#737 Imam Perempuan Menguatkan Suara

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang imam perempuan menguatkan suaranya di dalam solat maghrib, isyak atau subuh seperti imam lelaki, lebih-lebih lagi, jika dia menjadi imam kepada jemaah perempuan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, disunatkan bagi imam dan orang yang bersolat sendirian menyaringkan bacaan ketika solat Subuh, dua rakaat yang pertama solat Maghrib, Isyak, solat Jumaat, solat dua Hari Raya, solat Gerhana Bulan, solat Terawih dan solat Witir pada bulan Ramadhan, sementara solat yang lainnya sunat memperlahankan bacaan.[1] Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menyaringkan atau menguatkan suaranya ketika solat jahriyyah. Di antaranya, riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الـمَغْرِبَ بِالطُّوْرِ

Maksudnya:Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tur ketika mendirikan solat Maghrib.”[2]

Seterusnya dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma tentang kehadiran jin yang mendengar al-Quran daripada Nabi SAW ada menyatakan:

وَهْوَ يُصَلِّى بِأَصْحَابِهِ صَلاَةَ الْفَجْرِ، فَلَمَّا سَمِعُوا الْقُرْآنَ اسْتَمَعُوا لَهُ

Maksudnya:Baginda mendirikan solat Subuh bersama-sama para sahabatnya. Tatkala para sahabat mendengar al-Quran, jin-jin turut mendengarnya.”[3]

Manakala dalil memperlahankan bacaan pada tempat-tempatnya pula adalah berdasarkan hadith, daripada Khabbab R.A, seseorang bertanya kepadanya:

أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِى الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْنَا: بِمَ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ ذَاكَ؟ قَالَ: بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ

Maksudnya:Adakah Rasulullah SAW membaca sesuatu ketika mendirikan solat Zuhur dan Asar? Beliau menjawab: ‘Ya.’ Kami bertanya lagi: ‘Bagaimanakah kamu tahu perkara tersebut?’ Khabbab menjawab: ‘Melalui pergerakan janggut Baginda.’[4]

Seterusnya, maksud menguatkan bacaan dan memperlahankannya adalah sebagaimana yang ditakrifkan oleh para fuqaha seperti pengarang al-Hawi iaitu bacaan secara kuat (jahar) adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada orang di sebelahnya. Manakala bacaan secara perlahan (israr) pula adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada dirinya sendiri.[5] Tambahan lagi, al-Khirasyi menyebutkan, serendah-rendah tahap bacaan perlahan adalah dengan menggerakkan lidahnya ketika membaca bacaan dalam solat. Jika dia tidak menggerakkan lidahnya maka tidak sah bacaannya itu kerana perkara tersebut tidak dikira sebagai membaca. Manakala tahapnya paling tinggi pula adalah ia didengari oleh dirinya sahaja. Adapun serendah-rendah tahap bacaan kuat adalah ia didengari oleh dirinya dan orang yang berada di sekelilingnya, sedangkan tiada had bagi tahap suaranya yang paling tinggi.[6]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menyatakan dalam kitabnya ketika membahaskan isu menguatkan suara mahupun memperlahankannya bagi perempuan, kebanyakan ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat,  jika seorang perempuan itu mendirikan solat secara bersendirian, atau bersama-samanya sekumpulan perempuan, atau lelaki mahramnya, maka dia menguatkan suaranya, tidak kira solat berjemaah mahupun solat bersendirian. Namun, jika dia mendirikan solat dengan kehadiran lelaki ajnabi, maka hendaklah dia memperlahankan suaranya. Di antara kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang menjelaskan mengenai perkara ini adalah seperti al-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Abu al-Tayyib dan al-Mahamili dan lain-lain, dan ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i. Manakala pengarang al-Hawi pula berpendapat, seorang perempuan hendaklah memperlahankan suaranya tidak kira ketika solat bersendirian mahupun ketika mengimami jemaah solat.

Seterusnya, di antara perkara yang berkait dengan isu ini ialah berkenaan suara perempuan dikira sebagai aurat ataupun tidak. Pendapat yang paling sahih ialah ia bukanlah aurat kerana sekiranya ia adalah aurat, maka meninggikan suaranya dalam bacaan solat akan membatalkan solatnya. Selain itu, menurut al-Bandaniji, bacaan kuat daripada suara perempuan itu mestilah lebih rendah daripada bacaan kuat seorang lelaki. Di samping itu, al-Qadhi Abu al-Tayyib juga ada menyatakan bahawa hukum menguatkan suara mahupun memperlahankannya ketika takbir adalah seperti hukum bacaan.[7]

Malah Mantan Mufti Arab Saudi juga ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah mensyariatkan kepada para hamba-Nya untuk menguatkan suara pada solat Subuh serta dua rakaat awal dalam solat Isyak dan Maghrib. Perkara ini adalah bersifat umum bagi laki-laki dan perempuan kerana pensyariatan ini kekal sebagai umum melainkan adanya dalil yang mengkhususkan perbuatan tersebut bagi laki-laki atau perempuan. Justeru, bagi perempuan juga hendaklah menguatkan suaranya agar bacaan ayat al-Quran itu dapat memberi manfaat buat dirinya dan juga buat perempuan lain di sekitarnya. Namun, jika terdapat lelaki ajnabi di sekitarnya — yakni berdekatan dengannya — maka dalam hal ini afdhalnya adalah tidak menguatkan suaranya kerana dikhuatiri lelaki tersebut teruji dengan suaranya — yakni tertarik kepadanya. Oleh sebab itu, afdhalnya ketika itu tidak menguatkan suaranya.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seorang perempuan disunatkan untuk menguatkan suaranya dalam solat jahriyyah sama ada solat secara bersendirian ataupun ketika menjadi imam kepada jemaah perempuan yang lain seperti mana disunatkan kepada kaum lelaki. Hal ini kerana pensyariatan untuk menguatkan bacaan dalam solat jahriyyah datang dalam bentuk umum tanpa mengkhususkan sama ada lelaki atau perempuan.

Meskipun begitu, jika terdapat lelaki yang bukan mahramnya, maka dia hendaklah memperlahankan suaranya dan inilah yang afdhal bagi diri mereka. Hal ini kerana bagi mengelakkan timbulnya fitnah disebabkan oleh suara mereka yang berkemungkinan akan menarik perhatian lelaki kepadanya. Begitu juga bacaan kuat daripada suara perempuan itu mestilah lebih rendah daripada bacaan kuat seorang lelaki sebagaimana pendapat sebahagian ulama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/149.

[2] Riwayat al-Bukhari (765); Muslim (463)

[3] Riwayat al-Bukhari (773); Muslim (449)

[4] Riwayat al-Bukhari (746)

[5] Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/64; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390.

[6] Lihat Syarh Mukhtasar Khalil, 1/275.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390ز

[8] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/18052/ حكم-رفع-المراة-صوتها-في-الصلوات-الجهرية. Diakses pada 25 Mac 2022.

Latest articles

Related articles