Kita telah memasuki awal Zulhijjah di mana mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Dalam ruangan ini, kami kongsikan beberapa keistimewaaan dan fadhilat 10 awal Zulhijjah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ » يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini.” yakni 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438),
al-Tirmizi (757) dan Ibn Majah (1727)
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa terdapat hari-hari yang paling disukai oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya melakukan amalan soleh padanya. Antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas di atas. Para ulama’ berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan 10 hari di dalam hadith ini adalah 10 hari pertama di bulan Zulhijjah berdasarkan sebuah hadith di dalam sahih Ibn Hibban, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang paling baik di sisi Allah SWT daripada sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah.”
Riwayat Ibn Hibban (3853)
Berdasarkan itu, kita memahami bahawa tidak ada amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain melebihi sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini kerana ia dinyatakan oleh Allah SWT sendiri bahawa ia adalah hari yang paling disukai oleh-Nya dan ia juga adalah hari yang paling afdhal. Dikatakan bahawa 10 pertama bulan Zulhijjah merupakan hari yang paling disukai dan paling baik kerana padanya terdapat ziarah baitullah, Oleh kerana ia adalah hari yang lebih baik dan mulia berbanding hari-hari yang lain maka amalan soleh padanya juga adalah lebih afdhal berbanding hari-hari yang lain. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/386)
Fiqh al-Hadith
Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith di atas adalah:
Penutup
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengejar peluang dan ganjaran yang terdapat di dalam hari-hari tersebut dengan melaksanakan sebanyak mungkin amalan soleh agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik supaya kita dapat terus melakukan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT.