#9 Petunjuk Ilahi Dalam Berpolitik: Tadabbur Surah Al-Sajdah Ayat 42

Menjelang 31 Ogos, saya merenung sendirian memikirkan makna kemerdekaan setelah sekian lama kita meraikannya. Secara hakiki, kita sudah bebas tetapi pada sudut maknawi, banyak hal yang masih membelenggu kita. Antaranya adalah budaya politik yang lemah. Kita masih terikut-ikut dengan budaya politik kebencian, politik fitnah, politik wang, politik “cah keting” dan sebagainya.

Daripada budaya politik seperti inilah, lahir segelintir pemimpin yang bermasalah. Maka, apa lagi yang boleh diharapkan pada masyarakat jika pemimpinnya sebegini? Isu kepimpinan adalah isu asas dalam kehidupan bermasyarakat. Betapa pentingnya persoalan kepemimpinan ini sehingga Nabi S.A.W bersabda:

إِذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Jika ada tiga orang dalam permusafiran, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.” (Riwayat Abu Daud, no 2609)

Pemimpin yang rosak akan melahirkan rakyat yang rosak. Pemimpin yang baik akan melahirkan rakyat yang baik. Memang mudah sifirnya namun sukar pada pelaksanaan.

Apabila merenung dan meneliti Surah al-Sajdah ayat ke-24, saya mendapat satu kefahaman tentang bagaimana untuk membentuk pemimpin dan kepimpinan yang baik. Secara tidak langsung, golongan pemimpin sebegini mampu membawa gelombang politik yang lebih baik.

Tafsir Surah al-Sajdah Ayat 24

Surah al-Sajdah adalah surah ke-32 dalam Al-Qur’an.  Surah yang diturunkan di Makkah ini mempunyai 30 ayat.

Firman Allah SWT:

‌وَجَعَلْنَا ‌مِنْهُمْ ‌أَئِمَّةً ‌يَهْدُونَ ‌بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajdah: 24)

Kalimah (‌أَئِمَّةً) ditafsirkan sebagai pemimpin dalam urusan kebaikan dan menjadi ikutan. Ia merujuk kepada para Nabi dalam kalangan Bani Israel. Adapun Qatadah berkata: “Pengikut para Nabi”. (Tafsir al-Baghawi, 6/309). Menurut Imam al-Qurtubi, sabar pada frasa (لَمَّا صَبَرُوا) bermaksud: “Sabar dalam urusan agama dan sabar atas bala/ujian.” Dikatakan “Sabar akan urusan dunia.” (Tafsir al-Qurtubi: 14/109). Manakala Imam al-Nasafi mentafsirkan (لَمَّا صَبَرُوا) sebagai: Sabar atas kebenaran dengan mentaati Allah atau daripada maksiat…padanya terdapat dalil bahawa sabar itu buahnya adalah kepimpinan manusia. (Tafsir al-Nasafi3/11)

Ibn ‘Uyainah telah berkata ketika mentafsirkan ayat (وَجَعَلْنَا ‌مِنْهُمْ ‌أَئِمَّةً ‌يَهْدُونَ ‌بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا): “Tatkala mereka sanggup memikul urusan paling utama, mereka telah pun menjadi pemimpin.” Sebahagian ulama’ berkata: “Dengan sabar dan yakin, akan dicapai kepimpinan dalam agama.” (Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/372)

Ayat ini menerangkan bahawa Allah SWT telah menjadikan dalam kalangan Bani Israel yang mengikuti petunjuk-Nya sebagai pemimpin. Ada di antara mereka diangkat menjadi Nabi dan Rasul, dan ada juga yang dijadikan pemimpin bagi kaumnya untuk menuju ke arah kebenaran.

Ia adalah anugerah kepada mereka selaku orang yang beriman dan sabar melaksanakan hukum-hukum Allah SWT. Mereka juga sabar menerima setiap ujian yang menimpa mereka, dan mereka yakin akan petunjuk daripada Allah SWT.

Sabar dan Yakin Dalam Berpolitik

Saya pecahkan sabar itu kepada 3 bentuk iaitu (i) sabar dengan rakyat, (ii) sabar dengan harta, dan (iii) sabar dalam melaksanakan urusan agama.

Seorang lelaki mungkin boleh mengawal beribu-ribu ekor lembu dalam kandangnya. Begitu juga boleh menjinakkan puluhan ekor harimau sehingga menjadi tontonan dalam sarkas. Tetapi manusia ini unik. Mempunyai akal, kehendak, tipu helah, nafsu dan perancangan yang mungkin berbeza dengan orang yang mentadbir dan mengarahnya. Sepuluh orang yang diarah serta disuruh boleh jadi mempunyai seratus perangai, kelakuan, tindakan dan kehendak yang berbeza dari arahan. Itulah manusia.

Muawiyah bin Abi Sufyan R.A yang menjadi khalifah pada tahun 40 Hijrah hingga 60 Hijrah yang berpusat di kota Damsyiq, dalam pengalaman siyasahnya pernah berkata kepada Ziyad bin Abihi: “Sesungguhnya tidak sayugia kami bersiyasah dengan manusia hanya dengan satu siyasah di mana kami berlembut kepada semuanya menyebabkan mereka bergembira dalam maksiat. Begitu juga, tidak sewajarnya kami bersikap keras semuanya, nescaya kami membawa orang ramai ke arah kebinasaan. Sepatutnya, ada masa hendaklah kamu berkeras sedangkan aku menggunakan pendekatan yang lembut. (Lihat al-‘Iqd al-Farid, 1/41; al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/443 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 5/149)

Sabar dengan harta dapati dibahagikan kepada dua perkara; kejujuran dalam urusan kewangan dan pemilikan harta, begitu juga tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan rasuah. Konsep al-wuduh atau ketelusan adalah suatu bahagian yang menunjukkan syariah Islam menolak segala jenis bentuk keraguan (al-gharar) didalam sebarang urusan kewangan atau pemilikan harta. Sekira ditelusuri nas, maka kita akan mendapati betapa Islam menolak ketidak telusan dalam pemilikan harta dan sebarang transaksi. Semasa menjawat jawatan Mufti, saya pernah mengusulkan agar pengisytiharan harta menjadi keperluan bagi wakil rakyat dan pemimpin kerajaan. Alhamdulillah, itu juga yang saya kotakan semasa menjawat jawatan Menteri.

Seorang pemimpin perlu kepada sifat adil dan jauh daripada sifat fasik. Menurut pendapat muktamad dalam kalangan Syafi’iyyah, Hanabilah, Abu Hanifah, al-Khassaf, al-Tahawi dan Ibn al-Qassar daripada Malikiyyah bahawa pemimpin boleh diturunkan dengan sebab kefasikannya. Antaranya jika disebabkan dia menerima rasuah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/226). Ujian menguruskan harta rakyat dengan amanah adalah antara ujian terbesar seorang pemimpin. Jika kita ikuti sejarah Islam dalam lembaran sejarah sehingga hari ini di dada akhbar, tidak sedikit yang kecundang disebabkan tidak sabar dengan ujian harta.

Terakhir, sabar dalam urusan agama. Berpolitik juga adakah kerja agama, dengan niat untuk meninggikan syiar-Nya dan memakmurkan negara dengan perintah-Nya. Namun, pelaksanaan yang gopoh dan tidak teratur, pasti menatijahkan kritikan dan menimbulkan pelbagai fitnah kepada agama. Antara yang perlu diberi perhatian adalah penasihat yang baik. Daripada Abu Sa’id al-Khudri, daripada Nabi SAW bersabda:

مَا ‌بَعَثَ ‌اللهُ ‌مِنْ ‌نَبِيٍّ، ‌وَلَا ‌اسْتَخْلَفَ ‌مِنْ ‌خَلِيفَةٍ، ‌إِلَّا ‌كَانَتْ ‌لَهُ ‌بِطَانَتَانِ: ‌بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ، وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ، فَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللهُ تَعَالَى

Maksudnya: “Allah tidak pernah mengutus seorang nabi atau memberikan khalifah kepada seorang khalifah melainkan dia (nabi atau khalifah) mempunyai dua kelompok penasihat: Kumpulan yang menasihatinya untuk berbuat baik dan menganjurkannya untuk melakukannya dan kumpulan lain yang menasihati dia untuk melakukan kejahatan dan menganjurkannya untuk melakukannya. Tetapi orang yang dilindungi (terhadap penasihat jahat itu) adalah yang dilindungi oleh Allah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 7198)

Pemimpin perlu ingat, individu yang ada disekelilingnya tidak semestinya seorang yang benar-benar boleh dipercayai sebagaimana Baginda SAW yang mempunyai Abu Bakar sebagai pendamping dan pengganti. Ramai yang mendekati, sifatnya seperti Si Kitol. Tidak kurang juga pemimpin yang wataknya seakan Raja Mendeliar.

Apabila Allah SWT menegaskan pemimpin Bani Israel itu adalah mereka yang juga yakin dengan bukti-bukti keterangan daripada-Nya, ia membawa maksud mereka adalah kelompok yang beriman kepada Allah SWT. Beriman kepada Allah SWT membawa dua implikasi yang jelas iaitu mereka mempunyai akidah yang kukuh dan akhlak yang tinggi.

Politik Berakidah dan Berakhlak

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam pernah menekankan bahawa penjajah (beliau memaksudkan Barat) sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan tanggapan bahawa hubungan Islam dengan politik atau negara tidak pernah wujud. Saya tidak berhajat untuk menghuraikan dengan panjang lebar perbezaan antara pandangan alam Islam dan Barat tentang politik. Sudah tentu jauh bezanya.

Para pembaca boleh merujuk buku Ahmet Davutoglu – mantan Perdana Menteri Turkiye yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – yang bertajuk Alternative Paradigms: The Impact of Islamic and Western Weltanschauungs on Political Theory. Saya juga tidak berhasrat untuk kembali membahaskan dengan mendalam pemikiran politik di zaman Khulafa’ al-Rasyidin. Semuanya boleh didapat dengan lengkap dalam Tarikh al-Khulafa’ al-Rashidin: al-Futuhat wa al-Injazat al-Siyasiyyah oleh sejarawan terkenal Arab, Dr. Muhammad Suhail Taqoush.

Kembali kepada isu di atas. Ya, kalimah politik (al-siyasah) tidak terdapat dalam al-Qur’an. Maka, sebahagian pihak menyimpulkan Islam tidak ada kaitan dengan politik. Adapun dalam hadith, cuma ada satu kalimah yang berasal daripada kata akar al-siyasah. Rasulullah SAW bersabda:

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

Maksudnya: “Dahulu Bani Isra’il dipimpin oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, ia akan digantikan oleh nabi (lain). Namun sungguh tidak ada nabi lagi sesudahku, dan sepeninggalku akan ada para khalifah lalu jumlah mereka akan banyak.” (Para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, lalu apa yang engkau perintahkan untuk kami?” Beliau menjawab, “Tunaikanlah baiat kepada (khalifah) yang pertama kemudian kepada yang berikutnya, lalu penuhilah hak mereka, dan mintalah kepada Allah apa yang menjadi hak kalian, karena sesungguhnya Allah akan menanyai mereka tentang apa yang mereka pimpin.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3455)

Cuma, mereka yang cakna akan mendapati bahawa asas pemikiran politik itu disebutkan oleh Allah SWT dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an. Tanpa perlu bersusah payah, kita akan berjumpa deretan ayat-ayat al-Qur’an yang membahaskan perihal kerajaan yang adil dan kerajaan yang zalim, sistem demokrasi dan sebagainya. Ada ketikanya Allah SWT menggunakan istilah al-tamkin, al-istikhlaf, dan al-hukm. Fokusnya cuma dua; samada memuji atau mencela. Itulah asas-asas dalam politik.

Justeru, dari mana mulanya kalimah al-siyasah dipopularkan dalam Islam?

Boleh jadi pernyataan pertama dalam sejarah Islam yang menggunakan kalimah al-siyasah dalam bentuk kata dasar (masdar) dengan erti kata perkara terkait kekuasaan (al-muta’alliq bi al-hukm) adalah kata-kata ‘Amru bin al-‘As ketika mengangkat kredibiliti Mu’awiyyah di depan Abu Musa al-‘Asy’ari. Katanya:

إِنِّي وَجَدْتُهُ وَلِيَّ الْخَلِيفَةِ الْمَظْلُومِ، وَالطَّالِبَ بِدَمِهِ، الْحَسَنَ السِّيَاسَةِ، الْحَسَنَ التَّدْبِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mendapati beliau layak menggantikan khalifah yang dizalimi. Beliau juga dapat menuntut darahnya, politik yang baik, tadbir urus yang baik.” (Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 5/68)

Adapun dalam bentuk kata kerja yang lampau (fi’il al-mudari’), terdapat ungkapan Saidina Umar dalam al-Mustadrak susunan al-Hakim. Manakala ungkapan Saidina ‘Ali dalam bentuk yang sama, boleh ditemui dalam al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah.

Dalam syariat Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah ilmu fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Kerana itulah kita dapati banyak ijtihad-ijtihad baharu oleh para pemimpin politik Muslim sepanjang zaman disebabkan sifat fiqh itu yang fleksibel. Ia mula dibahaskan sebahagian kecilnya dalam bab ‘aqidah apabila para ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah melihat mazhab Syiah mula mengangkat isu imamah, sebagaimana asalnya mazhab Syiah bermula dengan pertelingkahan politik dan akhirnya menjadi pertelingkahan akidah.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menghuraikan dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Daw’ al-Nusus al-Syar’iyyah wa Maqasiduha, ada kalangan umat Islam melupai urusan pelaksanaan syariat itu ada kaitannya dengan aqidah Islam. Walaupun dimasukkan dalam perkara ijtihad dan furu’ (cabang) di sisi ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah, namun ia tidak boleh dipisahkan daripada aqidah Islam. Ini kerana, pelaksanaan hukum syariat itu adalah amalan yang lahir menjadi bukti daripada iman kepada taklifan wajib melaksanakan hukum daripada al-Quran dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang mesti diikuti. Perkara yang termasuk daripada Rukun Iman dan Rukun Islam.

Politik Yang Baik Tidak Semestinya Sentiasa “Lurus” Tetapi Perlu Ada Strategi

Dapat kita fahami di sini, politik bukanlah semata-mata menurut teori Machiavelli. Jika politik dipandu semata-mata dengan nafsu dan kegilaan ahli politik, jadilah ia bahan ketawa sebagaimana novel satira Animal Farm oleh George Orwell. Akan tetapi, politik itu tidak semestinya sentiasa lurus, bahkan ia ada seni yang tersendiri. Politik yang berakidah dan berakhlak antaranya adalah politik dengan strategi yang mempunyai petunjuk daripada wahyu Ilahi dan panduan Nabawi.

Sebagai contoh, Perang Khandaq tercetus daripada seruan orang Yahudi kepada beberapa kelompok dan pembesar kabilah, atas rasa amarah dan iri hati melihat dakwah Islam semakin berkembang luas. Mereka mula menyusun strategi dengan cara melakukan konspirasi baru untuk mengumpulkan pasukan bagi menyerang umat Islam.

Guru kami, almarhum Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan di dalam tafsirnya (21/263): “Sebab berlakunya Perang Khandaq adalah perlakuan orang Yahudi. Keluar sebahagian golongan daripada Bani Nadhir dan Bani Quraizah, bertemu orang-orang Quraisy di Makkah. Mereka mengajaknya untuk memerangi Rasulullah SAW. Mereka berkata kepada orang-orang Quraisy: ‘Sesungguhnya agama kalian lebih baik dari agama Muhammad.’ Setelah itu, mereka menghadap Bani Ghatafan, Kaisan, Ilan, Bani Marrah, dan Asyja’, dan mengajaknya untuk berperang ke Madinah.  Maka kedua kelompok [kafir penyembah berhala, dan ahli kitab] sepakat untuk membentuk tentara di bawah kepemimpinan Abu Sufyan”

Perancangan itu sampai ke pengetahuan umat Islam dan dikhabarkan kepada Rasulullah SAW. Kemudian Nabi mengajak para sahabat untuk berbincang. Salman al-Farisi mengusulkan agar umagt Islam menggali parit di wilayah utara kota Madinah, yaitu daerah yang bisa menghubungkan antara kedua ujung daerah Harran Waqim dan Harrah al-Wabrah. Daerah ini juga merupakan satu-satunya jalan terbuka di hadapan pasukan musuh. Sedangkan sisi lainnya sudah menjadi benteng, karena terdapat gunung-gunung tinggi, yang dipenuhi pohon kecil, dan dikelilingi pohon-pohon kurma, sehingga bisa menyukarkan unta dan pejalan kaki untuk melintasinya.

Rasulullah SAW dan para sahabat mula menggali tanah dengan ukuran panjang sekitar 3 kilometer, lebarnya lebih kurang 4-6 meter, dengan kedalaman menghampiri 5.5 meter di tengah terik matahari. Ketika pasukan Quraisy dan konspirasinya tiba di Madinah, mereka dikejutkan dengan parit yang menghalang jalan mereka untuk memasuki kota Madinah bagi menyerang umat Islam. Pelbagai caraa mereka lakukan untuk menerobos parit, namun berakhir dengan kegagalan. Ada yang berjaya, tetapi dilempar dengan batu dan kecundang. Selebihnya gagal dengan kecederaan parah bahkan ada yang meninggal dunia.

Di tengah-tengah situasi yang mula meruncing, Allah SWT membuka pintu hidayah kepada Nu’aim bin Mas’ud, seorang lelaki daripada Bani Ghatafan yang pada mulanya membenci Islam. Beliau secara diam-diam bertemu dengan Rasulullah SAW dan berkata:

‌يَا ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ، ‌إنِّي ‌قَدْ ‌أَسْلَمْتُ، ‌وَإِنَّ ‌قَوْمِي ‌لَمْ ‌يَعْلَمُوا بِإِسْلَامِي، فَمُرْنِي بِمَا شِئْتُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إنَّمَا أَنْتُ فِينَا رَجُلٌ وَاحِدٌ، فَخَذِّلْ عَنَّا إنْ اسْتَطَعْتُ، فَإِنَّ الْحَرْبَ خُدْعَةٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sungguh aku telah masuk Islam. Dan kaumku tidak mengetahui bahwa aku telah masuk Islam. Perintahkanlah kepadaku, apa saja yang engkau kehendaki. Rasulullah SAW menjawab: ‘Engkau hanya seorang daripada pihak kami. Kembalilah kepada kaummu, kerana sesungguhnya perang ini adalah tipu daya.” (Al-Rahiq Al-Makhtum, m. 285)

Nu’aim menemui Yahudi Bani Quraizah yang menjadi temannya sejak dahulu. Beliau mengatakan bahwa orang-orang Quraisy dan kabilah Ghathfan tidak berniat bekerjasama dengan mereka. Jika mereka kalah, mereka akan meninggalkan Yahudi sendirian di Madinah melawan Muhammad dan kaum Muslimin. Setelah itu, beliau pergi pula kepada kaum Quraisy dan kabilah Ghathfan dan mengatakan bahwa orang-orang Yahudi tidak berniat bekerjasama dengan mereka. Maka kedua belah pihak saling mencurigai. Kelicikan Nu’aim berjaya membuatkan kesatuan musuh-musuh Islam retak. Seterusnya, beliau bergabung dengan pasukan tentera Islam dan dengan bantuan Allah SWT selepas itu, umat Islam mencapai kemenangan.

Jika kita hayati kisah Perang Khandaq ini, terdapat pelbagai pengajaran yang tersurat dan tersirat dalam usaha membawa gagasan politik yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Musuh ada di mana-mana dan sentiasa merancang dengan penuh teliti. Adakah kita masih di awang-awangan? Adakah kita konsisten dengan retorik politik yang kosong? Atau adakah kita sudah masuk ke dalam perangkap tanpa kita sedar?

Rasulullah SAW, Salman al-Farisi dan Nu’aim bin Mas’ud tidak melihat peperangan itu dalam skala politik yang kecil tetapi menterjemahkannya dalam bentuk tindakan dengan visi dan misi yang jelas untuk ummah. Mereka tidak mempergunakan agama untuk politik peribadi, bahkan memanfaatkan politik untuk urusan agama.

Kesimpulan

Di Timur Tengah, masalah politik dan ekonomi semakin terangkum dengan agama dan identiti nasional. Ia membuatkan ia seolah-olah umat Islam terlibat dalam pertembungan antara tamadun. Jika kita membenarkan pemahaman dangkal ini berakar umbi dalam dasar Barat terhadap dunia Arab dan Islam, kita kita akan mencipta bom jangka untuk dunia Islam yang akan meledak pada bila-bila Islam. Lihat sahaja siapa di belakang Iraq, Palestin, Syria dan lain-lain negara Islam yang masih bergolak. Syeikhul Azhar, Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb pernah menegaskan dalam salah sebuah ucapatamanya di Rom yang dimuatkannya dalam buku al-Qawl al-Tayyib tentang campurtangan Barat dalam isu-isu dalam negara Islam yang akhirnya membawa masalah kepada dunia Islam itu sendiri. Kita tidak mahu ada sebarang unsur luar menyelinap masuk dan cuba “memperbaiki” apa-apa kekurangan atas nama-nama yang kelihatan murni tujuannya. Masalah kita, haruslah diselesaikan cara kita.

Saya yakin, Malaysia mempunyai ramai pelapis pemimpin politik yang ada wibawa dan kompetensi tinggi. Pun begitu, adalah amat menyedihkan jika sebahagiannya tenggelam dalam permainan politik sempit; samada menjadi mangsa atau pemangsa. Akhirnya, kitaran itu akan tetap berlaku dari zaman ke zaman.

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan ke-65, saya meletakkan harapan yang besar untuk masa depan Malaysia. Para pemimpin politik perlu muhasabah, begitu juga penyokong masing-masing. Kita semua perlu kembali memperbaharui niat dan keazaman kita untuk membangunkan Malaysia ke arah yang diredhai Allah SWT.

Selagi kita masih melayani arus ganas politik yang tidak berlandaskan sabar dan yakin, kita tidak akan ke mana-mana dan segala apa yang telah anda baca ini, hanyalah sia-sia. Inilah makna kemerdekaan yang kita mahukan pada masa kini iaitu terus memandang ke hadapan dengan budaya politik baharu.

Beratus tahun negara dijajah,
Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun,
Malaysia bangkit berdiri gagah
Mohon doa langkah disusun.

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami. Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami. Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *