Di Sini Semuanya Bermula

1
3899

“Ayoh, Chik…ni gaji pertame Zul. Memang Zul niat untuk bagi ke Ayoh dengan Chik.”. Zulkifli meletakkan di atas meja, sekeping sampul surat yang dilipat. Ia berisi hampir keseluruhan gajinya pertamanya sebagai Pensyarah di Kolej UNITI. Ustaz Mad dan Hajah Ramlah pada mulanya menolak kerana anak mereka itu sudah pun berkeluarga dan sudah pasti lebih memerlukannya. Namun, Zul tetap berkeras untuk memberinya sebagai tanda penghargaan dan kasih seorang anak.

Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”[1]

Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.[2]

Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”[3]

********************

“Assalamualaikum Dek, jom kite minum!”. Menjadi kebiasaan Zulkifli mengajak temannya, Ustaz Tuan Sidek yang juga pensyarah di Kolej UNITI untuk sarapan bersama. Sambil menikmati Roti Canai dan Teh Tarik di warung, macam-macam perkara mereka bualkan. Warung yang terletak kira-kira 15 minit daripada Kolej UNITI adalah tempat mereka berbincang isu pejabat, politik, keluarga, hinggalah isu-isu negara.

Ustaz Tuan Sidek adalah bekas pelajar SMAASZA Batu Burok, cuma mengenali “Zul Mat” dari jauh. Adakalanya terdengar perbualan senior atau kawan-kawan tentang bekas pelajar yang mesra dipanggil Zul Mat. Namun takdir menentukan mereka bertemu dan bersahabat di Kolej UNITI.

Zulkifli yang bertugas sebagai Ketua Program Diploma Pengajian Islam, menemuduga Ustaz Tuan Sidek. Temuduga jawatan pensyarah Diploma Pengajian Islam dijalankan dalam Bahasa Arab sepenuhnya. Bukan kerana kenalan, kerana kedua-duanya tidak pernah bertemu di sekolah. Bukan kerana senegeri, kerana Zulkifli adalah seorang yang bersikap objektif. Tetapi atas kelayakannya, Ustaz Tuan Sidek lulus temuduga dan ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di sana.

“Ape pandangang enta bile Dr. Lo’lo’ mitok PAS letok calon wanita dalam PRU?”, tanya Ustaz Tuan Sidek kepada Zulkifli ketika mereka sedang menikmati sarapan.

Zulkifli menghirup baki Teh Tarik di dalam gelas dan kemudiannya berpaling kepada sahabatnya. “Para ulama’ ade due pandangang dalam isu wanita jadi calon pilihanraye. Antare hok dop setuju, Syeikh Hasanain Makhluf, Abu al-A’la al-Maududi, Syeikh Abdulaziz bin Abdullah bin Baz. Lajnah Fatwa al-Azhar dah keluar fatwa dop setuju dari taun 50-an lagi.”

“Ulama’ hok sokong pun bukang biase-biase, Dek. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, guru kami Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, rama lagi. Due pandangang ning paka Qur’an, Hadis, pengalamang masing-masing. Kalu nok tarjih, kene pahang mmolek tahqiq al-manat. Ndape tahqiq al-manat ning? Proses meneliti, mengkaji, dang mengenalpasti dalam mentahqiqkan ‘illah yang sabit dengan nas, atau ijma’, atau istinbat, pade kejadiang atau permasalahang hop dop ade dalam nas. Tapi jangang keliru tanqih al-manat, tahqiq al-manat, takhrij al-manat walaupung ketige-tige ning proses hok ade kaitang dengan al-manat ataupung name lainnye bagi ‘illah. Nilah seni ilmu usul fiqh.”, ujar Zulkifli dengan panjang lebar.

Tiba-tiba beliau melihat jam di tangan kanannya. “Eh. Jom Dek. Nanti ana sambung. Jom kite masuk pejabak.” Zulkifli bergegas ke kaunter dan membayar sarapan mereka berdua. “Enta ning Ustaz Zul…sokmo belanja ana. Bagi ana peluang belanja enta pulop…”, kata Ustaz Tuan Sidek. Zulkifli cuma ketawa dan masuk ke dalam kereta Satria miliknya.

“Dek, kalu enta nok tahu, kete Satria ning ana beli mase mule-mule masuk Kolej UNITI dulu. Ana dop ade leseng kete. Ade leseng motor je. Kriss tulah. Tapi ana duk mmikir, kene ade jugop kete. Ana ceramoh rate-riti[4]. Ana pun ambikla leseng. Cikgu memandu ana, Cikgu Muthu. Hidup ni Dek, kene sentiase ade perancangang mase depang. 10 taung, 20 taung. Ape yang kite ade, kene manfaat betul-betul untuk agame. Bile ana beli kete ning, ana doh mmikir guane ana nok manfaatkan sebaiknye. Supaye dop rugi ssaje ade kete. Ade sumbangang untuk agame…”, pesan Zulkifli kepada sahabatnya. Ustaz Tuan Sidek mengangguk bersetuju dengan nasihat Zulkifli. Sebagai individu yang lebih muda beberapa tahun daripada Zulkifli, beliau menerima nasihat-nasihat Zulkifli sepertimana nasihat seorang abang kepada adiknya.

*******************

Sikap Zulkifli yang mudah mesra, mengikat hubungan yang era tantara beliau dengan penduduk kampung sekitar. Berbekalkan Tauliah Mengajar yang diberikan oleh Dato’ Syeikh Murtadha selaku Mufti Negeri Sembilan, Zulkifli mula menyampaikan kuliah tetap di Masjid Pasir Panjang, Masjid Sungai Raya, Masjid Tanjong Agas, Masjid Teluk Pelanduk dan Masjid Port Dickson.

Saidina Ali bin Abu Thalib R.anhu pernah bertanyakan kepada Imam Hasan al-Basri Rahimahullah dengan katanya:

مَا مَلَاكُ الدِّينِ قَالَ: الوَرَع قَالَ: مَا فَسَادُ الدِّينِ قَالَ: الطَّمعُ قَالَ: اجْلِسْ فَمِثْلُكَ مَنْ يَتَكَلَّمُ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Apakah tiang seri bagi agama? Jawab Hasan al-Basri: Sifat warak. Tanya Saidina Ali: Apa pula yang merosakkan agama? Jawab Hasan al-Basri: Sifat tamak. Maka Saidina Ali pun berkata: Duduklah kamu, orang seperti kamulah yang layak untuk berbicara ke atas manusia.”[5]

Faedah yang dapat diambil dari athar di atas, jelas daripada perkataan فَمِثْلُكَ bahawa Saidina Ali radiyallahu ‘anhu telah mengenalpasti kriteria yang membolehkan seseorang itu mengajarkan ilmu agama kepada masyarakat. Mungkin juga inilah bentuk “pentauliahan” dalam kalangan salafussoleh.

Ketika Rasulullah SAW menghantar Saidina Muaz bin Jabal radiyallahu ‘anhu ke Yaman, Baginda terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan kepada Muaz berdasarkan sabdanya yang berikut:

كَيْفَ تَقْضِي ‏فَقَالَ أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ ‏قَالَ فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ قَالَ ‏ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏‏ قَالَ أَجْتَهِدُ رَأْيِي قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah. Baginda bersabda: Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah ? Maka jawab Muaz: Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi: Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW? Jawab Muaz: ‘Aku akan berijtihad dengan pendapatku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW.[6]

Jika diteliti hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah SAW sedang menguji kelayakan Saidina Muaz dalam menyampaikan dakwah. Setelah berpuas hati dengan manhaj Saidina Muaz dalam berhukum iaitu mendahulukan al-Quran kemudian al-Sunnah dan seterusnya ijtihad, maka baginda pun mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Inilah di antara asas bagi proses pentauliahan dalam menjaga agama dan menyampaikan dakwah yang dijalankan di setiap negeri dalam Malaysia iaitu untuk mengenalpasti kelayakan seseorang penceramah itu dalam mengajarkan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Ia semata-mata diadakan untuk memandu masyarakat kepada ajaran agama yang sempurna dan mengelakkan daripada ajaran-ajaran yang menyeleweng.

___________________

[1] Surah al-Isra’:23

[2] Tafsir al-Maraghi, 8/3932

[3] Riwayat Muslim, no. 2551.

[4] Merata

[5] Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, m. 158.

[6] Riwayat al-Tirmizi, no. 1327

Artikel sebelum iniDaripada Paroi ke Pasir Panjang
Artikel seterusnyaChapter 36: My Memory with Syeikh Sadiq Habannakah
Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.

1 komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini