#627: Bersumpah dengan al-Quran

-43%
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
-25%

Inspirasi Kehidupan

Inilah Doaku

Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-25%
Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum seseorang bersumpah dengan al-Quran? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Sumpah

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka.[1]

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahiwallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’.[2]

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”[3]

 

Definisi al-Quran dan dan Kemuliaannya

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan.[4] Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.”[5]

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya).[6]

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).” [7]

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar).[8]

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam Tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[9]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[10]

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah.[11]

 

Isu Bersumpah dengan al-Quran

Dalam menjawab isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Perkataan aiman (الأيمان) ialah kata jama’ bagi perkataan yamin (اليمين). Dari segi bahasa, bererti kekuasaan. Firman Allah SWT:

لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ

Maksudnya: “Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami.”[12]

Perkataan yamin juga, bermaksud tangan kanan kerana terdapat kekuatan tenaga pada tangan tersebut. Begitu juga, ia bermaksud dengan sesuatu yang dimuliakan. Hal ini adalah kerana orang Arab apabila bersumpah mereka berpegangan tangan kanan. Perkataan yamin dari segi istilah pula, menguatkan maksud kata-kata yang tidak thabit, dengan menyebut satu daripada nama atau sifat Allah dalam lafaz yang tertentu. Hal ini tidak termasuk dalam sumpah yang sia-sia (اليمين اللغو), iaitu sumpah yang biasa pada lidah tanpa tujuan penegasan sesuatu perkara atau menguatkannya.

Contohnya, seseorang yang biasa menyebut tidak, demi Allah (لا، والله) dan bahkan, demi Allah (بلى، والله). Kata-kata yang demikian tidak dianggap sumpah dari segi syara’. Firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi, kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.[13]

 Aisyah R.Anha berkata:

نُزِلَتْ فِي قَوْلِهِ: لاَ وَاللَّهِ، وَبَلَى وَاللَّهِ

Maksudnya: “Ayat ini diturunkan berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki yang menyebut tidak, demi Allah! Dan bahkan, demi Allah!”[14]

Daripada Aisyah R.Anha, sabda Rasulullah SAW:

هُوَ كَلاَمُ الرَّجُلِ فِي بَيْتِهِ: كَلاَّ وَاللهِ وَبَلَى وَاللهِ

Maksudnya: “Ia berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki di rumahnya yang menyebut, tidak sekali-kali, demi Allah, dan bahkan, demi Allah.”[15]

Lafaz yang menguatkan kandungan kata-kata yang thabit, seperti “demi Allah, aku akan mati” atau “demi Allah, sesungguhnya matahari terbit,” yang dilafazkan ketika matahari telah pun terbit, tidaklah dianggap sumpah dari segi syara’.

Ini kerana maksud kata-kata itu sendiri telah pasti dan tidak dapat digambarkan bagaimana sumpah tersebut tidak ditepati. Sumpah boleh dilakukan terhadap perkara yang telah berlalu, seperti “demi Allah, aku tidak pernah melakukan begitu” atau “demi Allah, aku telah melakukannya.”

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا

Maksudnya: “Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu).”[16]

Begitu juga, boleh bersumpah terhadap perkara yang akan berlaku pada masa hadapan, seperti demi Allah, aku akan melaksanakannya.

Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW

وَاللهِ لأَغْزُوَنَّ قُرَيْشاً

Maksudnya: “Demi Allah, aku akan memerangi Quraisy.”[17]

Berkenaan dengan sumpah menggunakan al-Qur’an, hukumnya adalah dibolehkan. Ini berdasarkan kepada antara syarat-syarat bersumpah itu ialah:

Bersumpah dengan satu daripada yang berikut:

  1. Zat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Zat Allah SWT atau aku bersumpah demi Allah SWT.
  2. Nama Khas bagi Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Tuhan Penjaga (الرب) seluruh alam atau demi Tuhan Pemerintah (المالك) hari Kiamat atau Aku bersumpah demi Tuhan yang Maha Pemurah.
  3. Sifat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi kemuliaan Allah atau demi ilmu-Nya atau demi kehendak-Nya atau demi kekuasaan-Nya.

Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW mendapati Umar bin al-Khattab RA yang sedang berkenderaan, bersumpah dengan nama bapanya. Baginda bersabda:

هُوَ يَسِيرُ فِي رَكْبٍ، يَحْلِفُ بِأَبِيهِ، فَقَالَ: أَلاَ إِنَّ اللَّهَ يَنْهَاكُمْ أَنْ تَحْلِفُوا بِآبَائِكُمْ، مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Bukankah Allah menegah kamu bersumpah dengan nama bapa kamu? Sesiapa yang bersumpah, hendaklah dengan lafaz Allah atau hendaklah diam sahaja.”[18]

 Daripada Umar RA, katanya:

كَانَت يَمِيْنُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَمُقَلِّبِ الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Sumpah Nabi SAW ialah tidak, demi Tuhan yang mengubah-ubah hati.”[19]

Begitu juga hadith sabda Nabi SAW:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ

Maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggaman-Nya.”[20]

Bersumpah dengan al-Qur’an hukumnya boleh kerana al-Qur’an adalah firman Allah, di mana Allah SWT berfirman secara hakiki dengan lafaz, dan maksud menyampaikan maknanya. Allah SWT disifatkan dengan al-Kalam. Dengan demikian, bersumpah dengan al-Qur’an pada hakikatnya merupakan sumpah dengan salah satu sifat Allah, maka hukumnya boleh.

Sehubungan itu, seseorang yang bersumpah dengan yang lain selain yang tersebut sumpahnya, tidak sah kerana dua sebab berikut:

  • Hadith Rasulullah SAW yang terdahulu:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah, hendaklah dengan lafaz Allah atau hendaklah dia diam sahaja.”[21]

  • Tiada keagungan yang sempurna pada yang lain selain yang tersebut, manakala orang Mukmin, ditegah sama sekali mengagung-agungkan yang lain selain Allah SWT.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengharapkan kita sentiasa menggali dan mencari ilmu dari sumber yang sebenarnya agar ia benar-benar menepati syariat Islam. Semoga dengan jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkaitan sumpah, Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105

[2] Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213 dan Taudhih al-Ahkam, 7/105

[3] Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

[4] Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49

[5] Surah al-Qiyamah: 17-18

[6] Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722

[7] Surah al-Isra’: 78

[8] Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198

[9] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2

[10] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[11] Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm. 21

[12] Surah al-Haqqah: 45

[13] Surah al-Maidah: 89

[14] Riwayat al-Bukhari (6286) dan Abu Daud (3254)

[15] Riwayat Ibn Hibban (1187)

[16] Surah al-Taubah: 74

[17] Riwayat Imam Abu Daud (447)

[18] Riwayat al-Bukhari (6270) dan Muslim (1646)

[19] Riwayat al-Bukhari (6253)

[20] Riwayat al-Bukhari (6254)

[21] Riwayat al-Bukhari (2679)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *