#910 Tersalah Sahur Ketika Waktu Fajar Telah Masuk

[ux_products]

Soalan

Apakah hukum tersalah sahur ketika fajar telah masuk?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sahur ialah berjaga dan makan selepas waktu tengah malam sebelum terbit fajar dalam bulan Ramadhan atau juga dalam bulan lain bagi orang yang hendak berpuasa.[1]

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya.[2]

Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.[3]

Bersahur Dalam Keadaan Ragu-Ragu Fajar Telah Masuk Atau Belum

Terdapat hukum berkenaan dengan orang yang ragu-ragu tentang waktu sahur, kemudian dia meneruskan sahur berdasarkan ijtihadnya sahaja.

 Dalam keadaan ini, para ulama’ menyatakan bahawa harus hukumnya untuk meneruskan makan bagi orang berasa ragu-ragu bahawa waktu sahur telah tamat, berdasar ijtihadnya atau diberitahu oleh seorang yang adil. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu malam.[4]

Namun jika sekiranya selepas itu dia mendapati bahawa dia tersalah bersahur dengan makan dan minum selepas azan Subuh, maka batal puasanya dan hendaklah dia mengqadanya pada hari yang lain. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambil kira dengan dugaan-dugaan yang sudah jelas kesalahannya.[5]

Selain itu, orang yang tersalah bersahur selepas waktu Subuh hendaklah menahan diri daripada makan dan minum serta semua perkara yang membatalkan puasa sehinggalah waktu berbuka puasa.[6]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa  tidak batal puasa dan harus hukumnya bagi seseorang yang meneruskan makan dan minum dalam keadaan dia ragu-ragu bahawa telah tamat waktu sahur. Namun jika sekiranya jelas kepadanya bahawa dia tersalah dengan makan selepas habis waktu sahur, maka batal puasanya dan hendaklah dia menggantikannya pada hari yang lain. Situasi ini berdasarkan kaedah fiqh:

الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: Asal hukum itu kekal sesuatu mengikut apa yang sebelumnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sahur.

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[3] Riwayat al-Bukhari (1923)

[4]  Lihat Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, hlm. 106

[5] Ibid, hlm. 106-107

[6] Lihat Sullam al-Raja Syarh Safinat al-Naja, hlm. 59

Latest articles

Related articles