Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah diwajibkan zakat harta bagi kanak-kanak dan orang gila?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [1]
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. [2]
Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.” [3]
Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah. Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).” [4]
Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.
Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.
Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. [5]
Dalil Kewajipan Berzakat
Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya:
لَمَّا تُوُفِّيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَاتَلَ مَنْ كَفَرَ مِنَ الْعَرَبِ، فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: كَيْفَ تُقَاتِلُ النَّاسَ، وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَاللَّهِ لأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلاَةِ وَالزَّكَاةِ، فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الْمَالِ، وَاللَّهِ لَوْ مَنَعُونِي عَنَاقًا كَانُوا يُؤَدُّونَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهَا. فَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: فَوَاللَّهِ مَا هُوَ إِلاَّ أَنْ رَأَيْتُ أَنْ قَدْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ لِلْقِتَالِ فَعَرَفْتُ أَنَّهُ الْحَقُّ.
Maksudnya: “Setelah Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar RA memerangi orang Arab yang murtad. Umar RA bertanya kepada Abu Bakar RA: Mengapa kamu memerangi mereka, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: Aku diperintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengucap لا إله إلا الله? Abu Bakar menjawab: Demi Allah, aku tetap akan memerangi mereka yang membezakan solat dengan zakat. Sesungguhnya zakat itu adalah hak terhadap harta. Demi Allah, sekiranya mereka enggan menyerahkannya walaupun seekor anak kambing, sebagaimana yang telah mereka berikannya dahulu kepada Rasulullah SAW, aku akan perangi mereka kerana menentang kewajipan berzakat. Lalu, Umar RA berkata: Demi Allah, ini tidak lain melainkan Allah SWT telah membuka pintu hati Abu Bakar RA memerangi mereka dan aku mengetahui bahawa tindakannya adalah benar.” [6]
Syarat-syarat yang Mewajibkan Seseorang Mengeluarkan Zakat
Selain itu, para fuqaha’ juga telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya yang disebut Imam Khatib al-Syarbini bahawa terdapat lima syarat, iaitu:
- Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir
- Merdeka, iaitu bukan hamba.
- Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas hamba al-mukatabkerana mempunyai pemilikan yang lemah terhadap hartanya.
- Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat sekiranya mencukupinya.
- Sempurna haul, iaitu cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.
- Digembalakan, iaitu syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan yang wajib dikeluarkan zakat hendaklah digembalakan di padang-padang ragut yang harus. [7]
Jika dilihat pada syarat wajib zakat di atas, tiada syarat baligh dan berakal seperti kebiasaannya yang ada pada ibadat-ibadat wajib yang lain seperti solat dan puasa.
Walaubagaimanapun, para fuqaha’ tidak meletakkan syarat baligh dan berakal sebagai syarat wajib zakat, menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang gila wajib untuk menunaikan zakat jika sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas. Hal ini disebut secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya:
Imam al-Mawardi menyebut dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir dengan menukilkan pandangan Imam al-Syafie: “Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), dari pemilik orang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat.” [8]
Syeikh Hasan al-Kaff turut menjelaskan hal ini, katanya: Tidak termasuk dalam syarat-syarat wajib zakat, syarat baligh dan berakal. Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila. Dan yang diperintahkan untuk melaksanakan demikian bagi pihak mereka ialah wali mereka. [9]
Zakat Harta Kanak-kanak dan Orang Gila
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Berdasarkan penjelasan syarat wajib zakat, dapat difahami bahawa tidak disyaratkan pemiliknya seorang baligh, berakal dan cerdik dalam kewajiban berzakat. Harta kanak-kanak dan harta orang gila adalah wajib dikeluarkan zakat. Ini tidak bermaksud mereka sendiri yang mengeluarkannya.
Sebenarnya, hak zakat yang ada dalam harta mereka yang telah cukup syarat-syaratnya, wajib ke atas wali untuk mengeluarkan bagi pihak mereka. Sekiranya wali cuai, merekalah yang akan berdosa dan mendapat seksa Allah SWT. Jika kanak-kanak dan orang gila tidak mempunyai wali, maka zakat yang tertunggak menjadi tanggungjawab kepada mereka untuk mengeluarkannya apabila baligh dan siuman.
Antara dalil diwajibkan zakat harta bagi kanak-kanak dan orang gila[10] adalah, firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).” [11]
Seterusnya, Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ ﴿٢٤﴾ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Maksudnya: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” [12]
Ayat tersebut menunjukkan bahawa Allah SWT memberi hak memiliki harta kepada hamba-Nya yang tertentu. Nabi SAW diperintah oleh Allah untuk mengambil sebahagian kecil harta tersebut pada masa tertentu. Tujuan pengambilan itu ialah supaya harta yang berbaki diambil sebahagian darinya menjadi bersih daripada syubhah dan terpelihara. Allah tidak membezakan orang yang memiliki harta dengan orang yang tidak memilikinya dan Allah tidak mengkhususkan harta tertentu untuk dikeluarkan zakat.
Hadith daripada Sayyidina Abu Bakar RA, katanya:
هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِى فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Ini merupakan kewajipan mengeluarkan zakat yang telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.” [13]
Hadith yang lain pula, daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ لَهُ وَلاَ يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ
Maksudnya: “Sesiapa memelihara anak yatim yang mempunyai harta, hendaklah diurusniagakan harta tersebut bagi pihaknya. Jangan biar ia dihabiskan oleh zakat semata-mata.” [14]
Anak yatim ialah kanak-kanak yang belum baligh dan kematian bapanya.
Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda:
اِبْتَغُوا فِي أَمْوَالِ الْيَتَامَى حَتَّى لاَ تُذْهِبَهَا أَوْ تَسْتَهْلِكَهَا الصَّدَقَةُ
Maksudnya: “Hendaklah diurusniagakan harta anak yatim supaya ia tidak terhapus atau tidak dihabiskan oleh zakat.” [15]
Kedua-dua hadith tersebut menunjukkan harta yang tidak diurusniagakan akan habis kerana dikeluarkan zakatnya. Walau bagaimanapun, harta kanak-kanak tidak boleh disedekahkan kecuali sedekah wajib. Oleh itu, tidak harus bagi seseorang membuat apa-apa sumbangan daripada harta kanak-kanak yang berada di bawah jagaannya.
Penjelasan tersebut menjadi dalil wajib zakat bagi harta kanak-kanak. Zakat harta orang gila pula diqiaskan dengan harta kanak-kanak kerana kedua-dua hukumnya adalah sama.
Selain itu, penjelasan hal ini juga boleh dilihat dari sudut qiyas. Zakat harta diqiaskan dengan zakat fitrah. Ulama’ bersepakat mengatakan bahawa wajib zakat fitrah ke atas kanak-kanak dan orang gila. Oleh itu, sifat keanak-anakan dan segala sifat gila tidak menghalang wajib untuk mengeluarkan zakat fitrah. Begitu juga wajib mengeluarkan zakat harta pada kedua-duanya apabila cukup syaratnya. Tujuan zakat dikeluarkan untuk memenuhi keperluan golongan fakir dan membersihkan harta dengan mengasingkan bahagian mereka yang berhak menerimanya tanpa memandang keadaan pemiliknya. Oleh itu, zakat tetap dilaksanakan selagi seseorang itu berpegang dan patuh kepada syariat Islam secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, hukum zakat tetap melibatkan harta kanak-kanak dan orang gila. Tambahan pula, apabila harta kedua-duanya boleh dikeluarkan untuk membayar hutang mereka. Begitulah juga dengan zakat kerana hutang dan zakat tersebut kedua-duanya melibatkan harta.
Zakat bukanlah ibadat badan semata-mata, yang memerlukan cukup syarat taklif (التكليف) kepada pemilik harta dan gugur kewajipannya jika kurang syarat-syarat tersebut. Ini adalah ibadat yang berkaitan dengan harta menjadi satu dasar untuk menegakkan keadilan ekonomi bagi memenuhi keperluan anggota masyarakat.
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dan melihat kepada penjelasan syarat wajib zakat, dapat difahami bahawa tidak disyaratkan pemiliknya seorang baligh, berakal dan cerdik dalam kewajiban berzakat. Justeru, harta kanak-kanak dan harta orang gila adalah wajib dikeluarkan zakat sekiranya mencukupi syarat-syarat wajib zakat seperti yang telah dijelaskan.
Ini tidak bermaksud mereka sendiri yang mengeluarkannya. Hak zakat yang ada dalam harta mereka yang telah cukup syarat-syaratnya, wajib ke atas wali untuk mengeluarkan bagi pihak mereka. Sekiranya wali cuai, merekalah yang akan berdosa dan mendapat seksa Allah SWT. Jika kanak-kanak dan orang gila tidak mempunyai wali, maka zakat yang tertunggak menjadi tanggungjawab kepada mereka untuk mengeluarkannya apabila baligh dan siuman.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Taubah (103)
[2] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913
[3] Riwayat al-Bukhari (1496)
[4] Surah al-Syams: 9
[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11
[6] Riwayat al-Bukhari (1335) dan Muslim (20)
[7] Lihat al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/212-213
[8] Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/329)
[9] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 397
[10]Jumhur ulama’ berpendapat: Wajib zakat kanak-kanak dan orang gila kerana matlamat zakat untuk menolong golongan fakir tanpa mengira usia atau keadaan pemberi zakat. Ini bersalahan dengan pendapat tersebut di sisi Mazhab Hanafi yang mensyaratkan baligh dan berakal.)
[11] Surah al-Taubah (103)
[12] Surah al-Ma’arij: 24-25
[13] Riwayat al-Bukhari (1386)
[14] Riwayat al-Daraqutni (2/110)
[15] Riwayat al-Syafie dalam kitabnya al-Umm (2/23-24)