#551: Berwudhuk Ketika Azan Dikumandangkan

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum mengambil wudhuk ketika azan dikumandangkan? Adakah terdapat larangan dalam perkara ini? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Azan dan Wudhu’

Azan merupakan zikir yang khusus, yang disyariatkan sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam.[1]

Manakala wudhu’ dari segi bahasa ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syara‘ pula, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.[2]

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili, wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran. Dari segi syarak, wudhu’ merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan.[3]

 

Hukum Menjawab Seruan Azan

Pada asasnya, hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya“Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaatku akan diberikan kepadanya.” [4]

Antara sunnah bagi orang yang mendengar azan adalah:

  • Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya samada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haidh, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz (حي على الصلاة) dan (حي على الفلاح).
  • Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.
  • Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah.[5]

Perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.”[6]

Berdasarkan hadis di atas, sebahagian para fuqaha mengatakan bahawa hukum menjawab azan adalah wajib. Ini kerana, di sana terdapat kata perintah dari Rasulullah SAW iaitu: “Maka ucapkanlah”. Ayat perintah ini kata mereka menunjukkan kepada wajib.

Manakala majoriti fuqaha berpendapat, hukum menjawab azan adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ عَلَى الْفِطْرَةِ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خَرَجْتَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menyerang musuh apabila terbitnya fajar dan baginda meneliti untuk mendengar seruan azan. Sekiranya baginda mendengar azan baginda berhenti sebentar dan jika tidak baginda teruskan menyerang. Maka baginda mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Allahu Akbar Allahu Akbar”. Maka Rasulullah SAW mengatakan: “(Dia) berada di atas fitrah”. Kemudian lelaki itu mengatakan: “Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah”. Maka baginda mengatakan: “Kau telah keluar daripada neraka.”[7]

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW apabila mendengar azan baginda tidak mengikut atau mengulangi ucapan azan sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini menunjukkan bahawasanya hukum menjawab atau mengulangi azan adalah sunat sahaja di sisi majoriti fuqaha.

 

Hukum Berwudhuk Ketika Azan Dikumandangkan

Dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikannya terlebih dahulu kepada beberapa bahagian:

Pertama: Hukum Mengambil Wudhuk Sebelum dan Selepas Azan

Para Ulama apabila menyebutkan berkenaan beberapa keadaan yang mana perbuatan sunat itu lebih afdhal berbanding perbuatan wajib mereka menyebutkan berkenaan hukum wudhuk sebelum dan selepas azan. Mereka mengatakan bahawa hukum mengambil wudhuk sebelum azan adalah Sunat. Manakala hukum mengambil wudhuk selepas azan adalah Wajib.

Kata al-Imam Ibn al-Subki: “Berwudhuk sebelum masuk waktu itu adalah sunat dan ia lebih afdhal berbanding (berwudhuk) setelah masuknya waktu. Inilah pendapat yang dijelaskan oleh al-Qammuli dalam al-Jawahir dan sesungguhnya berwudhuk itu wajib setelah masuknya waktu solat.[8]

Kedua: Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan

Wudhu’ semasa azan dikumandangkan adalah harus hukumnya dan tidak terdapat larangan dari sudut syarak. Akan tetapi, dikehendaki bagi orang yang berwudhuk untuk berusaha menjawab azan selepas diucapkan oleh muazzin berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.”[9]

 

Penutup

Kami berpendapat bahawa hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang berkumandang adalah dibolehkan. Walaupun begitu, adalah lebih baik untuk kita bersiap sedia mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum azan dikumandangkan kerana itu lebih afdhal.

Mengambil wudhuk sebelum azan juga memberikan ruang kepada kita menjawab laungan azan sebaik sahaja ia dikumandangkan. Maka dengan ini, kita akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang lebih banyak di sisi Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337

[2] Lihat al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ahhlm. 123

[3] Lihat al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 1/69

[4] Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’ie (678)

[5] Lihat al-Wasith, 1/82-83

[6] Riwayat Muslim (383)

[7] Riwayat Muslim (382)

[8] Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh al-Suyuthi, 1/272

[9] Riwayat Muslim (383)

Latest articles

Related articles