#864: Sukar Membaca al-Fatihah di Belakang Imam

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya menghadapi masalah untuk mendengar bacaan bacaan al-Fatihah sendiri ketika imam sedang membaca atau wujudnya gangguan bunyi bising yang lain. Saya tidak boleh membaca dengan baik apabila tidak mendengar butiran bacaan tersebut. Hal ini menyebabkan saya perlu membaca dengan kuat sehingga mengganggu jemaah yang lain. Adakah saya boleh berpegang dengan pendapat bahawa tidak perlu membaca al-Fatihah di belakang imam? Ketika solat yang dibaca perlahan, saya tiada masalah untuk membacanya. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri yang antaranya merangkumi rukun fi’li (perbuatan), rukun qauli (ucapan) dan rukun qalbi (hati). Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dibaca dalam solat, selain bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat.

Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya“Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.” [1]

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya“Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.” [2]

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa Arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.” [3]

Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang mazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk. [4]

Manakala berkenaan bacaan makmum ketika bersama imam, Imam Nawawi menyebut:

وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ

MaksudnyaJumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat). [5]

Bacaan al-Fatihah Sebagai Rukun Qauli dalam Solat

Seperti yang telah dijelaskan di atas, rukun dibahagikan kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun qauli (pertuturan atau bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan). Antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri.

Syeikh al-Sayyid Abdullah al-Hadrami menyebutkan di dalam kitabnya bahawa: “(Rukun) Qauliyyah ada lima: Takbiratul Ihram pada awal solat, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir.” [6]

Justeru, daripada kenyataan tersebut, dapat difahami bahawa terdapat lima rukun qauli, iaitu:

  • Takbiratul ihram
  • Bacaan Surah al-Fatihah
  • Bacaan tasyahhud akhir
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
  • Salam

Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya. [7]

Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyati turut menegaskan perkara ini dengan katanya: “(Dan wajib mendengar) yakni Takbiratul ihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik, dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahhud akhir dan memberi salam.” [8]

Menurut Imam al-Nawawi pula, bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar. [9]

Dalam kitab al-Majmu’ pula, beliau menyebut: “Bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan al-Fatihan, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.” [10]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut: “Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu. [11]

Begitu juga yang ditegaskan dalam kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah dengan menyebut: Jawapan bagi persoalan (adakah seseorang itu disyaratkan untuk mendengar bacaan al-Fatihahnya) adalah, tiga daripada para imam mujtahid bersepakat bahawa jika sekiranya sekiranya seseorang itu tidak mendengar bacaannya, maka ia tidak dianggap sebagai membacanya. [12]

Selain itu, seseorang makmum juga ditegah daripada membaca dengan kuat di belakang imam, bahkan sepatutnya dia membaca dengan perlahan sekadar hanya boleh didengari oleh dirinya sendiri. Imam al-Nawawi menyebut fakta ini dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (3/364): “Apabila kita berpendapat bahawa wajib bagi makmum untuk membaca (al-fatihah) ketika solat jahar (yang dibaca kuat seperti subuh dan solat Jumaat), (tetapi) makruh bagi makmum untuk menguatkan (bacaannya) sampai mengganggu jirannya (yakni orang lain sekelilingnya) bahkan hendaklah dia memperlahankan (suaranya) sampai hanya boleh didengar oleh dirinya sendiri, jika dia seorang yang sami` (tidak pekak) dan tiada suatu yang menyibuk (atau mengacau bacaan itu) daripada bunyi bising dan selainnya, kerana itulah sekurang-kurang kadar bacaan yang memadai.”

Sekalipun kenyataan di atas menunjukkan larangan makruh, namun sebahagian para ulama Syafieyyah menegaskan keharamannya apabila ia mengganggu orang lain, kerana itu adalah mudarat. Berkata Imam Ba Fadhl dalam al-Muqaddimah al-Hadhramiah: “Dan diharamkan menguatkan suara sekiranya mendatangkan tasywisy (mengacau bacaan) atas orang lain.”

Perbezaan pendapat ini cuba diharmonikan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Minhaj al-Qawim (hlm. 125-126): “[Dan diharamkan] ke atas setiap seorang untuk menguatkan bacaan semasa solat atau diluarnya [jika mengacau orang lain] seperti orang yang sedang bersolat, yang sedang membaca al-Quran, atau tidur, kerana mendatangkan mudarat, dan merujuk bagi ucapan yang mengacau itu sekalipun terhadap fasiq kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. Apa yang disebut daripada hukum haram itu adalah yang zahir (daripada nas al-Muqaddmah al-Hadhramiah), tetapi dinafikan pengharaman itu dengan kalam (Imam al-Nawawi) dalam al-Majmu’ dan selain itu, maka bahawasanya itu seakan-akan yang sarih (yang jelas) ialah bukan hukum haram, melainkan jika cuba dihimpunkan (kedua-dua pendapat itu) dengan kemungkinan bahawa makruh jika tasywisy (pengacauan) itu hanyalah ringan.”

Larangan ini relevan kerana Syariat Islam tertegak atas dasar menolak kemudaratan. Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.” [13]

Begitu juga dalam Busyra al-Karim (hlm.286), al-Allamah al-Habib Ba `Isyn bersetuju dengan pengharmonian tersebut dan memasukkan situasi jika tidak terdapat keuzuran: “[Dan diharamkan] ke atas orang yang sedang bersolat, dengan syarat tiada keuzuran, untuk [menguatkan bacaan] di dalam solat dan di luarnya [sekiranya mengacau orang lain] seperti orang yang bersolat, membaca al-Quran dan selain kedua mereka, kerana mendatangkan mudarat.

Dan diambil (faham) daripada ucapan yang mengacau itu, termasuklah larangan jika berlaku kepada orang yang fasiq sekalipun, kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. (Hukum haram ini) jika pengacauan itu bersifat melampau. Jika tidak melampau, maka hukumnya adalah makruh. Dengan cara ini, maka harmonilah khilaf (yang disebutkan diatas). Adapun jika terdapat keuzuran, seperti suasana bising sehingga seseorang itu memerlukan untuk menguatkan suara, lalu dia mendatangkan bacaan berdasarkan keadaan itu, maka tidak makruh atau haram.[14]

Justeru, berdasarkan perbahasan di atas, dapat kita simpulkan poin-poin berikut:

  • Makruhhukumnya bagi seorang makmum membaca kuat semasa solat berjemaah kerana boleh mengganggu orang lain dan mereka hanya disunatkan membaca dengan perlahan sekadar didengari oleh diri sendiri.
  • Jika makmum membaca kuat sehingga begitu mengganggu orang lain,dan juga mengacau bacaan orang yang berada di sebelah, maka hukumnya adalah haram.
  • Tidak haram mahupun makruhjika tidak mengganggu orang lain, dan terdapat keuzuran seperti bunyi bising. Namun tidak diwajibkan untuk menguatkan suara jika terdapat bunyi bising, memadai dia membaca kadar suara pada keadaan yang tidak bising.
  • Disunatkanuntuk makmum menguatkan suara apabila mengucapkan amin selepas bacaan al-Fatihah Imam dalam solat jahriyyah, termasuk juga sewaktu qunut, dan bagi makmum yang menjadi muballigh.

 

Perbezaan Pandangan Ulama Berkenaan Hukum Membaca Surah al-Fatihah oleh Makmum

Dalam mazhab-mazhab yang lain, berikut kami ambil petikan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah berkenaan hukum bacaan Surah al-Fatihah oleh makmum di belakang imam:

“Para fuqaha’ berbeza pandangan tentang (hukum) membaca (surah al-Fatihah) di belakang imam. Malikiyyah dan Hanabilah berpandangan bahawa tidak diwajibkan makmum membaca (al-Fatihah) sama ada dalam solat jahriyyah (solat yang dibaca nyaring seperti solat Subuh) atau sirriyyah (solat yang dibaca perlahan solat Zuhur) berdasarkan sabda Nabi ﷺ daripada Jabir bin Abdullah RA:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَةُ الإْمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai imam maka bacaan imam adalah bacaan baginya.” [15]

Imam Ibn Qundus daripada kalangan ulama Hanabilah menyebut: “Pendapat yang zahir ialah bacaan Imam cukup mengambil tempat bagi bacaan makmum, jika solat Imam itu sah. (Makmum disunatkan membaca surah al-Fatihah) sebagai langkah berhati-hati jika imam itu berhadas atau bernajis, sekalipun jika dia mengetahuinya, dan kami berpendapat dengan sahnya solat makmum itu, kerana itu makmum perlu membaca apabila tidak sahnya solat solat Imam. Maka jadilah bacaan imam itu tidak dikira atas dasar nisbahnya sebagai rukun dalam solat. Justeru, tidak gugur daripadanya kewajipan membacanya.”

Mazhab Malik dan Hanbali menaskan bahawa bagi makmum sunat untuk membaca al-Fatihah semasa solat sirriyyah.

Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa bacaan al-Fatihah itu adalah diwajibkan (ke atas makmum) dalam solat sirr, dan ini juga merupakan pendapat Ibn al-Arabi daripada ulama Malikiyyah yang mewajibkan makmum membacanya dalam solat sirriyyah.

Hanafiyyah pula berpandangan bahawa makmum tidak perlu membaca apa-apa secara mutlak di belakang imam sekalipun dalam solat sirriyyah, malah menganggap membacanya adalah makruh tahrim jika dilakukan di belakang imam, walaupun jika dibaca solatnya tetap sah menurut pendapat yang asah (lebih sahih).

Mereka berkata: “Makmum hendaklah mendengar apabila imam menguatkan suaranya dan dia apabila Imam membaca perlahan.”

Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas yang berkata apabila Baginda menjadi imam dan ada orang yang membaca di belakang Baginda lalu turunlah ayat: “

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya)” [16]

Imam Ahmad berkata: “Manusia telah berijmak bahawa ayat ini diturunkan dalam solat.”

Ibn Abidin menukilkan daripada kitab al-Bahr“Hasil (manfaat) daripada ayat itu adalah bahawa sesungguhnya dituntut dengannya dua perkara; mendengar dan diam. Lalu hendaklah diamalkan dengan kedua-duanya. Maka yang pertama itu dikhususkan bagi solat jahriyyah dan yang kedua tidak dikhususkan, maka hukum bergerak atas kemutlakannya. Justeru, wajib dia ketika dibacakan secara mutlak. Daripada Zaid bin Thabit: “Tidak ada bacaan bersama imam pada suatu apa pun. Terdapat 80 orang daripada kibar Sahabat yang melarang makmum daripada membaca. Ini kerana makmum itu disuruh untuk mendengar secara ijmak maka tidak wajib ke atasnya (untuk membaca) apa pun kerana akan menafikan ijmak itu, oleh sebab dia tidak akan mampu untuk menghimpunkan kedua-duanya (membaca dan mendengar). Maka jadilah kes yang sama dengan isu khutbah. Sesungguhnya ketika khutbah, apabila seseorang itu disuruh untuk mendengar khutbah, tidak wajib ke atas setiap yang mendengar untuk berkhutbah sendiri-sendiri bahkan tidak boleh, begitulah perkara ini.”

Manakala golongan Syafieyyah berpandangan wajib membaca al-Fatihah ke atas makmum, sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah)” [17]

Begitu sabda Nabi ﷺ:

لَا تُجْزِئُ صَلَاةٌ لَا يَقْرَأُ الرَّجُلُ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak memadai solat orang yang tidak membaca fatihah al-kitab di dalamnya.” [18]

Para ulama Syafieyyah dan Hanabilah juga menaskan bahawa makruh ke atas makmum untuk membaca (al-Fatihah) semasa imam sedang membaca secara jahar, tetapi Syafieyyah mengecualikan keadaan apabila makmum itu berasa takut akan terlepas (atau tidak sempat menghabiskan) sebahagian bacaan al-Fatihah.

Ulama Syafieyyah juga menaskan bahawa jika seorang makmum itu mengetahui yang imamnya tidak akan membaca surah lain selepas al-Fatihah, atau membaca surah yang pendek sehingga makmum itu tidak mungkin dapat menyempurnakan bacaan al-Fatihah, maka (diharuskan) dia membacanya bersama ketika imam juga membacanya. Digalakkan bagi makmum untuk membaca semasa saktah imam (yakni ketika imam diam selepas membaca al-fatihah), atau apabila makmum tidak dengar bacaan imam atar faktor jauh atau pekak.

Ulama Hanabilah al-berkata: “Disunatkan untuk membaca ketika saktah imam menurut mazhab (Hanbali).”

Syeikh Taqiuddin berkata: “Muqtadha (yakni keputusan) berdasarkan nas-nas Imam Ahmad dan majoriti ashabnya bahawa membaca selain bacaan al-Fatihah itu afdhal (semasa saktah).”

Dia berkata dalam Jami` al-Ikhtiyarat“Keputusannya, hanyalah adfhal membaca selain al-fatihah itu apabila dia mendengarnya (yakni makmum mendengar bacaan al-Fatihah imam) jika dia tidak mendengarnya maka yang afdhal adalah al-Fatihah berbanding selainnya.”

[19]

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat disimpulkan seperti berikut:

  • Mazhab HanafiMakruh tahrimke atas makmum untuk membaca Surah al-Fatihah di belakang imam, sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, tetapi solat makmum tetap sah.
  • Mazhab Malik:Bacaan Surah al-Fatihah tidak wajib secara mutlak bagi makmum sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, tetapi sunat bagi makmum membacanya dalam solat sirriyyah. Ibn al-Arabi daripada ulama Malikiyyah mewajibkan makmum membacanya dalam solat sirriyyah.
  • Mazhab Syafie:Bacaan Surah al-Fatihah adalah diwajibkan sebagai rukun ke atas makmum secara mutlak. Sunat membacanya semasa saktah imam melainkan jika dikhuatiri imam tidak membaca surah lain, membaca surah pendek, atau terus rukuk, maka diharuskan tanpa makruh membaca al-Fatihah bersama dengan imam.
  • Mazhab Hanbali:Bacaan Surah al-Fatihah tidak wajib bagi makmum secara mutlak tetapi sunat bagi makmum membacanya dalam solat sirriyyah dan semasa saktah imam. Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa bacaan al-Fatihah itu adalah diwajibkan (ke atas makmum) dalam solat sirriyyah.

Kesimpulan dan Tarjih

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

  • Kami cenderung kepada pendapat mazhab al-Syafie bahawa hukum membaca surah al-Fatihah oleh makmum adalah diwajibkan secara mutlakdalam solat sirriyyah atau solat jahriyyah kerana ia adalah satu rukun di dalam solat. Pengecualian diberikan dalam kes makmum masbuk yang tidak sempat berdiri bersama Imam dengan kadar bacaan surah al-Fatihah yang sederhana, maka bacaannya ditanggung oleh Imam dan hendaklah dia tinggalkan bacaan dan rukuk bersama dengan imam untuk mendapatkan rakaat itu.
  • Kami juga berpendapat bahawa tidak perlu dikuatkan suara semasa membaca Surah al-Fatihah sehingga mengganggu orangyang bersebelahan dengan kita, kerana hendak didengari oleh telinga sendiri. Kita diberikan rukhsah oleh Hukum Syarak untuk membaca dengan kadar suara yang didengari dalam keadaan yang sunyi, apabila kita berada dalam keadaan yang bising, sekalipun kita tidak dapat mendengar suara sendiri dalam keadaan bising itu. Cukup kita membaca dengan menghadirkan hati pada lafaz-lafaz bacaan dengan tenang dan sederhana.
  • Sekiranya penjelasan di atas tidak menghilangkan kesukaran yang dihadapi, kami cenderung kepada pendapat bahawa diharuskan untuk bertaqlid kepada mazhab Jumhuryang tidak mewajibkan bacaan al-Fatihah dalam solat jahriyyah, dalam keadaan hajat atau darurat.

Semoga jawapan di atas memberikan manfaat kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

 

[1] Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

[2] Riwayat Muslim (907)

[3] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288

[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365)

[6] Lihat Safinah al-Naja hlm. 44

[7] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/189

[8] Lihat I`anatu al-Talibin, 3/295

[9] Lihat Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/242

[10] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/394

[11] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie1/241

[12] Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1/201

[13] Riwayat Ibn Majah (2341)

[14] Lihat Busyra al-Karim, hlm. 286

[15] Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (117) dan Ahmad dalam Musnad-nya (14643)

[16] Surah al-A`raf: 204

[17] Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

[18] Riwayat al-Daraqutni (1225) dalam Sunan-nya daripada Ziyad. Beliau mengatakan hadis ini isnadnya sahih.

[19] Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52-54

Latest articles

Related articles