#828: Ibn Al-Sabil Dalam Asnaf Zakat

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang golongan Ibn al-Sabil dalam asnaf zakat? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Zakat dan Golongan Penerimanya

Pada asasnya, zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.[1]

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[2]

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.”[3]

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain.[4]

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Ibn al-Sabil (Musafir) iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji.[5]

Selain itu, para ulama’ turut membahagikan asnaf kepada muqaddam dan muakkhar berdasarkan turutannya dan kata awalannya iaitu, li (ل) dan fi (في) di dalam ayat 60 Surah al-Taubah di atas. Maka, dibahagikan asnaf zakat seperti berikut:

  • Asnaf Muqaddam (terawal dan didahulukan): fakir, miskin, amil dan muallaf.
  • Asnaf Muakkhar (terakhir dan dikemudiankan): al-riqab, al-gharimin, fi sabilillah dan ibn al-sabil.[6]

Pengertian Golongan Ibn al-Sabil dalam Asnaf Zakat

Dalam menjawab persoalan di atas, lafaz ibn bermaksud anak, manakala al-Sabil bermaksud jalan. Maka, secara ringkasnya, ia bermaksud anak jalan. Lafaz ini merupakan satu kiasan terhadap orang yang selalu merantau atau bermusafir disebabkan mereka selalu berada di jalan bagi tujuan permusafiran tersebut. [7]Penyifatan sesuatu sebagai ‘anak’ daripada sesuatu yang dia sertai adalah merupakan satu lumrah dalam tatabahasa Arab, sepertimana disebut

Menurut Ibn Qudamah, Ibn al-Sabil adalah musafir yang tidak memiliki (harta) untuk membekali kepulangannya ke negara asalnya, sementara dia merupakan orang yang mampu di negaranya. Maka, dia diberikan sekadar apa yang mencukupinya sebagai bekal untuk kembali ke negaranya.[8] Ibn al-Sabil berhak memperoleh harta zakat sekadar keperluan safarnya, tidak lebih.[9]

Dalam mazhab Syafi‘i, Ibn al-Sabil ditakrifkan sebagai orang yang berada di suatu kawasan harta sedekah (zakat), dan dalam permusafiran yang bukan maksiat, namun dia tidak mampu untuk sampai ke destinasi melainkan diberi bantuan kepadanya. Jelas Imam al-Nawawi, terdapat dua golongan yang boleh dikategorikan sebagai Ibn al-Sabil. Pertama, anak watan atau bukan, atau orang yang bermukim di sesuatu tempat yang ingin memulakan perjalanannya. Kedua, orang asing yang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanannya.[10]

Mazhab Hanafi pula mendefinisikan Ibn al-Sabil sebagai orang asing yang terputus hartanya meskipun dia seorang yang kaya di tanah airnya. Ini disebabkan dia dianggap sebagai seorang fakir pada masa tersebut.[11]

Menurut Mazhab Maliki, Ibn al-Sabil adalah orang asing yang memerlukan harta bagi meneruskan perjalanan ke destinasinya. Ia mestilah bukan dalam perkara maksiat, dan dia tidak memiliki wang untuk menyara dirinya meskipun dia memilikinya di tanah air.[12]

Berdasarkan beberapa kenyataan yang dinukilkan di atas, dapat difahami bahawa pada asasnya, Ibn al-Sabil adalah mereka yang terkandas atau menghadapi kesukaran dalam perjalanan disebabkan terputusnya bekalan, di mana jika disalurkan bantuan tersebut kepadanya, ia akan membantu mereka untuk sampai ke tempat yang dituju.

Selain itu, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Musafir ialah orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong. Dia layak diberikan harta zakat yang mencukupi untuk perjalanan pergi dan balik. Begitu juga perbelanjaan, kenderaan dan binatang tunggangan untuk membawa barang-barangnya sekiranya dia tidak mampu membawanya sendiri. Namun, jika bermusafir dengan tujuan maksiat, maka zakat tidak boleh diberikan kepadanya melainkan setelah dia bertaubat.[13]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[2] (Surah al-Taubah: 60)

[3] Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265

[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62

[6] Lihat Fiqh al-Zakat, 2/70-71

[7] Lihat Lisan al-‘Arab, 6/162-163

[8] Lihat al-Mughni, 6/484

[9] Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 1/298

[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/214

[11] Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/908

[12] Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/498

[13] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/34)

Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[2] (Surah al-Taubah: 60)

[3] Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265

[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62

[6] Lihat Fiqh al-Zakat, 2/70-71

[7] Lihat Lisan al-‘Arab, 6/162-163

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/214

[9] Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/908

[10] Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/498

[11] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/34)

Latest articles

Related articles