#8 Bagaimana Sewajarnya Sikap Muslim Dalam Mendepani Isu Melibatkan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abd. Razak?

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada petang 23 Ogos 2022 yang lalu, keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd. Razak menimbulkan pelbagai reaksi samada menyokong, membantah, atau berada di atas pagar. Hakikatnya, kita semua mengikut perjalanan pelan takdir Ilahi yang wajib kita terima dengan penuh keredhaan dan muhasabah. 

Saat menerima berita tersebut, saya mengimbau semula kenangan ketika mula-mula dilantik menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014. Satu pertemuan antara saya  dengan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak telah diaturkan di pejabatnya. Turut hadir, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Saya menghadiahkan beliau beberapa buah buku tulisan saya. Antaranya adalah sebuah buku kecil bertajuk “Pemimpin yang Adil: Rahmat untuk Rakyat”. Besar harapan saya pada ketika itu, agar beliau membacanya kerana semua nasihat saya terhadap pemimpin negara, termaktub secara tersurat mahupun tersirat dalam buku berkenaan.

Menginsafi hal yang berlaku baru-baru ini, suka saya kemukakan dari lubuk hati saya beberapa buah fikiran dan pandangan dengan sedikit pengalaman yang dipinjamkan-Nya. Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan sentiasa memandu kita ke arah kebaikan.

Pendirian yang Jelas

Saya telah mengeluarkan kenyataan yang jelas berhubung isu sumpah laknat di dalam masjid pada 23 Disember 2019. Saya pernah bertanyakan soalan yang sama kepada Al-Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad ‘Awwamah, dan Al-Muhaddith Syeikh Dr. Mustafa al-Nadwi, fatwa kedua-duanya adalah sama dengan apa yang telah saya tegaskan dalam kenyataan 2 muka surat tersebut. Adapun poster yang berlegar, itu bukan daripada saya.

Tambahan pula jika ruang ini dibuka, ia akan menjadi kes duluan (precendent case) yang membolehkan lebih ramai pihak samada wujud kepentingan peribadi atau tidak, untuk mengambil kesempatan menjadikan masjid sebagai tempat bersumpah. Hakikatnya, ia tidak akan membuktikan apa-apa kerana gelanggang sebenar adalah mahkamah.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ، توكَّلتُ على اللهِ، لا حَولَ ولا قُوَّةَ إلّا باللهِ

Ada beberapa noktah penting yang perlu difahami dalam isu ini:

Pertama: Menghormati Keputusan Mahkamah

Dalam Islam, qadha’ yang diputuskan oleh hakim boleh mengangkat khilaf. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

حُكْمُ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat sebarang khilaf (percanggahan).”

Al-Qarafi dalam menjelaskan kaedah ini berkata: Hukum hakim dalam masalah ijtihad mengangkat khilaf dan hendaklah yang menyalahi kembali daripada mazhabnya kepada mazhab hakim dan berubah fatwanya selepas keputusan hukum yang terdahulu mengikut pendapat yang sahih dari mazhab ulama’. (Lihat al-Furuq, 2/103) 

Keputusan didasarkan kepada pembuktian yang kukuh dan pendakwaan yang diterima berdasarkan kepada nas sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (21201). Ibn Hajar al-Asqalani dalam Bulugh al-Maram (421) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih.

Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadith ini menyebutkan, hadith ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syarak. Padanya menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan ia (dakwaan) berhajat kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/12).

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Ibn Abbas R.Anhum meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اليَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Bersumpah adalah kewajipan ke atas orang yang didakwa.”

Riwayat al-Bukhari (4552) dan Muslim (1711) 

Ibn Daqiq al-‘Eid berkata: Hadith ini adalah salah satu asas daripada asas-asas  hukum, dan ia menjadi rujukan yang paling besar apabila berlaku perselisihan dan pertengkaran dan ia menjadi syarat bahawa tidak seorang pun dinilai berdasarkan dakwaannya semata-mata. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyah, hlm. 109).

Syeikh al-Sa‘di berkata: “Hadith ini sangat besar ketetapannya, dan ia adalah salah satu asas dalam perkara kehakiman dan hukum. Hal ini kerana keputusan kehakiman antara manusia hanya berlaku apabila terdapat perselisihan. Sebagai contoh, seseorang ini menuntut haknya dan tuntutannya diingkari, dan seseorang ini mendakwa dia tidak bersalah terhadap hukuman yang telah thabit ke atasnya. Maka Nabi SAW menjelaskan berkenaan asas dalam menyelesaikan perselisihan antara mereka. Maka jelaslah apa yang benar dan apa yang batil, maka sesiapa yang menuntut harta tertentu, atau hutang, atau hak hak dan tanggungan mereka kepada orang lain, dan orang lain itu mengingkarinya, maka pada asalnya tuntutan itu merupakan tuntutan yang mungkar. Jika yang mendakwa itu datang dengan bukti yang membuktikan hak itu, maka tuntutan tersebut diterima dan thabit, maka dihukum kepada yang dituntut itu dengan tuntutan pendakwa itu. Sekiranya yang dituntut itu tidak mengemukakan bukti, dia tidak mempunyai apa-apa terhadap yang lain kecuali sumpah. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 135).

Hukum yang diputuskan telah diasaskan kepada dalil dan hujah, serta bahan pembuktian yang zahir. Ini sebagaimana yang dimasyhurkan:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kami hanya  menetapkan hukum  berdasar yang zahir dan Allah yang menangani perkara yang tersembunyi.” (Lihat Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir, 4/192)

Kita meletakkan sepenuh penghormatan kepada sistem perundangan Malaysia yang berpaksikan integriti dan profesionalisme. Oleh itu, kita wajar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersekali dengan empat panel hakim yang lain dalam kes YB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak. 

 

Kedua: Apa Sikap Kita?

Firman Allah SWT:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran).”

(Surah Ali Imran: 140)

Telah menjadi kelaziman bagi manusia untuk bergembira atas apa yang disukainya dan bersedih atas apa yang tidak disukainya. Ia adalah fitrah yang tidak dapat dielakkan, lahir daripada lubuk hati manusia. Disebabkan hal ini, ada yang bergembira dengan keputusan mahkamah tersebut dan ada yang bersedih dengannya.

Diriwayatkan ‘Ikrimah pernah berkata:

ليس أحد إلا وهو يفرح ويحزن، ولكن اجعلوا الفرح شكراً والحزن صبر

Maksudnya: “Setiap manusia pasti merasa gembira dan sedih. Oleh itu, jadikan gembira itu sebagai kesyukuran dan sedih itu sebagai kesabaran.”

Dalam masa yang sama, tidak sewajarnya kegembiraan itu disambut dengan keterlaluan sebagaimana tidak sepatutnya kesedihan itu dalam keadaan yang berlebih-lebihan sehingga mempertikaikan kredibiliti sistem pengadilan dan perundangan negara. Berdasarkan keputusan mahkamah, beliau didapati bersalah dan kita menerimanya disamping berharap beliau mendapat keampunan daripada Allah SWT atas kesalahannya dan berubah menjadi insan yang lebih baik.

Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah al-Laithi R.A, Nabi SAW bersabda:

لا تُظْهِرِ الشَمَاتةَ لِأَخِيْكَ فَيُعَافِيَهُ اللهُ وَيَبْتَلِيَكَ

Maksudnya: “Jangan kamu zahirkan kegembiraan atas musibah saudaramu lalu Allah menyelamatkan dia dan Dia menguji pula kamu.” [Riwayat al-Tirmizi (2506) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (4/110). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hasan gharib. Ibn Hibban di dalam kitabnya al-Majruhin (1/451) menyatakan bahawa pada sanad ini terdapat Ibn ‘Asim yang digelar sebagai Yasruq al-Hadith (يسرق الحديث), dia memarfu’kan hadith yang mauquf, dan tidak boleh berhujah dengannya.]

Mulla ‘Ali al-Qari menyatakan dalam syarahnya: Maksud daripada hadith ini ialah, Janganlah kamu bergembira dengan bala yang menimpa musuh kamu disebabkan oleh saudara muslim kamu yang ditimpa dengan musibah agama, dunia mahupun harta. Maka Allah akan merahmatinya dan menguji kamu dengan musibah untuk menyucikan diri kamu dan mengangkat darjat kamu. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/3048).

Nabi SAW mengajar untuk berdoa sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

تَعَوَّذُوا بِاللهِ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاء

Maksudnya: “Mintalah perlindungan kepada Allah daripada bala yang berat, hinanya kesengsaraan, takdir yang buruk, dan kegembiraan musuh (terhadap masalah yang menimpa).”

Riwayat al-Bukhari (6347) dan Muslim (2707)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa maksud perlindungan daripada buruknya takdir adalah merangkumi buruknya takdir dalam agama, dunia, badan, harta dan keluarga. Manakala berkenaan maksud hinanya kesengsaraan (دَرَكِ الشَّقَاءِ), ia juga termasuk kesusahan dalam hal-hal yang berkaitan akhirat dan duniawi.. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/31)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Lafaz ‘دَرَكِ’ bermaksud menjumpai atau mendapati, manakala lafaz al-syaqa’ (الشَّقَاءِ) bermaksud kebinasaan atau kehancuran. Ini adalah sebutan tentang sebab yang mengakibatkan kebinasaan. 

Kemudian, beliau menukilkan daripada Ibn Battal dan selainnya yang menyebutkan: ‘جَهْدِ البَلاَءِ’ ialah kesulitan berat yang menimpa seseorang yang tidak dapat ditanggung dan tidak dapat dihindarinya. Manakala lafaz ‘شَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ’ adalah bermaksud yang menggores dengan sangat mendalam pada hati dan jiwa.

Beliau menukilkan pula daripada Imam al-Nawawi yang berkata: ‘شَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ’ adalah bergembiranya musuh kerana musibah yang menimpa orang-orang yang bermusuhan dengan mereka. Hadith tersebut menunjukkan bahawa memohon perlindungan daripada perkara-perkara tersebut adalah dianjurkan, dan seluruh ulama sepakat akan hal tersebut. Namun sebahagian daripada kalangan ahli zuhud menyangkalnya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani, 30/913)

Permintaan berlindung daripada ketentuan takdir yang berakibat buruk tidaklah bertentangan dengan sikap redha terhadap ketentuan takdir Allah SWT. Ini kerana meminta berlindung daripada ketentuan takdir yang buruk juga merupakan ketentuan takdir Allah SWT. Allah boleh sahaja mentakdirkan bala kepada seseorang. Namun Allah juga mentakdirkan bahawa apabila seseorang berdoa, maka Dia akan menghilangkan bala tersebut. (Lihat Tuhfah al-Zakirin, hlm. 381 dan Mirqah al-Mafatih, 8/214).

Saudara seagama kita menjadi cerminan kepada kita. Justeru, kita hendaklah sentiasa muhasabah diri kita agar sentiasa beriltizam dan beristiqamah mengikut jalan dan neraca Syariat. Saya berpesan kepada diri saya dan kepada sesiapa supaya menjadi Mukmin yang baik. Antaranya yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan adanya sifat sabar dan syukur. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Bagi yang bersetuju dengan keputusan mahkamah, tidak menyambutnya dengan sinis, ejekan, hinaan dan perlian. Bagi yang tidak bersetuju dan memihak kepada beliau, tidak menyambutnya dengan cercaan kepada hakim dan mahkamah. Masing-masing bermuhasabah untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Pada saya, itulah sikap yang sederhana, matang, dan terbaik.

Ketiga: Tidak Bersetuju, Tidak Semestinya Menghina

Ada kisah seorang perempuan yang dijatuhkan hukuman pada zaman Rasulullah SAW di mana sahabat memaki hamunnya, lantas Nabi SAW bersabda:

 لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِّمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan satu taubat yang jika dibahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah akan meliputi semua mereka.” [Riwayat Muslim (1696), Abu Dawud (4440), al-Tirmizi (1435), al-Nasaie (1957) dan Ahmad (19926)]

Al-San‘ani dalam syarahnya menyebutkan bahawa hadith ini menunjukkan larangan untuk mencela orang yang telah bertaubat daripada dosanya. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 11/107)

Justeru, tidak sewajarnya bagi orang lain untuk mencerca dan menghina orang yang telah dijatuhkan hukuman. Dalam sebuah hadith daripada Muaz bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَيَّرَ أَخَاهُ بِذَنْبٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang menghina saudaranya dengan satu dosa, dia tidak akan mati melainkan melakukannya juga.”

Riwayat al-Tirmizi (2505) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, kemungkinan maknanya yang dikehendaki ialah penghinaan yang dilakukan oleh kamu kepada saudara kamu disebabkan oleh dosa yang dilakukannya itu adalah lebih besar dosanya dan lebih berat berbanding dosa dan maksiat yang dilakukannya. (Lihat Madarij al-Salikin, hlm. 272)

Pengarang Minhah al-‘Allam menjelaskan bahawa hadith ini, sekalipun diperselisihi mengenai statusnya, akan tetapi maknanya adalah betul iaitu mengingatkan kita agar berwaspada daripada menghina orang ramai dan mengaibkan mereka disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukannya bila mana terzahir daripada mereka perubahan kerana sekiranya dia bertaubat daripada dosa-dosanya itu, maka tidak boleh mencelanya kerana dosanya yang lalu. 

Sesiapa yang bertaubat dengan sebenar-benarnya, maka Allah SWT pasti akan mengampuninya. Demikianlah juga jika pesalah tidak bertaubat, maka wajib untuk menasihatinya dan membimbingnya dengan perkataan yang baik dan bukannya dengan celaan. Apatah lagi, perbuatan menghina dan mengejek itu membawa kepada permusuhan dan kebencian, dan tidak mencapai maksud yang diinginkan. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/301)

 

Keempat: Marah kerana Allah, Iktiraf Kebaikan Walau Sedikit

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَنسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan jangan kamu lupakan kebaikan sesama kamu kerana sesungguhnya Allah dengan apa yang kamu lakukan Maha Melihat.”

(Surah al Baqarah: 237)

Imam al-Tabari di dalam tafsirnya menyebut: “Allah SWT mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kebaikan dan kelebihan sesama kamu yang telah diambil, kemudian kamu meninggalkannya.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 4/338).

Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi adalah gabenor di Baghdad semasa zaman pemerintahan Khalifah Bani Umayyah, ‘Abd al-Malik bin Marwan. Sikapnya yang zalim, suka membunuh, diketahui umum disamping beliau ada jasa yang besar dalam Islam iaitu meletakkan baris bacaan al-Qur’an dan meluaskan empayar Bani Umayyah. Saya fikir tidak ada lagi kejahatan yang lebih besar daripada membunuh nyawa yang tidak bersalah.

Memetik kenyataan Imam al-Zahabi:

“Allah SWT telah menghapuskannya (al-Hajjaj) pada bulan Ramadhan, tahun 95 Hijrah dalam keadaan tua. Beliau adalah seorang yang zalim, pemaksa, membenci ahlul bait, jahat, gemar menumpahkan darah, disamping memiliki keberanian, kelancangan, tipu muslihat, kefasihan, pakar bahasa dan memuliakan al-Qur’an. Aku telah mencatat keburukan kisah hidupan dalam Tarikh al-Kabir, pengepungannya terhadap Ibn Zubair di Kaabah, melontar manjanik terhadap Kaabah, penghinaannya terhadap penduduk Makkah dan Madinah. Penguasaannya terhadap ‘Iraq dan wilayah timur keseluruhannya 20 tahun. Begitu juga peperangan Ibn al-Asy’ab terhadapnya dan sikapnya melewat-lewatkan solat sehingga Allah SWT mematikannya. Kami mencelanya dan tidak menyukainya, bahkan memarahinya kerana Allah. Sesungguhnya inilah antara ikatan iman yang utuh. Beliau ada kebaikan-kebaikan yang tenggelam dalam lautan dosanya. Urusannya terserahlah kepada Allah. Secara umumnya, beliau seorang yang bertauhid dan tidaklah keseorangan dalam kalangan pemimpin yang memaksa dan zalim.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/343)

Betapa jahat dan kejamnya al-Hajjaj sehingga ‘Umar bin ‘Abd al- ‘Aziz membuat satu perumpamaan:

‌لَوْ ‌جَاءَتْ ‌كُلُّ أُمَّةٍ بِخَبِيثِهَا، وَجِئْنَاهُمْ بِالْحَجَّاجِ لَغَلَبْنَاهُمْ

Maksudnya: “Jikalau datang seluruh umat dengan para penjahatnya, dan datang al-Hajjaj, nescaya akan kalah semua para penjahat.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/538)

Hidup al-Hajjaj berakhir dengan celaan para salafussoleh, bahkan ada yang meragui keimanannya sebagaimana kenyataan al-Sya’bi dan Tawus namun tidak ada yang menafikan sumbangannya meletakkan baris pada bacaan al-Qur’an. Marah mereka kepadanya adalah marah kerana Allah SWT dan bukannya semberono atas faktor-faktor peribadi. Jika sikap ini yang kita ambil, dengan kita mengakui betapa berat kesalahan yang dilakukannya yang mencalarkan imej negara,  dalam masa yang sama tidak menafikan jasanya kepada negara, itu sudah memadai.

Kelima: Bersedia Memaafkan

Sikap kita adalah memaafkan, mengasihi dan mendoakan untuknya kerana ia termasuk dalam hadith:

أَقِيلُوا ذَوِى الْهَيْئَاتِ عَثَرَاتِهِمْ

Maksudnya:Maafkanlah ketergelinciran orang-orang yang baik namanya.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (465), Abu Daud (4377) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17089).

Imam al-Syafi‘i menyebutkan bahawa beliau mendengar ulama menafsirkan hadith ini dengan berkata: “Iaitu hukuman terhadap lelaki yang bermaruah boleh diringankan selama mana bukan dalam masalah hadd atau hudud.” (Lihat Musnad al-Syafi‘i, hlm. 363) 

Imam al-Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir (13/440) dalam menafsirkan perkataan al-‘atharat (العثرات) menyebutkan, padanya terdapat dua wajah, iaitu:

  • Pertama: Dosa-dosa kecil.
  • Kedua: Maksiat pertama yang dilakukan oleh seseorang yang taat.

Sesuatu yang disepakati dalam kalangan manusia bahawa Zawil hai’at (orang-orang yang baik namanya) ialah mereka yang mempunyai tingkah laku yang terpuji, yang memelihara maruah dan akhlak-akhlak yang mulia.

Memang sukar untuk memaafkan seseorang, apatah lagi jika kesalahan itu amat berat. Tetapi, mahkamah telah pun memutuskan hukuman. Maka wajarlah beliau menjalani hukuman dan kita meneruskan kehidupan seperti biasa, memaafkan beliau jika ia berkaitan dengan kehidupan kita, dengan satu ingatan yang wajar diulang-ulang pada diri sendiri; pelihara integriti dalam diri.

Keenam: Iktibar atas Kesilapan dan Taubat

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

Riwayat al-Tirmizi (2499), Ibn Majah (4251), Ahmad (13049). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/92) menilai sanad hadith ini sebagai hasan.

Syeikh Muhammad al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dalam hadith tersebut iaitu pada lafaz “sebaik-baik manusia yang banyak melakukan dosa adalah mereka yang kembali kepada Allah” adalah dengan melakukan amal ketaatan dan meninggalkan maksiat yang pernah dilakukan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/202)

Orang yang melakukan dosa, kemudian dia bertaubat dengan sebenar-benarnya, dan Allah mengampunkannya, maka dia seolah-olah tidak pernah melakukan dosa sama sekali. Daripada Abu ‘Ubaidah bin ‘Abdillah, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَ ذَنْبَ لَهُ

Maksudnya: Orang yang bertaubat daripada suatu dosa, seakan-akan dia tidak pernah melakukan dosa itu sama sekali.”

Riwayat Ibn Majah (4250). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (10/263) menyatakan hadith ini hasan berdasarkan syawahidnya.

Selain itu, orang yang bertaubat, maka Allah SWT akan menggantikan kesalahan yang pernah dilakukannya dengan kebaikan. Sehingga seolah-olah yang ada dalam catatan amalannya hanya kebaikan sahaja. Allah SWT berfirman:

إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya:Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Furqan: 70)

Ibn Kathir menukilkan bahawa al-Hasan al-Basri menyebut: “Allah SWT akan menggantikan amalan keburukan yang dilakukan seseorang dengan amalan soleh. Allah akan menggantikan kesyirikan yang pernah dilakukannya dengan keikhlasan. Allah akan menggantikan perbuatan maksiat dengan kebaikan, dan begitulah juga Allah menggantikan kekufurannya dahulu dengan keislaman. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/327)

Taubat nasuha adalah jalan keluar daripada rasa bersalah yang menghantui diri. Setiap dalam kalangan kita sudah pasti ada kecacatan dan kelemahan. Bezanya, ada yang Allah takdirkan untuk diketahui umum sebagai pengajaran buat semua dan ada yang Allah takdirkan ia kekal menjadi rahsia pelakunya. Kita semua tahu dan kenal diri masing-masing.

Ketujuh: Allah SWT Maha Pengampun

Sebagai seorang Islam, menjadi kewajiban kepada kita sentiasa mengharapkan keampunan Allah SWT dengan bertaubat kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).”

(Surah al-Hijr: 49)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, (maksudnya) wahai Rasul! Khabarkan kepada sekalian hamba-Ku, sesungguhnya Akulah yang akan menghapuskan segala dosa mereka, sekiranya mereka bertaubat dan kembali kepada-Ku dengan tidak membuka keaiban mereka, tidak menyeksa mereka, dan sesungguhnya Aku Maha Penyayang terhadap mereka daripada mengazabkan mereka setelah mereka bertaubat daripada dosa.

Dalam firman-Nya: “نَبِّئْ عِبَادِي” (Wahai Rasul! Khabarkan kepada sekalian hamba-Ku), terdapat petunjuk bahawa rasul memberi khabar gembira kepada setiap orang yang mahu mengakui ‘Ubudiyyahnya (kehambaannya) kepada Allah SWT, maka termasuk di dalam golongan orang mukmin yang taat dan yang bermaksiat. Di sini nampak jelas, bahawa aspek rahmat Allah SWT dapat mengalahkan aspek seksaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/31-32).

Syeikh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari Rahimahullah berkata: 

مَعْصِيَةٌ أَوْرَثَتْ ذُلًّا وَافْتِقَارًا خَيْرٌ مِنْ طَاعَةٍ أَوْرَثَتْ عِزًّا وَاسْتِكْبَارًا

Maksudnya: “Sesuatu maksiat yang menyebabkan rasa hina rendah diri (kepada Allah SWT) dan keberhajatan (kepada rahmat-Nya) adalah lebih baik daripada sesuatu amalan taat yang menyebabkan rasa mulia, sombong, ujub dan besar diri.” (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam – Hikmah ke-93, 2/43)

Saya menghuraikan dalam syarah yang disusun iaitu Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam (2/43):

Sifat hina diri kepada Allah SWT dan sifat fakir (berhajat) kepada-Nya adalah sebahagian daripada sifat-sifat ‘ubudiyyah yang mulia. Kewujudan dua sifat mulia ini pada seorang hamba akan mendekatkannya kepada Allah SWT.

Sebenarnya, sifat takabbur dan sifat kaya (iaitu tidak berhajat kepada yang lain), bukanlah sifat makhluk. Sebaliknya, dua sifat kebesaran ini adalah sebahagian daripada sifat-sifat rububiyyah Allah SWT.

Mana-mana makhluk yang bersifat dengan dua sifat ini atau salah satu daripadanya akan dimurkai oleh Allah SWT, selain menjadi hina dan jauh daripada martabat yang tinggi. Lantaran itu, perasaan rendah diri selepas melakukan maksiat adalah jauh lebih baik daripada perasaan sombong dalam melakukan ketaatan.” (Lihat Ahasin al-Kalim, 2/43)

Kelapan: Rahmat Allah sangat luas

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Zumar (53)

Ibn Kathir menjelaskan: “Ia merupakan pengkhabaran bahawa Allah SWT mengampuni semua dosa bagi sesiapa yang bertaubat daripada dosa-dosa itu, walau apapun dosa yang dia lakukan, walaupun ia sebanyak buih di lautan. (Namun), tidaklah benar untuk memahami ayat ini kepada mereka yang tidak bertaubat. Ini kerana dosa syirik tidak diampuni bagi sesiapa yang tidak bertaubat daripadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/106)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang dosa-dosa besar, lalu Baginda menjawab:

الْكَبَائِرُ : الشِّرْكُ بِاللهِ ، وَالإِياَسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ ، وَاْلقُنُوْطُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ

Maksudnya: “Dosa besar itu adalah melakukan syirik kepada Allah SWT, bersikap pesimis terhadap kasih sayang Allah dan berputus daripada rahmat-Nya.”

Riwayat al-Bazzar (18) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8783). Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawa’id (1/104): “Para perawinya adalah thiqah.” Manakala al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (4/22) menyatakan bahawa isnadnya hasan. 

Justeru, sebagai seorang Islam yang beriman dengan Qadha’ dan Qadar, hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah dan menjauhkan daripada sifat putus asa seperti yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith.

Kesembilan: Masa yang Berbaki

Sepanjang pengalaman saya menemui banduan di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang saban tahun sejak tahun 2014, saya dapati seseorang yang berada dalam penjara mempunyai masa yang lapang serta bebas daripada kesibukan pekerjaan di dunia luar. Justeru, masa yang ada ini boleh dimanfaatkan untuk melakukan amal ibadah serta aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain. 

Saya nukilkan di sini nasihat, di samping kisah-kisah mereka  yang dipenjara lalu menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Antaranya: 

  1. Melakukan solat dengan sebanyaknya 

Dengan masa yang lapang ada di dalam penjara, sentiasalah menjaga solat fardhu dan perbanyakkanlah solat-solat sunat. Pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW seorang sahabat bernama Rabi‘ah bin Ka‘ab al-Aslami yang pernah bermalam bersama Rasulullah SAW. Pada suatu ketika Rasulullah SAW meminta untuk beliau meminta sesuatu kepada Baginda. Rabi‘ah meminta agar Rasulullah sentiasa menemaninya di syurga, lantas Rasulullah bersabda:

 فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud.”

Riwayat Muslim (489)

Imam al-Nawawi menyebutkan: Hadith ini menunjukkan galakan dan motivasi untuk memperbanyakkan sujud. Sujud yang dimaksudkan dengan memperbanyakkan sujud ialah dengan memperbanyakkan solat.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/206).

Kisah sahabat yang bernama Rabi‘ah R.A bersama Rasulullah SAW di dalam hadith ini boleh dijadikan motivasi dan semangat untuk kita memperbanyakkan solat dan sujud sepanjang hidup kita yang mana Rasulullah SAW menjanjikan kepadanya untuk menjadi temannya di syurga dengan syarat beliau memperbanyakkan solat dan sujudnya.

  1. Khatam al-Quran

Ambillah peluang dan kesempatan masa yang ada untuk membaca al-Quran sebanyaknya sehingga khatam serta bertadabbur dengannya.

  • Dalam Zail Tabaqat al-Hanabilah (4/525) dinyatakan, saudara Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah iaitu Zainuddin ‘Abd al-Rahman menceritakan bahawa beliau dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengkhatamkan al-Quran sejak mula-mula mereka berdua dimasukkan ke dalam penjara sebanyak 80 kali. Ketika bacaan al-Quran kali ke-81, beliau hanya sempat membacanya sebelum meninggal dunia sehingga pada firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَهَرٍ ‎﴿٥٤﴾‏ فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai (54), Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendak-Nya.” 

(Surah al-Qamar: 54-55)

  • Di dalam kisah lain, seorang bekas anggota polis yang bergelar banduan menceritakan bahawa dia mengkhatamkan al-Quran sebanyak 10 kali di dalam penjara. Itulah nikmat kemanisan ibadat buat bekas anggota polis yang bergelar banduan seumur hayat itu. Diceritakan bahawa dia bersyukur dan gembira dapat merasai nikmat berkenaan walaupun pada zaman mudanya dia adalah seorang yang jauh daripada agama Islam. Dia menambah lagi, setelah sekian lama menjadi banduan, dia mula merasakan nikmat dalam melakukan ibadat. Bahkan dia membaca al-Quran dan terjemahannya setiap hari. Katanya lagi, “Kini hidup saya lebih tenang dan boleh melakukan pelbagai amal ibadat termasuk bangun untuk solat tahajud, satu perkara yang saya tak buat dahulu.”
  1. Menulis buku

Tidak sedikit buku yang “lahir” di sebalik tirai besi. Kita boleh mengambil contoh daripada mereka. Saya membawakan 3 contoh iaitu:

  • Buya HAMKA

Beliau telah dipenjara selama dua tahun empat bulan. Hamka telah memohon kepada pemerintah untuk diizinkan membawa sejumlah buku untuk menemaninya sepanjang beliau berada di penjara. Lalu beliau diizinkan untuk membawa buku-buku tersebut. Akhirnya, dari sana lahirnya karya besar beliau bertajuk Tafsir al-Azhar sebanyak sembilan jilid. 

  • Al-Sarakhsi

Beliau pernah dipenjara di bawah tanah kerana menasihati sebahagian pemimpin dan banyak menulis ilmu kepada sahabat-sahabatnya ketika di dalam penjara dengan cara hafazan. (Lihat Biografi Imam Empat Mazhab, hlm. 71)

  • Sayyid Qutb

Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyebutkan bahawa Sayyid Qutb menulis sebahagian besar kitab tafsirnya fi Zilal al-Quran semasa dia ditahan di penjara, dan ia adalah salah satu buku Sayyid Qutb yang paling terkenal, dan ia merupakan tafsiran al-Quran yang lengkap. (Lihat Sayyid Qutb min al-Milad ila al-Istisyhad, hlm. 544)

  1. Menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan

Ambillah peluang dan kesempatan masa yang ada untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama dan selainnya, melalui pembacaan buku-buku yang bermanfaat. Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya:Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/299)

Begitu juga dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ 

Maksudnya:Menuntut ilmu suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.”

Riwayat Ibn Majah (224)

Para ulama telah bersepakat bahawa ilmu itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain yang diwajibkan ke atas setiap Muslim. Keduanya, ilmu fardhu kifayah iaitu jika sebahagian Muslim sudah melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan tersebut kepada sebahagian yang lain dalam kawasan yang sama.  Seterusnya, ilmu fardhu ain itu pula adalah perkara-perkara yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan. Dalam erti kata lain, dia mesti mengetahui dan mempelajarinya seperti ilmu berkaitan akidah, solat, puasa dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam. (Lihat Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/56)

Selain itu, ilmu juga adalah jambatan untuk seseorang itu ke Syurga. Hal ini kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk memastikan seseorang itu beramal dengan benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Oleh yang demikian, terdapat satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.

Riwayat Muslim (2699)

Imam al-Nawawi menyatakan: Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar‘i dengan syarat niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21)

Justeru, tidak dapat dinafikan juga bahawa termasuk dalam cara menuntut ilmu, menambahkannya dan menyibukkan diri dengannya — yakni ilmu pengetahuan — adalah melalui pembacaan buku-buku yang bermanfaat.

Penutup

Marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan pelbagai anugerah dan nikmat Ilahi yang tidak terhingga kepada kita. Mensyukuri nikmat dengan menghargainya dan berkorban kerana Allah SWT untuk kemaslahatan umat sejagat.

Yakin dan percayalah, sesuatu yang dilihat secara positif akan sentiasa bersemangat dan tabah menghadapi ujian. Kata pujangga, jika diberi kepada kamu segelas perahan limau masa, maka jangan kamu caci pemberinya. Tetapi, kamu tambah gula secukup rasa dan kacau, nescaya jadilah ia minuman yang amat lazat. Orang yang optimis sentiasa melihat ke atas walaupun di belakang jerejak besi. Sebaliknya, orang yang kecewa hanya mampu melihat ke lantai dan merasa lemah dalam menghadapi sebarang ujian kehidupan.

Kita boleh memilih untuk terus menjadi pembenci dengan dendam kesumat, penyanjung tanpa sebarang kefahaman atau mengikut-ikut, atau mereka yang mengambil iktibar daripada apa yang berlaku untuk generasi masa depan Malaysia.

Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah semoga masyarakat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan sihat, aman sentosa, penyayang, kerahmatan dan kasih sayang serta saling bantu-membantu. Amin. Marilah kita menadah tangan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nukilkan daripada artikel ini mengikut kehendak yang sebenar, dan bukannya mengikut kemahuan dan kepentingan tertentu samada yang menyokong beliau ataupun sebaliknya. Itu nasihat dan pesanan saya untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *