#628: Maksud Qailulah dan Waktunya

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa itu Qailulah? Bila sepatutnya tidur? Selepas atau sebelum? Kalau hari Jumaat? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Qailulah

Qailulah merupakan perkataan bahasa Arab yang kata dasarnya ialah قَالَ-يَقِيلُ-قَيلا-قَيلُولَة. Menurut Ibn Manzur, Qailulah membawa maksud tidur pada pertengahan siang.[1] Hal yang sama juga dijelaskan oleh al-Fayyumi dalam al-Misbah al-Munir.[2]

Maksud Qailulah juga boleh difahami melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مَا لِي وَلِلدُّنْيَا، إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَرَاكِبٍ قَالَ فِي ظِلِّ شَجَرَةٍ، ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

Maksudnya: “Apa dah jadi padaku dan pada dunia. Perumpamaan aku dan dunia seperti seorang penunggang yang mana dia berehat sebentar di bawah pokok, kemudian pergi meninggalkan pokok tersebut.”[3]

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Lafaz ‘قالَ’ adalah daripada ‘القيلولة’, dan ia bermaksud berehat pada pertengahan siang hari, sekalipun tidak tidur. Dikatakan: ‘قال يقيل قيلولة فهو قائل’.[4]

Begitu juga dijelaskan oleh Imam al-San’ani yang menyebut: Qailulah ialah berehat pada pertengahan siang walaupun tidak tidur.[5]

Justeru, secara ringkasnya, Qailulah bermakna berehat sebentar pada pertengahan siang hari, walaupun tidak tidur.

Dalil Qailulah

Antara dalil yang menyebut anjuran untuk tidur Qailulah adalah hadith daripada Anas R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

قِيْلُوْا فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ

Maksudnya: “Tidurlah Qailulah (tidur pada pertengahan siang hari) kerana syaitan tidaklah mengambil tidur Qailulah.”[6]

Hukum Tidur Qailulah

Qailulah merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama.Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW. Baginda bersabda:

قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ

Maksudnya: “Tidurlah Qailulah (tidur pada pertengahan siang hari) kerana syaitan tidaklah mengambil tidur Qailulah.”[7]

Dalam kitab ‘Umdah al-Qari, turut dijelaskan bahawa hukum tidur Qailulah adalah sunat.[8]

Hal ini bermaksud, tidur Qailulah itu tidaklah sampai tahap wajib. Ertinya, tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Namun, sesiapa yang mampu dan mempunyai kesempatan, bolehlah melakukannya.

Pandangan Fuqaha’ Berkenaan Waktu Qailulah

Para fuqaha berbeza pandangan mengenai bilakah waktu untuk Qailulah. Kami nukilkan di sini pandangan-pandangan tersebut. Antaranya :

  • Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Qailulah ialah tidur pada waktu tengahari.[9]
  • Al-Khatib al-Syarbini menyebut: “Disunatkan bagi orang biasa melakukan solat Tahajjud untuk tidur Qailulah, iaitu tidur sebelum matahari tergelincir. Manfaat tidur Qailulah bagi orang yang biasa melakukan Tahajjud sama seperti manfaat sahur bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: ‘استعينوا بالقيلولة على قيام الليل’ (Minta bantulah kamu dengan tidur qailulah supaya dapat bangun malam.)[10] [11]

Dapat difahami daripada kenyataan beliau di atas, bahawa waktu Qailulah adalah sebelum gelincirnya matahari iaitu sebelum masuk waktu zohor. Dan sunat bagi orang yang melazimi tahajjud untuk tidur sebentar sebelum zohor, sebagai persediaan untuk qiamullail pada malam harinya.[12] Pandangan ini turut dikemukakan oleh beliau dalam kitab Mughni al-Muhtaj[13]. Beliau berdalilkan dengan hadis berikut:

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan Qailulah untuk bangun malam.”[14]

  • Al-Munawi berkata: “Bahawa Qailulah adalah tidur pada pertengahan siang hari ketika waktu zawal (matahari tergelincir ke barat), atau mendekati waktu zawal, atau boleh jadi sesudahnya.[15]
  • Al-‘Aini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan Qailulah adalah tidur pada waktu tengah hari.”[16]
  • Al-Bujairimi menyebut bahawa Qailulah ialah berehat pada waktu sebelum gelincir matahari walaupun tidak tidur. Dan pandangan yang masyhur Qailulah ialah tidur sebelum atau selepas gelincir matahari (iaitu selepas waktu zohor).[17]
  • Ibn Qutaibah – sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi – berkata: Tidak dinamakan Ghada’ (makan tengahari) dan Qailulah selepas daripada gelincir matahari.[18]
  • Syeikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menyebut bahawa Qailulah ialah berehat pada waktu tengahari walaupun tidak tidur. Sama ada pada musim sejuk atau panas.[19]
  • Syeikh Muhammad bin Abu Bakar Syatha al-Dimyati menyebut bahawa qailulah adalah tidur sebelum waktu Zohor. Seseorang sangat dianjurkan untuk tidur Qailulah kerana ia dapat membantu seseorang untuk bangun pada waktu malam.[20]
  • Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi menyebut: “Disunatkan bagi orang yang biasa melakukan solat Tahajjud untuk Qailulah, iaitu sebelum matahari tergelincir. Manfaat tidur qailulah bagi orang yang biasa melakukan tahajjud adalah sama seperti manfaat sahur bagi orang yang berpuasa.”[21]

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa kebanyakannya berpandangan waktu Qailulah adalah sebelum Zohor dan ada juga pandangan bahawa ia adalah sesudahnya. Kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa Qailulah adalah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu Zohor.

 

Qailulah pada Hari Jumaat

Antara riwayat yang menyebut berkenaan Qailulah pada hari Jumaat ialah: Daripada Sahl  bin Sa‘d R.Anhuma, beliau berkata:

مَا كُنَّا نَقِيلُ وَلاَ نَتَغَدَّى إِلَّا بَعْدَ الجُمُعَةِ

Maksudnya: “Kami tidak tidur (tengah hari) dan tidak juga makan (tengah hari) kecuali setelah solat Jumaat.”[22]

Daripada Anas R.A, katanya:

كُنَّا نُبَكِّرُ إِلَى الجُمُعَةِ، ثُمَّ نَقِيلُ

Maksudnya: “Kami bersegera pergi untuk menunaikan solat Jumaat, kemudian barulah kami tidur (tengah hari).”[23]

Daripada Sahl R.A, beliau berkata:

كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الجُمُعَةَ، ثُمَّ تَكُونُ القَائِلَةُ.

Maksudnya: “Kami solat Jumaat bersama Nabi SAW, kemudian barulah kami tidur (tengah hari).”[24]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ibn al-Manayyar berpendapat bahawa hadith tersebut dapat dijadikan dasar bahawa solat Jumaat tersebut dilaksanakan setelah matahari tergelincir, kerana mereka biasa tidur di siang hari (Qailulah) sebelum matahari tergelincir. Salah seorang sahabat menceritakan bahawa mereka sibuk mempersiapkan diri untuk pergi melaksanakan solat Jumaat daripada tidur (Qailulah). Untuk itu mereka mengakhirkan tidur sehinggalah selesai melaksanakan solat Jumaat.[25]

Penutup

Berdasarkan nas dan kenyataan yang telah dikemukakan, kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa Qailulah adalah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu Zohor.

Manakala pada hari Jumaat, maka waktu terbaik untuk Qailulah adalah selepas melakukan solat Jumaat di masjid. Hal ini bagi mengelakkan daripada ketinggalan untuk mendirikan solat Jumaat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat Lisan al-Arab, 11/572

[2] Lihat al-Misbah al-Munir, 2/521

[3] Riwayat al-Tirmizi (2377) dan Ibnu Majah (4109)

[4] Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/40

[5] Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 2/396

[6] Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat (28) dan Abu Nu’aim dalam al-Tibb al-Nabawi (151). Hadith ini dinilai hasan oleh pengarang Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, no. 1647)

[7] Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat (28) dan Abu Nu’aim dalam al-Tibb al-Nabawi (151). Hadith ini dinilai hasan oleh pengarang Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, no. 1647)

[8] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 34/130

[9] Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, 1/290

[10] Riwayat ‘Abd al-Razzaq (7603) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4/182)

[11] Lihat al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,1/106

[12] Lihat Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,1/106

[13] Lihat Mughni al-Muhtaj (1/228)

[14] Riwayat Ibnu Majah (1693)

[15] Lihat Faidh al-Qadir, 1/494

[16] Lihat ‘Umdah al-Qari, 6/201

[17] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Al-Khatib, 6/453

[18] Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 25/23

[19] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/414

[20] Lihat Kifayah al-Atqiya’ wa Minhaj al-Asfiya’, hlm. 40

[21] Lihat Nihayah al-Zain Syarh Qurrah al-‘Ain, 1/218

[22] Riwayat al-Bukhari (939)

[23] Riwayat al-Bukhari (940)

[24] Riwayat al-Bukhari (941)

[25] Lihat Fath al-Bari, 5/203

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *