#738 Makanan yang Tiada Logo Halal

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya berkenaan logo halal. Adakah sesuatu makanan itu hanya dianggap halal dan boleh dimakan, jika memiliki logo halal yang diiktiraf oleh badan berautoriti seperti JAKIM jika dalam konteks negara kita? Bagaimana pula dengan makanan yang dijual oleh peniaga Muslim tepi jalan, yang rata-ratanya tidak memiliki logo halal, berbeza dengan kedai-kedai besar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.[1]

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT.[2]

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya,[3] berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.[4]

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya.[5] Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci.[6]

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.”[7]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[8]

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.[9]

Maka berbalik kepada soalan yang diajukan, suatu makanan itu dihukumkan sebagai halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya seperti bahan-bahan yang tidak halal, bernajis, memberi mudarat dan seumpamanya. Begitu juga, logo halal bukanlah menjadi syarat untuk sesuatu makanan itu dianggap halal atau boleh dimakan. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sebagai dalil sokongan atau penguat yang menguatkan lagi perkara tersebut — yakni kehalalan makanan itu.

Hal ini kerana dalam negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk makanan tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM,[10] maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas[11] kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam suatu produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekaligus menghilangkan keraguan yang timbul.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa suatu makanan itu dihukumkan sebagai halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya. Tidak kira makanan itu dijual di pasaraya-pasaraya besar mahupun gerai-gerai kecil. Lebih-lebih lagi jika penjualnya adalah orang Islam atau daripada produk pengusaha Muslim — sekalipun tidak ada logo halal — kerana kebiasaannya bahan-bahan yang digunakan adalah halal sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[12]

Begitu juga logo halal bukanlah syarat bagi menentukan status kehalalan sesuatu makanan. Ia hanyalah menjadi dalil sokongan atau penguat yang menguatkan lagi perkara tersebut — yakni kehalalan makanan itu — sehingga tidak perlu lagi diragukan lagi kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekaligus menghilangkan keraguan yang timbul.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan kerana memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.[13]

Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”[14]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Surah al-A‘raf: 32

[2] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.

[3] Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685.

[4] Surah al-Baqarah: 29

[5] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.

[6] Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685.

[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125.

[8] Surah al-Baqarah: 168

[9] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

[10] Sila rujuk kepada pautan berikut, bagi mengetahui Senarai Badan Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, https://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9jZXJ0aWZ5X2JvZHk7Ozs7&utama=CB_LIST&lang=bm. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

[11] Bahagian Hab Halal JAKIM, https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2839378816112669&id=155056204544957. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

[12] Surah al-A‘raf: 157

[13] Riwayat Muslim (1015)

[14] Riwayat al-Tirmizi (2518)

Latest articles

Related articles