#61 Azan Semasa dalam Liang Lahad

-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum. Apa hukum melaungkan azan semasa ingin memasukkan mayat ke dalam liang lahad?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Para ulama bersepakat bahawa mengumandangkan azan merupakan syiar Islam yang disyariatkan Allah SWT ketika masuknya waktu solat lima waktu. Mereka berdalilkan dengan hadis Nabi SAW:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya“Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”[1]

 

Liang Lahad dan Ukurannya

Para ulama’ ada membahaskan tentang saiz liang lahad bagi mengebumikan jenazah. Pada asasnya, saiz liang lahad itu hendaklah pada kedalaman yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Manakala, saiz kedalaman yang sempurna ialah sedalam manusia sederhana yang mengangkat kedua-dua tangannya.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Nawawi al-Bantani, katanya: “Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta dapat melindungi daripada haiwan buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, kemudian diletakkan tanah pada pipi jenazah dan menghadapkannya ke arah kiblat.[2]

Dalam Hasyiah al-Bujairimi menerangkan ‘قامة وبسطة dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga pendapat yang menyatakan 3 hasta setengah dan ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah.[3]

Hukum Melaungkan Azan Semasa Memasukkan Mayat Ke Liang Lahad

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan di sini pendapat-pendapat ulama’ berhubung isu ini:

Pertama: Tidak Sunat

Mazhab Hanafi

Ibn ‘Abidin yang merupakan salah seorang ulama mazhab Hanafi berkata: “Tidak dianjurkan mengumandangkan azan ketika memasukkan mayat ke dalam kuburnya sebagaimana yang biasa dilakukan sekarang. Bahkan Ibn Hajar menegaskan dalam himpunan fatwanya bahawa hal tersebut adalah bid’ah.[4]

Mazhab Maliki

Ibn ‘Abd al-Bar yang merupakan salah seorang ulama mazhab Maliki menyatakan: “Tidak ada azan selain untuk solat fardhu lima waktu. Tidak juga dibolehkan mengumandangkan azan untuk solat sunat, begitu juga solat fardhu lima waktu yang luput atau berlalu dan diqadha’, bukan pada waktu yang telah ditentukan.[5]

Al-Hattab al-Ru’aini menyebut: “Dalam fatwa-fatwa al-Asbahi, terdapat pertanyaan tentang adakah terdapat khabar (hadis) dalam masalah azan dan iqamat ketika memasukkan mayat ke dalam kubur? Jawab: Saya tidak mengetahui adanya hadis atau athar dalam perkara ini kecuali apa yang diceritakan daripada sebahagian ulama muta’akhir (belakangan). Barangkali dikiaskan dengan anjuran azan dan iqamah di telinga bayi yang baru lahir, kerana kelahiran adalah awal keluar ke dunia, sementara ini (kematian) adalah awal keluar dari dunia, namun ada yang lemah dalam hal ini. Kerana kes seperti ini (azan ketika mengebumikan jenazah), tidak boleh dijadikan pegangan kecuali jika ada dalil yang sahih.[6]

Mazhab Syafi’i

Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang merupakan salah seorang ulama mazhab Syafi’i juga telah memberi penjelasan berhubung isu ini. Ketika beliau ditanya, “Apa hukum azan dan iqamat ketika menutup liang lahad?” Jawab Ibn Hajar al-Haitami: “Perkara tersebut adalah bid’ah. Sesiapa yang meyakini hal itu disunatkan ketika menurunkan jenazah ke dalam kubur, kerana diqiyaskan dengan anjuran azan dan iqamah untuk bayi yang baru dilahirkan, menyamakan hujung akhir kehidupan manusia sebagaimana ketika awal dia dilahirkan adalah keyakinan yang salah. Adakah boleh disamakan dua keadaan ini? Semata-mata alasan, yang satu pada permulaan hidup, dan yang satu di hujungnya, hal ini tidaklah menunjukkan adanya kesamaan.”[7]

Beliau turut menjelaskan dalam kitab yang lain: “Ya! Terkadang azan disunatkan untuk dikumandangkan pada selain solat, seperti azan di telinga bayi yang baru lahir, orang yang kesusahan, orang yang pengsan, orang yang marah, orang yang buruk perangainya sama ada manusia atau haiwan, ketika pasukan berperang, ketika berlaku kebakaran. Dikatakan juga ketika menurunkan jenazah ke dalam kubur dengan mengqiyaskannya terhadap waktu pertama kemunculannya ke dunia. Namun saya menolak pendapat ini sebagaimana yang termaktub dalam kitab Syarah al-‘Ubab. Disunahkan juga mengumandangkan azan ketika seseorang kerasukan jin berdasarkan hadis sahih, begitu juga azan dan iqamah ketika ingin bermusafir.”[8]

Syeikh Abu Bakr bin Muhammad Syatha al-Dimyati berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya tidak disunatkan azan ketika (jenazah) dimasukkan ke dalam kubur. Hal ini berbeza dengan pendapat yang mensunatkannya kerana mengqiyaskan keluarnya seseorang dari dunia (meninggal) dengan masuknya seseorang ke dunia (dilahirkan).[9]

Syeikh Sulaiman al-Jamal  menyebut: “Tidak disunatkan azan ketika menutup liang lahad, sesuai dengan pendapat al-Asbahi dan berbeza dengan sebahagian ulama. Dinukilkan daripada daripada Syeikh al-Barmawi.[10]

Mazhab Hanbali

Ibnu Qudamah salah seorang ulama mazhab Hanbali berkata: “Umat Islam bersepakat bahawa azan dan iqamat disyariatkan untuk solat lima waktu dan keduanya tidak disyariatkan untuk selain solat lima waktu, kerana maksudnya adalah untuk pemberitahuan (masuknya) waktu solat fardhu kepada orang ramai. Dan ini tidak terdapat pada selainnya.[11]

 

Kedua: Sunat

Sebagaimana yang dinukilkan daripada Hasyiah al-Jamal yang menyatakan bahawa ada juga ulama yang berpendapat tentang sunatnya azan ketika memasukkan jenazah ke dalam kubur, namun tidak dapat dipastikan nama ulama yang berpendapat seperti itu, kecuali al-Hafiz Syamsuddin al-Hamawi yang berpendapat hukumnya sunat walaupun pendapat ini lemah dan ditolak oleh majoriti para imam daripada mazhab Syafi’iyah.

Syeikh al-Muhibbi menyebut: “Muhammad bin Muhammad bin Yusuf bin Ahmad bin Muhammad yang digelar Syamsuddin al-Hamawi, asalnya al-Dimasyqi, kelahiran al-Midani, al-Syafi’i, seorang yang alim di Syam, ahli hadis di sana, tokoh ulama, al-hafiz yang kuat hafalannya. Beliau wafat di Qoulanj ketika waktu Dhuha, hari Isnin 13 Zulhijjah 1033 H. Disolatkan jenazahnya sebelum Asar dan dimakamkan di pemakaman ‘Bab al-Saghir’ berhampiran makam ayahnya. Ketika jenazahnya diturunkan ke dalam kubur, para muazin melakukan bid’ah yang mereka lakukan selama beberapa tahun di Damsyiq, sesuai dengan yang disampaikan oleh beliau (Syeikh Muhammad bin Muhammad bin Yusuf) kepada mereka bahawa azan ketika pemakaman adalah sunat. Ini adalah pendapat lemah yang dipilih oleh sebahagian ulama generasi akhir.

Pendapat ini ditolak oleh Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-‘Ubab dan selainnya, maka mereka melakukan azan di kuburnya.[12]

 

Kesimpulan

Kami tegaskan selepas meneliti pendapat yang pelbagai, makanya hukum melakukan azan ketika mayat dikuburkan ke dalam liang lahad adalah tidak disunatkan, bahkan menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Kubra, hukumnya adalah bid’ah. Pendapat iniseiring dengan fatwa kerajaan negeri Kedah. (Lihat Himpunan Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, 2/14)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (6705) dan Muslim (1567)

[2] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 106-107

[3] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/635

[4] Lihat Radd al-Mukhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar, 2/235

[5] Lihat al-Kafi fi Fiqh Ahl al-Madinah, hlm. 37

[6] Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Syaikh Khalil, 2/85

[7] Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/371

[8] Lihat Tuhfatu al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, 1/330

[9] Lihat I’anatu al-Talibin, 1/230

[10] Lihat Hasyiyah al-Jamal, 4/17

[11] Lihat al-Syarh al-Kabir, 1/388

[12] Lihat Khulasah al-Athar, 3/32

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *