#897 Waktu Solat Witir

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bilakah waktu solat sunat witir? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir ialah sunat muakkad.  Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali R.A, katanya:

إنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”[2]

Hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya:Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”[3]

Imam al-Nawawi menyebutkan, solat witir adalah sunat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa khilaf. Bilangan rakaatnya yang paling sedikit ialah sebanyak satu rakaat. Manakala tahap kesempurnaannya yang paling rendah adalah dengan melakukannya sebanyak tiga rakaat, dan tahap yang lebih sempurna daripada itu pula adalah dengan mendirikannya sebanyak lima rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak tujuh rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sembilan rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaatnya yang paling banyak menurut pendapat masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab serta ramai ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa waktu solat witir ialah antara solat Isyak dan terbit fajar.[5] Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَمَدَّكُمْ بِصَلاَةٍ وَهِىَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ وَهِىَ الْوِتْرُ فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya:Allah ‘Azza wa Jalla mengurniakan kamu solat yang lebih baik daripada unta merah. Solat itu ialah solat witir yang ditentukan waktunya di antara solat Isyak sehingga terbit fajar.”[6]

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i mengenai waktu permulaan witir. Pendapat yang sahih lagi masyhur yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama, waktu witir bermula selepas selesai solat fardhu Isyak, tidak kira dia sudah mendirikan solat sunat antaranya dengan solat Isyak ataupun tidak, begitu juga sama ada dia berwitir dengan satu rakaat ataupun lebih. Jika dia berwitir sebelum solat Isyak, maka witirnya itu tidak sah sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, sama ada dia menyangka sudah mendirikan solat Isyak atau menyangka keharusannya. Begitu juga jika seseorang itu mendirikan solat Isyak dengan sangkaan bahawa dia suci daripada hadas, lalu dia berhadas. Kemudian, dia berwuduk dan mendirikan solat witir. Kemudian, terbukti bahawa dia sebenarnya telah berhadas sejak daripada Isyak lagi, maka witir yang telah dilakukannya itu terbatal — tidak sah.

Pendapat yang kedua, masuk waktu witir dengan masuknya waktu Isyak. Justeru, seseorang itu boleh mendirikan solat witir sebelum mendirikan solat fardhu Isyak. Pendapat ini dinukilkan oleh Imam al-Haramain dan lain-lain, serta diputuskan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib. Mereka menyatakan, tidak kira sama ada orang itu melakukannya secara sengaja ataupun tidak sengaja — yakni solat witir sebelum solat fardhu Isyak. Manakala pendapat yang ketiga pula menyatakan, jika seseorang itu berwitir dengan banyak rakaat, maka waktunya bermula selepas solat Isyak. Jika seseorang itu berwitir sebanyak satu rakaat sahaja, maka disyaratkan untuk sah witirnya itu dengan mendahuluinya dengan solat sunat selepas solat fardhu Isyak. Jika dia tetap berwitir dengan satu rakaat sebelum mendahuluinya dengan solat sunat, maka witirnya itu tidak sah. Menurut Imam al-Haramain, witirnya itu dikira sebagai solat sunat — sebagaimana solat-solat sunat yang lain dan bukannya witir.

Manakala waktu akhirnya pula, pendapat yang sahih yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama adalah sehingga terbitnya fajar dan terkeluar waktunya — yakni tamat — dengan terbitnya fajar itu. Namun, al-Mutawalli ada menukilkan satu pendapat daripada Imam al-Syafi‘i bahawa waktunya adalah sehingga seseorang itu mendirikan solat fardhu Subuh. Adapun waktu yang digalakkan untuk mendirikannya, pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama memutuskan bahawa waktu yang afdhalnya adalah melakukannya pada akhir solat malam. Sekiranya dia tidak mahu solat tahajjud, maka digalakkan untuk berwitir selepas solat fardhu Isyak dan solat sunatnya di awal malam. Namun, jika dia mahu mendirikan solat tahajjud, maka afdhalnya adalah untuk dia mengakhirkan solat witir dan melakukannya selepas solat tahajjud yakni witirnya itu di akhir solat malam. Walau bagaimanapun, Imam al-Haramain dan al-Ghazali berpendapat mengawalkan solat witir di awal malam adalah lebih baik (afdhal). Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan, khilaf ini hanya disebutkan oleh mereka berdua.[7]

Waktu afdhal solat witir yakni melakukannya pada akhir solat malam adalah berdasarkan kepada hadith, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ مِنَ اللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya:Jadikanlah akhir solat malam kamu dengan solat Witir.”[8]

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan, hadith ini adalah sekiranya seseorang itu ingin mendirikan bangun pada akhir malam — yakni bagi mendirikan solat tahajjud. Namun, sekiranya dia risau tidak dapat bangun pada akhir malam, maka berwitirlah selepas solat fardhu Isyak dan solat sunatnya.[9] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya:Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam dihadiri bersama oleh para malaikat, dan itulah yang afdhal.”[10]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa waktu solat witir bermula selepas solat fardhu Isyak sehinggalah terbitnya fajar yakni masuknya waktu Subuh, tidak kira dia sudah mendirikan solat sunat selepas Isyak ataupun tidak, begitu juga sama ada dia ingin berwitir dengan hanya satu rakaat ataupun lebih.

Selain daripada itu, waktu yang paling afdhal untuk mendirikannya juga adalah berbeza mengikut situasi. Sesiapa yang ingin mendirikan solat tahajjud, maka waktu witirnya yang afdhal ialah selepas solat tahajjud, yakni di akhir solat malamnya. Manakala sesiapa risau tidak bangun untuk solat tahajjud, maka waktu witirnya yang afdhal ialah selepas solat fardhu Isyak dan solat sunatnya di awal malam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215.

[2] Riwayat al-Tirmizi (453) dan yang lainnya

[3] Riwayat Abu Daud (1416)

[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12.

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/216.

[6] Riwayat Abu Daud (1418)

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/13-14.

[8] Riwayat al-Bukhari (953); Muslim (749)

[9] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/216.

[10] Riwayat Muslim (755)

Latest articles

Related articles