#799: Memelihara Ular

Soalan

Apakah hukum seseorang itu memelihara ular?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Ular

Ular menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan binatang menjalar yang tidak berkaki dan kulitnya bersisik. Ia juga terbahagi kepada dua, sama ada yang berbisa dan yang tidak berbisa.[1]

Ular merupakan reptilia karnivor yang panjang dan berkaki dalam suborder Serpentes. Seperti semua spesies Squamata, ular merupakan vertebrat amniot ektoterma yang berkulitkan sisik yang bertindan-tindih. Kebanyakan spesies ular mempunyai tengkorak yang lebih banyak sendinya berbanding leluhur cicaknya supaya mudah untuk menelan mangsa yang lebih besar daripada kepalanya dengan rahang yang amat mudah gerak. Untuk menampung badan ular yang sempit, organ-organ yang berpasangan (seperti ginjal) tersusun secara berikut-ikut, bukan bersebelahan, apalagi kebanyakan ular hanya mempunyai sebatang paru-paru. Sesetengah spesies mempunyai girdel pelvis dengan sepasang cakar vestij di sebelah kloaka. Juga terdapat jenis reptilia yang tidak berkaki tetapi bukan ular, iaitu cicak tanpa kaki; bezanya adalah, ular tiada kelopak mata dan telinga luaran.

Ular ditemui hidup di setiap benua (kecuali Antartika), Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, serta kebanyakan daratan yang lebih kecil. Antara yang terkecuali ialah beberapa pulau besar seperti Ireland dan New Zealand, serta kebanyakan pulau kecil di Lautan Atlantik dan tengah Lautan Pasifik. Lebih daripada 20 keluarga ular kini dikenal pasti, terdiri daripada sekitar 500 genus dan sekitar 3,400 spesies. Ular terdapat dalam pelbagai saiz, daripada ular benang yang hanya berukuran 10 cm, hingga ular sawa rendam yang boleh mencapai 8.7 meter.

Kebanyakan ular yang berbisa menggunakan bisanya terutamanya untuk membunuh dan melumpuhkan mangsa berbanding mempertahankan diri. Terdapat ular yang memiliki bisa yang cukup kuat untuk menyebabkan kesakitan yang teruk atau kematian terhadap manusia. Ular yang tidak berbisa pula menelan mangsa hidup-hidup atau menjerut mangsa hingga mati sebagaimana ular sawa dan seumpamanya.[2]

Hukum Memelihara Ular

Ular ialah haiwan yang berbahaya dan memudharatkan. Bahkan Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh mereka di mana sahaja mereka ditemui. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram), iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang.[3]

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: Perkataan fawasiq yang di dalam hadith ini bermaksud binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berdasarkan hadith ini juga, kebanyakan ulama’ bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram dan juga di luar tanah haram.[4]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa dia mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan bersabda:

اقْتُلُوا الحَيَّاتِ، وَاقْتُلُوا ذَا الطُّفْيَتَيْنِ وَالأَبْتَرَ، فَإِنَّهُمَا يَطْمِسَانِ البَصَرَ، وَيَسْتَسْقِطَانِ الحَبَلَ

Maksudnya: “Bunuhlah ular-ular dan bunuhlah dzu tufyatain (ular dengan dua garisan putih di belakangnya) dan abtar (ular yang ekornya pendek atau tidak berekor), kerana sesungguhnya kedua-dua itu dapat membutakan mata dan menggugurkan kandungan.”

Al-Zarkasyi berkata: “Diharamkan menahan sesuatu daripada lima haiwan perosak ini untuk tujuan memiliki .” [5]

Imam al-Suyuti menyatakan”Apa yang diharamkan penggunaannya, maka haram untuk diambilnya. Justeru, diharamkan untuk mengambil alat hiburan, peralatan kewangan, anjing yang tidak digunakan untuk berburu, babi, dan haiwan-haiwan perosak”[6]

Ibn Qudamah pula berkata: Apa yang diwajibkan untuk dibunuh adalah haram dimiliki. [7]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa ular merupakan antara haiwan yang berbahaya dan memudharatkan. Hal ini sebagaimana kaedah yang masyhur yang diambil daripada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”[8]

Justeru, haram untuk memeliharanya dan membela ular sebagaimana arahan daripada Nabi SAW untuk membunuhnya berserta dengan hujah-hujah yang kami kemukakan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ular

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ular

[3] Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198),

[4] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/113-114

[5] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/337 dan Al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 3/80

[6] Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 28

[7] Lihat al-Mughni, 11/2.

[8] Riwayat Imam Malik (31) dalam al-Muwatto’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *