“Hashim. Tempat kita nak ceramah ni, dekat dop dengan Hospital Bahagia?”, tanya Zulkifli kepada pemandu yang juga merangkap pegawai khasnya. “Aaa…dekat!”, jawabnya ringkas setelah meneliti aplikasi Google Map di telefon pintar miliknya.
Zulkifli mencapai telefonnya dan membuat panggilan kepada Ustaz Haji Kamaruddin Adam, Penolong Mufti Bahagian Fatwa di Jabatan Mufti Negeri Perak. “Syeikh. Ana cadang nak ziarah orang gila sekejap lagi lepas ceramah dengan guru takmir. Enta tolong susun dengan pihak hospital ye.”
Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak merupakan Institusi Psikiatri pertama dan terbesar dari 4 buah Institusi di Malaysia. Sejarahnya bermula pada tahun 1910, dengan pemilihan tapak yang dicadangkan oleh Dr. Samuels, lalu kerajaan telah membina sebuah hospital yang diberi nama “Federal Lunatic Asylum”. Pembinaan siap pada tahun 1911 dan Dr. W.F. Samuels dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama.
Pada peringkat awal perkembangan, “Federal Lunatic Asylum” merupakan sebuah yayasan psikiatri yang mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan yang dipisahkan oleh ruang dapur. Pada tahun 1928 “Federal Lunatic Asylum” diubah nama kepada “Central Mental Hospital” dan pada awal tahun 70an nama telah diubah kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri. Kini, Hospital Bahagia Ulu Kinta merupakan Yayasan Psikiatri terbesar dari empat buah yayasan yang wujud di Malaysia. Ianya terletak berhampiran Pekan Tanjung Rambutan, 16 km ke arah Timur Laut Bandaraya Ipoh.
********************
“Selamat datang Datuk ke Hospital Bahagia. Terkejut kami tiba-tiba dimaklumkan Datuk nak datang. Maaflah kalau ada serba sikit kekurangan…”, sambut Dr. Rabai’ah, Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta di lobi. Kunjungan mengejut Zulkifli diiringi beberapa orang pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak disambut dengan penuh kegembiraan.
“Sahibus Samahah Datuk. Berdasarkan rekod kami sejak awal penubuhan Hospital Bahagia sehingga hari ini, inilah kali pertama seorang Mufti datang ke sini. Kami amat hargai kunjungan Datuk walaupun kami tertanya-tanya, kenapa Datuk berminat untuk hadir ke sini.”, ujar Dr. Raba’iah dengan penuh senyuman.
Zulkifli tersenyum dan membalas, “Tak de ape-ape Dr. Tak perlu susah-susah. Tugas jadi Mufti ni berat. Kadang-kadang kena keluar hukum, fatwa dalam banyak hal. Ambe ke sini sebab nak belajar dengan Dr, untuk kenal orang gila. Moga-moga dapat bantu ambe untuk dapat sikit gambaran tentang isu kesihatan mental ni. Penting untuk pengeluaran fatwa hari ni.”
Zulkifli terpandang seorang kakitangan hospital yang berbalut tangannya, memakai wrist guard. “Enta kena ape sampai berbalut ni?”, tanya Zulkifli dengan penuh prihatin. “Err…kena tetak orang gila, Datuk.”, jawabnya tersipu-sipu.
Zulkifli memandang Ustaz Haji Kamaruddin dan pegawai-pegawai lain. “Ana risau jugak ni. Hehehe…”, bisik beliau kepada Ustaz Haji Kamaruddin.
Suasana Hospital Bahagia tidak jauh beza dengan hospital-hospital lain. Cuma bezanya adalah pesakit atau penghuni di sini. “Untuk makluman Datuk, Mental Health America senaraikan lebih 200 jenis klasifikasi penyakit mental. Antara jenis gangguan kesihatan mental paling umum macam keresahan, paranoia, skizofrenia, jadi tak berselera makan tiba-tiba, insomnia, bipolar disorder, kemurungan.”
Sepanjang lawatan di sana, pelbagai soalan diajukan oleh Zulkifli kepada Dr. Rabai’ah dan beberapa pakar psikiatri di sana. “Ambe tak alim dalam bab ni. Jadi kena tanya doktor-doktor psikiatri. Ambe tak boleh buat fatwa sendiri dalam bab kesihatan mental kalau takde bantuan doktor semua.”, kata Zulkifli sambil beberapa kali mengucapkan terima kasih.
Beliau menyambung lagi kata-katanya. “Cuma satu permintaan ambe. Ambe nak tengok sendiri orang gila di wad.” Dr. Rabai’ah terdiam.
“Saya boleh izinkan cuma kita bawak sekali pengawal keselamatan ya Datuk! Datuk pun paham kan. Kita tak nak jadi apa-apa pada Datuk.”, balas Dr Rabai’ah. Zulkifli mengangguk dan pun bergerak ke wad.
“Datuk nak masuk wad mana? Kita ada yang ganas, yang buat jenayah, perempuan, dan yang biasa.”, tanya Dr. Rabai’ah menunjukkan ke arah beberapa wad berhampiran.
“Semua.”, jawab Zulkifli ringkas. Inilah peluang beliau untuk memahami sendiri “dunia” hamba Allah SWT yang diuji dengan kesihatan mental.
Masuk sahaja di wad pesakit yang ganas, sebahagian penghuni dengan pantas meluru ke arah Zulkifli dan lain-lain. Mesti berdebar juga rasanya! Dr. Rabai’ah dan kakitangan hospital nampak lebih tenang dan seperti tidak ada apa-apa. Mungkin sudah biasa dengan keadaan seperti itu. “Berapa kali dah kamu keluar masuk sini?”, tanya Dr. Rabai’ah kepada pesakit berkenaan.
“Ermm…23 kali dah.”, jawabnya sambil mengira-ngira dengan jarinya dan terus berlalu meninggalkan Dr. Rabai’ah.
“Betul ke tu Dr? 23 kali? Banyak tu…,”, tanya Zulkifli penuh minat. “Betul Datuk. Dia tak tipu.”, balas Dr. Rabai’ah.
Di satu sudut katil, kelihatan seorang pesakit bernasyid lagu Sifat 20 yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Khusyuk betul beliau bernyanyi dengan matanya yang dipejam rapat.
“Hayya nazkur sifatAllah.
Hayya na’ rif wahdaniatah.
Hayya nazkur sifatAllah,
Hayya na’ rif wahdaniatah.
Allah, Wujud, Qidam, Baqa’, Mukhalafatuhu Lilhawadithi, Qiyamuhu Binafsihi, Wahdaniah, Qudrah, Iradah, Ilmun, Hayyun, Sama’, Basar, Kalamun, Qadiran Muridaaaannnn, ‘Aliman, Hayyan, Sami’an, Bashiran, Mutakallimaaaannn…”
Lengkap sifat nafsiyyah, salbiyyah, ma’ani, dan ma’nawiyyah dinasyidkannya dengan penuh lancar. Orang yang waras pun belum tentu boleh menyebutkan satu persatu dengan lancar dan fasih seperti itu! Zulkifli menggelengkan kepala. Kagum.
Wad kedua lebih menghairankan bagi Zulkifli. Ia menempatkan pesakit yang dengan perlakuan jenayah yang dilakukan tanpa sedar.
Di katil pertama, seorang lelaki awal 30-an memandang Zulkifli dengan pandangan yang kosong. Beliau kemudiannya mengangguk tersenyum. Di sisinya terdapat buku Indahnya Hidup Bersyariat karya almarhum Datuk Ismail Kamus.
“Boleh ambe tahu, kenapa ada di sini?”, tegur Zulkifli dengan lembut.
Senyuman pemuda itu agak tawar. Pasti menyimpan 1001 rasa yang sukar untuk diluah. “Saya dengar bisikan. Saya ambil pisau, sembelih kedua mak ayah saya.” Jawabnya lalu menunduk.
Zulkifli berpindah ke katil seterusnya. Pesakit kedua menyambutnya dengan penuh ceria dan gembira.
“Assalamualaikum! Ahlan wa sahlan ila haza al-mustaysfa ya samahatal mufti, Datuk Dr. Zulkifli. Wallahi ana musytaq ilaik!”
Terus berubah wajah Zulkifli. Lebih kaget kerana dihadapannya seorang pesakit yang boleh berbahasa Arab dengan baik. Rupa-rupanya beliau pernah menuntut ilmu di Mesir sebelum dimasukkan ke Hospital Bahagia. Kebanyakan penghuni di sini mengenali Zulkifli melalui rancangan Cinta Ilmu di TV Alhijrah.
Di beberapa buah katil lain, para pesakit kelihatan bercakap-cakap sendirian. Ada yang ketawa. Ada yang memandang ke siling. Ada yang cuma mengangguk-anggukkan kepala tanpa henti.
“Assalamualaikum. Ambe nak tumpang tanye.”, sapa Zulkifli kepada salah seorang daripada mereka.
“Eh Datuk…baru semalam saya tengok Datuk di TV. Hari ni Datuk ade depan saya. Hehehe…”. Nampak betul-betul teruja pesakit yang seorang ini. Beliau menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Solat ni, berapa waktu? Ape solat-solat tu?”, tanya Zulkifli cuba mengujinya.
“Mudah, Datuk. Solat ni 5 lima waktu wajib sehari semalam. Solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Isyak!”, pantas dijawabnya tanpa ragu-ragu.
Zulkifli bertanya lagi. “Subuh tadi awak solat dop?”. Pesakit itu menggeleng-geleng kepala sambil menggaru kepala dan menyeringai, menampakkan gigi yang kekuningan. Semua rombongan termasuk Dr. Rabai’ah ketawa besar dengan gelagat beliau.
Beliau bersama-sama rombongan lain seterusnya menuju ke wad biasa. Di sana, Zulkifli melihat seorang wanita yang sedang menunduk. Pandangannya diarahkan ke lantai tanpa diangkat kepalanya walaupun dimaklumkan tentang keberadaan saya dihadapannya oleh Dr. Rabai’ah. Zulkifli dikhabarkan wanita tersebut berasal daripada Myanmar.
“Dia jadi macam ni sebab kemurungan, Datuk.”, bisik Dr. Rabai’ah ke telinga Zulkifli. Terbit rasa simpati dengan ujian yang ditimpanya.
Di luar wad, kelihatan beberapa orang yang berbual seakan-akan orang yang normal tetapi masih berpakaian khas. “Dua orang ni alhamdulillah hampir sembuh dengan pantauan dan ubat. Insya-Allah akan keluar tak lama lagi.”, terang Dr. Rabi’ah kepada Zulkifli. Kedua-duanya menghampiri Zulkifli dan mereka bersalaman.
“Kewarasan akal ni satu nikmat. Ramai tak hargai. Insya-Allah ambe akan manfaatkan media sosial ambe untuk bagi kesedaran kepada masyarakat tentang isu kesihatan mental. Banyak pandangan hukum boleh dibuat dari lawatan hari ni. Jangan simpan, jangan sembunyi. Bila ada simptom, cepat-cepat jumpa pakar. Terima kasih banyak-banyak Dr…”, kata Zulkifli mengakhiri kunjungannya ke Hospital Bahagia.
********************
Selain rawatan psikiatri dan ubat-ubatan yang wajib diikuti, agama juga memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan penyakit mental. Itu adalah antara asas dalam kaedah rawatan psiko-spiritual.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith yang disahihkan oleh al-Hakim dan didhaifkan oleh sebahagian ulama’ lain:
مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ
Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.[1]
Al-Qari berkata, iaitu daripada penyakit-penyakit duniawi dan ukhrawi. Maksud yang paling ringan adalah yang paling sedikit dan paling mudah. Al-Hamm (keluh kesah) di sini merangkumi jenis yang berhubung dengan agama atau dunia, atau keresahan kehidupan dan dukacita hari akhirat.
Dalam fiqh, seorang gila yang membunuh tidak ada hukuman balas (qisas) baginya. Ini adalah pandangan majoriti para ulama dan tiada khilaf padanya. Malah, tidak boleh disisi syarak untuk hakim menyabitkan hukuman jenayah ke atas orang yang menghidap penyakit halusinasi atau skizofrenia. Sama juga halnya dengan pesakit mental; apa jua yang berlaku selama mana dalam tempoh berkenaan – sekiranya disahkan oleh pakar sebagai di luar kawalan – samada perbuatan, perkataan mahupun pengakuan, maka ia tidaklah dikira berdosa dari sudut syarak.
Nabi SAW bersabda:
رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”[2]
Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya.[3] Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab).[4]
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’: “Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (Syarak) seperti menjadi gila atau koma/pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum suatu ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum suatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan bila dia tersedar, tidak diwajibkan qadha solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi’ie).[5]
Dalam lafaz yang lain, seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, sabda Nabi SAW:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يُفِيقَ
Maksudnya: “Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar.”[6]
Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi saw “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar’ adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.”[7] Sheikh Abdullah al-Tayyar menyatakan: “Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.”[8]
********************
Sepanjang perjalanan pulang daripada Ulu Kinta, Zulkifli membelek-belek kitab di sebelahnya; Uqala’ al-Majanin tulisan Abu al-Qasim al-Naisaburi. Sebuah kitab yang menghimpunkan kisah individu-individu dalam sejarah Islam yang dianggap gila namun sebenarnya genius. Ada kisah Salmunah, Buhlul, Qais, Uwais dan lain-lain. “Banyak aku belajar hari ni daripada pesakit Hospital Bahagia. Alhamdulillah.”
Kenderaan rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mula meluncur laju menuju ke Nilai. Minggu yang padat dengan urusan pejabat, penyelidikan, dan program bersama masyarakat, namun sudah pasti bermanfaat. Tidak mudah memikul amanah sebagai Mufti.
__________________
[1] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.
[2] Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956) Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib di dalam Sunannya. Selain itu, Imam al-Hakim menghukum sanad hadith ini sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Adapun, Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi dan perawi-perawinyanya adalah boleh dipercayai (thiqah) kerana perawi-perawinya adalah perawi al-Bukhari dan Muslim. Hadis ini juga diriwayatkan oleh sahabat yang lain seperti Aisyah R.anha dan Abu Qatadah.
[3] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 570/4
[4] Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 426/2
[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/6
[6] Riwayat al-Nasaie (3432)
[7] Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 16/20
[8] Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah, 9/9