Bab 9: Bekwoh di Tranung

Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia. Sebaik-baik perkahwinan adalah dengan meneliti beberapa perkara berikut:

  1. Semata-mata kerana Allah iaitu membina rumahtangga yang mengamalkan ajaran Islam, melahirkan zuriat yang baik sehingga mampu memikul amanah dan merealisasikan usaha bagi memastikan hidayah Allah SWT berterusan dan tersebar ke seluruh alam.
  2. Menjaga pandangan, menjaga kehormatan diri, dan supaya menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT.
  3. Pilihan terbaik untuk calon isteri dan teman hidup.
  4. Memilih calon isteri yang berakhlak dan beragama sekalipun tidak mempunyai harta dan kecantikan

Sabda Nabi SAW:

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”[1]

Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar menjelaskan, ungkapan “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” membawa maksud sewajarnya bagi seorang yang beragama dan memiliki maruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi dalam perkara yang dia akan berteman dan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Nabi SAW menyuruh agar mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana agama adalah puncak keinginan.[2]

Imam al-Nawawī menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat.[3]

Ungkapan “فَاظْفَرْ” membawa maksud cari dan berusahalah serta berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya.[4]

Imam al-San’ani menyebutkan, Nabi SAW memerintahkan para pemuda sekiranya mereka menjumpai perempuan yang baik agamanya, maka janganlah mereka berpaling untuk mengubah pilihan kepada perempuan lain.[5]

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Manakala akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan.

Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan.[6]

Dalam masyarakat Melayu dahulu termasuk di Terengganu, kebanyakan gadis berkahwin di usia yang muda, begitu juga lelaki. Sekitar umur 16 hingga 20 tahun. Jodoh adalah urusan ibu bapa. Tetapi itu tidak menafikan adanya babak seumpama Sudin ketuk botol kaca untuk memanggil Zaiton. Pun begitu, sifat malu dan menjaga adab ketimuran yang tinggi menyebabkan hal-hal tersebut, tidak terzahir dengan meluas di Terengganu.

Ada Merisik / Meninjau

Apabila ibu dan bapa merasakan anak teruna telah “sampai seru” untuk berumahtangga, mereka akan mula mencari-cari calon menantu yang sesuai. Saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga akan turut membantu memberikan cadangan dan pandangan. Adat merisik adalah melalui keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang akrab dengan calon.

Antara yang dititikberatkan sudah tentu perihal agama. Sebaiknya yang sudah khatam al-Qur’an dan faham serba sedikit asas agama. Pandai memasak, menjahit itu sudah kemestian. Cantik itu subjektif namun sudah pasti ia bonus yang dicari-cari oleh bakal mertua. Keturunan juga diambil kira dalam kriteria pemilihan. Cik, Wan, Nik, Tuan, Syed, Engku adalah beberapa contoh gelaran yang dititikberatkan. Keturunan yang berbeza mungkin faktor penghalang kepada jodoh.

Adat Meminang dan Bertunang

Apabila telah ada yang berkenan di hati, proses seterusnya adalah beberapa orang wakil daripada pihak lelaki terutamanya ibu bapa saudara mara terdekat akan hadir ke rumah ibu bapa wanita berkenaan dengan membawa buah tangan. Biasa, si lelaki tidak akan turut serta. Kalau ada yang ingin mengikut, pasti dimarahi si ibu kerana dianggap tidak sopan pada adatnya.

Buah tangan yang dibawa adalah kain batik, 2-3 kati gula pasir, dan beberapa jenis kuih-muih seperti akok, nekbat, bahulu dan lain-lain. Hasrat hati akan disampaikan secara berkias oleh wakil pihak lelaki sambil menjamah hidangan. Di sinilah terserlah kekreatifan orang Terengganu dalam berpantun, menyusun kata-kata yang indah nan berbunga-bunga.

Ibu bapa mungkin bersetuju tetapi si gadis mungkin sudah ada pilihan hatinya. Justeru, keluarga gadis tidak akan memberikan jawapan muktamad melainkan meminta tempoh masa barang seminggu dua bagi berbincang dan mendapatkan pandangan anak dara mereka yang sedang bersembunyi, tersipu-sipu sendirian di kamar.

Setelah mencapai persetujuan, wakil keluarga gadis akan bertandang ke rumah ibu bapa pihak lelaki. Maka, berlangsunglah perbincangan berkenaan mas kahwin, tarikh dan lain-lain. Sebentuk cincin emas atau berlian diberikan sebagai tanda “diikat”. Ada juga dibawa bersama sepasang baju, sehelai kain kelubung, kuih muih, sireh junjung, dan buah-buahan.

********************

“Semak jettak penganting! Dop rajing lagi aku tengok Pok paka spek itang,” ujar Zul disambut derai tawa Mi dan Khairul. Pok atau Abdullah adalah bapa saudara mereka sebelah Ustaz Mad. Jarang-jarang Pok segak bertanjak, bersamping dengan keris terselit di pinggang. Mengikut adat Terengganu, pengantin lelaki akan digendong di atas bahu, dipayung dan diiringi rombongan.

أبــدأ بسم الله والـرحـمنِ وبـالـرحـيـم دائـم الإحـسان

فالـحـمـد لله الـقديم الأول والأخـر الـبـاقـي بلا تـحـول

ثـم الـصلاة والسلام سرمدا عـلـى الـنبي خير من قد وحدا

وآله وصـحبه ومـــن تبع سـبـيـل دين الحق غير مبتدع

فـالله مـوجـود قـديـم باقي مخـالـف للـخـلق بالإطلاقِ

Begitulah lafaz lagu yang dilantunkan semasa pengantin diarak rombongan. Orang kampung memanggilnya syair Abda’ubi. Jarang yang tahu kecuali orang agama, lagu ini adalah bait-bait nazam ʿAqīdat al-ʿAwwām yang disusun oleh Shaykh Sayyid Aḥmad al-Marzūqī al-Mālikī al-Makkī. Nazam ini menerangkan mengenai sifat-sifat Allah SWT dan rasul-rasulnya, atau yang lebih dikenali sebagai ʿaqā’id lima puluh. ʿAqā’id lima puluh itu terdiri dari dua puluh sifat yang wajib bagi Allah, dua puluh sifat mustahil bagi Allah, satu sifat harus bagi Allah, empat sifat wajib bagi para rasul, empat sifat mustahil bagi para rasul dan satu sifat harus bagi para rasul, begitu juga sedikit biografi Rasulullah SAW. Betapa halusnya pendidikan akidah dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Belanja di hantar lebih awal mengikut adat Terengganu. Kebiasaannya sehari sebelum majlis akad nikah. Setelah tarikh menghantar dipersetujui, berangkatlah rombongan sebelah lelaki membawa hantaran yang diletakkan dalam dulang. Ada tepak sireh, cincin emas atau berlian, kuih muih, sepasang kain baju, tuala, telekung dan bunga rampai. Bagi keluarga berada, mungkin akan dibawah juga kambing dan lembu sebagai hantaran. Mas kahwin dan hantaran dikira sekali mengikut budaya Pantai Timur.

Persiapan menjelang bekwoh pastinya lebih meriah. Jiran tetangga dan sanak saudara di Kuala Berang, Seberang Marang, Pulau Manis akan berkampung di rumah pengantin untuk bergotong royong. Bas catar akan disewa bagi memudahkan perjalanan sanak saudara yang jauh. Ada juga yang menghantar beras, minyak, telur dan apa sahaja perkakas yang diperlukan. Bangsal dan tempat memasak akan didirikan oleh kaum lelaki manakala kaum wanita sibuk mengemas dan menghias rumah serta bilik pengantin bermula awal pagi sehinggalah lewat malam.

Malam sebelum bekwoh dikenali dengan Malam Jamu manakala keesokannya dipanggil Hari Jamu. Gula kawoh[7] semestinya hidangan wajib disamping beberapa juadah kampung yang menyelerakan. Persembahan silat jatuh/silat pulut adalah hiburan orang kampung terutamanya kanak-kanak. Ada yang berpencak dengan tangan kosong. Ada juga yang bersenjata.

Pengantin baru diraikan bukan hanya pada Hari Jamu bahkan berterusan sehingga seminggu dua. Ada yang bertandang dan menghulurkan sedikit wang. Maka, dibalas dengan telur dibungkus dengan nasi kunyit. Pengantin juga akan mengambil kesempatan bulan madu untuk menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga. Usik mengusik itu satu kelaziman dan rencah yang memeriahkan lagi kunjungan pengantin. Masakan tidak diusik, si isteri nak panggil “abang” pun tertunduk malu.

Itulah indahnya kisah bekwoh di Tranung.

*********************

“Se perkarelah atuk peghati. Perkahwinang orang jamang dulu melalui aturang keluarge ning, biasenye kekal sampai akhir hayat. Mungkin berkat doa mok ayoh. Mungkin jugok ade faktor-faktor lain. Atuk risau tengok kes-kes perceraiang hari ning. Aa’uu gok ape dalang pikirang suami isteri hok cerai berai jamang lening.”, Tok Aki termenung, melihat daun-daun kering ditiup angin petang.

Sarah mungkin belum mengerti sepenuhnya. Tapi, itulah cabaran di zamannya nanti.

[1] Riwayat al-Bukhari (4802) dan Muslim (1466)

[2] Lihat Fath al-Bari, 9/164

[3] Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52

[4] Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh a-Maram, 5/234

[5] Lihat Subul al-Salam, 10/4

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/519-520

[7] Gulai kawah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *