#820: Cara Membersihkan Jilatan Anjing — Najis Mughallazah

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah cara membersihkan atau menyucikan bekas air yang dijilat oleh anjing?  Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.[1]

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[2]

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis.[3]

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah.[4] Hal ini adalah berdasarkan kepada daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[5]

Begitu juga dalam riwayat daripada Abu Hurairah R.A yang lain, bahawa Baginda SAW bersabda:

إذا شَرِبَ الكَلْبُ في إناءِ أحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Maksudnya: “Apabila anjing minum di dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia membasuh bekas tersebut sebanyak tujuh kali.[6]

Selain itu, terdapat dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A yang datang dengan lafaz:

يُغسلُ الإِناءُ إذا ولَغَ فيه الكلبُ سبْعَ مَراتٍ: أُولاهنَّ، أوْ أُخراهُنَّ بِالترابِ

Maksudnya:Dibasuh bekas yang dijilat oleh anjing sebanyak tujuh kali dan basuhan yang pertama atau basuhan yang terakhir itu adalah dengan tanah.”[7]

Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i.[8] Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai hukum jilatan anjing. Menurut mazhab Syafi‘i, jilatan anjing itu menajiskan mana-mana bekas yang dijilatnya dan wajib membasuh bekas itu sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama. Ibn al-Munzir menukilkan berkenaan kewajipan membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan daripada Abu Hurairah, Ibn Abbas, ‘Urwah dan al-Zubair, Tawus, ‘Amr bin Dinar, Malik, al-Auza‘i, Ahmad, Ishaq, Abu ‘Ubaid dan Abu Thaur. Kemudian, Ibn al-Munzir memberikan isyarat bahawa inilah pendapat yang dikatakan (yakni dipegang) olehnya.[9]

Tambahan lagi, Ibn al-‘Uthaimin juga menyatakan, jika najis anjing itu terkena pada selain daripada tanah, maka hendaklah ia dibersihkan sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu basuhan tersebut adalah dengan tanah.[10]

Di samping itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa disunatkan untuk menjadikan basuhan dengan tanah itu pada basuhan yang pertama. Akan tetapi jika dia tidak melakukannya, maka menjadikan basuhan bersama tanah itu pada selain daripada basuhan yang ketujuh adalah lebih baik. Walau bagaimanapun, jika dia tetap menjadikan basuhan bersama tanah itu pada basuhan yang ketujuh, ia adalah dibolehkan. Hal ini kerana terdapat riwayat yang sahih yang menyebutkan sebanyak tujuh basuhan. Ada juga riwayat yang menyebutkan sebanyak tujuh basuhan dan basuhan yang pertama dengan tanah. Begitu juga ada riwayat yang datang dengan lafaz “أُخْرَاهُنَّ” — yakni basuhan terakhir yang bercampur dengan tanah — sebagai ganti kepada lafaz “أُولَاهُنَّ” — yakni basuhan pertama yang bercampur dengan tanah. Selain itu, ada juga riwayat yang menunjukkan bahawa basuhan tanah itu adalah yang kelapan. Sesungguhnya al-Baihaqi dan selainnya meriwayatkan kesemua riwayat ini. Riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa pengikatan antara tanah dan basuhan pertama atau dengan basuhan selainnya bukanlah menjadi syarat kerana yang dimaksudkan di sini ialah salah satunya.[11]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa cara basuhan bekas yang dijilat anjing atau najis mughallazah yang lain adalah dengan air sebanyak tujuh kali basuhan, dan salah satu daripadanya dengan air tanah berdasarkan hadith yang sahih serta pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, disunatkan untuk menjadikan basuhan tanah itu sebagai basuhan yang pertama sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Akan tetapi jika dia tidak melakukannya, maka menjadikan basuhan tanah itu pada selain daripada basuhan yang ketujuh adalah lebih baik. Walau bagaimanapun, jika dia tetap menjadikan basuhan bersama tanah itu pada basuhan yang ketujuh, ia adalah dibolehkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Riwayat al-Nasa’i (66)

[2] Riwayat Muslim (279)

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568.

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40.

[5] Riwayat Muslim (279)

[6] Riwayat al-Bukhari (172)

[7] Riwayat al-Tirmizi (91)

[8] Lihat al-Mughni, 1/73.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/580.

[10] Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/245.

[11] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/582-583.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *