Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamdu.

Lafaz syukur atas pelbagai kurniaan nikmat Allah SWT yang tak terhingga banyaknya kepada kita semua. Alhamdulillah. Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu, 22 April 2023. 

Image

Kami mulakan di ambang raya dengan menziarahi Almarhum Hammad di Perkuburan al-Raudhah Kota Seriemas pada petang dan hari terakhir Ramadhan 1444 H. Seterusnya kami bergegas menuju ke rumah mertua melalui Lebuhraya LEKAS. Dalam perjalanan, kami dihubungi oleh Haji Din yang memesan makanan pada malam hari Raya. Alhamdulillah semuanya settle dengan baik. Pada malam tersebut sempatlah kami berbuka puasa bersama mertua dan solat Maghrib berjemaah bersama-sama. Hampir menjelang Isyak, saya terus ke Surau al-Salam Kg. Jiboi Baru, mengambil kesempatan untuk menyampaikan tazkirah ringkas berkenaan adab-adab berhari raya.

Seusai solat Isyak, saya mengajak semua jemaah untuk sama-sama bertakbir raya di rumah mertua dan juga menikmati sedikit hidangan nasi beriyani dan lemang. Alhamdulillah, kehadiran menghampiri 100 orang. Antara penduduk Kg. Jiboi Baru dan jemaah Surau al-Salam, ialah Dato’ Ja’far,, Ustaz Ehsan, Dr Abdul Razak dan ramai lagi yang menyertai ziarah-menziarahi ke rumah-rumah pada malam Hari Raya.

Kami sama-sama bertakbir dan berdoa, seterusnya makan dan menuju ke beberapa buah rumah dengan nawaitu dan niat yang sama iaitu menggemakan takbir dan berdoa untuk semua.

Malam tersebut, saya diberitakan salah seorang jemaah tua yang cukup rapat dengan kami, Haji Hamdan, sakit kanser pada tahap 4. 

Rumahnya bersebelahan atau berhampiran dengan surau. Saya pesan kepada jemaah supaya beritahu kepadanya yang saya mahu ziarah beliau pada pagi Raya. 

Haji Hamdan adalah jiran saya di Kampung Jiboi Baru, Seremban. Baik orangnya dan setiap kali saya ke kedai makannya, tidak pernah beliau terima bayaran saya.

Saya ziarah Haji Hamdan pada 1 Syawal baru-baru ini. Antara soalan saya kepadanya, “Bagaimana perasaan dan rasa sakit yang Haji hadapi?” Jawabnya, “Saya tidak merasa apa-apa.” Sedangkan anaknya seorang doktor pakar di Cardiff mengatakan saya boleh bayangkan betapa sakitnya dan saya sendiri tidak tertanggung akibat kanser. Ini semua mengingatkan saya kepada anakanda saya Almarhum Hammad yang juga meninggal dunia pada 2 Oktober 2022 akibat kanser.

Beliau pegang kemas dan kucup tangan saya, seperti itulah kali terakhir kami akan bersua. Seolah-olah tangan saya mahu digenggamnya sampai bila-bila. Nampak jelas terbit air mata di kelopak matanya. 

Mungkin beliau sudah merasakan sesuatu. 

Pada hari Rabu, jam 5.45 pagi, saya menerima berita kembalinya Haji Hamdan ke rahmatullah setelah sekian lama berjuang melawan penyakit kansernya.

Semoga keluarga beliau bersabar atas pemergian ini. 

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نزله ووسّع مدْخله واغسله بالماء والثلج والبرد ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، اللهم أبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً من زوجه، وأدخله الجنّة، وأعذه من عذاب القبر، ومن عذاب النّار.

Pada Hari Raya pula, saya mulakan dengan solat hari Raya di surau yang sama. Seusai majlis, saya menziarahi rumah Haji Hamdan kemudian bergegas ke rumah menyambut tetamu yang datang. Seterusnya, menziarahi ke rumah jiran, Haji Rosman. 

Rumahnya daripada kayu yang diukir dan dibina secara khusus. Amat menarik dan cantik. Rumah klasik yang penuh dengan nilai keMelayuan serta seninya. Saya cukup kagum dengan kesungguhan Haji Rosman yang mampu menzahirkan idea pemikirannya kepada realiti yang menarik.

Kemudian, saya meneruskan lagi dengan menziarahi bapa saudara, Haji Yusoff yang bersebelahan dengan rumah mertua saya. Seusai ziarah, kami patah balik ke rumah kerana ramai sanak-saudara dan kaum keluarga sudah mengunjungi rumah. Antara yang mengunjunginya, Uncle Aman, Mak Cik Nab, Uncle Arif, Mak Cik Yam serta keluarga dan anak-anak masing-masing. Cukup meriah dan ramai. 

Di kesempatan tersebut, saya mengambil peluang untuk menyampaikan sedikit tazkirah berkenaan hak-hak kekeluargaan serta peranan dalam mengukuhkan semangat serta silaturrahim dalam keluarga. 

Selepas Zohor, saya pulang ke rumah di Nilai. Dalam perjalanan pulang, saya mendapat berita yang amat sedih di mana ibu kepada jiran saya Kak Ida telah meninggal dunia pada 1 Syawal dan disolatkannya selepas Asar di Masjid Putra Nilai. Saya mengajak isteri untuk sama-sama solat jenazah di masjid serta sempat bertemu dengan keluarganya di samping mengucapkan takziah.

Saay janji dengan keluarganya untuk hadir ke rumah pada malam tersebut untuk sama-sama membaca Yasin dan berdoa kepada arwah selepas Isyak. Alhamdulillah, betapa seronoknya kaum keluarga tersebut dengan kedatangan saya. Saya memahami walaupun mereka kepenatan tetapi sebagai hak jiran, perlulah dihormati untuk kali terakhir.

Keesokan pagi, jam 5 kami menuju ke airport KLIA 2 yang dihantar oleh Ustaz Dawud dan Encik Azhar. Kemudian, kami check in bag tetapi entah macam mana yang terlepas satu sahaja, dan yang lain terpaksa hand carry. 

Jam 8.30 pagi kami sampai dan disambut oleh Din Barakah serta adinda Salam. Kami menuju ke pusara bonda, Hajah Ramlah di kubur Tok Khatib Siput. Kemudian, bergegas ke rumah ayahanda untuk bermaaf-maafan dan menyantuninya seketika. 

Selepas itu, pulang seketika ke rumah untuk persiapan berhari raya di beberapa buah rumah. Destinasi pertama menuju ke Durian Burung, rumah sepupu, Abang Mizi dan Kak Nah. Alhamdulillah, sempat pekena kambing bakar. Sambil berbual, dapat bertanya berkenaan motosikal tayar tiga Harley Davidson yang menajdi miliknya. Cukup cantik.

Kemudian, kami bersama adinda Hakim, adinda Noriah, dan kakanda Fauziah semuanya sekeluarga menuju ke rumah sahabat sepermainan semasa kecil di Padang Midi, Cikgu Zamberi yang lebih dikenali sebagai Adi. 

Alhamdulillah, sempat pekena Nasi Dagang dan sembang terkait zaman kecil dahulu. Kebetulan ibunya juga ada yang kami panggil Hajjah Wok. Kemudian, kami langusngkan lagi perjalanan untuk ke rumah sahabat sepengajian di SMAASZA dan Universiti Islam Madinah, iaitu Ustaz Zaini yang mengaqiqahkan cucunya. 

Ketika itulah, saya sempat bertemu ramai kawan-kawan, al-Fadhil Ustaz Syed Nazmi, Ustaz Affendi, Ustaz Rudaini, dan lain-lain lagi. Alhamdulillah, nampak jelas keceriaan wajah mereka bersama kaum keluarga dan anak-anak yang memeriahkan majilis cucu Ustaz Zaini. 

Ustaz Affendi juga menjemput ke rumahnya esok hari dek kerana anaknya berkahwin. Saya memohon maaf kerana waktu tidak mengizinkan. Pada waktu malamnya pula kami sekeluarga bergegas menuju ke Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu untuk kuliah Maghrib. 

Saya sampaikan dengan tajuk, Kepentingan Menuntut Ilmu dengan menceritakan kisah ulama zaman dahulu walaupun hari Raya tetap mengutip mutiara ilmu dan mengajar ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani. Kami dijamu dengan mee goreng, tapai, dan beberapa kuih-muih seusai kuliah.

Yang membawa saya dalam perjalanan ke kuliah adalah Din Barakah dengan kereta Vellfirenya. Pada pagi Isnin, 24 April pula, jam 5.30 pagi kami semua bergegas ke Masjid Gong Tok Nasek. Pada kuliah Subuh tersebut, saya sampaikan tajuk yang terkait dengan Keberkatan Waktu Pagi, di mana terdapatnya kelebihan awal pagi. 

Saya misalkan dengan banyak contoh termasuk surah al-‘Adiyat ayat 1-5. Firman Allah SWT:

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا ‎﴿١﴾‏ فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا ‎﴿٢﴾‏ فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا ‎﴿٣﴾‏ فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا ‎﴿٤﴾‏ فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا

Maksudnya: “Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya, Serta mencetuskan api dari telapak kakinya, Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh, Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu, Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.”

Seusai kuliah Subuh kami dijamu dengan Nasi Dagang. Kemudian, kami pulang dan seterusnya menghadiri jemputan Hari Raya oleh sepupu adinda Mek di Kampung Parit dan seterusnya ke rumah sepupu Abang Din. Alhamdulillah, banyak makanan yang dihidangkan dan ramai kaum kerabat serta keluarga dapat bertemu.

Pada petangnya, kami dijemput oleh kakanda Ustaz Suhaimi dan isterinya Kak Ros untuk minum petang. Alhamdulillah, banyak yang disembangkan secara sepintas lalu, termasuk anakandanya Abu Bakar yang sudah belajar di Universiiti Islam Madinah.

Pada malamnya pula, iaitu malam Isnin, 24 April, saya berkuliah di Masjid Merbau Patah. Saya kisahkan pengalaman yang saya telah mengajar di situ melebihi 35 tahun yang lampau.

Sebahagian besar orang-orang tua di situ sudah meninggal dan yang bakinya sudah menjadi tua. Itulah masa. Saya kisahkan permulaan orang-orang Melayu menunaikan haji dan juga tajuk ceramah khusus berkenaan Kun Rabbaniyyan Wa La Takun Ramadhaniyyan. Dengan maksud, Jadilah kamu Hamba Allah Yang Rabbani dan Janganlah Kamu Jadi hanya Sebagai Hamba Ramadhan.

Seusai ceramah, mereka menjamu kami roti tempayan, tetapi saya telah janji untuk makan di sebuah restoran Seri Budi. Di mana ketika pulang dengan menaiki AirAsia saya duduk bersebelahan dengan seorang yang bernama Tuan Osman. Beliau pernah menghadiri kuliah Dhuha saya di Masjid Hishamuddin. 

Beliau menyatakan yang abangnya mempunyai kedai dan mempelawa saya makan. Justeru, kami hadir makan masakan 3 Rasa, udang, dan sup daging. Semoga Allah SWT melariskan perniagaan kedainya. Amin.

Pada pagi Selasa, Subuh 25 April, kami memulakan dengan Kuliah Subuh di Surau al-Iman, Losong. Saya menyampaikan Kuliah Subuh pada pagi tersebut dengan tajuk Doa Nabi SAW Pada Waktu Subuh, berdasarkan hadith:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.””

Riwayat Abu Daud (1522), al-Nasa’ie (1303). Ahmad (22119), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (1/362) dan Ibn Hibban (2020)

Bacaan untuk jemaah:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Saya tekankan isu kewajipan bersyukur dan erti syukur sebenar mengikut nas Ilahi dan hadyun nabawi. Di samping itu, saya menyebut, hakikat syukur yang dinyatakan oleh Abu Hazim al-A’raji ketika ditanya oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. 

Haji Saufi yang banyak mengaktifkan surau tersebut, menjamu kami pada hari itu dengan Nasi Lemak Pak De berlaukkan ikan Aya (tongkol) dan juga keropok goreng serta ketupat.

Apabila pulang, saya memanggil adinda Salam untuk membetulkan paip air yang selalu bocor. Beberapa kali, termasuklah hari terakhir kami pulang terpaksa lagi dibaiki. Beliaulah yang paling banyak membantu untuk menyelesaikan fizikal rumah termasuk menukar lampu, membasuh karpet, membeli minuman dan makanan dan lain-lain hal. Terima Kasih Haji Salam yang menjadi pemudah cara dan penyelesai isu-isu yang remeh-temeh tapi memerlukan pembaikannya.

Pada hari tersebut, beberapa buah keluarga juga menjemput ke rumah masing-masing dan sempatlah pergi ke rumah Razali, kawan sepersekolahan semasa kecil. 

Beliau baru bina rumah di Kampung Kubang Kekura di mana beliau membeli kayu terpakai dari rumah asal kami. Masya-Allah, beliau design rumah kayu 2 tingkat dibawahnya dibuat tempat jamuan dan ada bilik. 

Pada hari tersebut, beberapa buah keluarga juga menjemput ke rumah masing-masing dan sempatlah pergi ke rumah Razali, kawan sepersekolahan semasa kecil. 

Beliau baru bina rumah di Kampung Kubang Kekura di mana beliau membeli kayu terpakai dari rumah asal kami. Masya-Allah, beliau design rumah kayu 2 tingkat dibawahnya dibuat tempat jamuan dan ada bilik. 

Alhamdulillah, sempatlah kami bertemu bapa saudara, sepupu-sepapa dan kaum keluarga. Ramai daripada mereka yang memperkenalkan diri kepada saya yang kadang-kadang sekelas dengan saya yang daripadanya perempuan, yang sudah saya tidak ingat.

Pada malamnya pula, saya berkuliah Maghrib di Masjid Padang Mengkuang, Bukit Payung. Saya fokuskan kepada tajuk Ilmu dan Rezeki. Antara kupasannya berkenaan hadith Nabi SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلَّا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Bacaan untuk jemaah:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Pada malam tersebut, saya bertemu dengan rakan lama semasa di Syria, Ustaz Ramli. Antara kerja sekarang adalah pecah tanah lot dan menjualnya. Beliau seorang yang amat baik. Di samping itu, bertemu dengan Haji Zul. Beliau adalah orang kanan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Datuk Haji Amzad. Kami dijamu dengan mee kari yang cukup lazat dan selera. 

Pada hari Rabu pagi, kami mulakan Kuliah Subuh di Masjid al-Muttaqin, Kepong. Sebuah masjid yang indah dan amat selesa. Seusai kuliah, dengan penekanan kepada jemaah ke masjid dan ibadat kami dijamu dengan Nasi Beriyani ayam. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semuanya dan banyak perkara yang kami bincang semasa makan dan ketika menuju ke kereta.

Pada pagi tersebut, adinda Nur dan adinda Hakim masing-masing mengajak ke rumah dan kami menghadirinya. Sempatlah makan Nasi Lemak dan Nasi Arab di samping beberapa kuih yang lain. Jam 8.45 pagi, saya mengambil kesempatan dalam perjalanan ke Kuala Ibai untuk menziarahi Sahibul Fadhilah Ustaz Azhar Idrus dan bertanyakan khabar yang terkait dengan kesihatannya. Alhamdulillah, keadaannya cukup baik.

Seusai di rumahnya, ketika keluar saya sempat bertemu Ustaz Mad Kecik. Masya-Allah, seorang yang gigih dalam menyampaikan ilmu, sempatlah berbual sepatah dua sambil menuju ke kereta. Kemudian, saya menuju ke Kuala Ibai ke Pusat Perubatan Darul Syifa.

Kebetulan yang menajdi pengarahnya adalah sahabat lama kami, Dr Alauddin. Dan kemudian, saya sempat bertemu YB Dr Khalil Abdul Hadi, ADUN Batu Burok. Kemudian, saya menyampaikan tausiyah yang terkait dengan adab perawat dan sifat yang sepatutnya wujud pada seseorang perawat. Di situ, sempat kami menjamah sedikit Nasi Dagang dan kuih-muih yang lain. 

Pada petangnya pula, saya dijemput untuk makan di rumah emak yang berhampiran dengan Giant Kuala Terengganu. Sempatlah merasa Nasi Minyak dan juga nasi putih berulamkan keladi. 

Pada sebelah petangnya pula menuju ke malam, kami pergi dengan dua buah kereta bersama keluarga dan adik-beradik lelaki sebahagiannya ke Kuala Berang. Sempatlah kami menziarahi mak saudara sebelah ibu yang uzur dan terlentang. 

Melihat keluarganya yang naif dan dhaif banyak menginsafkan kami. Di sinilah, peri pentingnya pendidikan dan asuhan serta bimbingan. Bukan semata-mata dalam pembelajaran tetapi dalam kehidupan. Seusai ziarah ringkas, kami meneruskan agenda menuju ke Masjid Kampung Butut, Kuala Berang, Ulu Terengganu.

Masya-Allah, kami dijamu dengan makanan yang paling kami suka, ikan kelah dan ikan tapah. Mereka adalah golongan yang memuliakan tetamu. Semoga, Allah SWT ganjari pahala kepada mereka. 

Kemudian, kami solat Maghrib dan menyampaikan kuliah Maghrib Perdana dengan tajuk Menuju ke Syurga. Lantas, saya kisahkan dengan banyak kisah. Termasuklah, hadith Nabi SAW: Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ: أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ، وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ، وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعِيدُ بْنُ زَيْدِ فِي الْجَنَّةِ، وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sepuluh orang di syurga: Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah di syurga, al-Zubair di syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di syurga, Sa‘ad bin Abu Waqqas di syurga, Sa‘id bin Zaid di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin “al-Jarrah di syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (3747); Ahmad (1/193); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5/56) dan Ibn Hibban (7002). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Muslim. 

Seusai ceramah, saya didatangi oleh seorang guru Arab yang memohon bantuan berkenaan imigresen. Saya telah syorkan kepadanya beberapa langkah dan semoga Allah SWT mudahkan urusannya. Mengambil kesempatan ini, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih. Jazakumullah kepada semua yang menjayakan Jaulah Hari raya diisi dengan ilmu, dan juga menziarahi banyak masjid dan surau.

Pada pagi ini, Khamis 27 April, bersamaan 6 Syawal 1444 H, seusai solat Subuh, saya bertemu dengan adinda Salam untuk mengarahkan sedikit tugasan yang berbaki. Begitu juga, Din Barakah sampai dan kami memulakan ziarah ke rumah ayahanda untuk mengucapkan selamat pulang. 

Kemudian, menuju ke airport Sultan Mahmud dan check-in luggage. Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik. Dengan waktu yang berbaki, kami keluar semula dari airport dan menuju ke restoran My Mom berhampiran dengan airport. Sempatlah kami pekena Nasi Lemak Ikan Aya dan beberapa jenis lauk lain. 

Sedang menjamu selera, ayahanda menelefon untuk bertemu dan saya alu-alukan di restoren tersebut. Beliau datang dengan dua cucunya Nabil yang sedang belajar di UPSI dan Amir Shakib yang sedang belajar di UIA, Gombak. 

Beliau semata-mata datang untuk memberi sedikit hadiah raya kepada cucu-cucunya. Itulah tanda ingatan orang tua kepada anak-cucunya. Walaupun dalam keadaan uzur tetapi tetap menggagahkan diri, semata-mata ingin bersua muka. Semoga Allah SWT sihatkannya dan panjangkan usianya dalam kebaikan. 

Alhamdulillah, jam 9.00 pagi, kami berlepas dari airport Terengganu ke KLIA 2. Ramai juga yang sempat kami bertemu dan menyapa termasuklah guru saya sendiri yang sama-sama menaiki kapal terbang. Hampir jam 10 pagi kami sampai ke KLIA 2 dan disambut oleh beberapa rakan-rakan sehinggalah datnagnya Ustaz Izzhar membawa kami ke rumah.

Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi syukur kepada Allah SWT kerana dapat mengisi raya kali ini dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat serta mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar walillahilhamdu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *