#856: Tanaman dan Buah-buahan yang Diwajibkan Zakat

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah jenis tanam-tanaman dan buah-buahan yang diwajibkan zakat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[1]

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia.[2]

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”[3]

Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”[4]

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.[5]

Tanaman dan Buah-buahan yang Diwajibkan Zakat

Tanam-tanaman dan buah-buahan yang wajib dizakatkan adalah yang menjadi makanan asasi manusia dalam keadaan biasa, boleh disimpan lama, dan tidak rosak. Antara buah-buahan yang wajib zakat ialah kurma dan anggur manakala tanam-tanaman pula adalah seperti gandum, barli, padi, kacang, dal, kacang putih, jagung dan sebagainya.

Sebarang makanan pada masa kesusahan dan musim kemarau tidak dianggap sebagai makanan asasi. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

كُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ

Maksudnya: Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetic hasilnya.[6]

Dalam kitab al-Masa’il al-Mustajiddah menyebut dhawabit zakat tanaman, iaitu:

  • Jenis bijian seperti gandum, sya’ir, kacang dan lain-lain.
  • Jenis buahan yang disukat dan disimpan seperti kurma, zabib, fustuq (kacang cerdik).

Ini berdasarkan kenyataan al-Buhuti: “Wajib zakat pada setiap yang boleh disukat dan ditimbang secara nas.”[7]

Atas asas inilah jenis-jenis tanaman tidak dikenakan zakat:

  • Buah-buahan seperti epal, pisang, limau, durian, salak, duku, langsat, rambutan, belimbing, dan lain-lain.
  • Jenis sayur-sayuran termasuk bawang putih, bawang merah, sawi, kubis dan lain-lain.
  • Jenis sayuran renek seperti jarjir, na’na’, khurfus, tauge dan lain-lain.
  • Jenis yang bukan bijirin dan buah-buahan seperti kapas juga tidak diwajibkan zakat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Taubah (103)

[2] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913

[3] Riwayat al-Bukhari (1496)

[4] Surah al-Syams: 9

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[6] (Surah al-An’am: 141)

[7] Lihat Syarah al-Muntaha, 2/226

Latest articles

Related articles