#821: Memakai Pakaian yang Diperbuat daripada Bulu Biri-Biri ketika Solat

[ux_products]

Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Ada kawan saya baru pulang dari luar negara dan menghadiahkan kepada saya pakaian yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Soalan saya, bolehkah memakai pakaian tersebut ketika solat dan sahkah solat saya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[1]

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus.[2]

Begitu juga firman Allah SWT:

وَالْأَنْعَامَ خَلَقَهَا ۗ لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya:Dan binatang-binatang ternak itu, Dia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan.”[3]

Ayat ini menunjukkan bahawa haiwan ternakan itu boleh dimanfaatkan juga sebagai pakaian. Al-Qurtubi menyebutkan, yang dimaksudkan dengan perkataan “دِفْءٌ” ialah pakaian dan selimut yang diperbuat daripada bulu-bulu atau rambut haiwan ternakan bagi memanaskan tubuh badan. Manakala perkataan Sementara perkataan “مَنَافِعُ” pula adalah merujuk kepada manfaatnya yang lain seperti sebagai haiwan tunggangan, mengangkut barang, sumber tenusu, daging dan lemak. Kemudian, dikhususkan dengan menyebut manfaatnya untuk dimakan secara berasingan kerana ia merupakan manfaatnya yang paling utama.[4]

Bulu biri-biri

Secara umumnya, bulu biri-biri ialah serat yang dihasilkan daripada bulu biri-biri dan sesetengah haiwan lain. la diproses menjadi fabrik yang tahan lama dan digunakan untuk membuat selimut, pakaian, hamparan dan barangan lain. Fabrik bulu mudah dibersihkan, dan tidak mudah renyuk serta dapat mengekalkan bentuk asalnya dengan baik. Fabrik bulu juga menyerap lembapan serta menebat sejuk dan panas. Kesemua ciri ini menyebabkan fabrik bulu popular untuk dibuat kot, baju sejuk, sarung tangan, sarung kaki dan pakaian lain. Serat bulu berbentuk hampir seperti silinder. Sisik yang bertindih di permukaannya akan mengusut dan bercantum dalam suhu yang panas, lembap dan bertekanan tinggi. Ciri yang ada pada serat bulu ini dikenali sebagai pemfeltan. Felting dapat menambah kekuatan dan ketahanan fabrik bulu. la juga membolehkan bulu diproses menjadi kain felt.

Sumber bulu. Hampir kesemua bulu datang daripada biri-biri. Haiwan ini — dan bulunya — dikelaskan kepada lima kumpulan, bergantung pada kualiti bulunya. Lima kelas serat bulu biri-biri menurut susun kualitinya ialah (1) serat bulu halus, (2) serat bulu biri-biri kacukan, (3) serat bulu sederhana, (4) serat bulu panjang, dan (5) serat bulu kasar, atau serat bulu permaidani.

Jenis bulu ditentukan oleh mutu bulu biri-biri. Mutunya bergantung pada usia dan keadaan fizikal haiwan tersebut serta cuaca kawasan tempat tinggalnya. Bulu daripada biri-biri yang sihat disaluti oleh sejenis bahan berminyak dinamakan yolka. Yolka terdiri daripada gris bulu dan suin (peluh kering). Ia melindungi biri-biri itu daripada hujan dan mencegah bulunya daripada menjadi kusut. Anak biri-biri menghasilkan bulu yang terbaik. Bulu yang paling lembut dan halus, dikenali sebagai bulu anak biri-biri, diperoleh daripada anak biri-biri yang berusia 6-12 bulan. Bulu biri-biri hog juga dikenali sebagai bulu hogget diperoleh daripada bulu yang pertama kalinya dicukur daripada biri-biri yang berusia 12-14 bulan. Setelah seekor biri-biri itu dicukur untuk pertama kali, bulunya dikenali sebagai bulu biri-biri kembiri.

Bulu yang berkualiti lebih rendah didapati daripada biri-biri yang sudah mati atau sakit. Biri-biri yang telah disembelih untuk mendapatkan dagingnya menghasilkan bulu tarik, juga kadangkala dikenali sebagai bulu biri-biri kulit atau bulu slaip. Bulu biri-biri mati diambil daripada biri-biri yang mati kerana penyakit atau yang dibunuh oleh haiwan lain. Biri-biri yang sudah tua mempunyai bulu yang berserabut dan kusut untuk menghasilkan bulu cotty. Bulu yang dikotori najis dikenali sebagai kepingan yang mempunyai kesan kotor (stain pieces) di England dan Australia manakala di Amerika Syarikat ia dikenali sebagai tag lock

Bulu dikelaskan kepada dua kategori. Bulu biri-biri dara, atau bulu baru, tidak pernah dipintal menjadi benang atau dijadikan felt. Sesetengah fabrik dibuat daripada serat yang digunakan semula daripada bulu yang telah dipintal atau ditenun sebelumnya. Bulu kitar semula ialah nama yang diberikan untuk produk ini. Fabrik yang dibuat daripada bulu kitar semula kadangkala dinamakan bulu buruk.[5]

Kesucian bulu biri-biri

Biri-biri termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan dagingnya. Justeru, menurut mazhab Syafi‘i bulu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci berdasarkan nas al-Quran dan ijmak ummah. Imam al-Haramain dan selainnya menyebutkan bahawa pada asalnya ia diqiaskan sebagai najis seperti mana baki anggota haiwan lain yang terpisah ketika masih hidup. Akan tetapi umat bersepakat ke atas kesuciannya kerana keperluan mereka kepadanya bagi menghasilkan pakaian dan hamparan, serta bulu-bulu daripada haiwan yang disembelih tidak mencukupi bagi perkara tersebut. Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sekiranya terpisah bulu-bulu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya ketika masih lagi hidup, sama ada secara sendirinya atau dicabut, maka terdapat perbezaan pendapat mengenai hukumnya dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Pendapat yang sahih berkenaannya sebagaimana diputuskan oleh Imam al-Haramain, al-Baghawi dan jumhur bahawa ia adalah suci.[6]

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijmak para ulama.[7]

Oleh yang demikian, hukum asal bulu biri-biri adalah suci dan bersih melainkan jika terdapat padanya kesan najis, maka ketika itu ia dianggap sebagai mutanajjis — yakni sesuatu yang terkena najis. Apabila dibersihkan dan dihilangkan najis tersebut, ia kembali menjadi suci dan bersih.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.[8]

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa solat yang didirikan dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu biri-biri adalah sah kerana bulu-bulu itu dihukumkan sebagai suci dan bersih. Lebih-lebih lagi umat sudah bersepakat atas kesuciannya disebabkan oleh keperluan mereka kepadanya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Haramain.

Walau bagaimanapun, jika terdapat pada bulu itu kotoran najis, maka ia dikira sebagai mutanajjis — sesuatu yang terkena najis. Apabila dibersihkan dan dihilangkan najis itu, ia kembali kepada hukum asalnya iaitu suci dan bersih, serta sah solat dengan memakainya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

 

[1] Surah al-Baqarah: 168

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

[3] Surah al-Nahl: 5

[4] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/69-70.

[5] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 4/365-366.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/241.

[7] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235.

[8] Riwayat Abu Daud (365)

Latest articles

Related articles