#525 Tidak Makruh Menyebut Nama Surah secara Terus (Direct)

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah betul tidak boleh menyebut nama surah secara terus seperti seseorang itu menyebutkan, “Surah al-Baqarah, Surah al-Nisa’, Surah Ali ‘Imran dan lain-lain.” Atau mesti menyebutnya secara tidak terus supaya tidak dihukumkan sebagai makruh seperti menyebut, “Surah yang disebutkan di dalamnya al-Baqarah (lembu betina), surah yang disebutkan di dalamnya al-Nisa’, surah yang disebutkan di dalamnya al-Ma’idah dan lain-lain.” Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.’[1]

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa golongan kafir tidak akan mampu untuk mendatangkan sebuah kitab yang sama sepertimana yang diturunkan kepada rasul-Nya, iaitu yang sama dari sudut balaghah, kebaikan maknanya, kebijaksanaanya, hukum-hakam yang terkandung di dalamnya dan lain-lain.[2]

Oleh kerana ia berkait dengan perkataan ‘surah’, maka adalah lebih baik jika kita melihat terlebih dahulu sedikit sebanyak pendapat para ulama mengenai definisi surah. Menurut Ibn Kathir, para ulama telah berbeza pendapat mengenai makna surah iaitu daripada kalimah apa ia diambil. Ada yang berpendapat ia diambil daripada kalimah “الإبانة” yakni jelas dan “الارتفاع” yakni tinggi. Maka, seolah-olah pembaca al-Quran akan berpindah dengannya — yakni surah-surah tersebut — dari satu kedudukan ke kedudukan yang lain. Ada pula yang berpendapat kerana kemuliaan dan ketinggiannya seperti “سور البلد” iaitu tembok tinggi di sekeliling negeri. Ada juga yang berpendapat ia dinamakan demikian kerana ia adalah potongan daripada al-Quran dan juzuk daripadanya.

Selain itu, ada juga yang berpendapat kerana kesempurnaannya — yakni lengkap dan menyeluruh. Hal ini kerana masyarakat Arab menamakan unta yang sempurna sebagai surah. Manakala Ibn Kathir sendiri pula berpendapat, ada kemungkinan ia adalah himpunan yang meliputi ayat-ayatnya sebagaimana dinamakan “سور البلد” kerana ia meliputi rumah-rumahnya dan kawasan-kawasannya di dalam negeri tersebut.[3]

Larangan menyebut nama surah secara terus (direct)

Mengenai persoalan yang diajukan memang benar terdapat riwayat daripada al-A‘masy — sebagaimana dilaporkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya — beliau berkata:

سَمِعْتُ الحَجَّاجَ، يَقُولُ عَلَى المِنْبَرِ: السُّورَةُ الَّتِي تُذْكَرُ فِيهَا البَقَرَةُ، وَالسُّورَةُ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا آلُ عِمْرَانَ، وَالسُّورَةُ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا النِّسَاءُ. قَالَ: فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِإِبْرَاهِيمَ فَقَالَ: حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ يَزِيدَ أَنَّهُ كَانَ مَعَ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حِينَ رَمَى جَمْرَةَ العَقَبَةِ، فَاسْتَبْطَنَ الوَادِيَ حَتَّى إِذَا حَاذَى بِالشَّجَرَةِ اعْتَرَضَهَا، فَرَمَى بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ يُكَبِّرُ مَعَ كُلِّ حَصَاةٍ ثُمَّ قَالَ: مِنْ هَا هُنَا وَالَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ قَامَ الَّذِي أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سُورَةُ البَقَرَةِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Aku mendengar al-Hajjaj berkata di atas mimbar: ‘Surah yang disebutkan di dalamnya al-Baqarah, surah yang disebutkan di dalamnya Ali ‘Imran, surah yang disebutkan di dalamnya al-Nisa’.’” Al-A‘masy berkata: “Lalu aku sebutkan hal yang demikian kepada Ibrahim, lalu dia berkata: ‘Abd al-Rahman bin Yazid menyampaikan kepadaku, bahawasanya dia bersama Ibn Mas‘ud R.A ketika beliau melontar Jamrah Aqabah. Lalu beliau menuruni lembah sehingga ketika posisinya sudah selari dengan sebuah pokok, beliau pun membelakanginya lalu melontarkan tujuh biji batu kerikil. Beliau bertakbir setiap kali (melontar) sebiji batu kerikil. Kemudian beliau berkata: ‘Dari sinilah, demi Dia yang tidak ada Tuhan melainkan-Nya, berdirinya orang yang diturunkan kepadanya surah al-Baqarah, (Baginda) SAW.’[4]

Selain itu, terdapat riwayat lain daripada al-A‘masy yang datang dengan lafaz tambahan, yang lebih jelas menyebutkan mengenai larangan dalam perkara ini, iaitu:

سَمِعْتُ الْحَجَّاجَ، يَقُولُ: لَا تَقُولُوا سُورَةُ الْبَقَرَةِ، قُولُوا: السُّورَةُ الَّتِي تُذْكَرُ فِيهَا الْبَقَرَةُ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِإِبْرَاهِيمَ

Maksudnya:Aku mendengar al-Hajjaj bin Yusuf berkata: ‘Janganlah kamu menyebutkan Surah al-Baqarah, tetapi sebutlah surah yang disebutkan di dalamnya al-Baqarah.’ Lalu aku menyebutkan perkara tersebut kepada Ibrahim…[5]

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, jelaslah bahawa terdapat sebahagian daripada ulama terdahulu dalam kalangan salaf yang berpendapat sedemikian. Perkara ini turut dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa terdapat sebahagian ulamna terdahulu yang berpendapat makruh hukumnya menyebut nama surah secara terus (direct) seperti menyebut, “Surah al-Baqarah, Surah Ali Imran,” dan seterusnya. Akan tetapi hendaklah menyebut, “Surah yang disebut di dalamnya al-Baqarah, surah yang disebut di dalamnya Ali ‘Imran, surah yang disbut di dalamnya al-Nisa’,” dan begitulah seterusnya.

Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi kemudiannya menyimpulkan bahawa pendapat yang sahih adalah diharuskan untuk menyebut nama surah secara terus (direct) dan tidak dihukumkan sebagai makruh. Justeru, seseorang itu boleh untuk menyebut nama-nama surah secara terus seperti surah al-Baqarah, surah Ali ‘Imran, surah al-Nisa’, surah al-Ma’idah dan begitulah seterusnya bagi baki surah-surah yang lain. Ini merupakan pendapat majoriti ulama dalam kalangan salaf (ulama terdahulu) mahupun khalaf (ulama terkemudian).[6]

Jumhur ulama berpendapat sedemikian — yakni tidak makruh — berdasarkan kepada beberapa dalil. Di antaranya ialah riwayat daripada Abu Mas‘ud al-Badri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الآيَتانِ مِن آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ، مَن قَرَأَهُما في لَيْلَةٍ كَفَتاهُ

Maksudnya:Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah pada sesuatu malam, maka kedua-dua ayat itu akan mencukupkan baginya (untuk kelebihan qiamullail pada malam itu).”[7]

Begitulah juga, terdapat perkataan sahabat sendiri iaitu kata-kata Ibn Mas‘ud R.A sebagaimana dinyatakan dalam riwayat al-A‘masy yang sama seolah-olah sebagai isyarat bahawa tidak mengapa menyebutnya secara terus. Ibn Mas‘ud R.A berkata:

مِنْ هَا هُنَا وَالَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ قَامَ الَّذِي أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سُورَةُ البَقَرَةِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Dari sinilah, demi Dia yang tidak ada Tuhan melainkan-Nya, berdirinya orang yang diturunkan kepadanya surah al-Baqarah, (Baginda) SAW.”[8]

Tambahan lagi, Imam al-Bukhari juga telah meletakan satu bab dalam sahihnya iaitu “Bab sesiapa yang berpendapat tidak mengapa untuk menyebutkan surah al-Baqarah dan surah sekian dan sekian.”[9] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas perkara ini dengan menyatakan bahawa bab ini merupakan isyarat bagi menolak mereka yang berpendapat makruh hukumnya untuk menyebut nama surah sekian dan mereka yang berpendapat tidak boleh menyebut nama surah secara terus melainkan dengan menyebut, “Surah yang disebut di dalamnya sekian.” Malah, al-Qadhi ‘Iyad menyebutkan bahawa hadith Abu Mas‘ud R.A menjadi hujah yang menunjukkan keharusan untuk menyebut nama Surah  al-Baqarah dan seumpamanya — yakni secara terus.[10]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat tidak mengapa dan tidak dihukumkan sebagai makruh untuk menyebut nama surah secara terus seperti surah al-Baqarah, surah Ali ‘Imran, surah al-Ma’idah dan begitulah seterusnya bagi baki-baki surah yang lain pendapat majoriti ulama dalam kalangan salaf mahupun khalaf. Lebih-lebih lagi terdapat banyak hadith dan pendapat salaf terutamanya dalam kalangan sahabat yang menunjukkan akan keharusan perkara tersebut — yakni menyebut nama surah secara terus.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Surah al-Isra’: 88

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4024.

[3] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/141-142.

[4] Riwayat al-Bukhari (1750)

[5] Riwayat al-Nasai’i dalam al-Sunan al-Kubra (4065); Abu ‘Awanah dalam mustakhrajnya (3564); Muslim (1296)

[6] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 119; al-Azkar, hlm. 208.

[7] Riwayat al-Bukhari (4008); Muslim (807)

[8] Riwayat al-Bukhari (1750)

[9] Lihat Sahih al-Bukhari, 6/194.

[10] Lihat Fath al-Bari, 9/87.

[ux_product_categories auto_slide=”2000″]

Latest articles

Related articles