Damsyik: Cinta Pandang Pertama

Matahari sudah mula menampakkan sinarnya sejak jam 6.30 pagi. Zul, Azli dan Hazman bersiap-siap untuk ke Kedutaan Syria di Amman.  Tinggal seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Jadi, segala urusan perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan perancangan mereka untuk masuk ke Damsyik tergendala.

Tiba di Kedutaan Syria, mereka disambut oleh seorang pegawai. Zul, Azli dan Hazman menyerahkan semua dokumen yang dikehendaki dan menyampaikan hasrat mereka untuk masuk ke Damsyik. Pegawai tersebut bertanya kepada Zul, “Kamu bertiga pernah masuk ke Israel?”. Tanpa berfikir panjang, Zul mengiyakannya kerana mereka baru sahaja melawat Jerusalem. Dengan muka yang merah padam, pegawai tersebut berkata, “Balik! Permohonan kamu semua tak diterima.”, jawabnya dengan sedikit keras. Beliau sedikit pun tidak memandang ke arah mereka.

Zul terpinga-pinga. “Aku ade saloh cakak ke? Ndape pulok hok Arab ni nok?”, Zul berbisik sendirian. Dahi Azli dan Hazman sudah mula jelas renik-renik peluh. Mereka kini berada di Amman, 10,000 kilometer daripada Kuala Terengganu. Berpatah balik ke Terengganu kerana dihalau Arab di Kedutaan Syria adalah satu kerja yang gila dan sia-sia! Hazman menyeka peluh di dahi dan bertanya, “Doh wane kite ning? Nok kene kelik Tranung ke?”. Zul memegang bahu temannya dan berkata, “Sabor Mang. Nyaknye[1] kite kalu kene kelik Tranung.”

“Jadi, kami kena buat surat akujanji yang kami tak pernah sampai ke Jerusalem?”, Zul memberikan diri untuk bertanya. Pegawai itu mengangguk. “Tapi, kite gi doh haritu?”, bisik Azli kepada Zul. “Kite ikut je cakak Arab ni. Buat slalu. Tulih tangang je!”, kata Zul dan dengan segera beliau mencapai pen dan menulis surat akujanji sebagaimana yang diminta. Alhamdulillah, selepas itu dokumen dan surat-surat berkenaan dapat diserahkan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tak beberapa lama kemudian, visa dikeluarkan dan diserahkan terus kepada Zul, Azli dan Hazman. Barulah mereka mengukir senyuman dan menarik nafas lega. Selangkah kaki sudah berada di Syria.

Jangan ditanya mengapa prosedur/peraturan tersebut tiba-tiba berubah. Mulanya ditolak, kemudian diterima. Esoknya diterima, lusa dokumen hilang. Tiada yang mustahil!

Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat-sahabat di Jordan, ketiga-tiga orang sahabat ini bergerak menuju ke Syria melalui udara selepas solat Asar. Kenangan 2 minggu di Jordan pastinya akan sentiasa segar dalam ingatan. Siapa sangka, Zul boleh berhari raya di Sweileh? Di masa depan, belum tentu lagi Zul boleh melancong ke Jerash, Laut Mati, masuk ke bawah tanah Masjidil Aqsa, melihat kawasan pertempuran Yarmouk, menikmati Mansaf Jordan yang amat menyelerakan. Urdun awwalan!

*********************

Zul, Azli dan Hazman sampai di Syria pada waktu malam dan disambut oleh wakil Persatuan Pelajar Malaysia Syria. Mereka dibawa untuk menginap sementara di rumah Sahabah bertempat di Bab Musolla, Damsyik. Atas bantuan pelajar di Syria, beberapa hari kemudian Zul dan kedua-dua orang sahabatnya berjaya mendapatkan rumah sewa di Mukhayyam Yarmouk.

Syria terletak di Asia Barat, bersempadan dengan Laut Mediterranean, antara Lubnan dan Turki. Syria terdiri daripada dataran tinggi kering, meskipun bahagian barat lautnya yang bersempadan dengan Laut Tengah cukup hijau. Sungai Furat, sungai paling penting di Syria, melintasi negara ini di timur. Negara ini dianggap satu dari lima belas negara yang dianggap termasuk tempat bermulanya tamadun. Bandar besar adalah ibu negara Damsyik di barat daya, Aleppo di utara, dan Homs. Kebanyakan bandar penting lain terletak di sepanjang pesisir.  Iklim di Syria panas dan agak kering, dan ada juga musim sejuk dan bersalji.

Minggu pertama di Damsyik memang membuatkan Zul seolah-olah berada di dunia yang berbeza. Damsyik merupakan antara kota tertua dunia yang masih didiami manusia hinggalah sekarang. Rumah-rumah di sini kebanyakannya dalam bentuk apartmen kos sederhana, mungkin seperti di Kuala Lumpur. Bangunan lama sejak daripada Zaman Dinasti Umayyah masih tersergam indah dan kekal berfungsi dengan sedikit penambahbaikan struktur binaan, namun tidak merosakkan ketinggian nilai seni pada ukirannya. Laluan masuk ke Souq al-Hamidiyah adalah antara beberapa contoh puing-puing lama yang masih kekal, sejak dibina oleh orang Rom. Deretan tiang ini berasal daripada runtuhan Kuil Jupiter yang dibina orang Rom. Souq al-Hamidiyah bermula di Jalan Al-Thawra dan berakhir di dataran Masjid Umayyah. Tiang-tiang setinggi 40 kaki ini terletak di gerbang utama Souq al-Hamidiyyah. Di situ ada dijual pelbagai jenis pakaian, kedai cenderamata yang menjual kraftarangan tradisional, barang kemas, kedai kopi, kedai runcit, gerai makan dan gerai aiskrim.

DAMASCUS, SYRIA – MAY 24: A man in traditional outfit makes hot drinks in the main souk on May 24, 2012 in Damascus, Syria. Despite all the ongoing conflicts in Syria people go on as normal about their daily life in the capital city of Syria. (Photo by Kaveh Kazemi/Getty Images)

Orang ramai yang pergi ke Souq al-Hamidiyah disambut oleh penjual teh yang lengkap berpakaian tradisional dan bertarbus. Itulah kali pertama Zul menikmati kesegaran teh yang diperbuat daripada rebusan akar wangi dan dicampur air mawar. “Shlounak?”[2], tegur penjual teh sambil tersenyum manis dalam Bahasa Arab dialek Syria. Masyarakat Syria amat lemah lembut, sedikit berbeza dengan masyarakat Arab Saudi dan mungkin hampir dengan sifat orang Melayu. Azli termenung panjang melihat orang Arab Syria berpusu-pusu masuk dan keluar daripada Souq al-Hamidiyah. Kanak-kanak saling berkejaran dan usik mengusik. “Zul. Comey betul puang hok dengan ayoh die tu. Dop puah kelih.”, kata Hazman sambil mencuit Zul dan menunjukkan ke arah seorang gadis yang masuk ke Souq al-Hamidiyah bersama seorang lelaki yang lebih berusia, mungkin ayahnya. Zul hanya ketawa kecil dengan gelagat nakal sahabatnya. Lelaki dan wanita di Syria memang umumnya segak dan berkulit cerah. Tidak seperti orang Melayu yang anak matanya berwarna hitam atau coklat, Arab Syria ada anak mata dengan warna yang pelbagai seperti biru dan hijau. Inilah yang menyebabkan ada riwayat sebahagian sahabat Nabi menyatakan wanita tercantik di dunia adalah wanita Syria di Bab Tuma (berhampiran kota Damsyik).

Menjadi budaya di Syria, masyarakatnya lebih gemar berbasikal. Teksi dan van berperanan sebagai pengangkutan awam yang utama. Dengan bayaran 3 hingga 5 Lira, itu adalah tambang yang jauh lebih murah daripada teksi di Malaysia. “Berape kite dapat kalu 100 USD?” tanya Zul kepada Hazman. “Err…banyok jugop. Lebih kurang 5,000 Lira. Cukup sebulan insya-Allah.”, Hazman membalas sambil mengira-ngira wang yang ditukar di kedai pengurup wang. Sedang sibuk ketiga-tiganya mengira wang yang ditukar, seekor keldai dengan muatan buah-buahan dan sayur-sayuran lalu di hadapan mereka.  “Ana rajin tengok gini dalam filem P. Ramlee je…hehe. Ni pertame kali depang mate.”

Ayam mentah dijual pada harga 50 – 70 Lira sekilo. Harga tersebut pada tahun 1994 boleh dikatakan agak murah. Syam adalah bumi warisan para nabi yang subuh tanah-tanihnya. Jika ada kelapangan, Zul akan keluar membeli anggur, epal dan delima. Saiznya luar biasa besar dan amat murah. Jika musim anggur menjengah, harga anggur boleh turun sehingga 50 sen sekilo. “Kalu di Tranung, orang kaye je hari-hari bahang anggur. Kite di sini, ade sokmo stok anggur. Restoran pun bowoh pokok anggur. Subhanallah…”, kata Zul kepada Azli.

Benarlah firman Allah SWT:

سُبْحانَ الَّذِي أَسْرى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بارَكْنا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آياتِنا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Menurut Imam al-Baghawi, perkataan “yang Kami berkati sekelilingnya” adalah dengan banyaknya sungai, pohon dan buah-buahan. Al-Mujahid berkata, dinamakan ia berkat kerana ia adalah bumi para nabi dan tempat para Malaikat menurunkan wahyu serta tempat manusia berkumpul pada Hari Kiamat.[3]

“Insya-Allah, esok kite daftar ngaji sini!”, Zul berpesan kepada sahabat-sahabatnya dengan penuh bersemangat. Azli dan Hazman bakal menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda manakala Zul pula melangkah ke peringkat Sarjana.

Sambil menyiapkan dokumen untuk pendaftaran, Zul tersenyum sendirian. Hatinya sudah mula dilamun cinta dengan keindahan Damsyik.

____________________

[1] Kasihan

[2] Apa khabar?

[3] Tafsir al-Baghawi, m. 725

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *