#993 Berbuka Puasa Bagi Pemain Bola Sepak

[ux_products]

Soalan

Apakah pemain bola sepak boleh berbuka puasa ketika perlawanan bola sepak itu berlaku? Hal ini sebagaimana yang berlaku di negara eropah.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [1]

Nabi SAW telah bersabda:

بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.” [2]

Pengertian puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada melalukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Manakala, puasa dari sudut Syarak pula adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.[3]

Pemain Bola Sepak Di Eropah Diberikan Kebenaran Untuk Berbuka Berpuasa Ketika Perlawanan Berlangsung

Menurut akhbar BBC Sports yang bertajuk “Ramadan 2022: How Premier League football is evolving to help Muslim players,” pada musim lalu, terdapat perjanjian tidak rasmi antara kapten pasukan untuk membenarkan rehat seketika pada sepakan gol atau lontaran ke dalam supaya mana-mana pemain Islam yang memerlukannya boleh berbuka puasa. Musim ini, walaupun tiada panduan rasmi diberikan kepada pasukan di peringkat teratas kerana ia tidak menjejaskan setiap perlawanan, kapten boleh sekali lagi meminta rehat minum pada masa yang sesuai dalam permainan semasa pertemuan pra-perlawanan mereka dengan pengadil.

Setelah masuknya waktu Maghrib, ia akan membolehkan pemain yang berpuasa pergi ke tepi padang dan dengan cepat mengambil minuman atau sebarang tambahan tenaga sebelum menyambung semula permainan.

Antara yang memainkan peranan dalam hal ini di negara United Kingdom ialah Muslim Chaplains In Sport (MCS). MCS telah ditubuhkan pada 2014 dan merupakan satu-satunya organisasi seumpamanya yang disahkan dan dibiayai oleh Liga Perdana dan EFL. Pertubuhan ini bekerjasama dengan semua 92 kelab bola sepak profesional untuk menyampaikan kuliah dan seminar pendidikan. Kelab Liga Perdana Inggeris kerap mendapatkan bimbingan Islam daripada MCS bagi pihak pemain Islam mereka, termasuk mengenai isu seperti menangguhkan puasa supaya prestasi mereka dalam latihan dan semasa perlawanan tidak terjejas.

“Walaupun tiada peraturan yang islamik untuk atlet, namun kami memberikan nasihat tentang cara untuk mereka boleh berpuasa dan membincangkan sama ada mereka layak mendapatkan keringanan untuk tidak berpuasa, seperti ketika mereka dalam permusafiran ataupun dalam kesakitan,” kata pengarah urusan MCS Ismail Bhamji kepada BBC Sport.

“Pemain bola sepak Islam datang dari pelbagai latar belakang dan kami perlu mencari penyelesaian yang sesuai untuk semua orang mengamalkan kepercayaan mereka. Satu kelab Liga Perdana meminta saya bercakap dengan pemain Islam untuk menangguhkan puasanya pada bulan Ramadan. Dalam Islam, dia tidak layak untuk tidak berpuasa kerana syarat-syarat tertentu yang disebut perlu dipenuhi dan saya perlu bersikap terbuka dan jujur ​​kepada mereka tentang realiti yang pahit.”

MCS bekerjasama rapat dengan dua kelab terbaik di negara ini  (United Kingdom), Manchester City dan Liverpool. “Pep Guardiola dan Jurgen Klopp menyerlah kerana mereka progresif dan berfikiran ke hadapan jadi saya telah melihat peningkatan yang dibuat di kelab-kelab selama beberapa musim.”[4]

Manakala baru-baru ini, perlawanan Bundesliga Jerman dihentikan sementara supaya pemain yang muslim boleh berbuka puasa. Pada bulan Ramadan, mereka yang mengambil bahagian tidak boleh makan atau minum apa-apa pada waktu siang. Menurut twitter rasmi Muslim Hands UK yang membuat satu tweet video baru-baru ini berkenaan Bundesliga Jerman, yang menyatakan: “Buat pertama kali dalam sejarah, perlawanan Bundesliga dihentikan supaya pemain muslim boleh berbuka puasa semasa perlawanan. Dalam perlawanan antara Augsburg dan Mainz 05, pengadil menghentikan permainan pada waktu matahari terbenam (waktu maghrib) supaya Moussa Niakhaté boleh mengambil sedikit minuman (untuk berbuka puasa)”.[5]

Ia adalah kali pertama dalam sejarah Bundesliga bahawa perlawanan telah dihentikan sementara untuk membolehkan pemain berbuka puasa Ramadan mereka.Pengadil ketika itu, Jollenbeck bukan satu-satunya pengadil Bundesliga yang memberhentikan perlawanan minggu lalu untuk membolehkan pemain Islam berbuka puasa. Dalam perlawanan RB Leipzig dan Hoffenheim, pengadil Bastian Dankert turut menghentikan permainan selama beberapa minit untuk membolehkan Mohamed Siamakan berbuka puasa. Lutz Michael Frohlich, yang merupakan pengarah komunikasi untuk Jawatankuasa Pengadil Jerman, memberikan kenyataan ringkas yang mengatakan bahawa dia telah memberikan kelulusannya untuk pegawai menghentikan perlawanan bagi membolehkan pemain berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Lutz Michael Frohlich  berkatan: “Tiada arahan rasmi dalam hal ini, tetapi sudah tentu kami menyokong pengadil kami membenarkan rehat minum sebegitu pada Ramadan atas permintaan pemain.”

Amalan menghentikan permainan untuk membolehkan pemain Islam berbuka puasa menjadi semakin kebiasaan di seluruh liga bola sepak elit Eropah, sebahagiannya didorong oleh peningkatan bilangan bintang dari majoriti negara Islam yang bermain di Eropah.[6]

Golongan Yang Diberikan Keuzuran Untuk Berbuka Puasa

Terdapat beberapa golongan yang diberikan keizinan oleh syarak untuk tidak berpuasa disebabkan keuzuran. Antaranya:

Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid dan Nifas

Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan riwayat Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?[7]

Kedua: Orang Yang Dalam Keadaan Sakit

Orang yang sakit diberikan keringanan untuk berbuka puasa (tidak berpuasa). Apabila dia sihat semula maka wajib ke atasnya untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan tersebut. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.[8]

Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:

  • Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan kesembuhan yang terdapat pada dirinya.
  • Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya.

Ketiga: Orang Yang Sedang Bermusafir

Orang yang sedang dalam permusafiran diberikan rukhsah (keringanan) untuk berbuka (tidak berpuasa). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.[9]

Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Permusafiran tersebut merupakan perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.
  • Jika orang yang bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah lebih afdhal untuk dia teruskan puasa.

Bolehkah Pemain Bola Sepak Mengambil Rukhsah Untuk Tidak Berpuasa Pada Hari Perlawanan?

Kami memuji terhadap senario yang berlaku pada bola sepak di negara eropah yang mana penganjur perlawanan dan juga pengadil mengambil sikap menghormati pemain-pemain yang beragama Islam dengan membenarkan permainan dihentikan untuk memberi laluan kepada mereka untuk berbuka puasa apabila masuknya waktu maghrib. Hal ini menunjukkan satu budaya yang baik dan juga hormat menghormati antara satu sama lain walaupun terdapatnya perbezaan agama dan kepercayaan.

Justeru, dalam isu rukhsah atau keringanan untuk tidak berpuasa pada hari perlawanan bagi pemain bola sepak pada bulan Ramadhan, kami melihat bahawa mereka wajib meneruskan puasa mereka sehingga waktu berbuka melainkan mereka ini tergolong dalam golongan yang diberikan keizinan syara’ untuk tidak berpuasa seperti orang yang sakit ataupun yang bermusafir yang membolehkan mereka untuk menqasarkan solat. Hal ini kerana golongan ini sahaja yang dibenarkan oleh Islam untuk meninggalkan puasa dan menggantikannya setelah berakhirnya Ramadhan.

Hal ini kerana kebanyakan perlawanan ini berlangsung pada waktu petang yang hampir kepada waktu maghrib sehingga tidak ada keperluan untuk mereka tidak berpuasa. Bahkan menurut pendapat Ismail Bhamji, iaitu pengarah Muslim Chaplains In Sport di United Kingdom, beliau menyatakan: “Walaupun tiada peraturan yang islamik untuk atlet, namun kami memberikan nasihat tentang cara untuk mereka terus berpuasa dan membincangkan sama ada mereka layak mendapatkan keringanan untuk tidak berpuasa, seperti ketika mereka dalam permusafiran (dua marhalah) ataupun ketika mereka sakit (yang memudharatkan mereka apabila mereka berpuasa).”[10]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa pemain bola sepak wajib meneruskan puasa pada hari perlawanan mereka melainkan jikalau mereka tergolong dalam golongan yang diberikan keuzuran syara’ untuk berbuka seperti mereka yang sakit ataupun dalam permusafiran.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah (183)

[2] Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)

[3]  Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69

[4] Lihat https://www.bbc.com/sport/football/60823257

[5]Lihat https://twitter.com/muslimhandsuk/status/1513935149213356032

[6] Lihat https://www.insider.com/german-soccer-match-stopped-muslim-player-to-break-ramadan-fast-2022-4

[7] Riwayat al-Bukhari (1951)

[8] Surah al-Baqarah: 184

[9] Ibid

[10] Lihat https://www.bbc.com/sport/football/60823257

Latest articles

Related articles