Bab 11: Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar

4
8171

“Dop soh belilah mutor, bahaye. Banyok doh kes kemalangang. Zul tengok di tibi tu…”, Ustaz Mad berdalih. Beliau memang agak keberatan untuk membeli motosikal kepada anaknya. Siapa yang tidak risaukan anak. Tambahan pula bila umur sudah menjengah alam remaja, dengan motosikal sebuah, macam-macam boleh dibuatnya.

“Insya-Allah ayoh. Zul bowok mutor molek-molek. Tok kang nok bowok laju seghupe bedil.[1]”, Zul memujuk ayahnya. Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya Ustaz Mad mengalah. Begitulah hati sang ayah. Itulah kisahnya motosikal Honda Cub TJ5329 yang dibeli di Kedai Jani Jaya, Bukit Payong.

Semasa peringkat Thanawi, Zul mula dikenalkan dengan usrah ketika menetap di Jalan Kenanga, Batu Burok  bersama 15 orang pelajar lain di sebuah rumah sewa. Sebagai pelajar Tahun 1 Thanawi, beliau mengikut sahaja usrah yang diaturkan oleh abang senior, Abang Majid dan Abang Long.

“Zul, anta bagi tazkirah skek dalam usroh kite ning.”, pinta Zainuddin, pelajar senior Tahun 3 Thanawi. Rasa gelap dunia. Pertama kali diminta memberi tazkirah tanpa apa-apa persediaan. Jeng kreng! “Aaa…nok ana cakak[2] ape? Ana ddok aa’uu stabok[3] nok cakak ape ning.”, Zul memberi alasan. “Dakpe, insya-Allah enta buleh…”, Abang Long menyampuk. Itulah pengalaman pertama Zul menyampaikan tazkirah.

Tahun 1 Thanawi menemukan beliau saing-saing[4] lain seperti Ahmad Syukri, Wan Shohor Bani Leman, Bahzur, Manan, Wan Abdul Malik, Kamaruddin, Zainaphi, Zaini, Saiful Bahri, Megat Abdul Karim, Rosli dan lain-lain. Dunia persekolahan yang serba baharu memang mencabar. Guru-guru berbangsa Arab, mengajar dengan bahasa perantaraannya Bahasa Arab, memang mencabar dan memberi sedikit kejutan budaya kepada pelajar Tahun 1 Thanawi.

“Zul, ndape hok Ustak Utuwwah syaroh dari awal sapa habih tu?, Ana dop pahang…”, bisik salah seorang rakan sekelas Zul. Setiap kali sesudah kelas, berbondong-bondong pelajar akan mengelilingi Zul untuk bertanyakan beliau tentang apa yang diajar oleh guru-guru. Dengan papan hitam dan kapur, Zul akan menghuraikan satu persatu apa yang beliau fahami semasa P&P dalam kelas. Lama-kelamaan, masing-masing sudah mula mendapat rentak dan menjadi “pakar rujuk” bagi subjek kegemaran masing-masing.

Ada sahaja masa terluang di dalam kelas, Zul selaku ketua kelas akan ke depan kelas dan menyampaikan tazkirah. Sesekali tentang fiqh, sejarah Islam, hadith dan beberapa topik lain. Di hujung tazkirahnya, akan diselitkan permohonan kutipan sumbangan untuk keceriaan dan kebersihan kelas.

“Sahabat, sahabat yang ana kasihi. Bagaimane kite nok belajor dengang mengkernekan niat[5] kite, kerana Allah? Pertame hok pertame sekali, hendaklah kite pahang tujuang belajor sebagaimane yang dinaskan oleh al-Quran al-Karim:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

“Hendoklah keluor sebahagiang sahaje puok-puok antare mereke, supaye puok hok tinggal tu belajor dengang lebih mendalang ilmu yang dituntut di dalam ugame, dang supaye mereke buleh mengajor puoknya hok keluor berjuang bile puok hok berjuang ning kelik[6] kepade mereka; mudoh-mudohang mereke dapat berjage-jage.”[7]

Ayat ini menunjukkang tujuang tafaqquh fi al-din[8] untuk beri peringatang dan pengajarang kepada anok bangse. Keperluang ini semestinye mustahil terlaksane kalu terbatas dengang ape hok kite belajor dalang kelas semate-mate. Kite belajor, bukang hanya kerane peperiksaang. Cadangang ana, kite tashih[9] niat kite untuk belajor kerane Allah. Kite belajor bukang nok cari bbaloh dengang para ulama. Tak dop hok mudoh dengang belajor ning. Abu Nasr Yahya bin Abi Kathir al-Yamani berkate:

لَا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجِسْمِ

“Seseorang itu tidok akang mampu menguasai ilmu dengang kerehatang tubuh badang.”

Lihatlah bagaimane Imam Muslim sendiri terpakse bermusafir daripada Afghanistan ke Nishaphur, kemudiang ke Kuffah, ke Baghdad, ke Raqqah, ke Basrah, ke Mesir dan melintasi negeri-negeri yang amat banyok, yang sudoh pasti banyok ujiannye.[10] Kite ning musing ketang[11] dalang Tranung je. Jadi, lagilah kene belajor habih gheng.[12]

“Seperti biase sahabat-sahabat, ana nok mitok seriya due[13] daripada sahabat-sahabat untuk keceriaang, kebersihang kelas kite. Samah[14] pung ana terime…”, pesan Zul sebelum menutup bicaranya. Di hari lain pula, Zainaphi akan kedepan untuk mengajar Nahu dan Saraf. Siapa tidak kenal Zainaphi? Sejak Tahun 1 sudah dikenali sebagai “Tok Guru” dalam ilmu Nahu dan Saraf Bahasa Arab. Setiap pelajar akan bergilir-gilir menyampaikan tazkirah berdasarkan jadual yang disusun oleh Zul.

Hujung minggu, Zul akan pulang ke rumahnya. Namun, tetap dibawa juga buku-buku bersamanya. Di rumah, sudah tersedia jadual ulangkaji pelajaran yang dilekatkan di dinding. Khairul yang ketika itu berada pada Tingkatan Tiga SMASZA Ladang, amat kagum dengan abangnya. Sokmo dengan buku.

Zul amat termotivasi dengan abang-abang senior di SMAASZA seperti Zulkifly Muda, Zakaria Mamat (Pok Ya), Anuar Fakhri, Zainuddin, Majid, Fadhil Mustafa, Engku Ahmad Zaki, Kamaruddin, dan lain-lain. Kalau pidato dan syarahan, Zul sentiasa melihat Abdullah Zaik dan Ismail Ali sebagai orator yang hebat.

Pernah satu malam ketika di rumah sewa, Zainaphi mengimamkan solat Maghrib dan membaca Surah al-Ahzab. Usai wirid dan doa, Zul memanggil sahabatnya itu. “Maghi sini smeta. Ana dengor enta bace surah lain malang ning. Maghi ana nok tasmi’[15] enta. Ye dok enta bace tu.”, ujar Zul ringkas dengan kerutan di dahinya. Hairan Zainaphi dengan sikap sahabat serumahnya yang seorang ini yang tiba-tiba ingin menguji hafalannya. Namun, itulah sikap Zul. Beliau sangat tidak selesa mana-mana sahabatnya melebihi dirinya dari apa jua sudut terutamanya hafazan al-Qur’an, ilmu agama dan ilmu akademik.

Inilah sifat hasad dengki (ghibṭah) yang dibenarkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.”[16]

Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ

Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang.[17]

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, istilah hasad dalam hadith ini sebenarnya membawa maksud ghibṭah iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu, dan lafaz hasad digunakan dalam erti kata majaz. Keinginan ini juga disebut sebagai persaingan, dan ianya terpuji jika dalam perkara ketaaatan.[18]

Menurut Syeikh Badruddin al-‘Aini pula, Imam al-Bukhari mengeluarkan lafaz hasad ini dari maknanya yang hakiki kepada makna majaz, dan kerana itulah Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini dibawah tajuk al-Ightibāṭ fī al-ʿIlm wa al-Ḥikmah (Perasaan Hasad Untuk Memperoleh Nikmat Ilmu Dan Hikmah).[19]

********************

Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikhul Azhar bermula 1982 hingga 1996

“Apa pandangan kamu dalam isu ini, Zulkifli?”, tanya Ustaz ‘Utuwwah sambil disaksikan Syeikhul Azhar Shaykh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq di dalam kelas. Syeikhul Azhar dan rombongan para ulama’ al-Azhar sedang mengadakan lawatan kerja ke Terengganu dan antara persinggahan mereka adalah SMAASZA, Batu Burok. Kelas Tahun 1 Thanawi menjadi pilihan untuk lawatan rasmi berkenaan selepas selesai Syarahan Perdana beliau di Dewan Fikri dengan tajuk “Kepentingan Masa bagi Penuntut Ilmu”.

Suasana kelas Tahun 1 Thanawi sunyi. Senyap tupah.[20] Ustaz ‘Utuwwah yang berada dalam kelas pada ketika itu, memandang tepat kepada Zul yang sedang menunduk. Dengan harapan anak muridnya ini boleh menjawab persoalan yang ditanyakan kepadanya. Bahkan bukan hanya beliau, satu kelas menunggu jawapan Zul bagi persoalan fiqh tersebut. Syeikhul Azhar cuma tersenyum memandang bocah dari Kubang Kekura yang sedang terkulat-kulat itu.

“Errr…”, kelu lidah Zul. Seolah-olah hilang kata-kata. Beliau mengangkat kepalanya seketika. Ada Mudir SMAASZA Ustaz Engku Alwi, Syeikhul Azhar, para guru SMAASZA seperti Ustaz Taha, Ustaz Utuwwah, Wahdan, Ustaz Sulaiman Abdul Hadi, Ustaz Samad, Ustaz Abdullah Ustaz Abdurrahman Mantiq dan Ustaz Yusuf. Ada juga 4-5 orang yang berjubah kakula[21] berwarna hitam dan memakai ʿimāmah[22] al-Azhar. Zul menjadi gemuruh dan mula berpeluh. Mukanya pucat lesi bagaikan ditoreh tidak berdarah.

Zul menggeleng kepala. Malu.

Soalan Ustaz Utuwwah tak mampu dijawabnya. Namun, itulah antara titik perubahan terbesar dalam hidupnya untuk lebih rajin menuntut ilmu. Beliau tidak tahu apa yang akan berlaku 10-20 tahun lagi namun kegagalannya menjawab persoalan Ustaz ‘Utuwwah di hadapan mahaguru besar al-Azhar itu membuatkannya benar-benar terpukul.

Kini, bersama-sama Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad al-Tayyib dalam Majlis Hukama’ al-Muslimin

********************

Hari demi hari, bakat dan kecenderungan Zul dalam bidang ilmu semakin terserlah. Disamping aktif suka sepak takraw, beliau mula dikenali selepas muncul Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Arab peringkat Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut. Zainaphi yang merupakan “Sibawaih SMAASZA” muncul Johan Kuiz Bahasa Arab. Ahmad Syukri pula mewakili SMAASZA dalam Pertandingan Hafazan al-Qur’an.

Walaupun petah bersyarah dalam Bahasa Arab, menonjol dalam akademik dan sukan, Zul kekal sebagai pelajar yang pendiam dan pemalu. Juruh budaknya. Inilah yang membuatkan Ustaz Nik Wan, mudir SMAASZA yang disegani kepakarannya dalam ilmu agama pernah menyebutkan di hadapan para guru, “Kalu ade hok lebih daripada ana satu hari nanti, Zulkifli lah orangnye…”

Tahun 2 Thanawi SMAASZA

____________________

[1] Teramat laju

[2] Cakap

[3] Tak tahu apa-apa

[4] Rakan-rakan

[5] Menjadikan satu-satunya niat

[6] Pulang

[7] Surah al-Taubah: 122

[8] Mendalami ilmu agama

[9] Memperbaharui

[10] Saya ada meringkaskan kitab Maʿālīm Irshādiyyah li Ṣināʿat Ṭālib al-ʿIlm oleh Shaykh ‘Awwamah dengan izin dan permintaan Shaykh dengan tajuk Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu.

[11] Ulang alik

[12] Bersungguh-sungguh

[13] Seringgit dua

[14] 50 sen

[15] Kaedah hafazan di mana ada seorang penghafaz al-Qur’an dan seorang penyemak bacaan yang mendengar bacaan penghafaz berkenaan yang tidak merujuk mushaf. Bertujuan menguji memori penghafaz.

[16] Sahih al-Bukhari, no. 73

[17] Sahih al-Bukhari, no. 7529 dan Sahih Muslim, no. 815

[18] Rujuk Fath al-Bari 1/167

[19] Lihat ʿUmdat al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 2/56

[20] Sunyi sepi

[21] Jubah luar

[22] Serban

4 COMMENTS

  1. Allahu Akbar…kisah2 Ustaz Dato’ mengispirasikan…Dato’ ustaz sy di ipta dulu…sy org teganu tapi bhsa teganu sy xsekaya ustaz..byk sy recall dan belajar balik bhs teganu drpd cite2 ustaz ni…alhamdulilah, seronok baca..😊..walaupun ustaz duk luar teganu, tp bhs teganu masih pekat molek, alhamdulillah…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here