Bab 8: 11A di SMASZA Ladang

“Dakpe Mi. Aku ade sokmo dengang mung. Dop patut skoloh wat nyaknyer mung gitu.”, kata Zul sambil menepuk-nepuk bahu Mazemi, sahabatnya yang juga atlit SMASZAL. Mazemi tersenyum pahit. Menahan sebak. Zul ke rumah Mazemi dan bercakap dengan ayahnya.

Gempar pagi itu di Bilik Guru apabila Zul, atlit harapan sekolah tiba-tiba menarik diri daripada acara sukan peringkat daerah yang bakal diadakan dalam sehari dua lagi. Cikgu Md. Nor sebagai guru bertanggungjawab sudah pening kepala. “Aduh, bakpe la budok Zul ning cari masaloh mase ning…!”, getus beliau dalam hati.

Dikatakan, Mazemi ada sedikit salahfaham dengan Cikgu Md. Nor. Itu menyebabkan beliau didenda dan tidak dibenarkan mewakili sekolah dalam sukan. Mengetahui hal tersebut, Zul melakukan tindakan drastik dengan menarik diri daripada acara sukan yang akan diwakilinya, 1-2 hari sebelum pertandingan sebagai tanda protes atas tindakan Cikgu Md. Nor.

Cikgu Md. Nor ada bertemu Zul dan menasihatinya. Namun, tidak berjaya. Zul diam membatu tanpa sebarang jawapan. Nak melawan, bukan adab dengan seorang guru. Namun dalam masa yang sama, beliau tidak bersetuju hukuman yang dikenakan kepada sahabatnya, Mazemi.[1] Itulah juga yang menyebabkan Mudir SMASZAL, Ustaz Yusuf rasa panahsang dan mengumumkan beliau dibuang asrama.

Bas Pokcik Ripin dinaikinya dengan langkahan yang tak bermaya. Dunianya terasa kosong. Gelap masa depan. Ssetok angin dengan pengumuman Mudir di hadapan ratusan pelajar pagi tadi. Pelajar-pelajar SMASZAL yang menaiki bas yang sama, semua memandangnya. Ada yang berbisik dan ketawa. Ada yang memandang dengan simpati.

“Che’, Zul kene buang asrama.”, Zul memaklumkan kepada ibunya, perlahan. Senyap, tanpa jawapan. Ketika itu Hajah Ramlah sedang menyiapkan juadah tengahari. “Che’…”, panggil Zul sekali lagi. Beliau tahu, hal itu tidak akan dapat dirahsiakan. Lama-lama, akan sampai juga ke pengetahuan ibu dan ayahnya.

Hajah Ramlah membasuh tangan di sinki dan duduk di meja makan. “Zul, maghi sini,”, Hajah Ramlah memanggil anaknya dengan lembut. Zul melangkah lemah, menarik kerusi dan duduk menghadap ibunya.

“Che’ dop sir tanye bakpe Zul kene buang asrama. Itu urusang Zul dengang pihok skoloh. Tapi che’ nok pesang, hidup ni tak dop hok mudoh. Masing-masing ade cabarang. Ndape hok jadi pong, Zul kene ingat…doa seorang ibu ni mustajab. Che’ doa sokmo-sokmo untuk kebaikang segheme anok-anok. Zul akang jadi orang yang berjaye, insya-Allah.”, pujuk Hajah Ramlah.

Sejak awal pagi tadi, beliau rasa serabut ppale.[2] Kata-kata Hajah Ramlah seakan air dingin yang membasahi tekak di kala panas terik. Zul rasa lebih tenang. “Terimo kasih Che’…”. Barulah nampak Zul sedikit tersenyum.

Rupa-rupanya, perbualan dua beranak itu didengari Ustaz Mad yang ketika itu berada di balik tirai dapur. Kebetulan beliau pulang untuk makan tengahari di rumah, sebelum ke pejabat semula. Beliau tersenyum sendirian mendengar pesanan isterinya kepada Zul.

********************

“Ayub, mung tu Tingkatang Due. Aku tau mung nok buku-buku SRP aku. Tapi kalu mung dop masuk kelah Tige A, mung jangan sentuh buku-buku aku!”, Zul mencabar adiknya. Sejak kecil, memang beliau suka mencabar, suka dicabar dan sering meletakkan sasaran yang tinggi kepada dirinya, mahupun adik beradiknya. Cabaran memberikannya semangat yang lebih membara untuk menguji sejauh mana kemampuan dirinya.

Walaupun dibuang asrama, itu tidak menjejaskan pencapaian akademik Zul. Beliau masih pelajar cemerlang dan menjadi harapan sekolah untuk SRP. Sesi persekolahannya semasa Tingkatan Tiga berlangsung seperti biasa. Beliau semakin rajin mengulangkaji pelajaran.

“Ayoh, kalu Zul dapat 10 A SRP ning, ayoh nok bagi mende ke Zul?”, tanya Zul pada satu petang kepada ayahnya.

“Stapeket[3] ning penting jamang lening. Ayoh memang nok sangat Zul dapat 10 A. Kene belajor abih reng.[4] Bulih masuk SMAASZA Batu Burok, ambik Thanawi. Kalu dapat 10 A, Zul nok mende?”, Ustaz Mad memulangkan soalan kepada anaknya. Beliau tahu, soalan itu hanya untuk berbasa-basi kerana anaknya itu sudah pasti ada “hajat”nya.

“Hehehe…dapat mutor Honda Cub pung bulih doh…”, Zul senyum mewek[5] dan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Ketika keputusan peperiksaan diumumkan, Zul memperoleh keputusan cemerlang 11 A. Gembira bukan kepalang guru-guru SMASZAL. Saing-saing Zul semua datang mengucapkan tahniah. Ustaz Mad dan Hajah Ramlah amat gembira dengan kejayaan anak mereka. Mereka sudah tahu, itulah yang terbaik untuk Zul kerana mereka menyaksikan sendiri usaha Zul siang dan malam, bergelumang dengan buku.

Petang ini juga, Ustaz Mad membawa Zul ke Kedai Jani Jaya di Bukit Payong untuk membeli motosikal. “Pilih sendiri. Ayoh bayor…”, kata Ustaz Mad kepada anaknya. Wang tunai RM1500 diserahkan dan kunci motosikal bertukar tangan.

Memang nampak keterujaan Zul mencuba motosikal pertamanya. “Hmmm…gohed, gostang. Gohed, gostang. Aku wase doh 10 minit, dok main hok tule.”, bisik Khairul seorang diri melihat gelagat Zul mencuba motosikalnya.

*********************

“Ustak. Ustak wase manne yang sesuai ana sambung belajor?”, tanya Zul kepada Ustaz Yusuf, Mudirnya. Ketika itu, ada tiga tempat yang sohor[6] untuk pelajar daripada sekolah agama lepas SRP; Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dan Kolej Islam Klang (KIK).

Ustaz Yusuf memegang bahu Zul seraya berpesan, “Enta pergi tempat yang dop rama orang. Insya-Allah mudoh berjaye.”

“SMAASZA, mung tunggu aku maghi!”, bisik hati kecil Zul.

____________________

[1] Alhamdulillah, saya ada bertemu Cikgu Md. Nor beberapa tahun lalu. Hubungan kami sangat rapat sehingga ke hari ini.

[2] Berserabut, tertekan

[3] Sijil / certificate

[4] Sedaya-upaya

[5] Senyum sehingga ke telinga

[6] Terkenal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *