Prolog

15
9877

Sebenarnya sudah lama saya berhasrat untuk menulis memoir hidup, yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman berharga sepanjang menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Namun, dek kekangan masa yang mencemburui sepanjang bertugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ia terkubur begitu sahaja. Sehari selepas peletakan jawatan, saya terfikir untuk menyambung kembali impian tersebut. Juga dimuatkan perjalanan ringkas kehidupan sedari kecil hingga ke menara gading seterusnya melalui alam pekerjaan. Cebisan-cebisan pengalaman yang tidak seberapa ini, mula disusun dengan bentuk penceritaan yang separa santai. Maka, sudah pasti anda akan temui banyak loghat Terengganu dalam memoir ini.

Laṭā’if al-Minan wa al-Akhlāq oleh Imam ʿAbd al-Wahhāb al-Shaʿrānī

Penulisan autobiografi ini satu kelaziman bagi para ulama’ sejak dahulu lagi. Imam ʿAbd al-Wahhāb al-Shaʿrānī menulis autobiografi dengan judul Laṭā’if al-Minan wa al-Akhlāq. Imam al-Ṣuyūṭī pernah menulis autobiografi berjudul al-Taḥadduth bi niʿmatilLāh (Menyebut tentang Nikmat Allāh). Saya tertarik dengan kesimpulan yang dikemukakan oleh Imam Jalāl al-Dīn al-Ṣuyūṭi tentang pencetus kepada usahanya untuk menulis autobiografi:

Para ulama silam dan moden terus menerus menulis biografi diri mereka sendiri. Mereka melakukannya dengan hasrat yang terpuji, antaranya adalah menyebut tentang nikmat Allāh sebagai kesyukuran dan memperkenalkan liku-liku kehidupan mereka, agar orang lain boleh menirunya, memanfaatkan sesiapa yang tidak mengetahui tentangnya serta sesiapa sahaja selepas itu yang ingin menyebutkan tentang mereka dalam karya-karya sejarah dan kamus biografi, boleh menukilkannya. Antara yang telah melakukannya sebelumku adalah Imam ʿAbd al-Ghāfir al-Fārisī, seorang penghafaz hadis; Al-ʿImād al-Kātib al-Iṣbahānī yang menulis autobiografi dalam sebuah penulisan yang khusus bertajuk al-Barq al-Shāmī; seorang faqih ʿUmārah al-Yamanī yang menulis autobiografi dalam penulisan yang khusus; Yāqūt al-Ḥamawī yang menulis autobiografi dalam bukunya Muʿjām Kuttāb; Lisān al-Dīn al-Khātib yang menulis autobiografi separuh jilid dalam bukunya Tārīkh Gharnāṭah di mana keseluruhan kitab itu adalah 8 jilid; al-Imām al-mujtahid al-waraʿ al-zāhid Abu Shāmah yang menulis autobiografi dalam bukunya Bayāḍ fī al-Aṣl di beberapa bahagian; al-Ḥāfiẓ Taqiy al-Dīn al-Fāsī yang menulis autobiografi dalam bukunya Tārikh Makkah di beberapa bahagian; al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar yang menulis autobiografi dalam bukunya Tārīkh Quḍā’ Misr; dan Imam Abū Ḥayyān yang mengkhususkan penulisan tentang dirinya dalam sebuah buku yang khusus bernama al-Nuḍār, dengan beberapa jilid yang banyak.[1]

al-Taḥadduth bi niʿmatilLāh oleh Imam Jalāl al-Dīn al-Ṣuyūṭī

Sejak usia muda, saya juga terkesan dengan buku-buku autobiografi para ulama’ kontemporari seperti Syeikh Dr. Yūsuf al-Qaraḍāwī (Ibn al-Qaryah wa al-Kuttāb) dan Maulana Abū al-Ḥasan ʿAlī al-Ḥasanī al-Nadwī (Fī Masīrat al-Ḥayāh). Kisah-kisah kehidupan mereka adakalanya menghibakan, memberi semangat, melucukan dan adakalanya menimbulkan 1001 rasa tatkala membaca tiap baris penulisan mereka.

Fī Masīrat al-Ḥayāh oleh Maulana Abū al-Ḥasan ʿAlī al-Ḥasanī al-Nadwī

Firman Allāh SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah al-Ḍuḥā: 11)

Mujāhid mentafsirkan sebagai amal soleh yang dilakukan oleh seseorang dan diceritakan kepada saudaranya dalam kalangan yang boleh dipercayai dengan tujuan memberi motivasi dan melakukan amal soleh sepertinya.[2] Kata al-Layth daripada seorang lelaki daripada al-Ḥasan bin ʿAlī, maksudnya adalah “Apa-apa kebaikan yang telah kamu ketahui, maka ceritakan kepada saudaramu.” Menurut Muḥammad bin Isḥāq: “Apa-apa nikmat dan karamah daripada kenabian yang dikurniakan Allāh SWT kepada kamu, maka ceritakan dan sebutkan tentangnya serta serulah kepadanya.[3]

Memoir ini adalah himpunan anekdot dalam kehidupan saya, sejak kecil sehinggalah menjawat jawatan Mufti dan Menteri. Ada antaranya seperti yang saya kongsikan di media sosial namun kebanyakannya adalah kisah-kisah di sebalik tabir yang saya pasti, ramai ingin mengetahuinya. Disamping perkongsian kisah hidup, saya selitkan juga pengalaman dalam pengurusan fatwa, pentadbiran hal ehwal Islam dan beberapa nasihat dalam memandu organisasi, mengikut panduan Maqasid Syariah. Insya-Allah, saya akan muatnaik secara berkala di www.zulkiflialbakri.com.

Bersambung…

____________________

[1] Al-Ṣuyūṭī, Jalāl al-Dīn. Al-Taḥadduth bi NiʿmatilLāh, (t.t.; t.p.), 3-4.

[2] Mujāhid. Tafsīr Mujāhid, (Mesir: Dār al-Fikr al-Islāmī al-Ḥadīthah, 1989), 735.

[3] Ibn Kathīr. Tafsīr al-Qur’ān al-ʿAẓīm, (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1998), 8/415.

 1,061 total views,  1 views today

15 COMMENTS

  1. Saya menanti tulisan Tuan Guru lebih-lebih lagi biografi Tuan Guru. Segala tulisan, buah fikiran dan perkongsian ilmu Tuan Guru amatlah berharga.

  2. Alhamdulillah terima kasih atas perkongsian YBrs. Datuk, semoga perjalanan penulisan dipermudahkan dan
    semoga Allah merahmati usaha YBrs. Datuk.

  3. Terima kasih SS untuk perkongsian ini. Saya ternampak di twitter SS berkenaan memoir kehidupan SS. Terus cari dan baca. Saya akan jadi pembaca setia SS.

  4. Alhamdulillah saya dah baca tulisan-tulisan Datuk Dr Zul dengan penuh minat. Baca tak boleh berhenti. Seperti saya pulak Sarah!

    Catatan pengalaman yang berharga. Terhimbau zaman kanak-kanak saya juga yang penuh warna-warni. Betullah, pembentukan karektor insan banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga, pendidikan dan persekitaran di mana insan itu dibesarkan.

    Penulisan berbentuk digital ini memudahkan pembaca mengakses di mana sahaja.

    Teruskan berkarya Datuk. Syabas, tahniah dan terima kasih.

  5. Syukran…. Maa syaaAllah… Tabarakallah
    Semoga Allah merahmati Tuan Guru. Saya akan mengikuti tulisan Dato.. ..aamiin..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here