Bab 5: Indahnya Raya

6
5767

Beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, orang ramai akan memenuhi Pasar Payang, Kuala Terengganu bagi membeli pelbagai persiapan raya termasuk baju raya. Nama Pasar Payang diambil sempena “perahu payang” yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di Terengganu.

Pada tahun 1964, ia dibangunkan sebagai sebuah pasar dengan gerai-gerai kayu yang berderet, bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Pasar Payang telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16, yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-4 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah pada 31 Ogos 1968.

Pasar Payang kini lebih cantik

Bahagian bawah Pasar Payang menempatkan barangan dapur seperti ikan, sayur-sayuran, barangan kering dan kuih-muih tradisional. Sementara tingkat atas adalah tumpuan ramai kerana menjual pakaian terutama baju raya, batik Terengganu, sutera, dan songket tenunan Melayu.

Hajah Ramlah lebih senang menjahit sendiri baju raya anak-anak dan suaminya. Sejak sebelum Ramadhan lagi beliau menyiapkan baju raya keluarganya. Itu yang lebih utama kerana apabila tibanya Ramadhan atau 10 malam akhir Ramadhan, beliau dapat menumpukan kepada ibadah dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

********************

“Ayoh, jadi ke raye esok?”, tanya Khairul dengan penuh teruja.

Ustaz Mad ketawa kecil dan menjawab, “Aa’uu gok.[1] Kite tunggulah pengumumang Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof, Penyimpang Mohor Besor Raje-Raje kekgi.”

Selepas Maghrib, Ustaz Mad sekeluarga berkumpul di depan televisyen. Debarannya seperti menonton perlawan akhir Itali dan West Germany dalam Piala Dunia FIFA 1982 di Santiago Bernabéu Stadium, Sepanyol. “Mung wase raye dop esok?”, Khairul bertanya pula kepada Zul. “Balok arok[2] aku dengang mung ning. Shhh…Nok mule doh tu.”, marah Zul kepada adiknya. Khairul mencebik tanda tidak berpuas hati.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 30 Jun 1984. Sekian, wassalamu ‘alaikum warahmatullah wabarakatuh…”

Berdentum-dentum bunyi bedil mengiringi tamatnya pengumuman sebentar tadi. Malam di Kampung Kubang Kekura dan sekitarnya hidup dengan warna-warni bunga api.

*******************

Masjid Abidin, Kuala Terengganu

“Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar…” Alunan takbir di pagi 1 Syawal memecah keheningan Subuh yang dingin. Sabda Nabi SAW:

‌زَيِّنُوا ‌أَعْيَادَكُمْ ‌بِالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: “Hiasilah dua hari raya kalian dengan takbir.”[3]

“Sedak ork takbir raye kkapung kite ning?”, Mi bertanya pandangan Zul. Boleh lah. Tapi bagi aku Sejik[4] Negare sedak lagi. Bile la ade peluang nok gi sane.”, jawab Zul acuh tidak acuh kerana sibuk membetulkan songkoknya di hadapan cermin.

Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidil Fitri pada tahun ke-2 Hijrah. Waktu solat hari raya bermula dari matahari terbit hingga gelincir matahari. Hal ini berdasarkan hadis, daripada al-Barra’ raḍiyallāhu ʿanhu katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِيْ يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ

Maksudnya: “Perkara yang pertama kita mulakan hari ini ialah bersolat.”[5]

Pun begitu, disunatkan solat hari raya untuk dilewatkan sedikit ketika matahari naik tinggi segalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Shaykh Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshn dalam Sharh al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah.[6]

Zul dan adik beradiknya berebut-rebut masuk ke bilik air untuk mandi. Masing-masing tidak mahu terlepas untuk pergi ke balasoh bagi menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Baju raya anak-anak dan suaminya telah siap digosok oleh Hajah Ramlah. Masing-masing gembira nampaknya memakai baju baru. Ustaz Mad mencalitkan sedikit minyak atar kepada anak-anaknya sebelum bersama-sama ke balasoh. “Molek paka ning. Amalang sunat pagi raye.”, katanya kepada anak-anak.

Sebagaimana hari Jumaat, hari raya juga disunatkan untuk berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik. Perbezaannya, hari raya disunatkan untuk memakai apa-apa sahaja pakaian yang terbaik walaupun bukan berwarna putih seperti yang disunatkan pada hari Jumaat.[7]

Selepas solat sunat hari raya, Ustaz Mad sekeluarga akan menziarahi ayahanda, Haji Bakar. Inilah rumah pertama yang wajib dikunjungi pada pagi hari raya. Ketupat, rendang, lemang, dan tapai, adalah antara juadah istimewa yang telah tersedia di meja makan. Nasi Dagang Ikang Aye sudah pasti adalah menu utama.

“Maghi sini segheme cucu-cucu Tokki. Haa, nok wi duit raye ning.”, kata Haji Bakar sambil ketawa. Habis berterabur makanan ditinggalkan di meja. Semuanya bertabur untuk bersalam seterusnya mendapat duit raya.

Hari raya pertama dipenuhi dengan aktiviti kunjung mengunjung sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Tidak perlu risau di mana hendak sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Makanan yang enak ada di mana-mana rumah! Ustaz Mad juga tidak lupa berkunjung ke rumah mereka yang susah seperti Pok Leh. Beliau akan menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan juadah hari raya untuk Pok Leh sekeluarga. “Dalang kite bergembire hari ning, jangang lupe hok fakir misking.”, pesan Ustaz Mad kepada anak-anaknya.

Selepas Solat Zohor, Ustaz Mad membawa keluarganya berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga bekas gurunya. Sudah menjadi kelaziman saban tahun, itulah rumah pembesar negeri yang menjadi singgahan setiap kali hari raya. Kerjaya Ustaz Mad sebagai Guru Pelawat Agama membolehkan beliau kenal dan rapat dengan orang-orang kenamaan, termasuk pegawai-pegawai di Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Almarhum Dato’ Sri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Mantan MB Terengganu

“Sedak do’oh ayang golek ning. Wase nok ambik lagi la. Kikiki…”, bisik Khairul kepada abangnya, Zul. “Aduh…Dok rok skepeng[8] mung ni. Shhh…pellang gok sikek cakak tu!” Zul membalas sambil mencubit adiknya. Tan Sri Wan Mokhtar kebetulan terdengar perbualan dua beradik itu pantas mencelah, “Ha, ambik, ambik. Memang untuk tetamu blake tu. hehe.” Khising[9] Zul dan Khairul disapa Menteri Besar. Rasa kembang sekejap!

Tan Sri Wan Mokhtar kemudiannya menghulurkan not RM1 kepada Zul dan adik beradiknya. Buntang mata mereka apabila menerima wang kertas tersebut. RM1 pada era 80-an sudah dikira besar nilainya. Selepas berbual seketika, Ustaz Mad meminta izin untuk pulang kerana masih ada beberapa buah rumah yang akan dikunjungi.

Datsun Sunny 120Y nombor plat BBD 2949 berwarna hijau muda pun meluncur laju keluar daripada kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu. Destinasi seterusnya adalah rumah Ayoh Long Haji Mad Gemok, bapa saudara mereka. Ayoh Long Haji Mad Gemok orang berada. Anak-anaknya Nafisah, Kak Re, Abang Din, Abang Mi, Kak Dah dan lain-lain nampak berpelajaran tinggi. Jauh bezalah dengan Zul dan semua adik beradiknya, budok buah[10].

Beginilah model kereta Ustaz Mad.

Beliau selalu meraikan anak-anak saudaranya dengan juadah yang enak setiap kali hari raya. Namun hari itu nampaknya Zul dan adik beradiknya sudah keletihan. Se’eh perut[11] kerana kekenyangan menjamu selera di kediaman rasmi Tan Sri Wan Mokhtar.

“Ayoh, banyok lagi ke rumoh? Zul lembek lotteh doh ning.”, kata Zul sambil menyandarkan kepalanya ke bahu Mi. “Habih doh. Kite nok kelik la ni.”, Ustaz Mad menjawab.

Malam itu selepas selesai solat Maghrib berjemaah, Zul dan adik beradiknya berkumpul untuk mengira duit raya masing-masing. Wang yang terkumpul, sebahagiannya akan disimpan ke dalam Bank Simpanan Nasional dan sebahagian lagi dibuat belanja harian.

Satu hal yang menarik, ibadah puasa enam hari di bulan Syawal dilaksanakan beramai-ramai oleh orang tua-tua di Kampung Kubang Kekura bermula 2 Syawal. Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”[12]

Imam al-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Shāfiʿī, Ḥanbalī dan juga Dāwūd al-Ẓāhirī bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  )[13]

Pada 7 Syawal, mereka yang selesai berpuasa akan meraikannya sebagaimana 1 Syawal. Aktiviti wajib adalah ziarah kubur. Antara kubur orang alim yang menjadi tumpuan adalah kubur Tok Khatib Siput.

Syeikh ‘Atiyyah Saqr dalam fatwanya Ahsan al-Kalām fī al-Fatāwā wa al-Aḥkām ada menjelaskan berkenaan hukum ziarah kubur pada hari raya. Menurutnya, hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat. Beliau menyimpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.

Adapun bagi perempuan, beliau memakruhkannya jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain. Jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram.

Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah. Ini kerana takziah selepas daripada mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang, sama ada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Begitu juga ia ditegah kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidak ditimbulkan perasaan sedih.

____________________

[1] Tak tahulah

[2] Serabut kepala

[3] Riwayat al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Awsaṭ, no. 4373.

[4] Masjid

[5] Riwayat al-Bukhari (908)

[6] Shaykh Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshn. Sharh al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah, m. 421.

[7] Ibid., 422.

[8] Tak boleh pakai

[9] Tersengih-sengih

[10] Nakal

[11] Sengkak / perut sudah penuh

[12] Riwayat Muslim (1164)

[13] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, (8/56). Adapun pahala berpuasa sepanjang tahun difahami seperti berikut: Setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan puasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama bepuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah). Wallahu a’lam.

6 COMMENTS

  1. Perenggan yg ni 👇🏻
    Pada 7 Syawal, mereka yang selesai berpuasa akan meraikannya sebagaimana 1 Syawal. Aktiviti wajib adalah ziarah kubur. Antara kubur orang alim yang menjadi tumpuan adalah kubur Tok Khatib Siput.
    Saya rasa yg betul 8 Syawal. Sbb pada 7 syawal masih puasa 6..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here