#552 Kesucian Air Mani Manusia

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Air mani manusia dikira sebagai najis atau suci? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (6) يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ

Maksudnya:Dia diciptakan daripada air yang memancut ke dalam rahim. (6) Air yang keluar daripada bahagian tulang sulbi belakang lelaki dan tulang dada perempuan.[1]

Bukti kekuasaan Allah SWT amat jelas, di mana manusia dicipta daripada air yang terpancut dan terpancar ke dalam rahim, iaitu yang terdiri daripada air mani lelaki dan perempuan, kemudian berlaku persenyawaan antara keduanya. Kedua air tersebut ialah air yang keluar daripada tulang belakang lelaki melalui saluran saraf tertentu yang berhubungan dengan otak dan air yang keluar daripada antara tulang dada wanita (al-Tara’ib). Oleh itu, seorang bayi terbentuk daripada percampuran dua jenis air ini, yang seterusnya bertempat di dalam rahim dan akhirnya membentuk janin dengan kehendak Allah SWT.[2]

Apabila Dia berkuasa mencipta manusia daripada benda-benda yang tidak hidup, maka pasti Dia akan lebih berkuasa untuk menghidupkan mereka semula selepas mati. Hal ini adalah sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Rum:

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ

Maksudnya:Dan Dialah Allah yang menghidupkan makhluk daripada tiada. Kemudian Dia juga yang menghidupkannya semula selepas kematiannya dan ini lebih mudah bagi-Nya.[3]

Oleh itu, hendaklah manusia mengerjakan amalan yang akan menggembirakan mereka ketika dibangkitkan semula nanti.[4]

Air mani manusia

Secara umumnya para ulama telah berselisih mengenai kesuciannya; adakah dihukumkan sebagai suci atau najis. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci — merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad — yakni dalam mazhab Hanbali.

Manakala al-Thauri, al-Auza‘i, Malik, Abu Hanifah dan murid-murid kanannya pula berpendapat air mani anak Adam adalah najis. Akan tetapi Abu Hanifah menyatakan bahawa air mani yang sudah kering boleh dibersihkan dengan cara menggosoknya, sedangkan al-Auza‘i dan Malik mewajibkan untuk membasuhnya — yakni mencucinya dengan air — tidak kira air mani itu sudah kering atau masih lembap.[5] Mereka — yakni para ulama yang berpendapat bahawa air mani manusia itu adalah najis — berhujah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كانَ يَغْسِلُ المَنِيَّ

Maksudnya:Rasulullah SAW membasuh air mani (yang terkena pada pakaian).[6]

Begitu juga dengan sebuah hadith daripada riwayat Sulaiman bin Yasar bahawa beliau pernah bertanya kepada Aisyah R.Anha berkenaan air mani yang terkena pada pakaian. Lalu Aisyah R.Anha menjawab:

كُنْتُ أَغْسِلُهُ مِنْ ثَوْبِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَيَخْرُجُ إِلَى الصَّلاَةِ، وَأَثَرُ الغَسْلِ فِي ثَوْبِهِ بُقَعُ الـمَاءِ

Maksudnya: “Aku pernah membasuhnya — yakni kesan air mani — daripada pakaian Rasulullah SAW, lalu Baginda keluar menunaikan solat, sedangkan kesan basuhan tersebut masih ada pada pakaiannya tompokan-tompokan air.[7]

Selain itu, terdapat juga sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha yang menceritakan bahawa seorang lelaki singgah — yakni datang bertamu — di rumah beliau. Lalu pada waktu pagi, lelaki itu telah membasuh pakaiannya. Maka Aisyah R.Anha berkata:

إِنَّمَا كان يُجْزِئُكَ إِنْ رَأَيْتَهُ أَنْ تَغْسِلَ مَكَانَهُ فَإِنْ لَمْ ترَهُ نَضَحْتَ حَوْلَهُ وَلَقَدْ رَأَيتُنِي أفْرُكُهُ من ثوبِ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وآلِهِ وسلَّمَ فرْكًا فَيُصَلِّي فيهِ

Maksudnya:Sesungguhnya cukup bagi engkau, jika engkau melihatnya — yakni air mani itu — supaya membasuh tempat yang terkenanya. Jika engkau tidak nampak, cukuplah engkau sekadar merenjiskan air di sekelilingnya. Sesungguhnya aku mendapati diriku benar-benar menggosoknya — yakni air mani itu — daripada pakaian Rasulullah SAW.  Lalu Baginda mendirikan solat dengan pakaian tersebut.[8]

Kemudian, Imam al-Nawawi menyatakan pula bahawa ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah mengenai kesucian air mani berdasarkan hadith yang menceritakan mengenai cara membersihkannya dengan cara menggosoknya. Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya — yang perlu dibasuh dengan air.

Adapun perkataan Aisyah R.Anha “إِنَّمَا كان يُجْزِئُكَ” yakni sekalipun secara zahirnya menunjukkan kepada wajib. Namun, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang digalakkan (sunat) kerana beliau sendiri (yakni Aisyah R.Anha) berhujah dengan perkataan al-Fark (yakni membersihkan air mani itu dengan cara menggosoknya). Kalaulah membasuh air mani itu adalah wajib, maka sudah tentu perkataannya itu merupakan hujah ke atasnya dan bukannya hujah bagi pihaknya. Sebenarnya Aisyah R.Anha ingin mengingkari perbuatan lelaki itu yang membasuh keseluruhan pakaiannya. Justeru, beliau menyebutkan bahawa membasuh keseluruhan pakaian — yang terkena air mani itu — adalah bidaah yang tercela, sebaliknya cukup bagi engkau untuk mendapatkan yang afdhal dan sempurna begini dan begini.[9] Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga selepas menukilkan kedua-dua pendapat berserta dalil-dalilnya turut membuat kesimpulan bahawa menurutnya pendapat yang paling kuat — yakni rajih — ialah pendapat yang menyatakan kesuciannya, sehingga tidak memestikan daripadanya yakni pendapat yang menyatakan kenajisannya merupakan asal usul manusia dan memudahkan ke atas umat manusia.[10]

Sekalipun air mani dianggap suci, namun kita digalakkan (sunat) untuk membersihkan badan atau pakaian yang terkena air mani itu berdasarkan hadith-hadith yang sahih yang terdapat dalam sahih al-Bukhari dan Muslim berkenaan perbuatan Aisyah R.Anha yang telah membasuh air mani pada pakaian Rasulullah SAW. Hal ini adalah bertujuan untuk keluar daripada khilaf ulama yang menyatakan mengenai kenajisannya — yakni air mani itu.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa air mani manusia, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir adalah suci sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Meskipun begitu, kita tetap disunatkan untuk menghilangkan kesan-kesannya yang terkena pada badan mahupun pakaian berdasarkan hadith-hadith sahih yang menceritakan berkenaan perbuatan Aisyah R.Anha yang membersihkan air mani yang terkena pada pakaian Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Surah al-Tariq: 6-7

[2] Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/476.

[3] Surah al-Rum: 27

[4] Lihat Tafsir al-Maraghi, 30/112; 30/115.

[5] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554.

[6] Riwayat Muslim (289)

[7] Riwayat al-Bukhari (230)

[8] Riwayat Muslim (288)

[9] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/554.

[10] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/316.

[11] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554.

 

Latest articles

Related articles