Bab 6: Atlit Takraw SMASZA Ladang

Zul berlari-lari anak ke basteng[1] berdekatan jalan utama diikuti Khairul. Khairul cuma berbeza 1 tahun dengan abangnya. Jadi, mereka ke sekolah bersama-sama. Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang adalah pilihan Ustaz Mad untuk anak-anaknya menyambung pengajian ke peringkat menengah. Umum mengetahui kehebatan para guru di situ, juga pelajarnya.

Bas Pokcik Ripin memecut laju meninggalkan basteng Kubang Kekura. Pokcik Ripin ramah orangnya. Kadangkala, Zul mengambil kesempatan berbual dengan Pokcik Ripin di dalam bas. Udara segar pagi di Kuala Terengganu amat menenangkan. Zul suka duduk di tepi tingkap sambil melihat pemandangan sepanjang jalan. Lain pula ceritanya apabila pulang nanti. Bas mini Pokcik Ripin lebih padat dengan para pelajar, re’muk,[2] berkuap dan sudah pasti busuk kohong![3] Ada harinya beliau terlewat sampai ke basteng. Maka, tidak ada pilihan lain kecuali bas Deraman. Sampai di sekolah, Guru Disiplin sudah menanti dengan pelbagai denda.

Nama Zul memang agak dikenali di SMASZA Ladang sejak awal lagi. Sepak takraw, badminton, semuanya disapu habis. Di SMASZA, atlet sukan adalah “selebriti” yang dihormati dan menjadi bualan orang puang[4]. Selain Zul, antara yang terkenal juga adalah Sabri dan Zainuddin yang merupakan pemain badminton sekolah, selain Jenal dan Ku Hasan, regu pingpong yang tiada tandingan. Kalau di padang bola sepak, tak ada yang berani mengaku tidak kenal Wan Shohor Bani Leman, keeper legenda SMASZA.

“Weh, skoloh kite ade lawang takraw petang ning. Zul Mat jadi tekong!”, jerit seorang pelajar kelas depan kepada rakannya di kelas belakang. 10 minit kemudian, sunyi kelas-kelas di SMASZA. Semuanya turun ke gelanggang sepak takraw menyaksikan Zul dan pasukan sepak takraw SMASZA beraksi.

“Zul Mat! Zul Mat! Zul Mat!” Itu sorakan biasa yang bergema di SMASZA, setiap kali Zul turun gelanggang sebagai tekong. Bandanna diikat di dahinya, dengan gaya seperti Sylvester Stallone dalam filem Rambo. Walaupun Zul seorang yang pendiam, juruh[5], sentiasa ditolak sebagai imam di surau SMASZA oleh rakan-rakannya, karakter Zul berubah sepenuhnya ketika di gelanggang.

Bila Zul, Jabar, Sabri Chik mewakili sekolah, Mudir SMASZA sudah boleh siap-siap duk ccacang di podium untuk mengambil piala. Pernah sekali tiga sekawan ini menjadi juara Bawah 18 tahun peringkat Sekolah-Sekolah Agama Negeri Terengganu ketika bertanding di Tapian Gelanggang, Gong Kapas. Saat sekolah-sekolah lain menghantar pelajar Tingkatan 4 dan 5, SMASZA hanya menghantar budak yang masih mude jjetik[6]. Namun, itulah yang digeruni lawan.

Di kelas pula, beliau sentiasa terkehadapan. Beliau menjadi rujukan rakan-rakan lain untuk subjek-subjek Bahasa Arab seperti Nahu, Saraf dan juga Matematik. Guru-guru SMASZA juga amat menyayangi beliau dan menjadikan beliau sebagai contoh kepada para pelajar lain. Selalunya, Zul akan bbadi dengan Ahmad Nazmi, Syamsuddin, Mazemi, Engku Ahmad Zaki dan beberapa lagi. Antara yang disegani juga seperti Zulkifli Embong, Abdul Manan, Khairuddin, Muzaruddin, Syamsul Bahri, Salahuddin, Rasyid, Hasbil, Arbab, Amli Embong. Kalau pelajar puang pula antaranya Faridah dan Rozita.

“Ustaz Mad, ana napok anok enta Zul tu, boleh gi jauh. Sukang nombor satu. Belajor pung rajing. Dalang kelah, die main nombor se, due, tige je. Bijop budok tu. Molek hantor die belajor luar negare.”, Ustaz Wan Abdullah memberikan pandangan kepada Ustaz Mad. Ustaz Mad tersenyum dan memandang tepat kepada sahabat dan berkata, “Insya-Allah. Ana doa hok baik-baik untuk segheme anok-anok ana. Zul memang boleh gi jauh.”

Zul suka mengumpulkan duit belanja yang diberikan ayahnya setiap hari. Cukup bulan, beliau akan menaiki basikal untuk ke kedai buku. Habis buku-buku latihan SRP diborongnya di kedai-kedai buku sekitar Kuala Terengganu. Balik rumah, semua buku tersebut disusun penuh di rak bukunya. Subjek yang akan diajar tahun depan, tahun ini sudah selesai dihadamnya. Tak hairanlah beliau sentiasa menonjol di dalam kelas. Itulah kehidupannya sejak melangkah ke alam remaja.

“Mung nok gi mmane jangok-jangok ning?”, Khairul menegur Zul. Khairul memerhatikan abangnya atas, bawah beberapa kali. Terkebil-kebil. “Doh guane mung jadi gini malang-malang? Baju kemeje, seluor bell botteng[7], paka Tanco. Stepek bojeng nnekat atah kulit ppale. Pesengang Elvis Presley.” Zul pada malam itu cukup segak berpakaian kemas. Kemeja dimasukkan ke dalam seluar dan beberapa buah buku latihan SRP dikepit di celah ketiaknya.

“Ana nok study lah.”, jawab Zul ringkas, terus meninggalkan adiknya yang masih kehairanan. Lucu pun ada. Habih pengong[8] budok tu.

Mungkin Zul terkesan dengan peribadi dan adab Imam Malik dengan ilmu. Mengulangkaji pelajaran dengan berpakaian cantik dan kemas. Diriwayatkan jika ada yang datang untuk mempelajari hadis dan meriwayatkan Imam Malik, beliau akan masuk untuk berwuduk, memakai pakaian yang terbaik, berserban, menyikat janggutnya dan meletakkan minyak wangi. Wangian gaharu akan dibakar dan beliau duduk tetap sehinggalah majlis selesai.[9]

Beliau juga pernah membonceng ayahnya menaiki motosikal Honda Cub TA6149 untuk menemani ayahnya mengajar di sejik dan balasoh sekitar Marang, Seberang Marang dan Kuala Berang. Di sinilah bermula sejarahnya mengenali Tuan Guru Haji Abas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Fatani, Tuan Guru Ustaz Latif Besut dan beberapa guru-guru pondok di sekitar Terengganu. Pada ketika ini, Zul mula bertatih mengenali kitab-kitab kuning seperti Aqidatun Najin, Penawar Bagi Hati, Hidayatus Salikin, Sairus Salikin, Bakuratul Amani, Matla’ul Badrain, Matan Ajurrumiah dan sebagainya. Lazimnya apabila Tuan-Tuan Guru ini berjumpa, mereka akan saling menyapa dalam Bahasa Arab. Inilah yang menambahkan keterujaan Zul untuk mendalami Bahasa Arab.

Sesekali, Ustaz Mad akan membawa Zul menunaikan solat Jumaat di Masjid Abidin, Kuala Terengganu yang juga dikenali dengan nama Sejik Putih, Zul cuba mengintai-intai di sebalik ratusan jemaah yang hadir melihat batang tubuh Sahibus Samahah Dato’ Indera Guru Haji Wan Abdul Manan bin Wan Yaakob, Mufti Tereng  ganu yang menjadi imam setiap kali Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu perkenan mencemar duli menunaikan solat di situ.

Beliau amat kagum dengan imej Mufti Terengganu yang terkenal dengan kealimannya ini. Memang mudah hendak mengenalinya di masjid kerana hanya beliau yang memakai mishlah seperti Imam Mekah. Dato’ Indera Guru Haji Wan Abdul Manan berketurunan Tok Syeikh Duyong (Tuan Guru Haji Wan Abdullah), antara ulama terkenal Terengganu.

Ada ketikanya, Ustaz Mad akan singgah ke pejabat Sahibus Samahah Mufti untuk merujuk beberapa persoalan keagamaan. Zul hanya mendengar walaupun tidak berapa memahami perbahasannya. Apa yang mengagumkan, setiap persoalan dijawab spontan dengan menyertakan rujukan kitab-kitab. Itulah antara peranan seorang Mufti, bukan hanya menjawab isu-isu tetapi menyediakan penyelesaian bagi sebarang isu yang timbul.[10]

“Perjuangang Islam tidok hanye terhenti di sejik dan balasoh. Bahkan, kite perlu terapkang fikrah Islam dalang keluarge, masyarakat, seterusnye negare kite yang dicintai ini. Inilah yang ditunjukkang oleh Junjungang Besor Nabi Muḥammad SAW.”. Zul terangguk-angguk sambil mencatat setiap butir patah perkataan yang disampaikan dalam kuliah Fiqh Harakah dari Sirah Nabawiyyah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang ulama muda yang mula dikenali bukan saja di negeri Terengganu, bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Jika tidak ke mana-mana, Zul sejak Tingkatan 2 sesekali akan mengikuti pengajian kitab Akidah Muslimin, Tafsir dan Sirah di Masjid Rusila. Kalau terlewat, alamatnya duduklah nun jauh di luar masjid. Ribuan orang memenuhi Masjid Rusila untuk mengikuti kuliah yang disampaikan secara mingguan itu. Sepanjang 3 tahun bersekolah di SMASZA, basikallah yang menjadi kenderaan utamanya ke sana sini bertalaqqi dan mengikuti ceramah-ceramah para asatizah di Terengganu.

Zul sempat menetap di asrama seketika. Di asrama, masa beliau banyak dihabiskan dengan membaca kitab. Katilnya sahaja sudah menjadi rak buku. Cuma ada ruang yang kecil, cukup-cukup tubuh badannya untuk merehatkan diri. Hari Jumaat juga adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar SMASZAL kerana Pok Leh dan isterinya yang menjaga Dewan Makan asrama akan menyediakan Nasi Minyak. Kadang-kadang, sampai boleh bergaduh jadinya bila ada pelajar yang bungkus nasi dan lauk dalam jabir[11] sehingga kehabisan sedangkan masih ramai yang belum makan.

*********************

“Zulkifli bin Mohamad. Mana??!!!”, Meliar mata Ustaz Yusuf, Mudir SMASZA mencari Zul di perhimpunan pagi Ahad. Merah matanya bak biji saga dengan bibir menggeletar diketap tanda marah. Pagi itu hampir 1 jam semua pelajar SMASZA mendengar leterannya tentang akhlak.

“Saye nok umumkang, Zulkifli bin Mohamad dibuang asrama!”. Kenyataan bak halilintar yang mengejutkan semua pelajar. Mana mungkin pelajar contoh yang juruh[12], beraluh[13], atlet harapan dan pelajar bijak, tiba-tiba dibuang asrama. Zulkifli yang berada dalam barisan ketika itu, cuma menunduk. Senyap tupah[14] para pelajar yang berbual-bual semasa leteran Ustaz Yusuf awal tadi. Semua pelajar memandang Zul. Ada yang tertanya-tanya, ada yang simpati.

Dunianya terasa gelap.

______________________

[1] Bus stand

[2] Penuh, padat

[3] Teramat busuk

[4] Perempuan

[5] Baik

[6] Terlalu muda umurnya.

[7] Bell bottom

[8] Tecengang

[9] Saya ada menulis biografi Imam Mālik dan imam-imam mazhab lain. Boleh didapatkan di http://pck.onpay.my/order/form/bukupck

[10] Kami semasa di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bersama para penyelidik pernah menterjemahkan kitab Ṣifat al-Muftī wa al-Mustaftī oleh Ibn Ḥamdān; sebuah kitab yang membahaskan tentang peranan dan persiapan seorang Mufti, begitu juga adab bagi peminta fatwa. Boleh didapatkan di http://pck.onpay.my/order/form/bukupck

[11] Plastik

[12] Baik

[13] Sopan santun

[14] Senyap sepi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *