Bab 61: Hari Pertama Sebagai Mufti

Pagi ini tidak seperti pagi kebiasaannya. Selesai solat Subuh, Zulkifli menyarung jubah putih, kakula[1], dan serban al-Azhar. Teringat kisah beberapa tahun lalu ketika Zulkifli ke Mesir bersama-sama Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan. Beliau menempah 2 pasang kakula, warna hitam dan kelabu di sebuah kedai jahit berdekatan Masjid Hussain. Pada ketika itu, apa yang terlintas di fikirannya cumalah ingin menyarung jubah itu kalau ada majlis rasmi atau ceramah sekali sekala. Takdir Allah SWT menentukan, itulah jubah yang dipakainya secara rasmi apabila dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

Hari ini adalah hari pertama Zulkifli menjalankan amanah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Di luar rumah, En. Azrin selaku pemandu rasmi Mufti sudah menanti di dalam kereta. “Assalamualaikum En. Azrin. Apa khabar?”, sapa Zulkifli dengan mesra. “Waalaikumussalam. Alhamdulillah, baik Dr.”, jawabnya ringkas. Riak wajahnya serius. Muka hari pertama berkenalan.

Zulkifli melihat jam tangannya. “Ok. Sekarang dah jam 6.30 pagi. Mulai esok, kita gerak ke pejabat jam 6.30 pagi ya.”, ujar beliau kepada pemandunya. En Azrin mengangguk tanda faham. Kenderaan rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mula meluncur laju daripada Bandar Baru Nilai menuju ke Menara Pusat Islam di ibu kota Kuala Lumpur.

Tiba di pejabat, Zulkifli disambut oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Abdul Kadir dan beberapa orang staf yang belum dikenalinya.

“Selamat datang Dr. Ana Haji Abdul Kadir, Timbalan Mufti. Sebelah ni Ustaz Omar Mehat, Ketua Penolong Mufti. Haa, yang pakai spek mata ni En. Hilmi Salleh, PTD di pejabat kita sebagai Penolong Mufti Bahagian Khidmat Pengurusan. Jom kita naik Tingkat 10.”. Tuan Haji Abdul Kadir memperkenalkan dua orang staf yang berdiri di sisi beliau kepada Zulkifli.

******************************

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Pada waktu itu, Mufti Wilayah Persekutuan sebagai ketua kepada bahagian yang dikenali sebagai “Bahagian Istinbat”.

Pada 1 Oktober 1998, bahagian tersebut telah diasingkan daripada struktur JAWI berikutan penyusunan semula struktur Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pembangunan Operasi. Pada peringkat awal operasinya, pejabat ini hanya terdiri daripada 6 orang anggota sahaja.

Mulai tahun 2000, semua urusan pentadbiran dan kewangan pejabat diuruskan sepenuhnya oleh pejabat ini dengan mendapat waran peruntukan mengurus daripada Jabatan Perdana Menteri. Pada 3 Mac 2004, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cawangan Labuan telah ditubuhkan. Pejabat Mufti cawangan Labuan beroperasi di Bangunan Ujana Kewangan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di awal pelantikan Zulkifli terdiri daripada Mufti, Timbalan Mufti, Ketua Penolong Mufti (Kuala Lumpur dan Labuan), Bahagian Khidmat Sokongan dan Bahagian Sumber Maklumat. Di bawah Ketua Penolong Mufti, adanya Unit Istinbat, Unit Buhuth, dan Unit Falak.

Sebelum Zulkifli, ada 6 individu yang menyandang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan iaitu:

  1. Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Sheikh Abdul Mohsein bin Hj. Salleh (1 Februari 1974 – 7 Februari 1986)
  2. Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Othman Bin Hj. Ibrahim (2 September 1986 – 30 September 1990)
  3. Sahibus Samahah Tan Sri Abdul Kadir Bin Talip (15 Julai 1991 – 16 Januari 1997)
  4. Sahibus Samahah Datuk Hj. Md Hashim bin Hj. Yahya (1 Mac 1997 – 15 Januari 2003)
  5. Sahibus Samahah Datuk Dr. Mohammad Yusoff Bin Hussain (31 Januari 2003 – 15 Januari 2005)
  6. Sahibus Samahah Datuk Hj Wan Zahidi Bin Wan Teh (21 Mac 2005 – 20 Mac 2014)

Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Sheikh Abdul Mohsein bin Hj. Salleh, Mufti pertama yang fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Zulkifli tidak pernah bertemu dengan anak jati Pulau Pinang itu tetapi pernah melihatnya di kaca televisyen ketika beliau masih bersekolah rendah. Memakai kakula hitam seperti ulama’ al-Azhar dan membaca doa dalam majlis kebesaran Islam peringkat Persekutuan.

Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Othman Bin Hj. Ibrahim adalah Mufti kedua yang aktif mengeluarkan fatwa-fatwa berhubung ajaran sesat. Ini berkemungkinan kerana pada zamannya, isu ajaran sesat adalah antara yang meruncing. Antaranya fatwa Tariqat Mufarridah, buku Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam, Manaqib Sheikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi, Ajaran Bahai dan lain-lain berkaitan akidah.

Sahibus Samahah Tan Sri Abdul Kadir Bin Talip dikenali awam di zamannya. Sikap beliau yang mudah mesra, menyebabkan ramai yang selesa dengan beliau. Pernah, pihak Kerajaan memintanya menarik balik fatwa berkenaan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang dianggap perbuatan syirik dan khurafat. Namun, beliau tetap bertegas dengan pendiriannya. Dengan ketegasannya, upacara itu tidak lagi dilaksanakan sehinggalah hari ini.

Sahibus Samahah Datuk Hj. Md Hashim bin Hj. Yahya adalah antara Mufti yang prolifik dengan penulisan-penulisan ilmiah. Beliau merupakan kolumnis dalam akhbar Berita Minggu dengan ruangan khas Masa’il Fiqhiyyah. Penglibatannya dalam gerakan Islam ABIM dan aktif menyampaikan kuliah di masjid dan surau, mendekatkan masyarakat dengannya. Anak beliau, Dr. Ashraf merupakan rakan Zulkifli ketika menuntut di Universiti Islam Madinah.

Zulkifli mengenali Sahibus Samahah Datuk Dr. Mohammad Yusoff Bin Hussain sebagai seorang Mufti yang begitu petah berpidato dan aktif dalam penulisan ilmiah. Pengalamannya yang lama sebagai pensyarah menjadikannya cukup dengan dengan penyelidikan dan penulisan terutamanya dalam bidang akidah dan falsafah.

Sahibus Samahah Datuk Hj Wan Zahidi Bin Wan Teh adalah Mufti Wilayah Persekutuan yang ke-6, sebelum Zulkifli mengisi kekosongan jawatan tersebut apabila kontrak beliau telah tamat. Terlalu banyak jasanya kepada pembangunan ummah. Zulkifli berpengalaman beberapa kali menyertai mesyuarat dan bengkel bersamanya. Sehingga kini, beliau masih diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

********************

Hari pertama Zulkifli di pejabat, dipenuhi dengan sesi taklimat daripada Ketua Penolong Mufti, Ustaz Omar Mehat, dan Puan Rahmah selaku Setiausaha Pejabatnya. Zulkifli turut mengambil kesempatan berkenalan dengan staf-staf di pejabat beliau. Antaranya Ezan, Ustaz Khairul Anuar, Hafizan, Ustaz Jamel, Ustaz Masri, Kak Chom, Ustaz Marngi, Hafizul, Famiezza, Sulaiman, Ustaz Mustakim dan lain-lain.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutan yang terletak di Aras 10, Menara Kuala Lumpur tidaklah besar. Ia dipisahkan dengan dua sayap; sebelah kiri untuk Timbalan Mufti, Ketua Penolong Mufti dan beberapa unit, dan sebelah kanan untuk Mufti, dan beberapa unit. Ia menjadikan hubungan antara staf begitu erat. Aras 1 hinggalah Aras 11 kecuali Aras 10 adalah milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Selesai taklimat, Zulkifli masuk ke dalam biliknya dan membuat beberapa catatan. Banyak perkara yang bermain-main di fikirannya. Menyampaikan syarahan kepada mahasiswa di dalam dewan kuliah berkenaan fatwa, jauh bezanya dengan berada di sebuah kerusi institusi fatwa yang menjadi tumpuan ramai pihak. Di antara teori dan praktikal. Zulkifli mencapai sehelai kertas A4 dan menulis, “Metodologi Jawapan Fatwa dan Pandangan Hukum Mufti Wilayah Persekutuan”.

“Insya-Allah, sampai masanya aku akan bukukan. Masyarakat perlu didedahkan macam mana seseorang Mufti berfatwa dan beri pandangan hukum dalam satu-satu isu. Supaya tak ada lagi yang pertikai kredibiliti institusi kefatwaan.”. Zulkifli berbisik sendirian.

Begitulah beratnya amanah seorang Mufti. Setiap tindak tanduknya dalam pengeluaran fatwa perlu berhati-hati dan teliti. Sepatah perkataan yang terbit, membawa pelbagai implikasi samada baik mahupun sebaliknya. Terlalu gopoh fatwanya, boleh berantakan ummah. Keterlaluan cermat pada hal yang memerlukan penyelesaian segera, juga boleh membinasakan. Segalanya memerlukan pertimbangan yang bijak dan tidak semata-mata bergantung dengan apa yang ada di helaian-helaian kitab.

Ibn ‘Abidin al-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan:

ليس للمفتي الجمود على المنقول في كتب ظاهر الرواية من غير مراعاة الزمان وأهله، وألاّ يُضيَّع حقوقًا كثيرة، ويكون ضرره أعظم من نفعه

Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.”[2]

Ditambah lagi dengan cabaran semasa aplikasi Whatsapp dan media sosial yang menyebabkan 1001 maklumat tersebar sekelip mata. Benar atau salah, itu soal kedua. Apa yang penting ia tersebar dan mendapat perhatian ramai. Inilah antara bahana dunia komunikasi moden.

Institusi fatwa perlu terus berada di barisan hadapan mengemudi ummah. Inilah tanggungjawab yang paling utama. Solusi bagi segala permasalahan ummah perlu sentiasa ada kerana jika tidak, masyarakat mungkin akan berpaling kepada kelompok yang begitu mudah mengeluarkan fatwa tanpa memahami hakikat sesuatu isu. Sabda Nabi SAW:

أَجْرَؤُكُمْ عَلَى الْفُتْيَا أَجْرَؤُكُمْ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: Seberani kamu dalam memberi fatwa dengan pantas adalah seberani kamu untuk dihumban ke dalam neraka.[3]

Pintu biliknya diketuk.

“Dr. Dah jam 5 petang. Saya balik dulu ya…”, kata Puan Rahmah di balik pintu. Kepalanya dijengukkan ke dalam pejabat Zulkifli. Zulkifli tersenyum dan mengangguk.

Pen disimpan di dalam poket. “Insya-Allah, banyak perubahan akan dilaksana dalam sebulan pertama ni. Moga Allah SWT redha dan bantu!”, bisik hati kecilnya.

____________________

[1] Jubah hitam yang dipakai di bahagian luar. Kebiasaannya dipakai oleh ulama’ al-Azhar.

[2] Rasa’il Ibn ‘Abidin, 2/131

[3] Riwayat al-Darimi (159)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *