#911 Tertelan Air ketika Mandi dalam Keadaan Puasa

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seseorang itu tidak sengaja tertelan sedikit air ketika mandi dalam keadaan sedang berpuasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya umat telah bersepakat mengenai haramnya makan dan minum bagi orang yang sedang berpuasa — pada siang hari — jika ia dilakukan dengan sengaja. Hal ini kerana menahan diri daripada makan dan minum adalah maksud atau tujuan puasa itu sendiri berdasarkan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]

Justeru, sekiranya seseorang itu makan dan minum, dalam keadaan dia sedar atau mengetahui bahawa dia sedang berpuasa, mengetahui tentang haramnya perbuatan itu, dan mempunyai pilihan, maka puasanya terbatal kerana perbuatan makan dan minumnya itu bertentangan dengan tujuan puasa tanpa sebarang keuzuran. Walau bagaimanapun, sekiranya dia makan dan minum pada siang Ramadhan dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa, maka dalam hal ini, puasanya tidak terbatal dan masih lagi dikira sah.[2]

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya:Sekiranya seseorang itu terlupa (bahawa dia sedang berpuasa), lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah SWT yang telah memberinya makan dan minum.[3]

Selain daripada itu, tidak kira makanan atau minuman itu dalam kuantiti yang sedikit atau banyak berdasarkan kepada keumuman hadith.[4] Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menyebutkan, apabila seseorang itu makan atau minum dalam keadaan terlupa, ia tidak membatalkan puasa di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, tidak kira kadar makanan dan minuman itu sedikit ataupun banyak. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi‘i.[5] Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i yang berpendapat bahawa jika kadar makan dan minum itu banyak, maka terdapat dua pendapat dalam mazhab. Pendapat yang paling sahih di sisi al-Rafi‘i adalah ia membatalkan puasa. Hal ini kerana, sifat terlupa bersama dengan kadar yang banyak itu adalah suatu yang jarang — yakni bukan kebiasaan.[6]

Begitu juga, sekiranya masih berbaki sisa makanan di celah-celah giginya, lalu ia mengalir bersama-sama dengan air liurnya (dan masuk ke dalam halkumnya) sedangkan dia tidak berniat sedemikian, maka puasanya tidak terbatal sekiranya dia tidak mampu untuk membezakannya atau meludahnya keluar kerana padanya terdapat keuzuran dan bukannya cuai. Namun, jika dia mampu untuk mengeluarkannya dan membezakannya, akan tetapi dia tetap juga menelannya dengan niat untuk berbuat demikian, maka puasanya terbatal disebabkan oleh kecuaiannya untuk mengeluarkannya dan membuangnya.[7] Tambahan pula, dalam al-Fiqh al-Manhaji turut dinyatakan, sisa-sisa makanan dicelah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya. Demikianlah juga puasa seseorang yang makan atau minum kerana dipaksa, tidak batal disebabkan kemahuannya sendiri terhalang ketika itu.[8]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak sengaja tertelan air sedikit ketika mandi dalam keadaan sedang berpuasa, tidak membatalkan puasa dan puasanya masih lagi dikira sah, jika dia sudah berusaha semampu mungkin untuk memelihara dirinya, supaya air tidak memasuki rongga-rongganya yang terbuka ketika mandi. Justeru, dalam hal itu terdapatnya keuzuran dan tanpa kecuaiannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

 

[1] Surah al-Baqarah: 187

[2] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180.

[3] Riwayat al-Bukhari (1933)

[4] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/324.

[6] Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 199.

[7] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180.

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/84.

Latest articles

Related articles