#755: Fakir dan Miskin dalam Asnaf Zakat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang golongan fakir miskin dalam asnaf zakat? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Zakat dan Golongan Penerimanya

Pada asasnya, zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. [1]

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[2]

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” [3]

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. [4]

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. [5]

Pengertian Golongan Fakir Miskin dalam Asnaf Zakat

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Terdapat pendapat menyatakan bahawa miskin itu lebih susah keadaannya daripada fakir. Ini adalah pendapat ulama mazhab Maliki dan masyhur di sisi ulama mazhab Hanafi. Pendapat yang lain pula menyatakan bahawa golongan fakir itu lebih susah keadaannya dan ini merupakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa fakir dan miskin itu sama sahaja dan ini adalah pendapat Abu Yusuf al-Hanafi dan Ibn al-Qasim al-Maliki. Namun, pada hakikatnya pendapat ini menyelisihi jumhur. [6]

Adapun pendapat yang sering digunakan oleh kebanyakan pusat zakat di Malaysia ialah pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali yang mengatakan bahawa keadaan golongan fakir itu lebih susah daripada miskin. Oleh itu, definisi fakir dan miskin yang telah disepakati serta digunapakai dalam penentuan asnaf adalah seperti berikut:[7]

Pertama: Fakir

Iaitu seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

Dalam erti kata lain, mereka ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan, atau mempunyai pekerjaan (hasil usaha) atau harta tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan, pakaian dan kediaman, yang mana pendapatan yang diperolehi itu kurang daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggungnya. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 500 riyal bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperolehi kurang daripada 250 riyal. [8]

Kedua: Miskin

Iaitu seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

Dengan kata lain, jumlah pendapatan yang diperoleh mereka hanyalah melebihi sedikit daripada setengah jumlah keperluan yang ditangggung. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 500 riyal bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperolehi hanyalah 400 riyal. [9]

Menurut pendapat yang sahih, kedua-dua golongan tersebut diberikan zakat yang mencukupi keperluan seumur hidup mereka mengikut jangka hayat yang biasa. Juga diberi perhatian, keinginan berkahwin adalah termasuk dalam perkara yang diambil kira ketika menilai keadaan dan keperluan hidup mereka. [10]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[2] Surah al-Taubah: 60

[3] Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265

[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62

[6] Lihat Fiqh al-Zakah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 2/10-12

[7] https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/takrif-asnaf

[8] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 423

[9] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 423

[10] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *