#739 Maksud Keberkatan dalam Sahur dan Hikmahnya

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘keberkatan dalam sahur’ sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith sahih al-Bukhari? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya.[1] Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya:Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.[2]

Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya:Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”[3]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, perkataan “السحُورِ” boleh dibaca dengan baris atas yakni sebagai ‘sahur’ dan baris depan yakni sebagai ‘suhur’ kerana yang dimaksudkan dengan keberkatan adalalah ganjaran dan pahala. Justeru, perkataan “السحُورِ” sesuai dibaca dengan baris depan (yakni suhur) kerana ia adalah masdar (kata terbitan), dengan makna perbuatan bersahur atau keberkatan, disebabkan oleh ia menguatkan puasa, memberi tenaga dan meringankan kesusahan ketika berpuasa. Manakala perkataan “السحُورِ” sesuai juga dibaca dengan baris atas (yakni sahur) kerana ia merujuk kepada apa-apa makanan yang dimakan ketika bersahur.

Selain itu, dikatakan bahawa ‘keberkatan’ itu ialah apa yang mencakupi daripada perbuatan bangun dan berdoa ketika sahur. Namun, pendapat yang lebih utama bahawa keberkatan dalam sahur dapat diperolehi atau terhasil dari sudut yang pelbagai iaitu mengikut sunnah, menyalahi ahli kitab, menguatkan diri untuk melakukan ibadah, menambahkan tenaga dan semangat, menahan diri daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta atau berkesempatan untuk makan bersama-samanya, penyebab kepada zikir dan doa pada waktu mustajab untuk berdoa. Selain itu, waktu sahur juga dapat mengingatkan niat puasa bagi sesiapa yang lalai daripadanya — yakni terlupa untuk niat — sebelum tidur.

Menurut Ibn Daqiq al-‘Id, keberkatan ini boleh jadi terdapat pada perkara-perkara akhirat. Hal ini kerana dengan menegakkan sunnah pasti dia memperoleh pahala dan tambahannya. Boleh jadi juga ia terdapat pada perkara-perkara dunia seperti kekuatan badan untuk berpuasa dan memudahkan seseorang untuk berpuasa tanpa memberi mudarat kepada dirinya disebabkan oleh puasa itu. Begitu juga di antara perkara yang menjadi sebab kepada galakan (sunat) perbuatan sahur ini adalah kerana ia menyalahi ahli kitab. Hal ini kerana perbuatan sahur ini dilarang di sisi mereka, dan ini menjadi salah satu perkara yang menambahkan lagi pahala dari sudut ukhrawi. [5]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith ini menunjukkan kepada galakan dalam bersahur. Begitu juga para ulama telah menyatakan ijmak bahawa bersahur adalah sunat dan bukannya wajib. Adapun keberkatan padanya bermaksud dengan bersahur akan menguatkan seseorang itu untuk berpuasa dan membuat seseorang itu bersemangat dengan bersahur. Di samping itu, dengan bersahur juga akan membuatkan keinginan seseorang itu untuk berpuasa bertambah disebabkan kurangnya kesusahan yang dialami bagi orang yang bersahur — kerana keberkatan bersahur. Inilah pendapat yang benar dan muktamad berkenaan makna hadith ini. Tambahan lagi, dikatakan juga, keberkatan yang dimaksudkan adalah dengan berjaga malam, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia iaitu waktu diturunkan rahmat, dimakbulkan doa dan istighfar.[6]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa ‘keberkatan dalam sahur’ terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

  • Keberkatan ukhrawiyyah iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan antara waktu mustajab doa dan seumpamanya.
  • Keberkatan duniawiyyah iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan kekuatan dan tenaga kepada tubuh badan bagi melaksanakan ibadah puasa, menambahkan semangat untuk berpuasa, mengurangkan rasa lapar, mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin terjadi kepada tubuh badan kerana berpuasa dan seumpamanya.

Selain itu, pada kesempatan ini juga, kami ingin mengingatkan bahawa perbuatan meninggalkan sahur tanpa sebarang keuzuran seperti malas dan lain-lain, wajarlah dijauhi kerana perbuatan tersebut akan merugikan diri orang yang berpuasa itu sendiri. Bahkan perkara tersebut menjadikan diri mereka lemah tubuh badan ketika berpuasa, hilang semangat, dan seumpamanya. Oleh itu, kami nasihatkan supaya bangunlah bersahur walaupun dengan sebiji tamar ataupun segelas air dan janganlah sesekali kita terlepas daripada mendapatkan keberkatan bersahur tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[2] Riwayat al-Bukhari (1923)

[3] Riwayat Muslim (1096)

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207.

[5] Lihat Fath al-Bari, 4/140.

[6] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/206.

Latest articles

Related articles