Sarah menguis-nguis pasir dengan ibu jari kakinya yang mongel. “Bosanlah atuk. Dah dua minggu Sarah kat kampung ni. Abah dengan ibu sibuk je memanjang di KL.”, suara kecilnya mengeluh. Sesekali Sarah mengetuk-ngetuk lantai beranda rumah tiang dua belas yang kaya dengan motif ukiran kayu Terengganu.

“Atuk ada cerita best tak untuk Sarah? Penatlah hari-hari nenek suruh baca buku…”, Sarah menyeringai sambil memandang datuknya.

Tok Aki yang ketika itu sedang berehat di beranda rumah, membetulkan kain pelikatnya. Tergelak kecil beliau mendengar permintaan cucu tunggalnya itu. “Atuk ade cite best. Lagi best dari hok ade dalang Netflix tu. Tapi jom kite gi duduk di wakaf tu. Atah lambo ni panah ketik.” Pantas Tok Aki memimpin tangan cucunya dengan langkahan yang sederhana ke gazebo berhadapan rumahnya.

“Sarah nok atuk cite panjang ke pendek?”, tanya Tok Aki ringkas sambil mengusap kepala cucunya. “Hmm…atuk cerita panjang-panjang pun takpe. Sarah suka dengar atuk cerita.”, ujar Sarah ringkas.

“Atuk auu gok cite atuk ni best ke dop. Tapi doh Sarah suruh, atuk citelah. Kalu ngatuk mate, kabor ke atuk. Atuk kalu doh start cite ni, dok leh berenti doh…Haha.” Tok Aki berseloroh dan membetulkan silanya. “Sarah ok je atuk.”, angguk Sarah yang mula memberi tumpuan penuh kepada Tok Aki.

“Citenye mule gini…”. Tok Aki menarik nafasnya dan memulakan kisahnya.

**********

Pada penghujung tahun 1968, lahir seorang bayi lelaki di rumah datuknya, Ceh Abas bin Said dan neneknya, Wan Minah binti Noh di Pulau Rusa, Kuala Terengganu. Tangisannya membelah keheningan penghulu hari, hari Jumaat. “Allahuakbar, Allahuakbar…”, Ustaz Mad, si ayah mengazankan anak ketiganya dengan penuh kesyukuran. Ustaz Mad yang merupakan Guru Pelawat Agama di Chukai, Kemaman pulang seketika ke rumah mertuanya untuk menatap anak ketiganya yang baharu dilahirkan.

Keluarga kecil Ustaz Mad dan Hajah Ramlah bertambah dengan kehadiran cahaya mata ketiga yang masih belum diberi nama ini. Kelahiran bayi ketiga mereka ini agak ganjil kerana semasa dilahirkan, tubuhnya berbalut dengan tembuni berwarna keputih-putihan. Hal itu dimaklumkan oleh Hajah Ramlah kepada suaminya. “Anak kita hok ning memang lain dari lain…”, ujarnya.

Disebabkan pada ketika itu belum ada ketetapan bagi pendaftaran kelahiran yang lewat, Ustaz Mad mendaftarkan kelahiran anaknya pada 16 Januari 1969 dengan tempat kelahiran di Kampung Gong Pauh, Kemaman.

“Abang ingat, nok juppe qadhi. Nok mitok pandangang name-name hok mmolek untuk anok kite ning.”, kata Ustaz Mad kepada isterinya yang ketika itu sedang menidurkan si bayi. Abang dan kakaknya sedangnya berlari-lari di halaman. “Moleklah tu. Saye setuju blake ape-ape hok bagoh, insya-Allah.”, jawab Ustazah Ramlah ringkas.

Petang itu selepas Asar, Ustaz Mad menapak ke rumah qadhi yang berdekatan dengan rumahnya.

“Ambe ade hajat ni ustak. Alhamdulillah, anok ambe nombor tige baru lahir. Takdop name lagi. Hajatnye nok mitok cadangang name dari ustak.”, Ustaz Mad memulakan bicaranya di rumah qadhi daerah Kemaman.

“Haha…Anta sendiri pung bulih bagi name. Jauh derak mari rumah ana.”, katanya merendah diri. “Memang hajat ambe. Tupang barakah orang alim.”, Ustaz Mad membalas dengan senyuman.

Ana cadang name Zulkifli. Ambik semangat almarhum Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Muhammad, bekah Timbalang Yang Dipertue Agung PAS. Mase tu PAS kalau anta ingat, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hok pegang. Molek doh. Anta pung name Mohamad. Zulkifli bin Mohamad”. Air teh o yang panas, dicicip perlahan-lahan oleh qadhi.

Angin petang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Kedua-duanya diam. Ustaz Mad menunduk dan kemudiannya mengangguk-angguk. “Zulkifli bin Mohamad bin Abu Bakar bin Ya’kub. Alhamdulillah. Molek sangat.”, bisik hati kecilnya.

**********

“TASS…!!!”, rotan dilibas ke lantai papan.

“Ehemm…Bace mmolek skek! Dok ssaboh mung bace hok tule. 10 kali doh aku ajar…!!!”, suara Haji Bakar memecah kesunyian pagi Sabtu di Kuala Terengganu. Mi, Yah, Zul dan Ayub masing-masing menjeling antara satu sama lain dan tertawa kecil melihat teman sepengajian mereka menikus ketakutan kerana dimarahi. Tok Aki mereka, Haji Bakar memang bekeng orangnya. Beliau pendiam tetapi sekali berdehem, sudah cukup menimbulkan rasa gerun. Rotan memang wajib di tangannya. Zul sendiri pernah dilibas dengan kain basah kerana berbual-bual dengan sahabatnya, Adi semasa kelas al-Qur’an.

Beranda tepi rumah Haji Bakar itulah tempat mereka belajar mengaji al-Qur’an sehingga khatam. Bacaannya al-Qur’annya laju, fasih. Beliau amat tegas ketika mengajar. Hasilnya, kesemua cucunya khatam al-Qur’an sejak sekolah rendah. Cucunya pula seronok belajar mengaji walaupun Tok Aki mereka bekeng kerana setiap hari cuma satu mukasurat. Tak lebih, tak kurang. Kalau giliran Tok Su, isteri Haji Bakar mengajar al-Qur’an, itulah satu kebahagiaan yang besar kerana Tok Su lembut orangnya. Tidak ada langsung murid yang akan dimarahi.

“Ayub. Kite tubik cepat-cepat pah habih bace Qur’an ning. Aku nok ajak anta gi cari ikang sekila. Mung bowok sekali botol-botol sos tomato hok ana bagi tu.”, bisik Zul kepada adiknya. Khairul Anuar atau lebih mesra dengan panggilan Ayub mengangguk laju.

Basikal pantas dicapai. Zul mengayuh laju dibonceng adiknya. Adik beradiknya yang lain terpinga-pinga melihat kedua-duanya bagai lipas kudung hilang dari pandangan.

“Adi! Mung cari hok mmolek skek untuk aku. Di rumoh aku ade lapang ekor doh.”, jerit Zul kepada jirannya yang juga teman sepermainannya, Adi. “Hohh..penat aku! Gohek jauh-jauh sapa sini, nok kene cari ikang sekila untuk mung pulok. Hok aku pung dok dapat lagi ni!”, dengus Adi sambil disambut derai tawa Zul dan adiknya. Tak berpuas hati dengan hasil tangkapan Adi di baruh, Zul sendiri turun di baruh dengan air separas dada itu.

“Eh, dop bahaye ke? Dalam ning!”, kata Adi kemudiannya menoleh kepada Zul di belakangnya. “Jalan je! Kite kene cari lagi ikang hok comey…”. Zul membalas pertanyaan sahabatnya dengan riak wajah yang serius. Tidak ada langsung rasa takut.

Ikan-ikan tersebut disimpan di bawah rumah Adi kerana Zul yakin, kalau ayahnya tahu, sudah pasti beliau akan dimarahi. Setiap pagi, Zul akan terhendap-hendap berjalan ke rumah Adi yang tidak jauh daripada rumahnya untuk melihat koleksi ikan skilanya.

Sampai di rumah, langit sudah mula senja. Ustaz Mad menjeling tajam Zul dan Khairul Anuar. “Dari mane ning…???”, tegur Ustaz Mad dengan tegas.

Zul menyiku adiknya. Adiknya membalas dengan menyiku kembali. Anta kabor lah kite dari balasoh.”, bisik Zul perlahan kepada adiknya. “Ish…tak mboh eh. Anta dop soh nawok. Dose.”, balas Khairul Anuar. “Gi mandi cepat. Lepah Ghorib bace buku.”, arah Ustaz Mad ringkas kepada anak-anaknya.

Sedang mereka mandi, Ustaz Mad turun ke bawah rumahnya dan melihat deretan botol kaca sos tomato yang terisi ikan sekila. Memang ada sebahagian ikan, belum “disembunyikan” lagi di rumah Adi. Beliau menggeleng kepala. Dicapainya baldi yang ada di tepi tempayan air dan semua botol berisi ikan itu dicurahkan ke dalam baldi. Khairul Anuar yang baru selesai mandi, memerhatikan dari celah rekahan lantai rumahnya. “Aduh…ayoh nak wak mende pulok ikang-ikang tu.”, getusnya.

Selepas solat Maghrib, Ustaz Mad menyuruh anak-anaknya membaca buku. Zul dan Khairul Anuar dipanggil ke ruang tamu. Riak wajah keduanya bagai ditoreh tak berdarah.

“Nah. Makang blake ikang sekila ni. Ayoh goreng.”, ujar Ustaz Mad sambil menghulurkan pinggan yang dipenuhi ikan sekila yang digoreng. Kelihatan seperti ikan bilis goreng. Tercengang Zul dan adiknya. Semenjak itu, hobi mengumpul ikan sekila perlahan-lahan dilupakan.

Banyak aktiviti Zul ketika di kampung. Setiap hutan banat diredah, merata parit diranduk dan segala batang pokok diragas. Ada masanya beliau dan kawan-kawan mandi di parit. Datang musim laga ayam, beliaulah juara. Sebut sahaja Hujung Tanduk, Taji Asal, Batang Kaki, apa jua jenis ayam laga adalah kepakarannya.

“Mung nok main ayang lage, kene panda cari hok mmolek. Ppale woh pinang, balung meroh nyale, leher tebal, dade kene bidang. Se lagi jari kaki kene panjang, haluh. Aku tengok ayang Pok Cheng, menang sokmo. Ppale ayang ye botok. Aku cabut jugop bulu-bulu atah pale ayang aku. Napok bekeng skek…”, Zul mengajar Adi dan kawan-kawan lain tentang kaedah memilih baka ayam laga yang baik.

Ayam laga kepunyaannya dimandikan setiap kali sebelum disabung di “bon”. Sehelai kain dibasahkan dan dilap ke seluruh badan ayam daripada kepala hingga ke kakinya. Bulu-bulu sayap, bahagian bawah sayap dan ekornya digosok hingga basah kuyup. Kerongkong ayam dijolok dengan bulu ayam supaya keluar lendir yang boleh mengganggu pernafasannya. Balung ayamnya dikilatkan sehingga merah menyala.

Khairul Anuar terkebil-kebil memerhatikan kemahiran abangnya mempersiap ayam laga yang akan disabung. Kadangkala menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Pernah menang? Sama sekali tidak kerana ayam Zul dan Adi cuma ayam kampung biasa. Tapi Zul tidak pernah berputus asa untuk mencari ayam baharu dan melatihnya  setiap kali ayam laganya kalah.

**********

“Sarah dok soh main lage ayang. Haram. Mase ni, Zul budok kecik lagi. Biaselah…dok tau starang halal haram. Nabi kabor doh:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّحْرِيشِ بَيْنَ الْبَهَائِمِ

Rasulullah dok bagi lage natang.[1]

Imam al-Syaukani dalam kitab die ade syaroh hadith ni. Die kate:

وَوَجْهُ النَّهْيِ أَنَّهُ إيلَامٌ لِلْحَيَوَانَاتِ وَإِتْعَابٌ لَهَا بِدُونِ فَائِدَةٍ بَلْ مُجَرَّدُ عَبَثٍ

Sebabnye main lage ning bagi natang sakit. Dok rok mmepeh. Tak dop pekdoh, sie-sie.[2]

Panjang Tok Aki menghuraikan fiqh pengharaman laga ayam yang menjadi kebiasaan di sebelah Pantai Timur sekitar 70-an.

********************

“Zul. Petang ning ikut ayoh. Kite gi beli baju skoloh baru.”, pesan Ustaz Mad kepada anaknya. Zul mengangguk laju. Bukan selalu boleh berjalan-jalan ke Kuala Terengganu. Beliau sudah memikirkan perancangannya di Kuala Terengganu. Bukan untuk memilih baju baharu tetapi ada perkara yang mungkin tidak dipersetujui ayahnya. Apapun, perancangan kena rapi!

Sejurus selepas Ustaz Mad memberhentikan keretanya, Zul bergegas turun daripada kereta dan berlari. Ustaz Mad hanya menuruti dan memerhatikan gelagat anaknya. Zul menuju ke sebuah kedai buku berdekatan. Tersengih-sengih sendirian di rak buku dan mencapai sebuah buku.

Ustaz Mad menjeling buku di tangan anaknya dan bertanya. “Buku mende tu? Berapa riyal?”

“Buku komik. 30 sen je ayoh…hehe”. Zul tersenyum-senyum tanpa rasa bersalah.

Pulang ke rumah, Zul tidak lekang dengan buku komiknya sepanjang masa. Dipanggil ke meja makan pun tidak datang. Ustaz Mad pergi ke bilik anaknya dan bertanya, “Zul tak mboh makang ke?”.

“Sedak ning ayoh…sedak ning…”. Itu sahaja jawapan Zul yang kemudiannya menyambung pembacaannya. “Bersungguh budok ning kalu bbace buku…”, getus Ustaz Mad di hatinya yang kehairanan.

_____________________

[1] Hadis Riwayat Imam Abu Daud (2562) dalam Sunan-nya

[2] Lihat Nail al-Autar (8/99)