Bab 67: Vape dan Rokok

Apabila vape dikenakan cukai, adakah Mufti Wilayah akan tetap memfatwakan ianya haram…Aku nak tengok sejauh mana dia tetap dengan fatwa dia!”

“Pandai-pandai je kau ni. Nikotin dalam vape lebih rendah dari rokok oiii!!”

“Tak dapat duit la tu? Kalau dok makan duit rakyat yang kerja siang malam ni tak haram ke cik abang Mufti???”

“Ini mufti kerajaan! Celaka betul…!!!”

“Woi mufti. Berapa kau dibayar untuk haramkan vape ni?”

Zulkifli membaca satu-persatu komen di Facebooknya selepas beliau menerbitkan Irsyad al-Fatwa ke-63 Hukum Penggunaan Rokok Elektronik/Vapor. Beliau hanya tersenyum kecil. Masih jauh lagi perjalanan untuk mendidik masyarakat awam tentang kesedaran beragama. Inilah antaranya peranan Mufti dan institusi fatwa.

Sedih? Tidak. Kecewa? Tidak. Tertekan? Sama sekali tidak. Tentangan dan kecaman adalah perkara biasa kerana seseorang itu tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak. Tidak ada mana-mana mufti lagi yang mengeluarkan hukum berkenaan vape pada tahun 2015 walaupun isu vape sudah semakin hangat dibincangkan terutamanya dari sudut kesihatan. Justeru, tidak hairanlah Mufti Wilayah Persekutuan menjadi sasaran utama warganet khususnya penghisap dan penjual vape.

Zulkifli tidak diarahkan sesiapa untuk mengharamkannya. Jauh sekali menerima sebarang sogokan untuk mengeluarkan pandangan hukum sedemikian. Itu dilakukan semata-mata amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Mufti.

“Ahh…banyak hujah kau. Rokok dah haram, kenapa ada orang jual merata? Kenapa kerajaan tak hapuskan terus?”, tanya seorang warganet di laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan.

“Soal kerajaan nak ikut atau tidak, itu terserah kepada kerajaan. Ana cuma jalankan amanah dan tanggungjawab untuk nyatakan benda tu haram.”, kata Zulkifli kepada Hashim, pembantunya apabila ditunjukkan komen berkenaan di Facebooknya.

********************

Semasa menyiapkan artikel berkenaan, pegawai penyelidiknya ada mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung penggunaan vape.

“Hmm…Ustaz. Fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok. Ia juga tak selari dengan perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005.”

“Untuk maklumat Ustaz dan Sahibus Samahah Mufti, KKM telah tubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkaji Kesan Rokok Elektronik Dan Shisha Terhadap Kesihatan pada bulan Ogos tahun 2013. Jawatankuasa ini mengambil masa selama setahun empat bulan untuk membuat penetapan kerana ketika itu kurang kajian-kajian saintifik berkaitan rokok elektronik dan vape. Jawatankuasa ini telah meneliti beberapa kertas kajian saintifik dan laporan-laporan terutama daripada WHO FCTC dan International Union Against Tubercolosis and Lung Disease.”

Rakaman perbualan itu diperdengarkan kepada Zulkifli. Beliau mengangguk dan mencatat sesuatu di buku notanya. “Ana tak nampak apa-apa bezanya dengan rokok. Rokok pun kita haramkan sebab kesihatan.Tolong susun segera Irsyad Fatwa tentang vape. Huraikan setiap dalil yang ana bagi. Malam ini ana semak.”, katanya kepada beberapa orang pegawai penyelidik di pejabat.

Menyamakan vape dengan rokok kerana ‘illah. Inilah yang dinamakan qiyas dalam ilmu usul fiqh. Menghubungkan apa-apa yang tidak warid padanya nas atas hukumnya dengan apa-apa yang telah warid ke atasnya nas hukum disebabkan persamaan ‘illah di antara keduanya.[1]

Asas qiyas wujud sejak Saidina Umar al-Khattab ketika mana beliau mengutuskan surat kepada gabenornya di Basrah, dan aplikasinya oleh Abu Musa al-Asyari. Imam Abu Hanifah merupakan tokoh yang pertama menggunakan qiyas sebagai satu istilah sebagaimana yang difahami dalam disiplin ilmu Usul Fiqh pada hari ini.

“Mohon maaf Sahibus Samahah Datuk. Lazimnya, kita akan tunggu Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI bersidang, baru di situ keputusan dibawa untuk dibincangkan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.”, bisik Timbalan Mufti, Ustaz Che Mat apabila mengetahui Zulkifli ingin mengeluarkan artikel lebih awal sebelum mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI yang dijangka berlangsung hujung tahun 2015.

Zulkifli menyelak helaian demi helaian kitab yang tersusun di mejanya. “Para Mufti akan bersidang dalam Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI. Sekarang bulan Ogos jadi kita nak tunggu hingga Oktober, agak lama. Keputusan mungkin keluar Disember. Di Wilayah, kita ada Akta 505 Seksyen 33 berkaitan Kuasa Mufti. Insya-Allah, tak ada masalah jika kita keluarkan lebih awal. Fakta dan data daripada KKM pun kita dah ada. Masyarakat di luar tengah tunggu. Sebelum apa-apa spekulasi timbul, kita kena cepat.”, balasnya kepada Ustaz Che Mat.

********************

Firman Allah Ta’ala:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.[2]

Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infaq fi sabilillah tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Syaukani:

وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ

Maksudnya: “Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.[3]

Firman Allah Ta`ala:

وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا

Maksudnya: Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.[4]

Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri.[5]

Sabda Rasulullah SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan.”[6]

Sabda Nabi SAW:

وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً

Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”[7]

Zulkifli meneliti satu persatu dalil dalam artikel yang disiapkan oleh pegawai penyelidiknya. Hujahnya tidak jauh beza dengan keharaman rokok. Jelas, vape tidak ada manfaatnya kerana bercanggah dengan maqasid syariah. Ia juga mempunyai bahan kimia berbahaya, membazir, dan boleh jadi lebih mudarat daripada rokok. Di sinilah perlunya kaedah sadd al-zara’ie iaitu menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan.

Haramnya berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan perzinaaan. Tidak boleh seorang lelaki meminang pinangan orang lain untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian sesama Muslim. Begitu juga larangan melakukan monopoli (ihtikar) dalam jual beli kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

“Kalau keluar artikel ni, memang akan meletup. Jadi, kita siapkan baik-baik. Ana rasa artikel ni akan jadi rujukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI bulan Oktober nanti. Insya-Allah, kita bantu KKM.”, ujar Zulkifli kepada para pegawai penyelidiknya.

********************

Semasa Zulkifli sedang menyarung seliparnya selepas solat Isya’ di di Masjid al-Khairiah Taman Sri Gombak, datang seorang pemuda sekitar umur 40-an berlari-lari anak dengan sebotol air di tangannya. Kelihatan beliau agak malu. Terkulat-kulat di hadapan Zulkifli. Ustaz Rohisham, pegawai Masjid al-Khairiah sudah bersiap sedia jika ada sebarang tindakan luar jangkaan oleh lelaki yang tidak dikenali itu.

“Datuk Mufti! Minta maaf sangat-sangat ganggu. Saya dapat tahu ada Kuliah Maghrib Mufti di sini…”, katanya tercungap-cungap. Peluh mula memercik di dahinya.

“Ye baru habis tadi. Ada ape-ape saya boleh bantu?”, tanya Zulkifli dengan lembut.

“Macam ni…” Lelaki tadi seakan-akan berat hendak bersuara. Nampak jelas kegelisahannya.

“Hmm…abang saya. Dia memang kaki vape. Sejak Datuk keluarkan hukum vape haritu, tak habis-habis dia maki hamun Datuk. Segala jenis carut keluar. Marah betul dia dengan Datuk. Saya tak tipu. Tapi tak tahulah kebelakangan ni datang penyakit ape. Dia termenung sorang-sorang. Badan sakit-sakit. Jadi kurus. Dah bawa jumpa doktor tapi doktor kata tak ada apa-apa penyakit.”, jelasnya panjang lebar.

Sambungnya lagi, “Jadi, mak saya suruh saya jumpa Mufti. Pertamanya, minta maaf bagi pihak abang. Keduanya, nak minta buatkan air tawar untuk abang saya. Abang saya pun dah janji takkan cakap buruk lagi pada Datuk. Kami dah mati akal macam mana nak berubat dia.” Kedua matanya mula berkaca. Bibirnya diketap menahan hiba.

Wajah Zulkifli berubah. “Astaghfirullahal ‘azim. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un…”, bisiknya sendirian sambil menggelengkan kepala. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa, dan dihembuskan ke air dibawa oleh lelaki berkenaan. Fikirannya melayang, mengingatkan beberapa buah mesej dan emel yang dibacanya daripada bekas penghisap vape. Kebanyakannya memohon maaf dan sudah mula berhenti menghisap vape.

“Saya maafkan abang saudara. Saya tak ambik hati langsung semua kata-kata netizen. Sampaikan salam kepada ibu. Insya-Allah moga cepat sembuh ya…”, kata Zulkifli langsung masuk ke dalam kereta. Beliau melambai kepada lelaki berkenaan dan melafazkan ucapan salam. Lelaki tersebut menyeka air mata yang mengalir di pipi dan membalas lambaian Zulkifli.

Dalam kereta, Zulkifli membuka telefon pintarnya dan membuat carian di Google. Beliau menarik nafas lega dan mengucapkan syukur. Lajnah Fatwa al-Azhar melalui Syeikh Hisham Islam baharu mengeluarkan kenyataan bahawa e-cigaratte atau vape turut diharamkan sebagaimana haramnya rokok.[8]

“Insya-Allah aku yakin banyak lagi ulama-ulama dunia akan bagi pandangan tentang vape ni di masa depan. Ramai yang dah mula sedar…”, ujarnya di dalam hati.

********************

“Datuk. Apa pandangan Datuk tentang keputusan yang diumumkan oleh Tan Sri Abdul Shukor Husin, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI tentang vape?”, soal seorang wartawan kepada Zulkifli dalam satu majlis.

Beberapa wakil media lain mengelilingi beliau dan menunggu maklumbalasnya.

“Saya nak ambil kesempatan untuk uar-uarkan kepada semua media, jika ada sebarang persoalan agama boleh rujuk www.muftiwp.gov.my. Setiap hari kami jawab dan ulas isu-isu masyarakat berkaitan agama. Berkenaan soalan vape, alhamdulillah kami dah pun jawab hampir 5-6 bulan lepas sebelum Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI mesyuarat dan buat keputusan. Asasnya, keputusan Jawatankuasa Muzakarah seiring dengan apa yang saya putuskan. Boleh rujuk penjelasan terperinci saya di dalam web tu. Terima kasih…”, jawab Zulkifli.

Zulkifli masuk ke dalam kereta dan berkata kepada pemandunya, “Azrin, kita makan tengahari di Saba’!”

Azrin menjeling cermin belakang dan mengangguk. “Baik!”, katanya ringkas. Proton Inspira Hitam WVC 2845 meluncur laju menuju ke Cyberjaya.

__________________

[1] Lihat Syarah al-Waraqat Fil Usul. Hlm. 197-198.

[2] Surah al-Baqarah: 195

[3] Fathul Qadir (1/222)

[4] Surah al-Nisa’: 4:29

[5] Ahkam al-Quran (3/127).

[6] Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

[7] Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

[8] https://www.elwatannews.com/news/details/883270

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *