#524 Memakan Belalang

[ux_html]


[/ux_html]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan belalang? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’[2]

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]

Definisi belalang dan habitatnya

Ringkasnya, belalang ialah serangga yang boleh melompat kira-kira sejauh 20 kali panjang badannya. Belalang sama ada bertanduk pendek, dengan sesungut pendek atau bertanduk panjang, dengan sesungut panjang. Badan belalang mempunyai tiga bahagian utama iaitu; (1) kepala, (2) toraks dan (3) abdomen. Kulit keras yang dikenali sebagai eksoskeleton menutupi badannya. Ia mempunyai lima mata. Mata majmuk yang besar, terdiri daripada beribu-ribu kanta tunggal, terletak di kedua-dua belah kepala. Dengan mata ini, ia boleh melihat ke depan, ke sisi dan ke belakang. Ia mempunyai enam kaki dan kebanyakannya mempunyai dua pasang sayap. Sesetengah spesies mempunyai sayap yang pendek dan tidak berguna, dan yang lain tidak bersayap langsung. Belalang hidup di kebanyakan bahagian di dunia kecuali dekat Kutub Utara dan Selatan. Banyak belalang hidup di padang dan padang rumput yang terdapat banyak daun untuk dimakan. Antara spesies belalang yang ada ialah belalang kunyit, belalang lubber, Katydid, belalang juta dan lain-lain.[4]

Hukum memakan belalang

Pada asasnya, belalang adalah halal dimakan kerana terdapat nas yang menyebutkan mengenai kehalalannya. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[5]

Begitu juga riwayat daripada Abu Ya‘fur R.A, beliau bertanya kepada Abdullah bin Aufa berkenaan belalang. Beliau menjawab:

غَزوتُ معَ رسولِ اللَّهِ ﷺ ستَّ، أو سبعَ غزواتٍ، فَكُنّا نأكلُهُ معَهُ

Maksudnya:Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam atau tujuh kali. Kami memakan belalang bersama Baginda.”[6]

Di samping itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, yang menceritakan satu perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat ketika mengerjakan haji dan umrah, dan mereka terserampak dengan sekelompok belalang, lalu mereka membunuhnya. Kemudian Baginda SAW bersabda:

كُلُوهُ فَإِنَّهُ مِنْ صَيْدِ الْبَحْرِ

Maksudnya:Makanlah ia, kerana ia sama jenisnya dengan binatang buruan di laut (dari segi kehalalan bangkainya).[7]

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa belalang bangkainya adalah halal dimakan, tidak kira sama ada matinya itu bersebab atau ia mati dengan sendirinya. Demikianlah juga tidak disyaratkan untuk memotong kepalanya. Ini adalah pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan majoriti daripada kalangan mereka.[8] Malah, Ibn Battal menukilkan bahawa ulama-ulama dari Kufah berpendapat belalang halal untuk dimakan walau bagaimana cara pun ia mati, dan ia merupakan pendapat Imam al-Syafi‘i.[9]

Kesimpulannya

Oleh itu, kami berpendapat bahawa belalang adalah halal dimakan berdasarkan nas yang sabit mengenai kehalalannya. Begitu juga belalang tidak berhajat kepada sembelihan bagi menghalalkannya kerana bangkainya dikira suci sebagaimana bangkai hidupan air.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Surah al-An‘am: 145

[2] Surah Ma’idah: 4

[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/392-396.

[5] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[6] Riwayat Muslim (1952); Abu Daud (3812); al-Nasa’i (4357)

[7] Riwayat Ibn Majah (3222)

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/74.

[9] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 5/402.

Latest articles

Related articles