#800: Ganti Bacaan Basmalah Ketika Berwuduk Dengan Zikir Lain

[ux_products]

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah menggantikan bacaan basmalah ketika berwuduk dengan zikir lain? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya:Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.[1]

Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT.[2]

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara umumnya para ulama telah berbeza pendapat mengenai perkara ini kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib dan ini merupakan pendapat Imam Ahmad.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maksudnya:Tidak ada wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah.”[4]

Manakala pendapat kedua, jumhur ulama berpendapat membaca basmalah termasuk dalam sunat wuduk dan bukannya wajib. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Jika ditinggalkan secara sengaja, wuduknya tetap sah. Ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i, Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama, termasuklah juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.[5] Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa dalil dan hujah. Di antaranya, Nabi SAW telah mengajarkan seseorang mengenai cara berwuduk, Baginda bersabda:

تَوَضَّأْ كَمَا أَمَرَكَ اللَّهُ

Maksudnya:Berwuduklah sebagaimana yang Allah perintahkan kamu.[6]

Ini merupakan isyarat kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[7]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak terdapat dalam ayat di atas, perintah atau kewajipan untuk membaca basmalah.[8]

Pada asasnya bacaan basmalah sunnah dibaca pada permulaan wuduk iaitu ketika mula membasuh kedua telapak tangan. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa yang dimaksudkan dengan permulaan wuduk ialah permulaan membasuh kedua telapak tangan, lalu berniatlah wuduk dan membaca basmalah ketika itu. Dalam erti kata lain, menggabungkan niat wuduk bersama bacaan basmalah ketika mula-mula membasuh telapak tangan. Kemudian barulah melafazkan niat, dan seterusnya menyempurnakan basuhan telapak tangan itu. Hal ini kerana melafazkan niat — menurut mazhab Syafi‘i  — dan membaca basmalah adalah sunnah, serta tidak mungkin seseorang itu dapat melafazkan kedua-duanya pada masa yang sama — yakni secara serentak.[9]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Syarwani menyebutkan dalam hasyiahnya, seringkas-ringkas lafaz basmalah ialah ‘Bismillah’. Sesiapa yang mengucapkannya, maka memperoleh pahala sunnah. Begitu juga ia tidak dapat dicapai — yakni tidak memadai — dengan bacaan selainnya yang terdiri daripada zikir-zikir disebabkan oleh bacaan basmalah itu dituntut secara khusus. Selain itu, dinyatakan juga bahawa adakah tempat bacaan basmalah dalam wuduk ini boleh diganti dengan bacaan ‘Alhamdulillah’ atau zikir-zikir yang lain sebagaimana permulaan sesuatu. Maka, al-Ramli menjawab dengan melarangnya kerana yang sabit dalamnya adalah dimulakan dengan basmalah, sedangkan hamdalah dan zikrullah yang lain tidak sabit, berdasarkan sabda Nabi SAW:

تَوَضَّئُوا بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:Berwuduklah dengan menyebut ‘bismillah’[10]

Tambahan lagi, hal ini kerana hadith berkenaan ‘setiap perkara yang tidak dimulai dengan basmalah akan terputus’ meliputi atau merangkumi juga perbuatan wuduk.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak boleh menggantikan bacaan basmalah ketika berwuduk dengan zikir-zikir atau bacaan lain kerana bacaan basmalah itu adalah secara khusus berdasarkan nas yang sabit daripada Nabi SAW. Justeru, bacaan-bacaan selain daripadanya adalah tidak memadai mahupun mencukupi bagi mendapatkan pahala sunnah dalam hal tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

 

[1] Riwayat Ahmad (8712); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73.

[3] Lihat al-Mughni, 1/145.

[4] Riwayat al-Tirmizi (25); hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/346.

[6] Riwayat al-Tirmizi (302); hadith ini dinilah sahih oleh al-Albani.

[7] Surah al-Ma’idah: 6

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/346-347.

[9] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/483.

[10] Riwayat Muslim secara maknanya (2279)

[11] Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/224.

Latest articles

Related articles