Bab 46: Daripada Paroi ke Pasir Panjang

“Alhamdulillah…”, Zulkifli tersenyum melihat matahari pagi dari Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memulakan kehidupan berkeluarga di negeri Adat Perpatih ini namun itulah suratan takdir Yang Maha Esa.

“Buat ape di luar tu? Marilah masuk. Sarapan dah siap ni.”, isterinya memanggil daripada dapur.

Semasa sedang menikmati sarapan, Zul menyuarakan hasratnya untuk mengadakan kenduri kesyukuran di Terengganu selepas kepulangannya daripada Syria. “Saya rasa nak buat kenduri kesyukuran sikit di kampung dua minggu lagi. Ramai orang kampung yang bantu saya masa mula-mula nak ke Madinah. Kemudian lepas tu ke Syria. Sebagai penghargaan jugak kepada orang kampung saya. Awak rasa ok tak?”, tanya Zul kepada isterinya.

“Takkanlah saya tak setuju. Saya ikut je. InsyaAllah, nanti saya mohon cuti”, jawab isterinya tersenyum. Isteri, Dr. Shereen sudah mula menjalani housemanship di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sejak bergraduasi daripada RCSI Dublin. Beristerikan seorang doktor, sememangnya memerlukan persefahaman yang baik dan sikap saling bertolak ansur. Doktor adalah milik ummah, milik masyarakat yang sentiasa memerlukan bantuan. Dalam masa yang sama, doktor juga adalah seorang suami, isteri, bapa, atau ibu kepada anak-anak di rumah.

Al-Qur’an telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”[1]

Jumhur ulama’ berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk menguruskan dirinya sendiri. Ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.

Para ulama Malikiyyah wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu.[2]

Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana beliau tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap. Sebaliknya jika mampu, maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah.

Peranan suami adalah membantu tugas-tugas isteri melibatkan urusan rumahtangga. Isteri melakukannya kerana itulah kebiasaannya dan ia adalah hasil daripada sifat ihsan yang terbit daripada fitrah mereka. Saidina Umar bin al-Khattab ketika menasihatkan Aqil  berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib dengan mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.

Suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.

*********************

Sejak kepulangannya daripada Syria, beliau hanya menganggur pada mulanya. Namun, Zulkifli sentiasa berusaha dan berdoa semoga direzekikan peluang pekerjaan yang sesuai dengan minatnya; mendidik, mengajar, dan menulis.

Ubaidullah bin Muhammad bin Yazid berkata: “Aku mendengar ayahku menyebut bahawa mereka telah mengunjungi Abu Hazim lalu berkata: “Wahai Abu Hazim, tidakkah kamu melihat harga barang sekarang ini mahal?” Lantas dijawabnya: “Apakah yang merunsingkan kamu demikian itu? Sesungguhnya Yang memberi rezeki pada kita pada masa barang murah, Dia-lah juga yang memberi rezeki pada kita pada masa barang mahal.”[3]

Rezeki tetap ada di mana-mana, asalkan ada usaha. Ramai yang salahfaham tentang tawakal dan menganggap adalah menyerahkan kepada Allah SWT tanpa sebarang usaha. Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.”[4]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَانا

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”[5]

Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki.[6]

Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”[7]

Pada satu hari di sebuah gerai, Zulkifli mencapai surat khabar dan menyelak halaman demi halaman. Beliau terpandang iklan kekosongan jawatan pensyarah di Kolej Universiti Teknologi Islam (UNITI). Ia adalah sebuah kolej swasta yang ditubuhkan pada Mac 1997, 4 bulan selepas kepulangan beliau daripada Syria pada September 1997. Kolej UNITI memulakan operasinya di kampus yang terletak di Kompleks UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. “Tak rugi aku cube. Mane tahu ade rezeki…”, kata Zulkifli dalam hati. Beliau lantas mencatat maklumat penting yang diperlukan untuk permohonan perjawatan sebagai pensyarah di sana.

Pagi temuduga, Zulkifli berpakaian segak kemeja dan songkok. Temuduga diadakan Uniti Consultants Sdn. Bhd. di Senawang. Antara penemuduga yang terlibat adalah Dr. Jailani selaku CEO Kolej UNITI, Dr. Kamal dan beberapa orang pensyarah lagi.

“Ustaz Zulkifli. Boleh saya tahu, kalau pihak Kolej UNITI mengambil ustaz sebagai pensyarah kami, apa yang ustaz boleh janjikan kepada kami?”, tanya Dr. Jailani. Pandangannya tepat kepada Zulkifli, menanti jawapan. Dr. Kamal meneliti salinan sijil dan dokumen yang diserahkan Zulkifli kepadanya.

  1. Resume.
  2. Salinan kad pengenalan.
  3. Sijil kelahiran.
  4. Sijil SPM.
  5. Sijil kokurikulum SMASZA Ladang dan SMAASZA Batu Burok
  6. Transkrip Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana Syariah, al-Majma’ al-Ilmi al-‘Ali Jami’ Sadat, Damsyik.
  7. Ijazah sanad yang diperoleh semasa di Syria.

Semuanya disusun kemas mengikut aturan.

“Ehem…Saya dapat tahu, masa pendaftaran baru-baru ni, 170 pelajar telah mengikuti Program Pra Sains UiTM. Program-program yang ada di Kolej UNITI, semuanya berteraskan Sains, IT. Sayangnya, belum ada lagi Diploma Pengajian Islam. Graduan Pengajian Islam ada peluang yang cerah untuk berada di dalam pelbagai industri. Dr. berikan sepenuh kepercayaan kepada saya, saya akan wujudkan Diploma Pengajian Islam di Kolej UNITI, insya-Allah.”

Kesemua panel penemuduga mengangguk tanda setuju dan berpuas hati.

Tidak beberapa lama selepas itu, surat keputusan temuduga menyusul. Zul mengunjukkan kepada isterinya dengan senyuman yang terukir jelas di bibirnya. “Alhamdulillah, tahniah awak!”, ujar Dr. Shereen dengan penuh kegembiraan.

Maka bermulalah perjalanan kerjaya anak muda Terengganu ini sebagai pensyarah Kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Setiap hari Zulkifli berulang alik daripada Paroi ke Pasir Panjang, Port Dickson dengan motosikal Kriss yang baharu dibeli. Kadangkala, beliau tidak pulang ke rumah selama 1-2 hari, tidur di sana. Bukan dekat jaraknya, bukan sedikit pengorbanannya, namun itulah satu kepuasan.

____________________

[1] Surah al-Nisa’: 19

[2] Hasyiah al-Dusuki, 2/510.

[3] Hilyah al-Auliya’, 3/239.

[4] Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266.

[5]Riwayat Ahmad. 1/30; al-Tirmizi, no. 2344; Ibn Majah, no. 4164; Ibn Hibban. no. 730; al-Hakim; no. 7894

[6] Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/8

[7] Surah al-Talaq: 3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *