Bab 10: Usrah, Tarbiah dan Dakwah

Semasa di SMAASZA Batu Burok, Zul masih aktif dengan sukan sepak takraw. Sebahagian besar waktunya di rumah sewa, dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran, membaca dan mengikuti majlis ilmu. Honda Cub TJ5329 hadiah Ustaz Mad dimanfaatkan sebaiknya untuk bertalaqqi kitab-kitab kuning dengan Tuan-Tuan Guru di sekitar Terengganu. Antaranya Tuan Guru Haji Abdul Rahman Fatani di Kuala Ibai, Tuan Guru Haji Mahmud di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang. Adakalanya menumpang kereta saing untuk bertalaqqi dengan Tuan Guru Haji Abbas di Tok Jiring.

Zul juga mula aktif menyertai usrah yang dikendalikan oleh Ustaz Zawawi Ali (adik Mustapha Ali), En. Zul dan En. Rosdi. Di sinilah beliau mula dikenalkan dengan dunia dakwah dan tarbiah haraki. Hari Jumaat pula, Masjid Rusila adalah destinasi wajib baginya untuk bertalaqqi kitab Akidah Muslimin, Safwat al-Tafāsīr dan Fiqh Haraki dalam Sirah Nabawiyyah bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Era 70-an dan 80-an adalah era kebangkitan Islam di Malaysia. Terengganu selaku negeri yang kuat dengan pengaruh PAS turut merasai kesannya. Bersamaan dengan kebangkitan kembali Islam, ideologi Islam semakin mendapat tempat, terutama dalam kalangan kelompok-kelompok dakwah dan para aktivis Islam. Suatu kerangka ideologi baru mula membentuk dasar keyakinan dan cara hidup mereka.

John L. Esposito menghuraikan beberapa bentuk keyakinan kelompok aktivis Islam pada ketika ini dengan menjelaskan:

  1. Islam adalah suatu cara hidup yang luas; agama yang terintegrasi dalam politik negara, hukum dan masyarakat.
  2. Masyarakat Muslim gagal kerana mereka menyimpang dari pemahaman Islam dengan cara mengikut nilai dan ideologi materialistis sekular Barat.
  3. Pembaharuan menuntut suatu revolusi sosial dan politik Islam yang berinspirasikan al-Quran dan Muhammad, pemimpin gerakan Islam yang pertama.
  4. Memantapkan kembali peraturan-peraturan Allah; hukum-hukum sivil yang dibawakan oleh Barat harus digantikan oleh hukum- hukum Islam yang merupakan blueprint masyarakat Muslim.
  5. Pembaratan masyarakat dikutuk, sementara modernisasi tidak, sains dan teknologi diterima, tetapi tunduk pada Islam agar dapat diawasi dari kemasukan nilai-nilai Barat.[1]

“Bila kita ada intima’ kepada dakwah, bermakna kita memahami apa itu dakwah dan tarbiah. Ia tak boleh dipisahkan. Kita memahami manhaj dakwah, apa ciri-cirinya, apa yang thawabit[2] dan mutaghayyirat[3]. Hidup kita perlu mencerminkan intima’ kepada dakwah…”. Begitulah pesan Ustaz Zawawi Ali kepada Zul dan ahli-ahli usrah yang lain ketika mensyarahkan kitab Māzā Ya’nī Intimāʿ li al-Islām oleh Fathi Yakan.

Zul juga terdedah kepada isu-isu pergolakan antara jemaah-jemaah Islam di Malaysia seperti Islamic Representative Council (IRC), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sampailah tertubuhnya Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) yang dipimpin Ustaz Dahlan Mohd. Zain. Beliau ada juga mendengar daripada saing-saing di KIK, insiden perebutan “anak usrah” dalam kalangan PAS, IRC dan ABIM.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri semasa di Universiti Islam Madinah, melazimi usrah bersama-sama Ustaz Harun Taib yang dipimpin oleh Syeikh Said Hawwa’. Selain mereka, terdapat juga beberapa orang pelajar Indonesia yang menganggotai Majlis Syuro Muslimin Indonesia (MASYUMI). Kitab Jundullah Thaqāfatan wa Akhlaqan yang menjadi silibus usrah mereka, telah pun dikhatamkan pembacaannya oleh Zul sejak mula aktif dalam kegiatan usrah.

Kadang-kadang, selepas kuliah di Masjid Rusila, Zul akan menuruti Tuan Guru sehingga ke rumahnya. Memang selalunya selepas kuliah, segelintir hadirin yang mengikuti kuliah tersebut akan meneruskan perbincangan di rumah Tuan Guru. Seronok mendengar mutiara-mutiara ilmu daripada Tuan Guru. Setiap butiran perbahasan fiqh yang dibincangkan, dicatat dengan penuh teliti oleh Zul dalam buku notanya.

“Ayoh Chik. Ambe dengor aqidah Druze ni sesat. Buleh Ayoh Chik syaroh ke kiter dop?”, tanya Abang Ali dengan penuh minat. Ada sekitar 10-15 orang yang berkumpul keliling Tuan Guru turut menantikan jawapan.

Tuan Guru bingkas bangun dan menuju ke rak bukunya. Kitab al-Shīʿah wa al-Tashayyuʿ tulisan Shaykh Ihsan Ilahi Zahir dicapai dan beliau kembali ke ruang tamu rumahnya. Setelah membetulkan silanya, Tuan Guru bersuara. “Druze ni, alirang akidah yang terkeluor daripade Ahli Sunnoh. Ajarang ning diasaskang oleh Muhammad bin Ismail al-Darazi. Hah, mari sama-sama kite teliti ape yang disebut oleh Shaykh Ihsan Ilahi Zahir dalam kitab ning…”

Sedar tak sedar hampir satu jam Zul berteleku dengan pen dan buku notanya. Apabila kakinya mula serbang[4], barulah beliau tersedar. Selepas bersalam dan mencium tangan Tuan Guru, beliau pantas menaiki motosikal dan pulang ke rumah sewa.

********************

Tuan, tuan…Saya duduk dalam penjara, rasa macam honeymoon! Keluaq dari penjara, bangga pulak rasa sebab jadi alumni ISA!”, berderai ketawa para hadirin yang hadir ceramah PAS pada malam tersebut yang bertempat di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu. Penceramah pada malam itu antaranya adalah Mohamad Sabu. Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu baru sahaja dikeluarkan daripada tahanan ISA atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau. Zul bersama lautan manusia yang hadir tekun mendengar satu demi satu pidato yang disampaikan oleh para pimpinan PAS Terengganu dan Pusat. Di pentas kelihatan sosok Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Bunyamin, Mustapha Ali, Wan Mutalib Embong, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Awang Hj Din, Ustaz Haron Jusoh dan Ustaz Kassim Ahmad.

Ceramah PAS adalah satu-satunya ruang untuk orang Terengganu mendapatkan info-info semasa berkenaan hal-ehwal politik. Markaz PAS berperanan sebagai pusat maklumat sehenti bagi isu-isu politik selain majlis-majlis ilmu yang dihadiri Tuan-Tuan Guru. Selain markaz, ceramah juga dijalankan di rumah-rumah ahli PAS. Generator dihidupkan dan bermulalah ceramah yang berlangsung selepas Isya’ sehingga berakhir sekitar jam 11 hingga 12 tengah malam. Pernah sekali, blackout semasa ceramah. Dengan bertemankan lampu pelita dan suluhan lampu lori, ceramah diteruskan juga. Itulah semangatnya orang Terengganu dengan politik.

Sesekali, penceramah luar juga dibawa masuk untuk menarik kehadiran lebih ramai penduduk Terengganu. Zul sempat mengikuti ceramah beberapa pimpinan PAS dari luar Terengganu seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mahfuz Omar, Dato’ Haji Fadzil Nor dan Tuan Guru Hj Yusof Rawa. Isu Memali adalah antara yang menjadi topik utama yang dikupas dengan sudut yang pelbagai oleh setiap ahli panel.

“Di dunia ini, kuaso Tuhe berikan jugok kepado ambo dan kepada orang lain. Kepado siapo sajo di atah dunio ni; Tuhe beri sedikit kuaso. Kuaso kecek[5], kuaso jjale[6], kuasa jamoh[7], kuaso nelle[8], kuaso bangun dan kuaso duduk; Tuhe buwi belako…Selepas itu Dia tunggu dan tengok; Kuaso yang Aku buwi tu panda ko dop manusio jago sebagaimana yang Aku nok. Ataupun dio jago seghupo yang dio mahu…” Bergema suara Tuan Guru Nik Abdul Aziz mensyarahkan ayat keempat daripada Surah al-Fatihah dalam ceramahnya.

Pernah sekali, diadakan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Rusila pada 1988. Solat berjemaah diadakan dengan saf yang amat panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah ke pantai. Pengunjung bertali arus, pelbagai bangsa, negara dan warna kulit. Seakan-akan Rusila sudah jadi bandar antarabangsa buat beberapa hari! Pelbagai tokoh gerakan Islam antarabangsa hadir sebagai tetamu PAS. Di atas pentas, Zul melihat Saiful Islam bin Hassan al-Banna, Ma’mun al-Hudaibi (anak Hasan al-Hudaibi) mewakili Ikhwan al-Muslimin, Mehdi Akif, Rasheed Turabi, dan ramai lagi meliputi Nusantara, India, Pakistan dan Asia Tengah. Tuan Guru Haji Abdul Hadi bertindak selaku penterjemah.

Minggu itu, juallah apa sekalipun di Rusila, memang laris. Peniaga-peniaga kecil amat gembira dengan keuntungan berlipat kali ganda. Pengalaman pertama kali berada dalam majlis peringkat antarabangsa, membuatkan Zul kaget, teruja dan amat gembira. Sambil menikmati kepok, beliau mendengar satu persatu ucapan tokoh-tokoh gerakan Islam ini tanpa rasa jemu.

********************

Malam itu, Zul membelek-belek kitabnya, Jamʿat al-Muslimīn, Mafhūmuha wa Kayfiyatu Luzūmihā fi Waqīʿinā al-Muʿāṣir tulisan Shaykh Dr. Ṣolāḥ al-Ṣāwī. Fikirannya terawang-awang, mengingati kejadian yang berlaku baru-baru ini. Beberapa hari lepas, beliau mengikuti Khutbah Jumaat yang berapi-api semangatnya yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Masjid Rusila. Merah padam muka Tuan Guru ketika itu.

“Allah SWT berfirman dalam al-Qur’ān,

إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Kite amat kecewe dan sedih atas ape yang terjadi kepada almarhum al-syahid Ustaz Ibrahim Libya. Sesungguhnya tuan-tuan, kite hidup di zaman yang mengagungkang sekularisme. Sebagaimana kata Shaykh Yūsuf al-Qaraḍāwī, ini zaman pertarungan antara Islām dan sekularisme. Tak dapat tidak, kita perlu memerangi sekularisme dengan pendekatan akidah, ibadah, akhlak dan undang-undang! Shaykh Muḥammad al-Āmīn bin Muḥammad al-Mukhtār al-Shinqiti dalam tafsirnye pade ayat ini menegaskan bahawa barangsiapa yang mengikut syariat selain daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka perbuatang itu menghampiri kekufuran yang nyata!”

Khutbah beliau menjadi tajuk berita utama di peringkat nasional. Media-media berkampung di  Masjid Rusila untuk mendapatkan pandangan lanjut Tuan Guru berkenaan kenyataannya yang menentang tindakan Kerajaan terhadap Ustaz Ibrahim Libya. Beberapa hari selepas itu, Tuan Guru Haji Yusuf Rawa bertandang ke Rusila dan kemudian menyampaikan ceramah di Kuala Terengganu mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Zul yang tidak melepaskan peluang untuk hadir, tergamam dengan lautan manusia yang memenuhi padang tempat ceramah diadakan. Jalan raya pula sesak sejak pagi.

Mata Zul masih segar walaupun jarum sudah menunjukkan jam 12 tengah malam. Hilang mengantuknya apabila cuba menghadam tiap patah khutbah “panas” berkenaan. “Hujoh Tok Guru kuat jugok…”, getus hati Zul.

Fikirannya terus melayang, mengingat kembali saat ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi semasa berceramah di Kampung Banggol, Peradong, Terengganu, pada 1981. Semasa itu, Zul baru berusia 12 tahun. Isu itu berterusan menjadi isu yang kontroversi sehinggalah diterbitkan buku khas Amanat Haji Hadi tulisan Tuan Guru dan ketika Zul masih di SMASZA Ladang, setepatnya 17 September 1984, PAS mengusulkan untuk diadakan debat terbuka PAS dan UMNO berkenaan isu ini.

Ustaz Haji Hassan Shukri selaku Setiausaha Agung PAS telah mengirimkan surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sanusi Junid untuk menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan UMNO dalam isu tersebut yang semakin berlarutan. Ini adalah ekoran kenyataan YAB Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pada 25 Ogos 1984 dan 15 September 1984 yang menzahirkan kesediaan UMNO untuk berdebat dengan PAS.

“Ambe letok keyakinang 100%, dalang isu ning memang PAS saloh!”, kata Pok We sambil menepuk meja di Kedai Kopi Kubang Kekura. Disambut pula Haji Loh di meja sebelah, “Guaner citer…Haa, UMNO napok gogeh dengang debat tu? Dok ketek bile tahu Ayoh Chik, Ustak Nakhaie, Ustak Harun turung!” Surah khabar setiap pagi laris bak pisang goreng panas. Kedai Kopi Kubang Kekura seolah-olah sudah menjadi Dewan Rakyat tempat Ahli Parlimen Malaysia berbahas.

PAS menampilkan Tuan Guru sendiri, Ustaz Harun Taib dan Ustaz Nakhaie Ahmad manakala UMNO membariskan Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Wan Mokhtar Wan Ahmad dan Ustaz Ibrahim Azmi. Zul masih ingat tiap-tiap malam selepas solat Maghrib, ayahnya di hadapan televisyen, mengikuti perkembangan liputan isu ini. Pun begitu, pada 8 November 1984, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Ahmad Zainal Abidin Yusof telah mengisytiharkan bahawa Majlis Raja-Raja tidak menzahirkan perkenan dan membatalkan Debat UMNO-PAS tersebut.

Lamunan Zul makin menjauh, mendalam dan akhirnya beliau terlelap dengan kitab yang masih ada di atas dadanya.

____________________

[1] John L. Esposito. Islam in the Politics of the Middle East: Current History, 53.

[2] Tetap

[3] Boleh berubah-ubah

[4] Kebas

[5] Bercakap

[6] Berjalan

[7] Makan

[8] Menelan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *