#994 Guna Patung Harimau bagi Menghalau Monyet

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum meletak patung harimau di anjung rumah untuk menghalau monyet daripada menggeledah dapur rumah atau meletak patung harimau di tepi pagar kebun bagi menghalau monyet? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Talhah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan juga gambar patung.”[1]

Al-Mubarakfuri menyebutkan, yang dimaksudkan dengan ungkapan ‘malaikat tidak akan masuk’ ialah malaikat rahmat, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Manakala ungkapan ‘gambar yang menyerupai’ di dalam hadith tersebut pula bermaksud gambar berbentuk manusia dan binatang.[2] Seterusnya, Imam al-Nawawi ada menyebutkan — berkenaan sebab larangan menyimpan gambar patung (makhluk bernyawa) — bahawa antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapatnya gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT dan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut ada yang dijadikan sembahan.[3]

Selain daripada itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa terdapat kisah Nabi SAW tidak masuk ke dalam Kaabah dan mendirikan solat di dalamnya, melainkan setelah dikeluarkan kesemua gambar di dalamnya. Kemudian, beliau mengulas kisah tersebut dengan menyebutkan, ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah makruh mendirikan solat di tempat yang bergambar. Perkara ini lebih makruh lagi berbanding mendirikan solat di dalam bilik mandi kerana solat di dalam bilik mandi — dihukumkan sebagai makruh — sama ada disebabkan berkemungkinan terdapatnya najis atau kerana ia merupakan rumah syaitan. Pendapat ini yang sahih. Adapun tempat yang bergambar — solat di dalamnya dihukumkan sebagai makruh — kerana berkemungkinan ia membawa kepada syirik. Kebanyakkan umat-umat terdahulu menjadi syirik sama ada melalui gambar-gambar atau kuburan — para nabi dan orang soleh.[4]

Justeru, kita dapat fahami bahawa larangan kepada patung atau gambar-gambar — yakni lukisan — makhluk bernyawa adalah kerana ia menyerupai ciptaan Allah dan dikhuatiri benda-benda tersebut akan diagungkan, disucikan atau terlalu dihormati sehingga akhirnya membawa kepada kesyirikkan dan penyembahan.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya: “Aku pernah bermain anak patung di sisi Nabi SAW, dan aku mempunyai teman-teman yang bermain bersamaku. Maka apabila Baginda SAW masuk, mereka menyorokkan diri mereka daripada Baginda, lalu Baginda memanggil dan menyuruh mereka bermain bersamaku.”[5]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa dibolehkan patung boneka berupa perempuan dan mainan untuk anak perempuan. Hadith ini adalah pengecualian daripada keumuman hadith yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Perkara ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau menyatakan, inilah pendapat majoriti ulama.[6] Oleh yang demikian, difahami bahawa sekiranya patung tersebut dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputusnya kepala atau anggota badan patung itu. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.

Begitu juga, kami melihat sekiranya patung tersebut dijadikan sebagai alat bagi menakutkan haiwan tertentu yang merosakkan tanaman atau barang-barang rumah seperti para petani biasanya akan meletakkan orang-orang[7] di kawasan tanaman padi mereka bagi menakutkan burung yang merosakkan tanaman, dan pekebun yang menggunakan patung harimau bagi menakut-nakutkan monyet. Patung tersebut jelas bukanlah untuk dihormati, disucikan atau dipuja tetapi sebagai salah satu langkah atau ikhtiyar bagi menghalau monyet, burung atau haiwan perosak yang mengganggu dan merosakkan tanaman.  Dengan adanya patung harimau tersebut, yang diletakkan di pinggir rumah atau tepi pagar kebun, haiwan lain seperti monyet tidak berani datang dekat atau menghampiri kerana menyangka ia ialah harimau yang sebenar. Justeru, kami melihat ia dibolehkan selagi mana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, dengan mengambil kira suasana dan ‘uruf masyarakat setempat, kami berpendapat bahawa penggunaan patung harimau bagi menghalau dan menakut-nakutkan monyet adalah dibolehkan selagi mana patung tersebut tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati dan bertujuan untuk disembah atau dipuja. Akan tetapi sekiranya patung berkenaan digunakan sebagai bahan pujaan, atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian (taqdis), maka jelas perkara itu adalah haram dan dilarang sama sekali.

Selain itu, sekiranya dapat diubah sedikit bentuk patung berkenaan supaya tidak terlalu menyerupai gambaran haiwan bernyawa yang asal, maka ia adalah lebih baik. Hal ini adalah sebagaimana hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَدَعْ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ

Maksudnya: “Janganlah engkau tinggalkan patung kecuali engkau telah membuatnya menjadi tidak berbentuk.”[8]

Begitu juga kami ingin mengingatkan agar patung tersebut seboleh-bolehnya elakkan daripada dibawa masuk ke dalam rumah sebagaimana jelas daripada nas hadith larangan perkara itu dengan lafaz “فِيهِ” yakni di dalamnya (rumah tersebut) ada anjing dan lukisan atau patung (makhluk bernyawa).

Walaupun begitu, kami juga ingin mengesyorkan (sekiranya boleh) supaya dielakkan penggunaan patung, agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti atau carilah alternatif-alternatif lain, maka ia adalah lebih baik dan selamat serta jauh daripada sebarang bentuk syubhah. Lebih-lebih lagi, meninggalkan perkara-perkara yang khilaf itu adalah digalakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (3225); Muslim (2106)

[2] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/72.

[3] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/84.

[4] Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/402.

[5] Riwayat al-Bukhari (6130)

[6] Lihat Fath al-Bari, 10/527.

[7] patung yang dibuat untuk menakutkan burung. [Lihat : Kamus Dewan Edisi Keempat]

[8] Riwayat Muslim (969)

Latest articles

Related articles