diberikan oleh mereka iaitu anak kambing yang membesar dengan susu khinzir atau anjing.[9]

Selain itu, para ulama juga berbeza pendapat pada kadar kuantiti najis yang dimakan oleh suatu haiwan bagi menjadikannya termasuk dalam kategori haiwan jallalah. Sebahagian ulama berpendapat haiwan itu dikategorikan sebagai haiwan jallalah, jika majoriti makanan yang dimakannya adalah berunsurkan najis. Namun, jika majoriti makanannya adalah bersih dan bukan najis, ia tidak termasuk dalam kategori haiwan jallalah. Manakala terdapat juga sebahagian ulama lain yang berpendapat dengan tidak meletakan syarat pada kuantiti makanan najis yang dimakan, sama ada banyak ataupun sedikit, tetapi cukup dengan terzahirnya bau najis dan busuk atau sekiranya berubah struktur warna, rasa dan bau daging tersebut. Inilah pendapat yang dipegang dan disahihkan oleh Imam al-Nawawi.[10]

Justeru, dapat difahami bahawa haiwan yang memakan kotoran atau makanan berunsurkan najis, tetapi tidak sampai merubah struktur bau, rasa dan warnanya, maka ia tidak termasuk dalam haiwan jallalah mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, haiwan jallalah yang dikuarantin terlebih dahulu selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik — yakni bukan najis — sehingga hilang bau najis tersebut, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.[11] Tambahan lagi, al-Kasani juga ada menyebutkan bahawa hukum makruh tersebut adalah berkait rapat dengan perubahan daging dan bau busuk. Sekiranya tiada lagi bau busuk itu, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.[12] Malah, para ulama yang berpegang dengan pendapat haram daging haiwan jallalah seperti salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, juga membenarkan memakannya setelah dikuarantin dalam satu tempoh masa dan diberi makan makanan yang baik — bukan najis. Namun, mereka berbeza pada tempoh masa pengkuarantinan tersebut. Ada yang tidak menetapkan tempoh masa, manakala ada yang membezakan tempoh masa berdasarkan kesesuaian haiwan berkenaan seperti bagi kategori burung selama 3 hari, kambing selama 7 hari dan apa yang selain daripada kedua-dua kategori ini selama 40 hari.[13]

Oleh itu, tiada khilaf dalam kalangan ulama, tidak kira yang berpegang kepada pendapat makruh mahupun haram berkenaan keharusan memakan dagingnya setelah dikuarantin dan diberi makanan yang bersih dalam suatu tempoh masa. Hal ini kerana ‘illah — yakni sebab — bagi ketidakharusan memakan haiwan jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Tambahan lagi, perkara ini juga telah dibuktikan melalui satu kajian yang telah dijalankan terhadap konsep halal dan al-Istibra’ pangasius sutchii (ikan patin) yang diberi makan sejenis makanan yang berunsurkan organ babi. Hasilnya, kuarantin dan pemberian makanan bersih kepada ikan patin tersebut dalam suatu tempoh tertentu dapat membersihkan ikan itu daripada kesannya memakan najis tersebut.[14]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk memberi makanan berunsurkan najis kepada ikan ternakan dan jika perkara itu menyebabkan terzahirnya bau najis dan busuk pada ikan berkenaan atau berubahnya struktur warna, rasa dan bau pada daging haiwan tersebut, maka hukumnya adalah sebagaimana hukum haiwan jallalah.

Dalam isu haiwan jallalah, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging haiwan jallalah adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Lebih-lebih lagi, haiwan jallalah yang dagingnya berubah — disebabkan memakan najis atau tinggal dalam air najis — boleh kembali kepada asal dengan cara mengkuarantinnya dan memberinya makanan yang bersih dalam satu tempoh, sebelum menyembelih dan memakannya. Maka, ketika ini hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan, sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf — sama ada mereka yang menghukumkan sebagai makruh atau haram — agar haiwan jallalah itu dikuarantin terlebih dahulu sama ada dengan dikurung, diasingkan atau seumpamanya dan diberi makanan yang baik sehingga hilang kesan najis tersebut. Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan memakan haiwan jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut.

Manakala bagi tempoh pengkuarantinan pula, kami nyatakan bahawa tiada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih. Akan tetapi ia berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk itu telah hilang. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #508 Tempoh Kuarantin Haiwan Jallalah.[15]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Februari 2022 bersamaan 14 Rejab 1443H

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat https://www.amentsoc.org/insects/glossary/terms/coprophagous.

[4] Riwayat al-Tirmizi (1824); Abu Daud (3785) dan al-Albani menilai bahawa hadith ini adalah sahih.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/559; Badai‘ al-Sanai‘, 5/39-40; Bidayah al-Mujtahid, 3/18), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2597-2598; al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 50.

[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 16 Februari 2022.

[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/108-109; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29-30; Raudhah al-Talibin, 3/279.

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29; Raudhah al-Talibin, 3/279.

[9] Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/40; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29; Raudhah al-Talibin, 3/279.

[10] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/447), al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558; Mughni al-Muhtaj, 6/155; Fath al-Wahhab, 2/237; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28.

[11] Lihat Raudhah al-Talibin, 3/278; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29.

[12] Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/40.

[13] Lihat al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 51

[14] Lihat Kertas kerja Konsep halal dan al-Istibra’ pangasius sutchii menurut perspektif Islam dan sains akuakultur, oleh Tengku Nor Hidayati Bt Tengku Zainal Abidin et al., International Halal Conference 2016 (INHAC 2016), Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS).

[15] Lihat https://maktabahalbakri.com/508-tempoh-kuarantin-haiwan-jallalah/. Diakses pada 16 Februari 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *