#981 Disunatkan Isti‘azah dalam Setiap Rakaat

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah disunatkan untuk membaca ta‘awwuz pada setiap rakaat sebelum membaca surah al-Fatihah atau hanya rakaat pertama sahaja?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, isti‘azah adalah meminta perlindungan ataupun pemeliharaan. Maka seseorang yang mengucapkan kalimah ini, dia sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT agar menjaga dan memeliharanya daripada sebarang gangguan dan godaan daripada syaitan yang direjam. Ibn Kathir menyebutkan, isti‘azah adalah meminta pertolongan iaitu aku memohon perlindungan kepada Allah tanpa selainnya daripada makhluk ciptaan-Nya daripada syaitan itu memudaratkan diriku pada agamaku atau ia memalingkan aku daripada kebenaran.[1]

Imam al-Nawawi menyebutkan, bacaan ta‘awwuz disyariatkan pada rakaat pertama, iaitu seseorang itu akan mengucapkan — selepas doa iftitah — “أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. Inilah pendapat masyhur yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dan diputuskan oleh jumhur ulama. Namun terdapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat disunatkan untuk membaca “أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. Pendapat ini telah ditegaskan oleh al-Bandaniji dan dinukilkan oleh al-Rafi‘i. Ia adalah pendapat yang gharib. Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm dan begitu juga para ashab berpendapat, ta‘awwuz itu dapat diperoleh dengan setiap apa yang meliputi makna memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan. Akan tetapi afdhalnya “أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”.[2]

Pada asasnya menurut mazhab Syafi‘i dan mazhab jumhur ulama, mereka berpendapat, bacaan ta‘awwuz sebelum memulakan bacaan al-Quran dalam solat adalah sunat dan bukannya wajib.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang ditegur oleh Rasulullah SAW kerana buruknya solat yang dilakukannya, maka Baginda bersabda kepadanya:

إِذَا قُمتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّر ثُمَّ اقرَأ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرآنِ ثُمَّ اركَع

Maksudnya: “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa-apa ayat yang mudah yang kamu hafal daripada al-Quran, kemudian rukuklah.”[4]

Jika dilihat daripada hadith di atas, kita akan mendapati bahawa Rasulullah SAW tidak menyuruh lelaki tersebut untuk membaca isti‘azah. Justeru, ini menunjukkan bahawa membacanya bukanlah suatu yang wajib.

Selain itu firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan Syaitan yang kena rejam.”[5]

Al-Tabari menafsirkan ayat di atas sebagaimana katanya, firman Allah ini bukanlah merupakan suatu perintah yang wajib. Akan tetapi ia hanyalah pemberitahuan dan juga menyatakan hukum sunat. Hal ini kerana tidak ada khilaf di sisi majoriti bahawa sesiapa yang membaca al-Quran dan tidak membaca ta‘awwuz sebelum membacanya atau setelah membacanya, maka dia tidak mengabaikan suatu pun yang fardhu lagi wajib.[6]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyatakan, sesungguhnya bacaan ta‘awwuz itu adalah mustahab (sunat) dan bukannya wajib. Ia adalah mustahab bagi setiap sesiapa sahaja yang membaca al-Quran, tidak kira ketika dalam solat atau selainnya — yakni luar solat. Begitu juga disunatkan untuk membacanya dalam solat pada setiap rakaat mengikut pendapat yang sahih daripada dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Manakala pendapat kedua pula menyatakan disunatkan untuk membacanya pada rakaat pertama. Jika dia meninggalkannya — yakni tidak membacanya — pada rakaat pertama, maka dia membacanya pada rakaat kedua.[7]

Selain daripada itu, beliau juga ada menyebutkan dalam kitab yang lain, menurut mazhab Syafi‘i, disunatkan untuk membaca ta‘awwuz pada setiap rakaat. Pendapat ini telah disahihkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali dalam al-Basit, al-Ruyani, al-Syasyi, al-Rafi‘i dan lain-lain. Sekiranya dia meninggalkannya — yakni tidak membacanya — pada rakaat pertama secara sengaja atau tidak sengaja, maka disunatkan untuk membacanya pada rakaat kedua, tidak kira mereka yang mengkhususkannya pada rakaat pertama sahaja ataupun tidak. Berbeza halnya, jika seseorang itu meninggalkan doa iftitah pada rakaat pertama, maka dia tidak boleh membacanya pada rakaat selepasnya tanpa sebarang khilaf. Ulama mazhab Syafi‘i menyebutkan, perbezaannya adalah kerana doa iftitah disyariatkan pada permulaan solat, sedangkan ta‘awwuz pula disyariatkan pada permulaan bacaan al-Quran (dalam rakaat pertama), dan begitulah pada rakaat kedua dan rakaat seterusnya yang mengandungi bacaan al-Quran.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk membaca ta‘awwuz pada setiap rakaat sebelum membaca surah al-Fatihah kerana setiap bacaan al-Quran pada setiap rakaat itu adalah bacaan yang tersendiri. Ini juga merupakan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Lebih-lebih lagi, perkara ini juga selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلً

Maksudnya:Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).”[9]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

[1] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/16.

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/323.

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/326.

[4] Riwayat al-Bukhari (6667)

[5] Surah al-Nahl: 98

[6] Lihat Tafsir al-Tabari, 17/293-294.

[7] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 81.

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/324.

[9] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 143; Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 9/171.

Latest articles

Related articles