#700 Cara Membersihkan Najis Mukhaffafah

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bagaimanakah cara yang betul bagi membersihkan najis mukhaffafah? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas.[2] Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor.[3]

Begitu juga Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Apatah lagi, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabii manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabii ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan. Nabi SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya:Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”[4]

Pembahagian najis

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis Mukhaffafah, najis Mutawassitah, dan najis Mughallazah. Najis Mukhaffafah ialah najis yang ringan. Ia dinamakan sedemikian kerana Allah telah memberi keringanan pada hukumnya. Walau bagaimanapun, najis tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut:

  1. Ia adalah air kencing.
  2. Ia adalah bahan buangan daripada bayi lelaki.
  3. Bayi tersebut belum lagi berumur 2 tahun.
  4. Bayi tersebut belum lagi memakan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu.

Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam kategori najis mutawissatah.[5] Tambahan lagi, menurut Imam al-Nawawi, tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kenajisan najis mukhaffafah. Malah terdapat sebahagian dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menukilkan bahawa para ulama telah  Ijma‘ akan perkara ini dan tiada seorang pun yang menyelisihinya melainkan Daud al-Zahiri. Al-Khattabi dan ulama selainnya menyatakan, bukanlah bermaksud apabila dibenarkan membersihkan air kencing bayi lelaki bawah dua tahun dengan hanya merenjisnya disebabkan oleh ia tidak dianggap sebagai najis, akan tetapi kerana rukhsah atau kelonggaran yang diberikan oleh syarak bagi membersihkannya.[6]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat beberapa hadith yang menceritakan mengenai perkara ini. Di antaranya, riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَبِيٍّ، فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ إِيَّاهُ

Maksudnya:Dibawakan kepada Rasulullah SAW seorang bayi lelaki, lalu bayi itu kencing di atas baju Baginda SAW, maka Rasulullah SAW pun meminta air lalu Baginda menyiram kesan air kencing pada pakaian Baginda dengan air tersebut.[7]

Manakala dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, datang dengan lafaz:

فَدَعَا بِمَاءٍ فَصَبَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya:Baginda SAW meminta air dan menuangkan air ke atasnya (tempat air kencing).[8]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ummu Qais binti Mihsan R.Anha bahawa:

أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ، لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ، إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجْرِهِ، فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ، فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya:Beliau datang membawa seorang bayi lelaki yang masih kecil dan belum lagi boleh makan sebarang makanan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW terus meletakkannya di atas pangkuan Baginda, kemudian bayi itu kencing di atas pakaian Baginda. Maka Nabi SAW meminta air lalu merenjiskannya (ke atas pakaian) dan tidak pula membasuhnya.”[9]

Bagi memahami perkara ini, Syeikh Mustafa Dibb al-Bugha ada memberi komentar berkenaan hadith di atas yang datang dengan lafaz “فَأَتْبَعَهُ إِيَّاهُ” bahawa ia bermaksud menuangkan air pada tempat — yakni kesan — air kencing tersebut dan merenjisnya.[10] Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyebutkan, Rasulullah SAW mengambil air dan menuangkannya ke atas kesan air kencing yang terdapat pada baju.[11] Di samping itu, Imam al-Nawawi mendefinisikan al-Nadh “النَّضْح” sebagai menggenangi dan memperbanyakkan air sekalipun air tersebut tidak mengalir.[12]

Manakala Habib Hasan al-Kaff pula berpendapat, najis mukhaffafah boleh dibersihkan dengan merenjiskan air ke atas kesan air kencing tersebut dengan syarat air itu mestilah lebih banyak daripada air kencing, dan tidak disyaratkan air tersebut mengalir sehinggalah hilang ain najis serta sifat-sifatnya — yakni bau, rasa dan warna.[13] Selain daripada itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga berpendapat najis mukhaffafah boleh dibersihkan dengan memercikkan air ke atasnya sekira-kira rata dan melebihinya — yakni air tersebut mesti lebih banyak daripada air kencing — sekalipun tidak mengalir.[14]

Selain itu, Syeikh Ahmad al-Syatiri juga ada menyebutkan cara membersihkan najis mukhaffafah iaitu cukup dengan hanya memercikkan air ke atasnya dengan syarat air tersebut mestilah lebih banyak daripadanya — yakni kesan air kencing itu. Kemudian, beliau menyatakan bahawa sebahagian ulama mensyaratkan supaya hilang ain najis dan sifat-sifatnya, manakala sebahagian yang lain pula tidak mensyaratkannya.[15] Manakala Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya, ada mengajarkan cara mencuci najis mukhaffafah iaitu dipercikkan air di atasnya sekira-kira rata, setelah dilapkannya sehingga tidak ada basah yang bercerai padanya dan dituangkan air di atasnya walaupun tidak mengalir.[16]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa cara menyucikan najis mukhaffafah adalah dengan dipercikkan air ke atasnya dengan memastikan percikkan tersebut mengenai semua kawasan atau kesan air kencing tersebut. Selain itu, disyaratkan juga bahawa air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing meskipun tidak mengalir.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin mengesyorkan jika tiada sebarang kesulitan, supaya dilap terlebih dahulu air kencing tersebut sehingga kering. Kemudian, barulah memercikan air ke atasnya sehingga hilang ain najis dan sifat-sifatnya kerana ini lebih ahwat (berhati-hati) dan keluar daripada khilaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 17 Mac 2022 bersamaan 14 Syaaban 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 222

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44.

[3] Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35

[4] Riwayat Muslim (223)

[5] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134.

[6] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195.

[7] Riwayat al-Bukhari (222)

[8] Riwayat Muslim (286)

[9] Riwayat al-Bukhari (223); Muslim (287)

[10] Lihat Sahih Bukhari, 1/54.

[11] Lihat Fath al-Bari, 1/326.

[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195.

[13] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134.

[14] Lihat Fath al-Wahhab, 1/25.

[15] Lihat Nail al-Raja’ bi Syarh Safinah al-Naja’, hlm. 99-100.

[16] Lihat Matla‘ al-Badrain, (susunan PMWP), 1/87.

Latest articles

Related articles